Thursday, December 15, 2011

Menjawab Persoalan....




“A government afraid of its citizens is a Democracy. Citizens afraid of government is tyranny”   Thomas Jefferson



    Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara/saudari yang menggunakan nama pelajar hitam putih di dalam laman sosial facebook kerana ingin berkongsi pandangan dengan saya. 

   Setelah meneliti penulisan beliau, saya akan memecahkannya kepada empat bahagian. Bahagian tersebut akan berdasarkan penulisan beliau( penulisan ini saya ambil secara verbatim dan kalian boleh melihat kebenarannya dalam blog tersebut) yang saya akan cuba jawab dalam ayat yang mudah difahami dan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak termasuk penulis blog sendiri. Walaupun saya tidak bersetuju, tetapi hak anda untuk bersuara akan tetap saya pertahankan =)

PERTAMA: ISU AUKU & UiTM

a) Budaya berdiskusi dan berdebat ini memang sesuai dijalankan di university lain, tetapi langsung tidak sesuai di UiTM. Disebabkan ketidakmatangan para pelajar UiTM, debat dan diskusi ini hanya akan menghancurkan perpaduan melayu di UiTM..............
.........Oleh itu, sebarang matlamat lain, samada yang diterbitkan secara awang-awangan seperti hak asasi manusia, hak pelajar, kebebasan akademik dan keadilan sejagat ataupun wacana yang bersifat trend semasa seperti autonomi university, autonomi ahli akademik; semestinya sesuatu yang tidak relevan di UiTM.
......... Sepatutnya budak-budak ini sedar bahawa pelajar-pelajar UiTM adalah tidak matang dan senang dicucuk oleh anasir-anasir luar yang bertopengkan hak asasi manusia. Kita perlu memahami bahawa pelajar-pelajar UiTM ini tidak sesuai untuk didedahkan kepada budaya pengajian di universiti lain

    Apa perasaan kita apabila membaca kenyataan ini?

   Saudara/saudari penulis blog yang tidak saya kenali, apabila anda membuat kenyataan ‘disebabkan ketidakmatangan para pelajar UiTM’ bererti anda sendiri telah merendahkan kemampuan pelajar UiTM untuk berdiskusi dan berdebat. Kalau diskusi dan berdebat adalah tidak sesuai di UiTM maka saya sarankan persatuan-persatuan yang berunsurkan debat dan diskusi dibubarkan dan sebarang program debat atau diskusi tidak boleh dianjurkan di UiTM kerana ia tidak sesuai di universiti ini.

   Saya bersyukur saudara/saudari bukan penuntut kuliah undang-undang kerana apabila anda menyebut ‘’secara awang-awangan seperti hak asasi manusia....’’ itu bererti anda tidak mengetahui isi kandungan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak kebebasan warganegara(Perkara 5-13). Jika anda tidak percaya, saya boleh pinjamkan. Emelkan alamat anda ke zhariflaw@gmail.com dan saya akan pinjam, oh tidak saya akan berikan secara percuma kepada anda kerana saya yakin setiap warganegara yang menjunjung prinsip rukun negara ketiga perlu mengetahui perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

  Saya berpendapat, pandangan penulis blog ini adalah relevan jika ianya diterbitkan pada sekitar 70an dan 80an. Waktu itu internet tiada dan rakyat akan bergantung kepada media massa. Tetapi sekarang zamannya sudah berubah. Internet boleh diakses dan rakyat tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada media massa. Jika kita fikir kita boleh mengawal siswa siswi pada hari ini maka kita silap kerana mereka boleh mendapat maklumat dari pelbagai sumber dan pihak dengan menggunakan internet. Apakah dengan mengawal mereka daripada tidak boleh berdiskusi dan melarang pihak luar masuk dapat menghalang mereka mendapatkan maklumat di internet?

  Sebab itu pendirian saya terhadap AUKU adalah jelas.AUKU perlu dipinda untuk memastikan ia terus ‘segar’ dan relevan dengan keadaan semasa. Ia seharusnya menjadi progresif bukannya regresif. Zaman mengawal informasi dan maklumat sudah berakhir. Itu hakikat yang harus kita terima. Seluruh rakyat Malaysia harus menerimanya. Bahkan Rasulullah s.a.w sendiri pernah berpesan kepada kita ‘’ Didiklah anakmu mengikut zamannya kerana zamannya adalah berbeza sama sekali dengan zamanmu’’

 Mengapa sukar untuk kita mendidik generasi muda mengikut zamannya?Ini zaman generasi muda. Generasi tahun 2011. Bukannya generasi 70,80,90an. Itu adalah hakikat yang kita harus terima samada kita suka atau tidak.
  Justeru pendirian saya jelas: AUKU perlu dipinda selaras dengan peredaran masa kini.

b)  Intipati sebenar UiTM, matlamat sebenar UiTM adalah untuk perpaduan melayu, dan disebabkan UMNO yang menubuhkan UiTM, perpaduan melayu mestilah merujuk kepada perpaduan melayu di bawah UMNO sahaja. Tiada tempat di dalam UiTM bagi wacana atau sebarang polisi yang bercorak selain daripada perpaduan melayu

   Jika benar matlamat sebenar UiTM adalah untuk perpaduan melayu kenapa tidak dibenarkan sahaja pelajar Melayu yang belajar di sini? Jangan lupa kita mempunyai ‘saudara dan saudari’ dari Sabah dan Sarawak. Mereka ini bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu tetapi etnik-etnik Bumiputera. UiTM adalah untuk BUMIPUTERA, bukan untuk MELAYU semata-mata.

