Wednesday, September 24, 2014

PROLOG




‘’Dik, jangan banyak mengenang masa lalu. Adik harus bangkit dalam perjuangan hidup. Toh, tu kan masa depannya adik bakal menjadi pemimpin.’’

Terus maju ke hadapan. Lupakan masa lalu. Atau lebih ringkas dipanggil move on atau get over. Interpretasinya berbeza mengikut penilaian dan pengalama diri masing-masing.

Kalau menurut aku, ia bukan terkongkong dalam perkiraan arimetik mudah ‘’cari orang lain’’. 

Menurut aku, itu bukan jalan penyelesaiannya kerana belum tentu orang lain itu mampu membahagiakan kita. Kadang orang yang baru itu sangat berisiko tinggi; cara pandangnya melihat dunia sangat jengkel dan negatif; dunia ini seakan-akan dilukis dengan warna hitam yang malap, lesu dan melelahkan diri kita sendiri akibat tenaga radiasi positif kita disedut oleh orang sebegini.

Jadi perkataan move on/get over itu apa maksudnya?

Ia tentang mengubah diri sendiri. Atau erti kata lain, move on/get over dari diri sendiri di masa lalu.

Apabila kita berubah maka sudut pandang kita juga ikut berubah. Kalau kita berubah menjadi lebih tenang, santai dan berfikiran positif, maka cara pandang kita juga akan menjadi sedemikian. Situasi itu ditaksir menurut pertimbangan fikiran kita sendiri. Sama ada dunia ini dilukis oleh Tuhan dengan warna putih, hitam atau beraneka ragam warnanya, itu terletak pada hati yang melihat.

Jika ada jodoh, aku mungkin akan menghabiskan kisah hidupku dengan orang yang sama; orang yang telah membangunkan satu sisi hidupku yang tidak kuketahui sebelum ini, seseorang yang telah menjadikan aku tegak pendiriannya dengan keberanian yang ditiup tanpa henti. Dialah yang membangunkan dan dialah juga yang menghancurkan impian dan pengharapanku. Orang yang memberikanku kebahagiaan juga adalah orang yang memberikan aku kesengsaraan kerana cinta. (akan kucerita sebentar lagi hal ini)

Nama dan rupa fizikalnya akan kekal. Tetapi tidak fikiran dan emosinya kerana aku yakin, kalau kita sendiri yang berubah maka bagaimana kita melihat sesuatu itu juga berubah dan orang yang kita lihat itu juga pasti akan berubah.
Berubah tanpa perlu paksaan dan harapan. Itulah mengubah dunia dengan mengubah diri sendiri.

Atas kesedaran itulah, aku nekad mencari jalan untuk mengubah hitungan nasibku dan menyelusuri nikmat perjalanan spiritual yang maha luar biasa. Perjalanan yang telah melahirkan untukku definisi move on/get over itu sendiri. Perjalanan yang juga membawa aku untuk bertemu seorang lelaki di pertengahan usia, berambut gondrong, duduk di tepi jalan di atas sebuah tikar sambil mengeluarkan kata-kata yang kalian baca di awal penulisan ini.


Beginilah perjalanan hidupku.

Tuesday, September 2, 2014

#MansuhAktaHasutan: KEBEBASAN BERINTELEKTUAL SUDAH BERAKHIR!



‘’When the justification no longer exists for banning fair comment on matters of public interest, the Sedition Act will be removed’’  Justice Ong in the case of Melan Abdullah.

Hari ini, kebebasan berintelektual dicabar sekali lagi dengan kebobrokan Akta Hasutan 1948 yang sudah melampaui batas norma-norma sebuah negara yang demokratik. Seorang profesor, ahli akademik, telah didakwa kerana mengeluarkan kenyataan berunsurkan hasutan. Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof.Azmi Sharom yang telah menyebabkan beliau didakwa di bawah Akta Hasutan:

“You don’t want a repeat of that, where a secret meeting took place,” the University of Malaya lecturer said, referring to the Perak crisis.

“I think what happened in Perak was legally wrong. The best thing to do is do it as legally and transparently as possible.”

