Friday, July 25, 2014

AKTA HARMONI NASIONAL: KEMENANGAN UNTUK RAKYAT

Mesyuarat Majlis Konsultasi Perpaduan Negara(MKPN) telah berlangsung pada 23 Julai 2014 dan kenyataan media berkenaan mesyuarat tersebut boleh dibaca di sini 

Dalam mesyuarat tersebut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut hadir dalam diskusi berkenaan cadangan Rang Undang-Undang Harmoni Nasional (RUUHN) yang dicadangkan oleh MKPN .Antara input yang diberikan dalam mesyuarat tersebut ialah keterbukaan Peguam Negara menerima cadangan RUUHN daripada MKPN dan mencadangkan agar RUUHN itu diserahkan kepada kabinet sebelum kabinet memutuskan sama ada cadangan RUUHN perlu diperhalusi oleh Pejabat Peguam Negara untuk dijadikan deraf undang-undang dan menurut Peguam Negara lagi, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan MKPN  selepas penyediaan deraf RUUHN daripada Pejabat Peguam Negara.

Selaku ahli Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar MKPN, saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kepedulian rakyat Malaysia akan kewujudan RUUHN. Kepedulian itu, meski diselangi dengan pujian yang menepuk dan tudingan kritik yang keras, tetaplah saya terima dengan hati yang terbuka kerana sudah menjadi lumrah manusia bahawa tidak mungkin semua orang akan melihat sebuah gelas itu isinya setengah penuh.  Penghargaan tidak terhingga saya berikan kepada mereka yang memberi cadangan dan penambahbaikan ke atas cadangan RUUHN tersebut dan kritikan-kritikan substantif yang diterima, telah dijawab dengan semampu yang mungkin. Mudah-mudahan jawapan yang diberikan dapat memberi pencerahan yang dipinta.

Bagi kritikan-kritikan yang bersifat peribadi, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kerana dari situ fahamlah saya bahawa diri ini masih banyak kekurangan dan khilaf; setidak-tidaknya ia ditujukan kepada saya seorang atau ahli jawatankuasa undang-undang MKPN yang lain, tidak kepada keluarga saya mahupun kawan-kawan saya ( mujur tak punya peneman hidup lagi kalau tidak dengan dia sekali mungkin akan terkena tempias).

Tidaklah juga saya berniat untuk membalas kritikan-kritikan peribadi itu kerana menurut saya itu hanya mengeruhkan lagi keadaan dan biar sahaja Allah yang mengetahui keaiban dan kekurangan hamba-hambaNya.

Sejak hari pertama lagi, telah kami simpulkan bahawa cadangan RUUHN ini tidak lebih dari sekadar cadangan yang akan melalui proses-proses penggubalan seterusnya; cuma apa yang kami usahakan ini adalah menukar pendekatan bagaimana undang-undang tersebut harus digubal. Justeru jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar MKPN yang dipengerusikan oleh Dr. Mujahid Yusof Rawa bersetuju untuk mengambil pendekatan konsultasi terbuka bersama rakyat atau apa yang dinamakan ‘bottom-top approach’.
Maka terdapatlah ketakutan bahawa cadangan RUUHN ini tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972. Telah pun saya selidiki bahawa cadangan RUUHN itu tidaklah termasuk dalam dokumen-dokumen yang layak diklasifikasikan sebagai Sulit, terhad dan tidak boleh dibincangkan kepada umum. Terdapat dua alasan mengapa ia tidak dikawal oleh akta tersebut:

Pertama: ia sekadar cadangan sebuah undang-undang yang perlu diambilkira oleh kerajaan dalam memansuhkan Akta Hasutan 1948

Kedua: Sifat semulajadi undang-undang itu sendiri bilamana ia diluluskan di Parlimen kelak, akan diwartakan dan disiarkan di laman web Parlimen/ Pejabat Peguam Negara dan dicetak serta dijual di kedai-kedai buku. Justeru, tidaklah masuk akal jika undang-undang itu tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Nah sekarang, mengapa saya katakan ianya satu kemenangan untuk rakyat?

