Friday, December 30, 2011

Mahkamah bayar saya



    Maka pada hari ini telah berlangsunglah satu diskusi yang sangat menarik yang sedikit sebanyak menggoncangkan pendirian saya dalam entri yang saya tulis melalui loyarburok.Memandangkan ia  berlangsung agak lama justeru eloklah saya beri explain dengan cara yang lebih mudah.

Isu? Apa lagi kalau bukan AUKU :)

Mulanya saudara ini cakap student kena study. Tak perlu berpolitik
Saya jawab, saya setuju. Kalau begitu yang pro-aspirasi mahupun pro-mahasiswa tak perlu politik.
Mengapa suruh pro-M sahaja study tak payah berpolitik tetapi pro-aspirasi kita benarkan berpolitik?

Selepas itu mulalah ditanya saya ni kerajaan ke pembangkang
Saya jawab, saya akan undi BN jangan risau, cuma saya tak suka double standard. Kalau yang pro-a kita tak beri jadi yang pro-m pun janganlah kita beri juga. Baru adil.

Kemudian, keluarlah statement 'kalau u UMNO mesti u tak sokong siswa berpolitik'
Saya jawab, DS Najib yang beri siswa berpolitik.DS Najib PM Malaysia dan Presiden UMNO.
Saya ikut saranan DS Najib. Awak tak sokong siswa berpolitik ikut saranan siapa?

Bila dah macamtu dimintanya bukti PM beri statement macam tu. Saya pun kasilah sumber yang paling 'hebat'- utusan online

Bila dah kasi, saudara saya ni cakap ''PM Najib cakap kaji untuk pinda''
Saya jawab ''PM Najib tak cakap kaji. Dia terus-terang cakap pinda.''

Dah sampai tahap macam tu, mulalah keluar statement ni:
''Berapa Saifuddin bayar u jadi macai dia?''

Saya tergelak.

Bro, kenapa tanya Dato Saifuddin bayar saya ke tak? Kenapa tak cakap ''Berapa Najib bayar u jadi macai dia?''

ataupun

''Berapa Mahkamah Rayuan bayar u jadi macai dia?''

  Hujah saya berteraskan keputusan mahkamah undang-undang. Saudara saya ni rely on seksyen 15 AUKU dan cakap itu fakta. Saya jawab: seksyen 15 sudah diisyitharkan tidak sah. Itu fakta terkini.

Bila dah sampai tahap soalan ''berapa bayar'' saya anggap dia dah 'game over' lah sebab dah tak ada modal. Maaf cakap, tapi kalau nak rely on seksyen 15 saya bersimpati dengan saudara sebab seksyen tu dah kena declare unconstitutional.

  Saya menyokong keputusan mahkamah. Saya sudah baca penghakiman tersebut setebal 56 mukasurat.

Bila keputusan macamni kenapa tak nak terima?

Bila Mahkamah Persekutuan putuskan Dato Zambry dari BN sebagai MB yang sah, kita suruh rakyat terima.

Saya terima keputusan tersebut setelah membaca penghakiman tersebut setebal 42 mukasurat.

Saya juga sokong saranan DS Najib tentang pindaan AUKU. Saya ambil sumber ni daripada UMNO Online yang terang-terang DS Najib beritahu:


''Hasil peningkatan taraf sosioekonomi dan akses lebih meluas kepada pendidikan pasca menengah, telah mewujudkan generasi rakyat Malaysia baru lebih kritikal dan meningkat ekspektasinya terhadap kerajaan.
Generasi ini adalah anak-anak kepada generasi pertama DEB. Mereka dilahirkan bermula tahun 70an. Generasi ini, tidak suka dibentak-bentak, tidak suka diarah-arah apa yang perlu dilakukan, tidak gemar diberitahu apa yang benar dan salah, serta paling tidak disenangi mereka apabila kita mengungkit-ungkit jasa-jasa kita yang lalu.
Kita dapati bahawa, mereka ini mahu terus dirundingi, mahu kebebasan untuk menilai, berhujah dan membuat keputusan berdasarkan kepada pasaran maklumat dan idea yang ada. Jadinya, untuk terus kekal, UMNO perlu berkomunikasi mengikut langgam dan laras bahasa anak-anak muda, supaya parti kita difahami.
Lalu, dalam persekitaran inilah kerajaan mengumumkan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU bagi membenarkan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam untuk menjadi ahli parti politik apabila mencapai umur baligh undang-undang atau 18 tahun.''
  Ini apa yang DS Najib cakap. Bukan Dato Saifuddin cakap.

Kalau begitu, kenapa tak tanya saya berapa banyak mahkamah rayuan bayar saya untuk beritahu Seksyen 15 adalah unconstitutional? 
Kalau begitu kenapa tak tanya saya berapa banyak DS Najib bayar saya untuk beritahu ucapan dasar beliau ini sewaktu PAU yang lepas.
Saya sokong AUKU dipinda untuk benarkan sesiapa yang berminat sertai politik. Saya sokong apa yang DS Najib sokong. 
Kalau DS Najib pun boleh terima keputusan mahkamah rayuan, mengapa kita tidak boleh?
Jadi salah ke saya sokong mahkamah rayuan dan DS Najib?
Yang tak sokong AUKU dipinda tu, sokong siapa?

