Mesyuarat Majlis Konsultasi Perpaduan Negara(MKPN) telah
berlangsung pada 23 Julai 2014 dan kenyataan media berkenaan mesyuarat tersebut
boleh dibaca di sini
Dalam mesyuarat tersebut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani
Patail turut hadir dalam diskusi berkenaan cadangan Rang Undang-Undang Harmoni Nasional
(RUUHN) yang dicadangkan oleh MKPN .Antara input yang diberikan dalam mesyuarat
tersebut ialah keterbukaan Peguam Negara menerima cadangan RUUHN daripada MKPN
dan mencadangkan agar RUUHN itu diserahkan kepada kabinet sebelum kabinet
memutuskan sama ada cadangan RUUHN perlu diperhalusi oleh Pejabat Peguam Negara
untuk dijadikan deraf undang-undang dan menurut Peguam Negara lagi, pihaknya
bersedia untuk bekerjasama dengan MKPN
selepas penyediaan deraf RUUHN daripada Pejabat Peguam Negara.
Selaku ahli Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar MKPN, saya
ingin mengucapkan terima kasih di atas kepedulian rakyat Malaysia akan
kewujudan RUUHN. Kepedulian itu, meski diselangi dengan pujian yang menepuk dan
tudingan kritik yang keras, tetaplah saya terima dengan hati yang terbuka
kerana sudah menjadi lumrah manusia bahawa tidak mungkin semua orang akan
melihat sebuah gelas itu isinya setengah penuh.
Penghargaan tidak terhingga saya berikan kepada mereka yang memberi
cadangan dan penambahbaikan ke atas cadangan RUUHN tersebut dan
kritikan-kritikan substantif yang diterima, telah dijawab dengan semampu yang
mungkin. Mudah-mudahan jawapan yang diberikan dapat memberi pencerahan yang
dipinta.
Bagi kritikan-kritikan yang bersifat peribadi, saya juga
ingin mengucapkan terima kasih kerana dari situ fahamlah saya bahawa diri ini
masih banyak kekurangan dan khilaf; setidak-tidaknya ia ditujukan kepada saya
seorang atau ahli jawatankuasa undang-undang MKPN yang lain, tidak kepada
keluarga saya mahupun kawan-kawan saya ( mujur tak punya peneman hidup lagi
kalau tidak dengan dia sekali mungkin akan terkena tempias).
Tidaklah juga saya berniat untuk membalas kritikan-kritikan
peribadi itu kerana menurut saya itu hanya mengeruhkan lagi keadaan dan biar
sahaja Allah yang mengetahui keaiban dan kekurangan hamba-hambaNya.
Sejak hari pertama lagi, telah kami simpulkan bahawa
cadangan RUUHN ini tidak lebih dari sekadar cadangan yang akan melalui
proses-proses penggubalan seterusnya; cuma apa yang kami usahakan ini adalah
menukar pendekatan bagaimana undang-undang tersebut harus digubal. Justeru
jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar MKPN yang dipengerusikan oleh Dr. Mujahid
Yusof Rawa bersetuju untuk mengambil pendekatan konsultasi terbuka bersama
rakyat atau apa yang dinamakan ‘bottom-top approach’.
Maka terdapatlah ketakutan bahawa cadangan RUUHN ini
tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972. Telah pun saya selidiki bahawa
cadangan RUUHN itu tidaklah termasuk dalam dokumen-dokumen yang layak
diklasifikasikan sebagai Sulit, terhad dan tidak boleh dibincangkan kepada
umum. Terdapat dua alasan mengapa ia tidak dikawal oleh akta tersebut:
Pertama: ia sekadar cadangan sebuah undang-undang yang perlu
diambilkira oleh kerajaan dalam memansuhkan Akta Hasutan 1948
Kedua: Sifat semulajadi undang-undang itu sendiri bilamana
ia diluluskan di Parlimen kelak, akan diwartakan dan disiarkan di laman web
Parlimen/ Pejabat Peguam Negara dan dicetak serta dijual di kedai-kedai buku.
Justeru, tidaklah masuk akal jika undang-undang itu tertakluk di bawah Akta Rahsia
Rasmi 1972.
Nah sekarang, mengapa saya katakan ianya satu kemenangan
untuk rakyat?