Pertama, buat pertama kalinya satu cadangan undang-undang yang melalui proses konsultasi dan perbincangan terbuka dijalankan di negara ini. Pendekatan ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia telah dicadangkan oleh PEMANDU dan telah diamalkan di negara-negara seperti Denmark dan sebagainya.Cumanya tidak diamalkan lagi di sini. Justeru, cadangan RUUHN telah menjadi perintis kepada proses konsultasi terbuka melibatkan rakyat secara umum.

Telah menjadi satu kebiasaan di Malaysia apabila undang-undang digubal lantas didebatkan terus ke Parlimen tanpa diberi peluang kepada rakyat untuk mengetahui isi kandungan undang-undang sedangkan rakyat itu kesemuanya tertakluk kepada undang-undang yang digubal. Akhirnya, rakyat hanya mengetahui satu undang-undang telah diluluskan dan sering terjadi isi kandungan undang-undang itu tidaklah mendukung kehendak rakyat lantas membebani rakyat dengan kekecewaan yang menyebabkan mereka renggang dengan undang-undang . Apabila ini berlaku, rakyat tidak memahami undang-undang dan akhirnya tidak lagi peduli dengan kewujudan undang-undang itu sendiri.

Kedua, apabila ia melalui proses konsultasi bersama rakyat, maka dapatlah dirasakan pemilikan (sense of ownership) ke atas undang-undang tersebut dan rakyat pastinya rasa dihargai kerana idea dan persoalan-persoalan mereka dapat dilontarkan tanpa rasa takut, gentar atau ‘disunting’ oleh pihak-pihak tertentu.
Seringkali apabila bertembung dengan kritikan-kritikan terhadap cadangan RUUHN itu, saya mendapati isinya sekadar atas permukaan dan bersifat selektif. Hal ini adalah sesuatu yang merugikan kerana undang-undang yang dicadangkan itu perlulah dibaca dengan teliti, difahami dengan komprehensif sebelum kritikan-kritikan dilontarkan. Sayang sekali, tidak banyak masa yang dihabiskan untuk melakukan hal-hal sedemikian maka jadilah ia sesuatu yang dinamakan misconception yang mengelirukan rakyat.

Secara keseluruhannya, terdapat 13 bentuk kritikan baik berkenaan proses dan substantif cadangan RUUHN dan kesemuanya telah dijawab oleh Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar MKPN dalam kenyataan media mahupun artikel-artikel dan rencana yang disiarkan di media perdana mahupun online media. Nah apabila jawapan-jawapan tersebut telah dinyatakan, tidak ada ‘serangan balas’ yang diberikan ke atas jawapan-jawapan tersebut; sebaliknya mereka yang melontarkan kritikan itu mengulang kritikan yang sama dan mulailah diselitkan dengan kritikan provokatif berbaur peribadi.

Ketiga, cadangan RUUHN ini datangnya daripada satu sumber: rakyat. Maka tidaklah keterlaluan saya katakan cadangan ini adalah ‘cadangan rakyat’ kerana ia tidak dilakukan secara semborono atau syok sendiri oleh MKPN. Cadangan dan penambahbaikan yang diberikan oleh rakyat diterima malah dijadikan panduan dalam memperbaiki cadangan RUUHN tersebut sebelum diserahkan kepada kerajaan kelak.
Sama ada ia baik atau tidak, saya serahkan kepada rakyat untuk menilai.  Rakyat bukannya buta dan tuli; mereka tahu dan mampu untuk membuat penilaian sendiri. Setidaknya apabila tiba masa deraf RUUHN dibentangkan di Parlimen, rakyat boleh menilai versi RUUHN tersebut dengan versi yang dicadangkan oleh rakyat dan MKPN khususnya.

Apa yang pasti, telah kami dukung niat yang satu yakni menjadikan cadangan RUUHN ini merefleksikan prinsip ‘’of the people, by the people and for the people’’.