Maka diskusi yang saya harapkan menjadi satu diskusi intelektual yang menggunakan hujah yang lebih intelek dan autoriti undang-undang hanya tinggal harapan. 
Tetapi saudara ini menyedarkan saya betapa pentingnya pengetahuan undang-undang.
Saya bersyukur kerajaan memilih pilihan keenam UPU saya tiga tahun lepas. Dan yang lebih penting saya bersyukur Tuhan menutup pintu 'doktor' dan membuka pintu 'undang-undang' untuk saya.
Barangkali saya juga akan berhujah seperti beliau jika saya tidak belajar undang-undang.
Cuma tak perlulah tuduh saya dibayar oleh siapa.Itu tuduhan yang berat. Prasangka buruk adalah dilarang dalam Quran.
Kalau saya dibayar untuk jadi macai Dato Saifuddin atau DS Najib atau Mahkamah Rayuan, tak perlulah saya bersusah payah nak hafal kes-kes land, criminal, trust dan healthcare sekarang ni.
Duduk rumah hadap laptop jadi macai. Duit masuk.Tapi saya tak minat jadi seperti itu :)
Dan tak perlu memberi cadangan kepada saya untuk jadi glamour dan jadi seperti Adam Adli untuk dapat glamour ekspress
Saya tak minat pun nak glamour2 baik eskpress ataupun yang tak ekspress.Itu bukan cara saya :)
Saya hanya menjalankan tugas saya sebagai pelajar undang-undang, memberi pencerahan dan penjelasan mengikut lunas undang-undang dan perlembagan persekutuan. Kalau saya tak jalankan tugas tu, lebih baik saya berhenti dan ambil course lain.
Saya ada cara saya sendiri. Cara yang lebih sopan dan beretika. Mungkin tidak matang tapi cara ini telah digunakan untuk memerdekan sebuah negara dari penjajahan kuasa besar.
''In a gentle way, you can shake the world''
p/s: Mahatma Gandhi tak bayar saya untuk ikut quote benda ni. Dia dah lama meninggal dunia. Sekadar fakta 
wallahua'lam.

Thursday, December 15, 2011

Menjawab Persoalan....




“A government afraid of its citizens is a Democracy. Citizens afraid of government is tyranny”   Thomas Jefferson



    Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara/saudari yang menggunakan nama pelajar hitam putih di dalam laman sosial facebook kerana ingin berkongsi pandangan dengan saya. 

   Setelah meneliti penulisan beliau, saya akan memecahkannya kepada empat bahagian. Bahagian tersebut akan berdasarkan penulisan beliau( penulisan ini saya ambil secara verbatim dan kalian boleh melihat kebenarannya dalam blog tersebut) yang saya akan cuba jawab dalam ayat yang mudah difahami dan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak termasuk penulis blog sendiri. Walaupun saya tidak bersetuju, tetapi hak anda untuk bersuara akan tetap saya pertahankan =)

PERTAMA: ISU AUKU & UiTM

a) Budaya berdiskusi dan berdebat ini memang sesuai dijalankan di university lain, tetapi langsung tidak sesuai di UiTM. Disebabkan ketidakmatangan para pelajar UiTM, debat dan diskusi ini hanya akan menghancurkan perpaduan melayu di UiTM..............
.........Oleh itu, sebarang matlamat lain, samada yang diterbitkan secara awang-awangan seperti hak asasi manusia, hak pelajar, kebebasan akademik dan keadilan sejagat ataupun wacana yang bersifat trend semasa seperti autonomi university, autonomi ahli akademik; semestinya sesuatu yang tidak relevan di UiTM.
......... Sepatutnya budak-budak ini sedar bahawa pelajar-pelajar UiTM adalah tidak matang dan senang dicucuk oleh anasir-anasir luar yang bertopengkan hak asasi manusia. Kita perlu memahami bahawa pelajar-pelajar UiTM ini tidak sesuai untuk didedahkan kepada budaya pengajian di universiti lain

    Apa perasaan kita apabila membaca kenyataan ini?

   Saudara/saudari penulis blog yang tidak saya kenali, apabila anda membuat kenyataan ‘disebabkan ketidakmatangan para pelajar UiTM’ bererti anda sendiri telah merendahkan kemampuan pelajar UiTM untuk berdiskusi dan berdebat. Kalau diskusi dan berdebat adalah tidak sesuai di UiTM maka saya sarankan persatuan-persatuan yang berunsurkan debat dan diskusi dibubarkan dan sebarang program debat atau diskusi tidak boleh dianjurkan di UiTM kerana ia tidak sesuai di universiti ini.