   Jika sebab UMNO yang menubuhkan UiTM maka tiada tempat untuk wacana dan polisi yang bercorak selain daripada perpaduan melayu, saya berpendapat semua universiti perlu melakukan perkara yang sama. Mengapa? Sebab UMNO juga menubuhkan universiti-universiti yang lain seperti UM,USM,UKM dan lain-lain.

   Tidak boleh ada unsur diskriminasi dalam soal kebebasan untuk berdiskusi dan kebebasan bersuara. Jika tidak ia sudah melanggar perkara 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 153 tidak memberi keistimewaan untuk Bumiputera dalam soal kebebasan bersuara atau menganjurkan sebarang diskusi mahupun wacana. Justeru dengan mengatakan bahawa perkara-perkara lain selain mengenai perpaduan melayu adalah tidak relevan UiTM, saya anggap satu perkara yang keterlaluan dan merendahkan kemampuan pelajar-pelajar UiTM untuk berdiskusi.

  Nah kalau begitu, adalah dinasihatkan agar semua pelajar UiTm tidak menyertai mana-mana pertandingan anjuran pihak luar jika tidak ada unsur-unsur perpaduan Melayu. Amacam?

 c)  Disebabkan itulah kesemua pihak perlu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak yang berkuasa di UiTM

  Dengan penuh rasa hormat dan rendah diri, saya tidak dapat bersetuju dalam hal ini kerana saya berpegang teguh kepada prinsip ‘’absolute power corrupts absolutely.’’ Bahkan dengan prinsip ini juga saya tidak bersetuju kuasa mutlak diberikan sepenuhnya kepada mahasiswa. Sebab itu saya tidak pernah meminta AUKU dimansuhkan tetapi dipinda. Saya melihat AUKU perlu dijadikan sebagai satu ‘guideline’ bukan ‘prohibition’ atau ‘preventive act’.

  Kita mencari keseimbangan kuasa bukannya kuasa yang mutlak.

  Kesimpulan untuk isu ini adalah: Taktik mengongkong dan menganggap bahawa pelajar UiTM tidak perlu menerima pendedahan seperti pelajar-pelajar di universiti sudah lagi tidak relevan pada tahun ini dan pada tahun-tahun yang mendatang. Budak-budak sekarang sudah pandai; tak kasi tak apa boleh cari kat internet. Potong wireless? Tak apa sebab broadband/ YES 4G ada. Apa yang diperlukan adalah sebuah laptop dan akses kepada internet.

 Ini bukan cubaan. Ini betul-betul. Ini realiti.

KEDUA: ISU UMNO, DATO SAIFUDDIN DAN DATO SERI KHALED NORDIN

  Saya melihat penulis blog ini telah menggunakan elemen ad hominem untuk menjustifikasi hujah beliau dan ia lebih kepada strategi untuk melaga-lagakan pihak tertentu. Apabila beliau banyak menyerang peribadi Dato Saifuddin, saya terdiam seketika dan saya akan menjawab perkara ini dalam 2 cara dan hendaklah dimaklumkan bahawa Dato Saifuddin tidak membayar saya untuk menjawab soalan ini dan saya bukanlah salah seorang ‘cybertrooper’ kerajaan mahupun pembangkang. Kalau ya, saya dah berhenti belajar sebab dengar cerita jadi ‘cybertrooper’ lagi kaya dan mahsyuk; tak perlu kerja berat-berat cuma perlu menghadap laptop dan update blog dengan kerap.

  Pertama, apabila dato terlibat dalam isu-isu sebegini, ia sedikit sebanyak telah memecah dominasi pihak pembangkang dalam menjuarai isu-isu ‘rakyat’. Dato telah menjadi bukti bahawa kerajaan masih mahu mendengar dan memahami isu-isu terbaru yang dialami oleh rakyat. Dengan memecahkan dominasi ini ia akan membuatkan pembangkang ‘tiada modal’ untuk bercerita sekaligus memberikan tentangan dan kepayahan untuk pembangkang ‘bercerita’.