     *Mesyuarat Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar MKPN pada 22 Julai 2014. Dijalankan sehari sebelum mesyuarat penuh MKPN. Inilah pasukan yang sama-sama berjuang untuk kemenangan rakyat.

Wednesday, July 16, 2014

KONSULTASI TERBUKA BUKAN PERKARA BARU


Saya mengalu-alukan kenyataan Ketua Unit Perundangan Pemuda MCA, Encik Eric Choo Wei Sern semalam berkenaan proses konsultasi terbuka yang dijalankan oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dalam proses penggubalan Rang Undang-Undang Harmoni Nasional (RUUHN). Sebagai ahli jawatankuasa Undang-Undang dan Polisi MKPN, saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa konsultasi tersebut akan memberi impak yang lebih positif dan meningkatkan ketelusan dalam proses penggubalan undang-undang di negara ini.

Keputusan jawatankuasa Undang-Undang dan Polisi MKPN untuk mengadakan konsultasi terbuka adalah berdasarkan dua perkara: Pertama, konsep konsultasi terbuka ini telah lama diamalkan oleh negara-negara lain dalam proses penggubalan undang-undang. Sebagai contoh, negara Denmark yang menduduki tempat pertama dalam Transparency Index 2013 mempunyai The Ministry of Justice on Quality of Regulation 2005 yang memperuntukkan agar deraf undang-undang itu dibawa melalui proses konsultasi terbuka yang melibatkan pemegang-pemegang taruh (public stakeholders).

Kedua, jawatankuasa Undang-Undang dan Polisi MKPN turut merujuk kepada Guidelines for Standardization of public consultation process yang dirangka oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU)  dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di mana ia juga mencadangkan proses konsultasi terbuka yang melibatkan konsultasi secara online.

Di samping itu, saya juga berpendapat bahawa kandungan RUUHN tidak perlu dibincangkan secara tertutup kerana ianya akan disiarkan di laman web Parlimen dan dicetak selepas melalui proses perundangan di Parlimen, perkenan daripada Yang DiPertuan Agong seterusnya pewartaan sebagaimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Justeru tidak ada sebab mengapa ianya perlu dirahsiakan dan dibincangkan menerusi ‘back door’ sekarang sekiranya isi kandungan tersebut akan disiarkan juga kelak.


Jawatankuasa Undang-Undang dan Polisi MKPN percaya bahawa konsultasi terbuka akan memberi impak yang positif dalam penggubalan undang-undang berikutan cadangan-cadangan konstruktif dan positif yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat akan membantu dalam melahirkan undang-undang yang lebih efektif dan memenuhi aspirasi rakyat Malaysia.

Sunday, July 13, 2014

Kebebasan Berintelektual Dan Tangan-Tangan Ghaib

To say the things he truly feels
And not the words of one who kneels
The record shows I took the blows
And did it my way

Semua ada di depan mata. Jaminan masa depan, pendapatan tetap, tawaran pengajian dalam bidang yang diminati sejak semester pertama dan tawaran pengajian ke luar negara serta diberi kerja tetap selepas habis belajar.

Apa lagi yang tak cukup, Zharif? Semua sudah ada di depan mata.

Dalam hidup ini, tak semua benda boleh dijual beli atau ditukar ganti. Kalau ada menyangka semuanya punya harga bererti dia tidak pernah berdiri untuk dirinya sendiri.

Bagi saya, prinsip hidup adalah satu benda yang tak boleh dijual beli dengan apapun dan itu termasuklah semua hal-hal yang saya nyatakan di perenggan awal tadi.

Izinkan saya menjelaskan lebih lanjut di sini.

Sejak cadangan bahawa Rang Undang-Undang Akta Harmoni Nasional perlu melalui proses konsultasi yang terbuka dan melibatkan semua pihak, telah timbul niat untuk melibatkan generasi muda kerana saya percaya mereka adalah pemegang taruh (stakeholder) yang penting di negara ini. Bayangkan sebuah undang-undang yang akan memberi kesan dalam kehidupan mereka kelak tetapi golongan ini tidak didengari pandangan dan fikiran mereka. Setidak-tidaknya mereka diberi ruang untuk bersuara dan menyampaikan fikiran dengan cara yang penuh hikmah dan intelektual.