   Saya bersyukur saudara/saudari bukan penuntut kuliah undang-undang kerana apabila anda menyebut ‘’secara awang-awangan seperti hak asasi manusia....’’ itu bererti anda tidak mengetahui isi kandungan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak kebebasan warganegara(Perkara 5-13). Jika anda tidak percaya, saya boleh pinjamkan. Emelkan alamat anda ke zhariflaw@gmail.com dan saya akan pinjam, oh tidak saya akan berikan secara percuma kepada anda kerana saya yakin setiap warganegara yang menjunjung prinsip rukun negara ketiga perlu mengetahui perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

  Saya berpendapat, pandangan penulis blog ini adalah relevan jika ianya diterbitkan pada sekitar 70an dan 80an. Waktu itu internet tiada dan rakyat akan bergantung kepada media massa. Tetapi sekarang zamannya sudah berubah. Internet boleh diakses dan rakyat tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada media massa. Jika kita fikir kita boleh mengawal siswa siswi pada hari ini maka kita silap kerana mereka boleh mendapat maklumat dari pelbagai sumber dan pihak dengan menggunakan internet. Apakah dengan mengawal mereka daripada tidak boleh berdiskusi dan melarang pihak luar masuk dapat menghalang mereka mendapatkan maklumat di internet?

  Sebab itu pendirian saya terhadap AUKU adalah jelas.AUKU perlu dipinda untuk memastikan ia terus ‘segar’ dan relevan dengan keadaan semasa. Ia seharusnya menjadi progresif bukannya regresif. Zaman mengawal informasi dan maklumat sudah berakhir. Itu hakikat yang harus kita terima. Seluruh rakyat Malaysia harus menerimanya. Bahkan Rasulullah s.a.w sendiri pernah berpesan kepada kita ‘’ Didiklah anakmu mengikut zamannya kerana zamannya adalah berbeza sama sekali dengan zamanmu’’

 Mengapa sukar untuk kita mendidik generasi muda mengikut zamannya?Ini zaman generasi muda. Generasi tahun 2011. Bukannya generasi 70,80,90an. Itu adalah hakikat yang kita harus terima samada kita suka atau tidak.
  Justeru pendirian saya jelas: AUKU perlu dipinda selaras dengan peredaran masa kini.

b)  Intipati sebenar UiTM, matlamat sebenar UiTM adalah untuk perpaduan melayu, dan disebabkan UMNO yang menubuhkan UiTM, perpaduan melayu mestilah merujuk kepada perpaduan melayu di bawah UMNO sahaja. Tiada tempat di dalam UiTM bagi wacana atau sebarang polisi yang bercorak selain daripada perpaduan melayu

   Jika benar matlamat sebenar UiTM adalah untuk perpaduan melayu kenapa tidak dibenarkan sahaja pelajar Melayu yang belajar di sini? Jangan lupa kita mempunyai ‘saudara dan saudari’ dari Sabah dan Sarawak. Mereka ini bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu tetapi etnik-etnik Bumiputera. UiTM adalah untuk BUMIPUTERA, bukan untuk MELAYU semata-mata.

   Jika sebab UMNO yang menubuhkan UiTM maka tiada tempat untuk wacana dan polisi yang bercorak selain daripada perpaduan melayu, saya berpendapat semua universiti perlu melakukan perkara yang sama. Mengapa? Sebab UMNO juga menubuhkan universiti-universiti yang lain seperti UM,USM,UKM dan lain-lain.

   Tidak boleh ada unsur diskriminasi dalam soal kebebasan untuk berdiskusi dan kebebasan bersuara. Jika tidak ia sudah melanggar perkara 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 153 tidak memberi keistimewaan untuk Bumiputera dalam soal kebebasan bersuara atau menganjurkan sebarang diskusi mahupun wacana. Justeru dengan mengatakan bahawa perkara-perkara lain selain mengenai perpaduan melayu adalah tidak relevan UiTM, saya anggap satu perkara yang keterlaluan dan merendahkan kemampuan pelajar-pelajar UiTM untuk berdiskusi.

  Nah kalau begitu, adalah dinasihatkan agar semua pelajar UiTm tidak menyertai mana-mana pertandingan anjuran pihak luar jika tidak ada unsur-unsur perpaduan Melayu. Amacam?

 c)  Disebabkan itulah kesemua pihak perlu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak yang berkuasa di UiTM

  Dengan penuh rasa hormat dan rendah diri, saya tidak dapat bersetuju dalam hal ini kerana saya berpegang teguh kepada prinsip ‘’absolute power corrupts absolutely.’’ Bahkan dengan prinsip ini juga saya tidak bersetuju kuasa mutlak diberikan sepenuhnya kepada mahasiswa. Sebab itu saya tidak pernah meminta AUKU dimansuhkan tetapi dipinda. Saya melihat AUKU perlu dijadikan sebagai satu ‘guideline’ bukan ‘prohibition’ atau ‘preventive act’.

  Kita mencari keseimbangan kuasa bukannya kuasa yang mutlak.

  Kesimpulan untuk isu ini adalah: Taktik mengongkong dan menganggap bahawa pelajar UiTM tidak perlu menerima pendedahan seperti pelajar-pelajar di universiti sudah lagi tidak relevan pada tahun ini dan pada tahun-tahun yang mendatang. Budak-budak sekarang sudah pandai; tak kasi tak apa boleh cari kat internet. Potong wireless? Tak apa sebab broadband/ YES 4G ada. Apa yang diperlukan adalah sebuah laptop dan akses kepada internet.

 Ini bukan cubaan. Ini betul-betul. Ini realiti.

