Monday, March 9, 2009

PERUTUSAN SEMPENA MAULUD NABI

Meskipun Barack Obama tidak memberikan ucapan bersempena dengan maulud nabi saw hari ini tetapi saya tidak akan terpengaruh dengan tindakan beliau yang satu ini kerana sebagai bakal pemimpin umat Islam satu hari nanti maka eloklah saya memberi sedikit ucapan dan barangkali sedikit tazkirah untuk renungan bersama.
Kita menyambut maulidur rasul dengan penuh kesyukuran dan kemeriahan sebagai tanda terima kasih kita kepada Tuhan swt kerana telah mengirimkan seorang lelaki yang mulia, lengkap ciri-ciri kepimpinan dan sebagai rujukan kita semua. Nabi Muhammad saw diutuskan bukan sahaja untuk berdakwah tetapi untuk memimpin, menjadi role-model kepada manusia dan juga sebagai transformasi akhlak arab jahiliah kepada akhlak islamiah. Perjuangan baginda yang bermula di Mekah dan kemudiannya di Madinah penuh dengan suka dan duka, bagaimana baginda dan keluarga dipulaukan di tanah air sendiri, mendapat kecaman dan tentangan daripada ahli keluarga sendiri namun itu semua sedikitpun tidak mematahkan semangat nabi untuk terus menjalankan tanggungjawab baginda sebagai utusan Tuhan. Sifat dan keperibadian baginda merupakan faktor utama kepada penerimaan agama Islam di kalangan penduduk Mekah dan Madinah pada ketika itu. Sifat-sifat mahmudah dan penyabar baginda telah berjaya memangkin satu asas kukuh kepada imej Islam yang bersih, baik dan sesuai untuk dianuti. Rasulullah lebih menjurus kepada psikologi, sifat pemaaf dan toleransi baginda sangat-sangat dihormati dan menjadi tarikan utama mengapa penduduk Mekah dan Madinah memeluk Islam.
Sebagai pemimpin juga, Nabi Muhammad saw jelas menjadi contoh sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan prihatin. Bagindalah yang berdoa sepanjang malam agar tentera muslimin mengecap kemenangan di perang badar. Baginda jugalah yang bersama-sama menggali parit untuk menghadapi Perang Khandak. Dan umum mengetahui bahawa nabi saw akan menangis dan risau jika mendapat khabar akan siksaan yang bakal diterima oleh umat Islam. Baginda sering berharap agar semua umatnya mendapat keridhaan syurga dan menjadi penguasa di dunia ini. Masih jelas di ingatan saya bahawa Nabi pernah berdoa tiga perkara untuk kita semua iaitu yang pertama umat Islam tidak akan musnah akibat kebuluran, kedua umat Islam tidak akan musnah kerana serangan musuh2 Islam dan ketiga umat Islam semuanya bersatu. Dua doa baginda yang pertama diterima Allah tetapi tidak yang ketiga. Ini memberi satu isyarat yang jelas kepada kita bahawa penyatuan dan perpaduan umat Islam harus dilaksanakan dengan usaha dan komitmen yang bersungguh-sungguh sebagaimana baginda berjaya menyatukan kaum muhajirin dan ansar. Kegeniusan Muhammad saw dalam membina sebuah negara yang majmuk terdiri daripada pelbagai suku dan agama harus dijadikan teladan kepada kita sebagai bakal pemimpin sebuah negara yang majmuk dan berbilang kaum.
Sirah baginda tidak harus dipelajari semata-mata tetapi perlu diadaptasi dalam kehidupan seharian. Maka sudah tibalah masanya untuk kita membuat rujukan dalam setiap perkara yang kita lakukan dengan rujukan itu berdasarkan kepada Nabi saw. Perayaan maulidur rasul merupakan satu langkah yang tepat untuk kita kembali mengenang,menghargai dan mengikuti jejak langkah baginda ar-rasul. Kejayaan Salahuddin Al-Ayubi dalam menawan Baitulmaqdis pada 1187 selain dikaitkan dengan disiplin dan solat malam, menyambut maulud nabi juga merupakan salah satu kejayaan beliau dalam misi menawan kota suci ketiga umat Islam pada zaman itu. Justeru sambutan maulidur rasul ini harus dilaksanakan dengan agenda dan program yang lebih menyeluruh dan memberi impak kepada umat Islam di negara ini.
Selamat menyambut maulidur rasul dan moga Tuhan merahmati kita.

No comments:

Post a Comment

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)