Maka bercadanglah saya untuk memberi penghormatan kepada alma mater saya untuk menjadi tuan rumah dalam mengadakan konsultasi bersama belia khususnya mahasiswa mahasiswi universiti.

Terdapat perubahan dari segi masa dan tarikh sebelum kembali ke tarikh asal. Beza tarikh asal dan tarikh yang bertukar itu cuma dua hari.

Dan perubahan itu membawa kepada berita bahawa konsultasi tersebut dibatalkan.

Apabila saya bercadang untuk buat semula ke tarikh asal dengan harapan ia dapat dijalankan semula, ia tidak dapat juga dilaksanakan.

Jadi, tarikh bukan menjadi masalah.

Walaupun bukanlah rasmi, tetapi menerusi satu panggilan, saya diberitahu konsultasi tersebut boleh dijalankan tetapi dengan dua syarat: Tukar tajuk dan tukar salah seorang panelis ( panelisnya adalah saya dan Dato Saifuddin Abdullah). Menurut panggilan itu juga, hal ini melebihi jangkauan pihak fakulti. Bererti ianya datang daripada ‘orang-orang yang lebih tinggi daripada itu’.

Kalau kedua-duanya ditukar, maka apa lagi erti konsultasi tersebut?

Satu konsultasi terbuka dalam proses menggubal undang-undang tidak dapat dilakukan di sebuah universiti hanya kerana kedua-dua alasan tersebut adalah sesuatu yang bukanlah di luar jangkaan saya tetapi cukup menimbulkan kekecewaan dalam diri saya.

Akhirnya konsultasi tersebut dijalankan di pejabat kerja kami tanpa sebarang kekacauan bahkan aroma intelektualiti itu memuaskan hati semua yang hadir. Tidak kurang juga yang kagum dan seakan tidak percaya bahawa penggubalan undang-undang di Malaysia sudah memasuki fasa baru yakni melibatkan semua pihak termasuklah generasi muda.

Justeru apa kaitannya cerita ini dengan prinsip saya?

Saya percaya pada kebebasan berfikir dan menyampaikan pendapat dalam cara yang penuh hikmah dan berintelektual tanpa rasa takut dan memihak kepada sesiapa (without fear and favour). Saya percaya setiap orang berhak menyampaikan ideanya walaupun bertentangan dengan pendapat kita sendiri.

Prinsip itu, adalah satu-satunya yang tidak boleh ditukar ganti dengan apa pun. Tidak walaupun saya ditawarkan dengan sesuatu yang lebih daripada apa yang sedang ditawarkan ketika ini.

Apa lagi yang saya ada jika prinsip itu tidak ada?

Dan apa lagi yang menakutkan jika prinsip tersebut tidak dapat saya dirikan dalam kehidupan saya kelak di tempat yang menjadi suapan ilmu saya sebelum ini?

Dah kalau diskusi ilmiah dan intelektual pun bersyarat yang bukan-bukan, apa lagi yang tinggal untuk sesebuah institusi pengajian tinggi itu.

Mungkin ada ayng sinis, mungkin juga ada yang kata saya naif dalam membuat keputusan; menolak jaminan masa depan yang selesa, selamat.

Tak mengapalah yang itu. Setidak-tidaknya saya tahu saya tidak hilang prinsip saya. Apabila saya tidak hilang prinsip, saya tidak hilang diri saya. Apa gunanya jaminan itu ini, selesa, selamat tetapi jiwa saya memberontak, senantiasa menyalahkan diri sendiri kerana membuat keputusan tanpa menghiraukan prinsip?
Atas sebab itu, saya menolak tawaran tersebut dan akan meneruskan kerjaya saya sekarang ini. 