KEDUA: ISU UMNO, DATO SAIFUDDIN DAN DATO SERI KHALED NORDIN

  Saya melihat penulis blog ini telah menggunakan elemen ad hominem untuk menjustifikasi hujah beliau dan ia lebih kepada strategi untuk melaga-lagakan pihak tertentu. Apabila beliau banyak menyerang peribadi Dato Saifuddin, saya terdiam seketika dan saya akan menjawab perkara ini dalam 2 cara dan hendaklah dimaklumkan bahawa Dato Saifuddin tidak membayar saya untuk menjawab soalan ini dan saya bukanlah salah seorang ‘cybertrooper’ kerajaan mahupun pembangkang. Kalau ya, saya dah berhenti belajar sebab dengar cerita jadi ‘cybertrooper’ lagi kaya dan mahsyuk; tak perlu kerja berat-berat cuma perlu menghadap laptop dan update blog dengan kerap.

  Pertama, apabila dato terlibat dalam isu-isu sebegini, ia sedikit sebanyak telah memecah dominasi pihak pembangkang dalam menjuarai isu-isu ‘rakyat’. Dato telah menjadi bukti bahawa kerajaan masih mahu mendengar dan memahami isu-isu terbaru yang dialami oleh rakyat. Dengan memecahkan dominasi ini ia akan membuatkan pembangkang ‘tiada modal’ untuk bercerita sekaligus memberikan tentangan dan kepayahan untuk pembangkang ‘bercerita’.

  Kedua, pendirian Dato Saifuddin dan mereka yang menyokong pindaan AUKU adalah seiring dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes UKM4. Keputusan mahkamah perlu dihormati. Kalau kes-kes lain seperti kes di Perak kita minta rakyat menerima keputusan mahkamah mengapa sekarang kita tidak boleh menerima keputusan mahkamah? Ia diadili dan diputuskan oleh tiga orang hakim dan majoriti hakim (2-1) mengisytiharkan seksyen 15 AUKU adalah tidak sah. Bahkan dalam penghakiman minoriti, YA Low Hop Bing dalam obiter dicta memberi cadangan agar ia dipinda oleh Parlimen kerana mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk meminda. Tugas mahkamah adalah menentukan samada peruntukan tersebut adalah sah di sisi undang-undang atau tidak.

  Jika Dato Seri Najib Tun Razak boleh menerima keputusan mahkamah ini dan bersetuju untuk meminda AUKU sewaktu sesi Parlimen baru-baru ini, mengapa tidak kita boleh menerima keputusan ini juga?

KETIGA: ISU-ISU SAMPINGAN

a) Mereka juga sepatutnya menyedari masyarakat pelajar UiTM adalah semuanya berasal dari kampong dari keluarga orang susah seperti petani, pesawah dan penoreh getah....

  Saya sangat berharap bahawa saudara/saudari penulis blog ini tersilap taip ‘semuanya’ itu kerana fakta ini langsung tidak tepat. Jika tepat masakan UiTM mempunyai masalah dengan pelajar yang membawa kenderaan. Tidak semua berasal dari kampung dan keluarga orang susah. Ada pelajar-pelajar UiTM yang mempunyai kenderaan yang lebih hebat daripada pensyarah, ada pelajar-pelajar UiTM yang memiliki handphone lagi mahal daripada pensyarah sendiri. Justeru, tidak perlulah saudara-saudari menulis semua kerana fakta itu tidak tepat. Sangat tidak tepat. Maaf bukan untuk menyinggung tetapi saya boleh menerima jika anda menulis ‘sebahagian’ tetapi bukan ‘semuanya’

b)   Apabila saudara-saudari menyebut ‘’ Budaya berdiskusi dan berdebat ini memang sesuai dijalankan di university lain, tetapi langsung tidak sesuai di UiTM’’ saya terkesima apabila membaca entri blog ini apabila anda menulis
   ‘’ Memang benar artis-artis seperti Hujan,Bunkface dan Siti Nurhaliza pernah membuat konsert yang besar-besaran di dalam UiTM. Akan tetapi itulah jenis aktiviti yang sesuai dengan mahasiswa. Apa salahnya berhibur sekali-sekala? Sebarang percubaan untuk memburukkan konsert ini sebagai aktiviti haram/mungkar adalah hanya dakyah pembangkang semata-mata. Adalah tidak salah sekiranya para pelajar ingin berhibur sekali-sekala. Sekiranya ia adalah haram/mungkar, tentu ustaz-ustaz dari Pusat Pemikiran dan Pemahaman Islam UiTM akan bertindak mengeluarkan fatwa. Tetapi tidak pernah pun ustaz-unstaz tersebut bertindak sedemikian. Ini membuktikan bahawa tiada salah diadakan konsert-konsert tersebut dan mereka-mereka yang membuat bising mengenai halal/haram itu hanyalah agen-agen PAS yang tidak bertamadun’’
  
Saya terkedu. Budaya diskusi  yang mempunyai unsur ilmiah tidak sesuai di UiTM tetapi hiburan/konsert adalah sesuai di UiTM? Err sebentar. Anda juga ada menyatakan bahawa ‘’ Mereka juga sepatutnya menyedari masyarakat pelajar UiTM adalah semuanya berasal dari kampong dari keluarga orang susah seperti petani, pesawah dan penoreh getah’’ dan adakah pelajar’pelajar UiTM yang ‘semuanya’ berasa dari kampong ini sesuai dengan berhibur dalam konsert-konsert yang dianjurkan di UiTM?