Pertama, buat pertama kalinya satu cadangan undang-undang
yang melalui proses konsultasi dan perbincangan terbuka dijalankan di negara
ini. Pendekatan ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia telah dicadangkan oleh
PEMANDU dan telah diamalkan di negara-negara seperti Denmark dan sebagainya.Cumanya
tidak diamalkan lagi di sini. Justeru, cadangan RUUHN telah menjadi perintis
kepada proses konsultasi terbuka melibatkan rakyat secara umum.
Telah menjadi satu kebiasaan di Malaysia apabila
undang-undang digubal lantas didebatkan terus ke Parlimen tanpa diberi peluang
kepada rakyat untuk mengetahui isi kandungan undang-undang sedangkan rakyat itu
kesemuanya tertakluk kepada undang-undang yang digubal. Akhirnya, rakyat hanya
mengetahui satu undang-undang telah diluluskan dan sering terjadi isi kandungan
undang-undang itu tidaklah mendukung kehendak rakyat lantas membebani rakyat
dengan kekecewaan yang menyebabkan mereka renggang dengan undang-undang .
Apabila ini berlaku, rakyat tidak memahami undang-undang dan akhirnya tidak
lagi peduli dengan kewujudan undang-undang itu sendiri.
Kedua, apabila ia melalui proses konsultasi bersama rakyat,
maka dapatlah dirasakan pemilikan (sense of ownership) ke atas undang-undang
tersebut dan rakyat pastinya rasa dihargai kerana idea dan persoalan-persoalan
mereka dapat dilontarkan tanpa rasa takut, gentar atau ‘disunting’ oleh
pihak-pihak tertentu.
Seringkali apabila bertembung dengan kritikan-kritikan
terhadap cadangan RUUHN itu, saya mendapati isinya sekadar atas permukaan dan
bersifat selektif. Hal ini adalah sesuatu yang merugikan kerana undang-undang
yang dicadangkan itu perlulah dibaca dengan teliti, difahami dengan
komprehensif sebelum kritikan-kritikan dilontarkan. Sayang sekali, tidak banyak
masa yang dihabiskan untuk melakukan hal-hal sedemikian maka jadilah ia sesuatu
yang dinamakan misconception yang
mengelirukan rakyat.
Secara keseluruhannya, terdapat 13 bentuk kritikan baik
berkenaan proses dan substantif cadangan RUUHN dan kesemuanya telah dijawab
oleh Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar MKPN dalam kenyataan media mahupun
artikel-artikel dan rencana yang disiarkan di media perdana mahupun online
media. Nah apabila jawapan-jawapan tersebut telah dinyatakan, tidak ada
‘serangan balas’ yang diberikan ke atas jawapan-jawapan tersebut; sebaliknya
mereka yang melontarkan kritikan itu mengulang kritikan yang sama dan mulailah
diselitkan dengan kritikan provokatif berbaur peribadi.
Ketiga, cadangan RUUHN ini datangnya daripada satu sumber:
rakyat. Maka tidaklah keterlaluan saya katakan cadangan ini adalah ‘cadangan
rakyat’ kerana ia tidak dilakukan secara semborono atau syok sendiri oleh MKPN.
Cadangan dan penambahbaikan yang diberikan oleh rakyat diterima malah dijadikan
panduan dalam memperbaiki cadangan RUUHN tersebut sebelum diserahkan kepada
kerajaan kelak.
Sama ada ia baik atau tidak, saya serahkan kepada rakyat
untuk menilai. Rakyat bukannya buta dan
tuli; mereka tahu dan mampu untuk membuat penilaian sendiri. Setidaknya apabila
tiba masa deraf RUUHN dibentangkan di Parlimen, rakyat boleh menilai versi
RUUHN tersebut dengan versi yang dicadangkan oleh rakyat dan MKPN khususnya.
Apa yang pasti, telah kami dukung niat yang satu yakni menjadikan
cadangan RUUHN ini merefleksikan prinsip ‘’of the people, by the people and for
the people’’.
*Mesyuarat Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar MKPN pada 22 Julai 2014. Dijalankan sehari sebelum mesyuarat penuh MKPN. Inilah pasukan yang sama-sama berjuang untuk kemenangan rakyat.
No comments:
Post a Comment
hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)