Setidak-tidaknya saya boleh berdiri di atas prinsip saya dalam kerjaya sekarang ini dan sudahlah saya tetapkan hati bahawa rezeki saya itu ada dalam genggaman Tuhan Yang Maha Merancang. Apa yang perlu dirisaukan jika Tuhan adalah jaminan dalam hidup?

Walaupun kami ‘dilarang’ daripada mengadakan konsultasi tersebut, tidaklah kami berniat untuk menolak jika sebarang bantuan diperlukan daripada universiti itu sendiri. Bahkan beberapa program yang akan datang melibatkan fakulti pengajian saya telah pun kami tolong tanpa mengharap ‘dibenarkan masuk semula’ ke tempat tersebut.

Bukan niat saya untuk memburukkan tempat saya mengemis dan mencari ilmu sebelum ini tetapi saya yakin bahawa sesuatu kebenaran tidak boleh ditimbus begitu sahaja. Apa yang benar untuk saya mungkin tidak untuk orang lain. Tetapi saya tetap percaya dengan apa yang saya tulis di sini dan tidaklah saya berubah pendirian untuk menambah kurang atau membuangnya daripada blog ini.

Saya mendoakan agar satu hari nanti kebebebasan berintelektual akan diterima dan menjadi budaya dalam institusi pengajian negara tanpa perlu dibantutkan dengan syarat-syarat ghaib berasal daripada peraturan-peraturan ghaib yang dibuat oleh tangan-tangan yang ghaib.

Dan Tuhan lebih Mengetahui.



Tuesday, July 8, 2014

AKTA HARMONI NASIONAL: MENJAWAB LAPAN UNSUR PEGUAM MUSLIM UPRo


Sebagai salah seorang ahli jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar NUCC yang terlibat dalam menderaf RUU Harmoni Nasional, saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian saudara Azril dalam menyampaikan pendapat dan komentar beliau tentang perkara-perkara substantif berkenaan RUU Harmoni Nasional. Maka di sini saya menyampaikan penjelasan terhadap lapan unsur yang dikemukakan oleh saudara Azril Mohd Amin dalam artikelnya di siniPenjelasan saya di sini harus dibaca bersama dengan artikel beliau untuk memahami lebih lanjut jawapan-jawapan yang saya sediakan di sini.

UNSUR PERTAMA: RUU TIDAK DIBINCANGKAN DENGAN TELITI

Proses penggubalan RUU Harmoni Nasional masih di peringkat konsultasi dan tidak muktamad. Ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa hasil proses konsultasi yang sedang dijalankan bersama semua pihak. Di samping itu, NUCC sentiasa terbuka menerima cadangan dan jemputan untuk memberi penjelasan berkenaan RUU ini dan bersedia untuk memperbaiki deraf tersebut sebelum ia diserahkan kepada Peguam Negara, Kabinet dan seterusnya Parlimen.

UNSUR KEDUA: PERKARA 3(1) DIKETEPIKAN

          RUU Harmoni Nasional tidak mengenepikan kedudukan Islam menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan kerana tujuan utama RUU dicadangkan ialah untuk menjadikan kebencian berasaskan kaum dan agama sebagai jenayah dan menghapuskan diskriminasi yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.Justeru saya berpendapat tidak timbul isu mengetepikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

UNSUR KETIGA: SEKSYEN 7 DAN PERKARA 153

Seksyen 7 RUU Harmoni dan Rekonsiliasi Nasional perlu dibaca bersama seksyen 9. Seksyen 9 menggariskan beberapa faktor yang perlu diambil kira dalam menentukan sama ada diskriminasi tersebut mengikut lunas undang-undang dan faktor-faktor tersebut meliputi konteks, munasabah dan justifikasi, objektif, mempunyai tujuan yang sah (legitimate purpose) dan lain-lain. Di samping itu, ia tidak menyentuh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang telah dijelaskan dalam seksyen 2(2) RUU Harmoni dan Rekonsiliasi.