   Saya terkesima.

c) Nilai, tradisi dan budaya Melayu adalah menurut perintah. Maka budaya tidak bersetuju dan membangkang yang cuba dibawakan oleh gerakan ini adalah tidak sesuai, malah satu budaya yang biadap

  Benarkah? Bagaimana pula dengan pepatah melayu ‘’ Raja Adil Disembah, Raja Zalim Disanggah’’? Bagaimana pula dengan kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang? Bagaimana pula dengan kata-kata Tun Perak apabila anaknya dibunuh oleh Sultan Muhammad, anakanda sultan Mahmud pada ketika itu?
‘’Adat Melayu tidak pernah menderhaka akan tetapi kalau kita bertuankan yang seorang ini,janganlah’’.

AKHIR CERITA

   Tidak ada apa yang boleh saya ulas lebih lanjut mengenai penulisan saudara/saudari blog ini melainkan beliau berpaksikan kepada politik dan maaf jika saya katakan beliau adalah golongan-golongan yang ‘hardliner’. Sukar untuk berubah (Jika tidak masakan beliau bermati-matian mempertahankan bahawa konsert tak jadi masalah tapi kalau diskusi atau debat itu tidak sesuai di UiTM). Justeru, saya memohon maaf sekiranya ada penulisan saya di atas mengguris perasaan mana-mana pihak dan saya serahkan kepada para pembaca yang lainnya untuk membuat penilaian. 

  Adalah sangat penting untuk saya jelaskan bahawa apabila saya menulis artikel ini, tidak bererti saya anti-UiTM atau ahli kepada mana-mana persatuan mahasiswa. Bahkan persatuan mahasiswa sendiri sudah hilang ‘independent’nya setelah menyertai grup ‘ASALKAN BUKAN UMNO (ABU)’. Kalau benar-benar independent, maka beranikan diri untuk mengkritik dan menegur kedua-dua pihak. Jangan bila satu pihak ni buat salah kita hentam gila-gila, tapi bila satu pihak ni ada buat salah kita diam tak mahu komen. Harus diingat, tiada satu pun manusia yang perfect. Kita bukan malaikat. Pemimpin-pemimpin dalam parti bukan malaikat. Saya menyokong prinsip menolak ketaksuban terhadap parti atau semangat ‘kepartian’. Mana yang betul kita cakap. Mana yang salah kita tegur. Kalau orang tu menggunakan ayat-ayat yang kasar terhadap orang lain selepas solat hajat takkan kita nak ‘cover line’. Kalau orang tu betul makan rasuah, takkan kita nak diam buat-buat tak tahu?

  Saya menulis mengikut cara saya sendiri. Terima kasih kepada yang bersetuju mahupun tidak. Kerana saya sedang belajar menerima hakikat bahawa manusia itu tidak sempurna.Saya tidak boleh memuaskan hati semua orang. Pandang sisi mereka terhadap sesuatu perkara adalah berbeza. Ada yang setengah isi dan ada yang setengah kosong. Saya berdoa dan berharap agar lebih banyak ruang dan platform diberikan kepada kedua-dua pihak yakni pro-A mahupun pro-M kerana kerana dari situ kita akan dapat menilai peribadi, idea dan halatuju perjuangan mereka.

Wallahua'lam.

''Free the freedom. restrict the restriction. But guide both of them wisely''.

Sunday, December 11, 2011

Soal Benteng dan Kebebasan



  Bila nak tulis entri ini, aku mengambil masa yang cukup lama untuk berfikir. Dari atas katil sampailah masuk ke dalam tandas. Sehinggalah duduk di hadapan laptop. Bukan senang untuk menulis sesuatu yang mempunyai kaitan rapat dengan hidup kita. Sebab itu aku menggunakan perkataan menulis, bukan membuat kesimpulan atau membuat keputusan. Sebabnya perkara ini melibatkan kawan-kawan aku dan juga tempat aku menulis artikel ini sekarang. Justeru wujud unsur-unsur bias dan melanggar prinsip 'nemo judex in causa sua'.

  Jadi anda tidak akan menemukan sebarang kesimpulan dan keputusan untuk menghentam mahupun menyalahkan mana-mana pihak di dalam entri ini. Lagipun dah banyak yang diceritakan daripada blog, facebook dan twitter kedua-dua belah pihak.

  Aku juga mengakui akan isu-isu sampingan yang wujud pada malam 8 Disember yang lepas.Salah satunya adalah isu agama yang melibatkan sunnah-syiah. Dalam hal ini, aku mohon maaf untuk tidak mengulas lanjut kerana kearifan dalam bidang agama tidaklah sedalam mana. Hal ini biarlah dibincangkan oleh para ulama dan mereka yang mempunyai pengetahuan tentang selok-belok agama Islam.