Kenyataan Prof.Azmi ini merujuk kepada fakta kes Dato Seri Ir Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin [2010] 2 MLJ 285 perenggan 18 hingga 20 iaitu:
‘’At about 10am on the same day, the then Deputy Prime Minister Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abd Razak, in his capacity as the chairman of the Perak BN, had an audience with His Royal Highness[HRH].
At this meeting, the Deputy Prime Minister presented HRH with a letter of support from the 28 members of the Legislative Assembly[LA] who are aligned to the BN and that of the Behrang and Changkat Jering assemblymen and Jelapang assemblywoman. The letter stated that the signatories will support whoever that will be named by YAB Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak as the candidate for the new MB.
On 5 February 2009 at about 11.15am, the then Deputy Prime Minister brought in all 31 members of the LA including Encik Jamaluddin bin Mohd Radzi, Encik Mohd Osman bin Mohd Jailu and Madam Hee Yit Foong to Istana Kinta to meet with HRH. All 31 members of the Perak LA pledged their support to the BN.’’

Secara keseluruhannya, Prof. Azmi tidak bersetuju bahawa fakta kes ini dijadikan sebagai justifikasi penghakiman bahawa undi tidak percaya boleh dibuktikan di luar sesi persidangan Dewan Undangan Negeri lebih-lebih lagi hanya 31 ahli DUN yang terlibat sedangkan jumlah ahli DUN Perak ketika itu ialah seramai 59 orang.

Prof.Azmi berpendapat, undi tidak percaya harus dilakukan dalam sidang DUN, bukannya dengan menggunakan cara lain (extraneous means).

Nah, adakah ini dikira sebagai menghasut atau mempunyai kecenderungan untuk menghasut? Adakah kritikan yang datang daripada seorang pensyarah undang-undang wajar dijadikan sebagai menghasut?

Kritikan sebegini adalah lazim dalam dunia perundangan bahkan ia menjadi salah satu bentuk soalan dalam peperiksaan. Apakah ia wajar dikira sebagai menghasut?

Apabila kebebasan akademik dan intelektual sudah mula dibayangi dengan Akta Hasutan, saya berpendapat sudah tiba masanya Akta Hasutan ini dimansuhkan atas tiga perkara:

Draconian- tertuduh tidak perlu ada niat dan perbuatannya tidak perlu dibuktikan bahawa ianya mendatangkan ancaman atau huru-hara.

Outdated- Ia diperkenalkan oleh British pada tahun 1948. Kita sudah merdeka selama 57 tahun tetapi masih menggunakan undang-undang kolonial ciptaan tuan penjajah selama 66 tahun. Anehnya, undang-undang ini disokong oleh mereka yang kononnya ‘nasionalis’ atau ‘membela bangsa dan agama’

Abusive- Apa sahaja perkataan boleh dikira sebagai ‘menghasut’ kerana perkataan tersebut tidak perlu dibuktikan mempunyai unsur-unsur menghasut. Malah, Pendakwa hanya perlu membuktikan perkataan itu disebut oleh tertuduh.

Pada masa yang sama, saya menggesa agar Cadangan Rang Undang-Undang Harmoni Nasional segera dibentangkan dan menggantikan Akta Hasutan ini kerana terdapat dua elemen penting dalam akta tersebut yang tidak dimiliki oleh Akta Hasutan.

Perlu niat- kesalahan menimbulkan kebencian atau contempt ke atas institusi raja-raja atau provokasi berasaskan kaum dan agama perlu dibuktikan bahawa tertuduh mempunyai niat untuk berbuat demikian.

Undang-Undang Rakyat: Input cadangan tersebut adalah hasil daripada perbincangan dan diskusi bersama masyarakat awam baik secara online mahupun diskusi meja bulat. Ia merangkumi pelbagai pihak dari segenap lapisan masyarakat.

Justeru, saya dengan ini menyokong kempen #MansuhAktaHasutan yang sudah mula digerakkan oleh Bar Council’s National Young Lawyers Committee atas kesedaran bahawa kebebasan akademik dan intelektual tidak perlu dirantai dan disekat dengan akta Hasutan yang hanya membantutkan percambahan intelektualiti dan golongan akademik di negara ini!