Seksyen 7 juga tidak bercanggah dengan Perkara 153 kerana Perkara 153 tidak menjulang agenda ‘’racial superiority’’ atau ‘’racial exclusivity’’. Perkara 153 hanya bertujuan memberi kedudukan istimewa kepada kaum bumiputera dalam beberapa bidang sahaja sahaja seperti yang dijelaskan dalam Perkara 153(2). Peruntukan Perkara 153 hanya bertujuan membantu golongan bumiputera yang kurang berkemampuan dalam bidang-bidang tertentu, jauh sekali mempromosikan idea ketuanan dan eksklusif berkenaan sesebuah kaum. Bahkan, perkara 153 diletakkan di bawah tanggungjawab Yang Dipertuan Agong. Justeru, adalah tidak logik untuk mengaitkan tanggungjawab YDPA ini dengan ideologi racial superiority atau exclusivity. Maka, tidak timbul isu untuk mengubah sebarang dasar tentang tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153 dan isu Perkara 38(5) juga tidak timbul.

UNSUR KEEMPAT: MAJLIS PEGUAM DAN PENGGUBALAN RUU

Adalah tidak benar proses penggubalan RUU ini hanya melibatkan Majlis Peguam sahaja kerana ia adalah inisiatif Jawatankuasa Undang-Undang dan Polisi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) atau juga dikenali sebagai NUCC yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri sendiri. Bahkan ia adalah satu usaha kolektif yang melibatkan rakyat Malaysia secara keseluruhan apabila RUU tersebut dimuatnaik di laman web NUCC (www.nucc.my) untuk dinilai dan mendapat maklumbalas daripada pelbagai pihak. Seperti yang telah dinyatakan, RUU ini belum muktamad dan akan dinilai serta digubal semula dengan membuat sebarang pindaan dan penambahbaikan yang sewajarnya.

UNSUR KELIMA: NIAT MENJULANG PERKARA 8

Sebenarnya, bukan ketiga-tiga RUU yang tertumpu kepada Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan seperti yang dinyatakan oleh saudara Azril. Hanya satu sahaja yang berkaitan dengan peruntukan tersebut iaitu RUU Harmoni dan Rekonsiliasi Nasional.

Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca secara holistik dan menyeluruh sepertimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia [2010] 2 MLJ 333. Jika niat menjulang hak kesamarataan menurut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan itu bertentangan dengan fasal-fasal utama lain dalam Perlembagaan Persekutuan maka Perkara 8 itu sendiri perlu diisyitiharkan tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada pendapat saya, tidak ada salahnya niat menjulang Perkara 8 kerana ia sendiri tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan lain di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia memperuntukkan kesamarataan di sisi undang-undang dan kesamarataan tersebut tertakluk kepada peruntukan-peruntukan lain yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan dan hal ini dijelaskan secara nyata dalam Perkara 8(1) dan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

UNSUR KEENAM: RUU DAN ATEIS

Tafsiran kepercayaan dan agama Seksyen 4 RUU Jenayah Pembencian berasaskan Kaum dan Agama perlu dirujuk dengan Seksyen 5 dan 6. Ini kerana Seksyen 5 dan 6 memperuntukkan kesalahan bagi individu atau kumpulan yang mencetuskan kebencian berasaskan agama dan kepercayaan atau melakukan kecederaan fizikal berasaskan agama dan kepercayaan. Justeru, dalam menjadikan kebencian berasaskan agama sebagai satu jenayah, ia harus meliputi semua aspek agama dan kepercayaan; tidak ada seorang pun yang harus terkecuali.

Sebagai contoh, jika A mencederakan B kerana B adalah seorang ateis, maka A harus dikenakan hukuman sepertimana yang diperuntukkan dalam undang-undang tersebut. Ia juga digunapakai ke atas B(seorang ateis) yang menyerang A hanya kerana A menganut agama Islam.