  Maaf juga kerana tidak dapat menceritakan mahupun merakamkan apa yang terjadi pada hari kejadian. Sebabnya malam tu aku keluar pergi dinner jadi tak sempat nak tengok apa yang berlaku di Dataran Cendikia. Cuma yang aku tahu ada banyak roadblock dalam UiTM sendiri. Aku menyedari adanya roadblock ni sejak pukul 6 petang waktu berjoging di sekitar UiTM. Ingatkan ada orang-orang VVIP yang datang nak tengok SAF tapi ada benda lain yang terjadi.

  Apapun aku beroleh kesempatan untuk menonton video yang merakamkan waktu kejadian. Susah sikit nak percaya orang cakap sebab kalau dengar dua-dua pihak memang semua ada versi cerita sendiri. Jadi dah dengar dua-dua pihak, kena tengok 'conclusive evidence'. Video itupun dirakam oleh seseorang dan aku berharap untuk menonton video dari sebelah pihak yang lain untuk melihat jika ada berlaku tokok tambah dalam mengedit video tersebut. Kalau nak dapatkan pengesahan then kita hantaq pi forensik tengok genuine ke tidak.Habis cerita.

   Justeru apa motif entri ini ditulis? Dalam hal ini aku mengharapkan sesuatu yang lebih baik yakni keterbukaan dalam berdiskusi dan berhujah secara intelektual baik daripada pro aspirasi mahupun pro mahasiswa. Aku mengharapkan ada ruang dan platform yang lebih baik dan selesa untuk mereka berhujah dan berdiskusi dan kemudian biarlah siswa-siswi yang lain membuat keputusan dan pertimbangan kerana melalui open discussion orang lain dapat menilai peribadi, intelektualiti dan arah tuju perjuangan yang dibawa. Aku yakin kedua-dua pihak mahu diberikan peluang sedemikian. Kedua-dua pihak punya hujah tersendiri. Kedua-dua pihak ada wakil yang intelektual dan boleh berhujah. Jadi beri dua-dua pihak untuk berdiskusi dengan cara yang lebih berhikmah kerana inilah yang sangat  diperlukan oleh mereka. Jangan takut kerana pro aspirasi boleh diwakili oleh orang-orang yang hebat dan intelektual. Jangan gentar kerana pro mahasiswa juga diwakili oleh mereka yang bernas ideanya. Beri mereka peluang dan platform.
 
  Sementara kita sebagai hadirin akan menilai kewibawaan mereka. Soal menyokong atau membantah itu hak kita. Dan hak itu juga termasuk hak untuk mengambil tahu atau tidak. Kalau kita ini jenis yang nak fokus dalam pelajaran itu hak kita. Kalau kita ini jenis yang nak meluangkan masa dengan kawan-kawan dekat kedai mamak dari malam sampai pagi pun hak kita. Kalau kita ini jenis yang suka berpolitik itupun hak kita.

 Yang paling penting, kalau fail repeat jelah paper. Kalau pointer tak lepas 2.0, carilah universiti yang baru ataupun sambunglah berpolitik atau duduk di kedai mamak di kawasan tempat tinggal kita.

Itu, yang aku mengerti soal kebebasan mahasiswa. Semua orang mempunyai hak untuk menentukan masa depan mereka. Kalau cara itu tidak kena, terimalah akibat dan kesannya.

Waallahua'alam

UiTM di hatiku.

Thursday, December 8, 2011

Angkat Topi




1. Dalam entri yang ringkas ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada MPP FUU kerana telah menyediakan borang soal selidik ini.

2. Walaupun sedikit terlambat, tetapi better late than never. Sekurang-kurangnya ia boleh dimanfaatkan dalam semester yang akan datang.

3. Ia juga boleh dijadikan garis panduan untuk MPP akan datang untuk membuat manifesto dan  meneruskan kesinambungan MPP sekarang.

4. Terima kasih atas kesempatan yang diberikan. Harap cadangan di dalam borang ini dapat diterima dan dilihat sebagai satu perkara yang konstruktif dan saya yakin MPP kita akan melakukan perkara tersebut :) Yang paling penting ada effort. Samada ia membuahkan hasil atau tidak itu soal kedua. Yang penting ada usaha.

5. Justeru kepada sesiapa yang menilai tulisan saya sebelum ini sebagai agresif dan memalukan MPP kita sendiri, harap dapat memikirkan semula selepas membaca entri ini. 

6. Tidak ada kepentingan dan saya hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi. Baik atau buruk akan diberi 'layanan' yang sama. Tidak ada keinginan untuk beritahu benda yang buruk depan2 tetapi bila benda baik, disimpan dan dirahsiakan.

7. Terima kasih dan tahniah kepada MPP FUU 2011/2012. 

*Bersiap sedia untuk dipanggil pembodek dan pengampu pula ;)









Monday, December 5, 2011

Warkah Untuk UMNO




 Sudah lama tidak berbicara tentang politik. Bukan kerana merajuk tetapi sifat saya yang semakin ‘picky and choosy’ untuk membicarakan isu-isu semasa. Tetapi isu ini tidak pernah terlepas daripada perhatian saya. Tahun lepas saya ada membicarakan hal yang sama. Tahun ini, saya menyentuh isu ini lagi bukan kerana tradisi semata-mata tetapi kerana saya mahu membicarakan hal ini.

Ya, Perhimpunan Agung UMNO yang ke-65.

65 tahun.

Berubah?Banyak perubahannya. Parti yang tertua di Malaysia ini penuh dengan pengalaman dan sejarah manis pahit dalam negara ini.

Juga sebuah parti yang masih kekal bertahan sebagai kerajaan Malaysia sehingga ke hari ini.

 Saya sudah membaca teks penuh ucapan Presiden UMNO baru-baru ini. Terima kasih kepada umnonline kerana menyediakan ucapan tersebut untuk diakses melalui internet. Tak cukup duit nak beli akhbar harian yang menyediakan dua-tiga mukasurat penuh untuk mengisi teks ucapan presiden.

 Cukup berbasa-basi di sini. Kenapa ucapan Presiden UMNO ini sangat menarik perhatian saya? Kerana beliau ada menekankan kepentingan suara orang muda.
Suara orang muda diiktiraf. Kehendak mereka mula mendapat pertimbangan orang nombor satu di negara ini.

 Tuan Presiden menyatakan kerajaan mendengar permintaan orang muda dengan meminda Seksyen 15 AUKU kelak. Saya termenung buat seketika.

Setelah 30 bulan mentadbir akhirnya baru sekarang menunaikan permintaan ini? 

Barangkali keputusan Mahkamah Rayuan telah membantu suara orang muda untuk didengari.

Tetapi bayangkan apa terjadi sekiranya Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebaliknya. Seingat saya pindaan AUKU ini tidak termasuk dalam janji perubahan Tuan Presiden sewaktu ucapan Hari Malaysia 16 September yang lepas.

  Apapun, syukur alhamdulilah. Saya bersyukur akhirnya AUKU akan dipinda sekali lagi. Walaupun sedikit lambat, tetapi better late than never.

   Ucapan Tuan Presiden juga penuh dengan saranan untuk mendekati dan memahami ‘bahasa’ orang muda. Justeru di sinilah saya ingin memberi ‘bantuan’ agar saranan ini tercapai. Saya bukan mewakili golongan majoriti orang muda. Barangkali ramai orang muda yang tidak menyukai perkara ini. Tetapi sebagai orang muda Malaysia, saya berhak untuk memberitahu apa yang tersirat di dalam fikiran saya. Soal didengari atau tidak, saya tidak kisah kerana pendirian saya ini bebas daripada sebarang pengaruh mana-mana pihak. Ia datang dari hati saya sendiri, yang membentuk fikiran dan pandang sisi hidup saya.

   Pertama, adalah dinasihatkan untuk tidak menyerang parti-parti lawan sewaktu membuat perbahasan dalam perhimpunan tersebut. Kenapa? Dengan mengkritik pihak lawan tidak akan membuatkan kita lebih baik daripada mereka. Maaf tetapi ini yang saya dengar dalam perhimpunan tersebut. Penuh dengan serangan-serangan terhadap parti pembangkang dan membalas semula kritikan parti pembangkang dengan menggunakan ayat yang sama rendah martabatnya. Saya tidak mahu dipimpin oleh mereka yang menggunakan kata-kata kasar terhadap pihak lawan kerana ini telah menjatuhkan kredibiliti dan imej mereka secara tidak langsung. Dari segi psikologi, golongan ini sudah kerana terlalu terdesak sehingga terpaksa menggunakan pendekatan ad hominem atau personal attack. Tidak perlu menggunakan cara yang sama digunakan oleh parti lawan.

  Kedua, tidak perlu menekankan lagi isu ‘menyelamatkan hak Melayu, Raja-Raja dan Islam’. Apabila saya membangkitkan perkara ini tidak mengurangkan kemelayuan atau keislaman saya. Jauh sekali membawa kepada penderhakaan saya kepada institusi Raja-Raja Melayu. Kenapa? Isu ini tidak perlu dibangkitkan oleh mana-mana pihak di negara ini. Sesiapa yang mengaku penyelamat hak melayu, yang mengkritik dan mempertikaikan hak ini adalah menurut saya, tidak mengetahui dan membaca Perlembagaan Persekutuan. Kerana apa? 

Hal ini telah termaktub dalam Perlembagaan bahawa Perkara 153 (yakni berkaitan keistimewaan golongan bumiputera) adalah di bawah tanggungjawab dan perlindungan Yang Di-Pertuan Agong. Bukan mana-mana parti politik atau NGO atau individu di negara ini. Peruntukan ini diperkukuhkan lagi dengan Perkara 159(4) yang menyatakan perkara 153 ini tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Maka, sekali lagi saya ingin tegaskan, perkara ini adalah dibawah perlindungan dan penjagaan Majlis Raja-Raja. Siapa yang dapat memaksa dan mempengaruhi Majlis Raja-Raja untuk meminda perkara 153 ini? Maka penyelamat sebenar, penjaga sebenar perkara 153 ini adalah Raja-Raja Melayu. 