Tafsiran yang terkandung dalam seksyen tersebut tidak lain hanyalah untuk membantu hakim membuat keputusan sekiranya terdapat kes yang melibatkan RUU ini. Ia bukan bertujuan untuk menggalakkan kebebasan meninggalkan agama mahupun bercanggah dengan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan. RUU ini digubal berdasarkan realiti bahawa wujudnya pelbagai kepercayaan dan agama di negara in maka kita tidak boleh menafikan kewujudan pelbagai agama dan kepercayaan di negara ini.

Bahkan peruntukan RUU ini selaras dengan prinsip yang terkandung dalam Al-Quran iaitu ‘’ dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Berlakulah adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa’’ (surah al-Maaidah 5:8).

UNSUR KETUJUH: TRIBUNAL DAN INSTITUSI KEHAKIMAN

Tribunal adalah quasi-judicial dan tidak bertujuan untuk mengambil alih peranan institusi kehakiman. Matlamat utamanya ialah untuk menyelesaikan kes dalam masa yang singkat dan menjimatkan kos. Tribunal yang dicadangkan dalam RUU ini hanya mengendalikan kes-kes berkaitan diskriminasi sahaja dan menjadi forum untuk menyelesaikan kes-kes berkaitan diskriminasi.

Sebagai contoh, sekiranya seorang Muslimah berhijab tidak dibenarkan bekerja hanya kerana beliau berhijab, maka beliau boleh mengemukakan laporan dan membawa kes ini ke Tribunal tersebut untuk menyelesaikan kes tersebut dalam masa yang lebih singkat dan kos yang sedikit.

Di samping itu, Seksyen 28 RUU Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi memperuntukkan setiap keputusan Tribunal adalah tertakluk kepada semakan kehakiman (judicial review). Justeru, tidak timbul isu pertindihan kuasa mahupun mengambil alih kuasa institusi kehakiman.

UNSUR KELAPAN: TRIBUNAL DAN KUASA MEMANGGIL

Hanya kerana Tribunal boleh memanggil mana-mana pihak dalam prosiding tidak bererti meletakkan hal ehwal Islam di bawah entiti Tribunal tersebut.

Sebagai contoh, jika ada inidividu berautoriti agama Islam menjadi saksi atau responden dalam sesebuah kes berkaitan diskriminasi, apakah individu tersebut tidak boleh dipanggil oleh Tribunal dalam prosiding? Jika tidak boleh maka akan berlaku ketidakadilan dan menyukarkan Tribunal untuk membuat keputusan menyelesaikan kes tersebut.

Bahkan peruntukan Seksyen 23 RUU Suruhanjaya tersebut adalah sama seperti Seksyen 14 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 yang telahpun menjadi undang-undang yang sah sejak 15 tahun yang lepas.

Justeru tidak timbul isu memberi kuasa yang luas kerana peruntukan tersebut bersifat administratif, teknikal dan berkaitan dengan prosiding berkaitan kes diskriminasi semata-mata, jauh sekali untuk meletakkan hal ehwal Islam di bawah Tribunal tersebut.

KESIMPULAN

Saya ingin meminjam petikan penghakiman Tun Suffian dalam kes Ah Thian 1976 2 MLJ 112, ‘’ The doctrine of the supremacy of Parliament does not apply in Malaysia. The power of Parliament and of State Legislatures in Malaysia is limited by the Constitution  and they cannot make any law they please.’’


Dalam proses menderaf dan menggubal RUU ini, tidak dapat dinafikan bahawa RUU ini juga tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan justeru ia sedaya-upaya digubal dan dideraf agar tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Maklumbalas dan penambahbaikan daripada semua pihak amatlah diperlukan kerana zaman ‘Kerajaan tahu segalanya’ sudah berakhir. RUU Harmoni Nasional akan menjadi undang-undang pertama di Malaysia yang melalui proses konsultasi secara terbuka dan tidak ada mana-mana pihak yang diketepikan. Cadangan dan penambahbaikan daripada semua pihak amatlah dialu-alukan oleh NUCC.