Maaf tetapi tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa sesiapa yang mendakwa dirinya adalah penyelamat, penjaga hak Melayu, juga kepada sesiapa yang mempertikaikan dan mencadangkan sebarang perubahan terhadap hak ini bererti mereka tidak menghormati,memahami dan mengetahui kuasa dan hak Majlis Raja-Raja.

  Ketiga, sampai masa untuk pendekatan UMNO diubah. Bukan setakat mempunyai akaun Facebook dan twitter semata-mata tetapi ‘interaksi’ atau komunikasi itu lebih penting. Apakah sudah cukup dinamakan sebagai interaksi jika hanya update status tetapi susah nak menjawab soalan dan cadangan daripada rakyat sendiri?Apa yang saya harapkan adalah meja diskusi yang lebih besar dan tiada sekatan, semua orang berhak menyampaikan pandangan dan menerima maklumbalas. Saya tidak mahu pendirian saya diambilkira daripada pendirian ‘wakil-wakil’ orang muda yang hanya memberi pandangan untuk mengampu,membodek atau menyokong mana-mana pihak sehingga banyak tapisan perlu dibuat sehingga mesej yang sebenar untuk disampaikan akan terkubur begitu sahaja. Maaf mungkin ia berbau egois di situ tetapi hakikatnya, semua orang mahu suaranya didengar secara langsung dan diambilkira. Walaupun suara itu suara minoriti, setidaknya ada respons dan maklumbalas.

  Dalam hal ketiga ini, UMNO masih ketinggalan. Saya tidak menafikan banyak program yang dianjurkan untuk mendekati orang muda tetapi strategi dan pendekatan tersebut masih jauh tertinggal jika dibandingkan dengan parti lawan. Bukan sahaja gah di Facebook dan twitter, tetapi UMNO perlu merakyatkan program-program mereka sehingga ia mudah didekati. 

Pendekatan pertama yang perlu diambil ialah tidak sekadar menganjurkan ceramah semata-mata tetapi apa yang dimahukan adalah diskusi, komunikasi dua hala.Selalu terjadi ialah penceramah bercakap dua jam tetapi diskusi hanya mengambil masa sepuluh minit ( atau langsung tiada kerana kesuntukan masa).

Kedua, pelbagaikan program-program tersebut selain daripada aktiviti sukan dan ceramah. Tidak perlu menggunakan bajet dan duit yang banyak kerana cara ini telah digunakan oleh pihak pembangkang tanpa memerlukan bajet yang banyak. Hadirkan diri dengan program-program yang dianjurkan oleh orang muda tanpa perlu banyak protokol dan formaliti. Santaikan kehadiran. Berikan orang muda peluang untuk mendekati dan berinteraksi sendiri dengan  personaliti UMNO.Sudah tiba masanya untuk tidak menjadikan duit sebagai senjata utama. Tidak perlu menjadikan protokol dan kemewahan sebagai lambang peribadi kerana itu hanya membezakan lagi diri anda dengan orang muda. Mulakan keterbukaan dengan duduk dan menghadiri program-program yang disertai juga oleh parti lawan. Berhenti daripada menggunakan polemik kaum untuk memenangi hati orang muda.Apa yang lebih penting adalah bergaul dan berdiskusi dengan orang muda. Fahami dan ketahui isu apa yang sebenarnya menjadi keutamaan dan fokus mereka. Itu, lebih penting daripada memainkan irama yang sama.

  Dulu,kini dan selamanya. Itu pegangan UMNO. Tetapi isu-isu yang menjadi tema kehidupan orang muda hari ini tidak boleh dikaitkan dengan dulu,kini dan selamanya. Barangkali isu dahulu sudah tidak lagi menjadi isu pada masa kini. Jika mahu kekal relevan sehingga selamanya maka perubahan harus dilakukan. Berhenti daripada menggunakan isu-isu lama. Lakukan pembaharuan dari atas sehingga ke akar umbi. Bukan sahaja akar umbi yang harus berubah tetapi yang menjadi pohon juga harus berubah. Mengubah strategi untuk kekal relevan. Jika tidak mahu berubah, percayalah suatu masa nanti rakyat yang akan berubah dan akhirnya mengubah pilihan dan kehendak mereka.

  Saya mendoakan UMNO akan berubah. Diperlukan ramai personaliti yang berfikiran matang, berjiwa besar dan terbuka, berintegriti,bersih daripada rasuah politik dan kata-kata kasar untuk membentuk UMNO baru. Ya, UMNO baru yang lebih relevan dan berjiwa rakyat.Sebelum rakyat berubah dan mahukan pembaharuan tetapi UMNO enggan berubah. Maka pada saat itu janganlah dipersalahkan rakyat sebagai tidak mengenang budi dan mengkhianati UMNO.

Kerana taat dan setia seorang rakyat itu hanya pada Raja dan Negara. Bukan pada mana-mana individu atau parti politik di negara ini.Itu yang termaktub dalam Rukun Negara.

  UMNO ibarat seorang datuk berusia 65 tahun yang memimpin anak cucu yang jauh lebih muda daripadanya. Bagaimana mahu kekal relevan sebagai pemimpin kepada mereka?

Jawapan adalah seperti di atas.

Waalahua’lam.