Friday, July 4, 2014

HOMELESS: MANUSIA, BUKAN SAMPAH


Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan tahniah ke atas pendirian Kolektif  Dapur Jalanan Kuala Lumpur melalui satu kenyataan media semalam bahawa mereka akan tetap meneruskan aktiviti berkongsi makanan dengan golongan miskin kota dan warga tak berumah di samping menjemput Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Ku Nan untuk melihat keadaan sebenar golongan miskin kota dan warga tak berumah. Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian Ku Nan untuk mendengar dan bersedia membuat sebarang pindaan melalui satu kenyataan di akaun Facebook hari ini.

Masalah kemiskinan dan warga tak berumah di ibu kota adalah refleksi ketidakupayaan masyarakat khususnya kerajaan dalam membasmi kemiskinan sedangkan pada masa yang sama sibuk mengejar kemajuan dan melaungkan slogan ‘rakyat diutamakan’. Bukan itu sahaja, kelemahan institusi zakat dalam urusan pengagihan harta zakat telah menyebabkan golongan sebegini terus menerus dihimpit kemiskinan dengan ketakutan tidak akan mendapat sesuap makanan di esok hari.

Justeru saya berpendapat inisiatif dan usaha murni anggota masyarakat khusunya yang melibatkan ramai orang muda melalui Kolektif Dapur Jalanan Kuala Lumpur perlu diberi sokongan, bukannya melarang mereka daripada melaksanankan niat murni ini. Cadangan untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas mereka yang membantu warga miskin dan tak berumah ini adalah satu cadangan yang regresif dan tidak masuk akal.

Kumpulan yang membantu ini tidak punya kekuatan media untuk memaparkan usaha-usaha yang mereka lakukan, jauh sekali berkebolehan untuk memiliki bajet yang besar untuk menganjurkan ‘majlis-majlis makan’ dalam membantu golongan miskin dan tak berumah ini. Bahkan mereka melaksanakan inisiatif ini sedikitpun tidak meminta bantuan kerajaan sebaliknya hasil solidariti masyarakat dan individu yang prihatin untuk membantu golongan ini.

Alasan bahawa golongan tak berumah ini malas dan akan terlalu selesa jika diberikan tempat perlindungan juga tidak relevan kerana kebajikan mereka sebagai rakyat Malaysia perlu diambilkira. Apa bezanya mereka dengan golongan-golongan yang memerlukan bantuan dan perlindungan seperti anak yatim dan warga emas?

Kita tidak boleh menyisihkan golongan ini atau mengenakan semacam ‘embargo’ ke atas mereka; pernahkah terfikir di mana mereka akan mendapat makanan jika tidak ada kumpulan atau individu seperti Kolektif Dapur Jalanan Kuala Lumpur? Apakah Kuala Lumpur akan menjadi lebih bersih dan cantik jika golongan ini dibiarkan mencari makanan di tong-tong sampah atau menahan kelaparan di tepi-tepi jalan?

 Usaha untuk membersihkan imej Kuala Lumpur dan persekitarannya tidak akan selesai dengan cara begini kerana ada banyak faktor-faktor lain seperti mentaliti segelintir rakyat Malaysia yang tidak menjaga kebersihan, kebanjiran warga asing dan sebagainya turut menyumbang kepada masalah kebersihan di Kuala Lumpur.

Jika mahu menyelesaikan isu warga miskin dan tak berumah ini, program-program konstruktif perlu dilaksanakan seperti menyediakan tempat perlindungan kepada mereka atau membantu Kolektif Dapur Jalanan untuk berkongsi makanan dan sumbangan secara sistematik, teratur dan lebih efisyen.


Warga miskin dan tak berumah juga adalah manusia, sama seperti mereka. Mereka bukan sampah yang boleh diselesaikan dengan cara menyisihkan; mereka bukan barah yang boleh dihapuskan dengan cara membuang mereka dari masyarakat. Mereka sama seperti kita yakni sebagai seorang manusia yang hidup di bumi Malaysia!