  Kedua, pendirian Dato Saifuddin dan mereka yang menyokong pindaan AUKU adalah seiring dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes UKM4. Keputusan mahkamah perlu dihormati. Kalau kes-kes lain seperti kes di Perak kita minta rakyat menerima keputusan mahkamah mengapa sekarang kita tidak boleh menerima keputusan mahkamah? Ia diadili dan diputuskan oleh tiga orang hakim dan majoriti hakim (2-1) mengisytiharkan seksyen 15 AUKU adalah tidak sah. Bahkan dalam penghakiman minoriti, YA Low Hop Bing dalam obiter dicta memberi cadangan agar ia dipinda oleh Parlimen kerana mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk meminda. Tugas mahkamah adalah menentukan samada peruntukan tersebut adalah sah di sisi undang-undang atau tidak.

  Jika Dato Seri Najib Tun Razak boleh menerima keputusan mahkamah ini dan bersetuju untuk meminda AUKU sewaktu sesi Parlimen baru-baru ini, mengapa tidak kita boleh menerima keputusan ini juga?

KETIGA: ISU-ISU SAMPINGAN

a) Mereka juga sepatutnya menyedari masyarakat pelajar UiTM adalah semuanya berasal dari kampong dari keluarga orang susah seperti petani, pesawah dan penoreh getah....

  Saya sangat berharap bahawa saudara/saudari penulis blog ini tersilap taip ‘semuanya’ itu kerana fakta ini langsung tidak tepat. Jika tepat masakan UiTM mempunyai masalah dengan pelajar yang membawa kenderaan. Tidak semua berasal dari kampung dan keluarga orang susah. Ada pelajar-pelajar UiTM yang mempunyai kenderaan yang lebih hebat daripada pensyarah, ada pelajar-pelajar UiTM yang memiliki handphone lagi mahal daripada pensyarah sendiri. Justeru, tidak perlulah saudara-saudari menulis semua kerana fakta itu tidak tepat. Sangat tidak tepat. Maaf bukan untuk menyinggung tetapi saya boleh menerima jika anda menulis ‘sebahagian’ tetapi bukan ‘semuanya’

b)   Apabila saudara-saudari menyebut ‘’ Budaya berdiskusi dan berdebat ini memang sesuai dijalankan di university lain, tetapi langsung tidak sesuai di UiTM’’ saya terkesima apabila membaca entri blog ini apabila anda menulis
   ‘’ Memang benar artis-artis seperti Hujan,Bunkface dan Siti Nurhaliza pernah membuat konsert yang besar-besaran di dalam UiTM. Akan tetapi itulah jenis aktiviti yang sesuai dengan mahasiswa. Apa salahnya berhibur sekali-sekala? Sebarang percubaan untuk memburukkan konsert ini sebagai aktiviti haram/mungkar adalah hanya dakyah pembangkang semata-mata. Adalah tidak salah sekiranya para pelajar ingin berhibur sekali-sekala. Sekiranya ia adalah haram/mungkar, tentu ustaz-ustaz dari Pusat Pemikiran dan Pemahaman Islam UiTM akan bertindak mengeluarkan fatwa. Tetapi tidak pernah pun ustaz-unstaz tersebut bertindak sedemikian. Ini membuktikan bahawa tiada salah diadakan konsert-konsert tersebut dan mereka-mereka yang membuat bising mengenai halal/haram itu hanyalah agen-agen PAS yang tidak bertamadun’’
  
Saya terkedu. Budaya diskusi  yang mempunyai unsur ilmiah tidak sesuai di UiTM tetapi hiburan/konsert adalah sesuai di UiTM? Err sebentar. Anda juga ada menyatakan bahawa ‘’ Mereka juga sepatutnya menyedari masyarakat pelajar UiTM adalah semuanya berasal dari kampong dari keluarga orang susah seperti petani, pesawah dan penoreh getah’’ dan adakah pelajar’pelajar UiTM yang ‘semuanya’ berasa dari kampong ini sesuai dengan berhibur dalam konsert-konsert yang dianjurkan di UiTM?

   Saya terkesima.

c) Nilai, tradisi dan budaya Melayu adalah menurut perintah. Maka budaya tidak bersetuju dan membangkang yang cuba dibawakan oleh gerakan ini adalah tidak sesuai, malah satu budaya yang biadap

  Benarkah? Bagaimana pula dengan pepatah melayu ‘’ Raja Adil Disembah, Raja Zalim Disanggah’’? Bagaimana pula dengan kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang? Bagaimana pula dengan kata-kata Tun Perak apabila anaknya dibunuh oleh Sultan Muhammad, anakanda sultan Mahmud pada ketika itu?
‘’Adat Melayu tidak pernah menderhaka akan tetapi kalau kita bertuankan yang seorang ini,janganlah’’.

AKHIR CERITA

   Tidak ada apa yang boleh saya ulas lebih lanjut mengenai penulisan saudara/saudari blog ini melainkan beliau berpaksikan kepada politik dan maaf jika saya katakan beliau adalah golongan-golongan yang ‘hardliner’. Sukar untuk berubah (Jika tidak masakan beliau bermati-matian mempertahankan bahawa konsert tak jadi masalah tapi kalau diskusi atau debat itu tidak sesuai di UiTM). Justeru, saya memohon maaf sekiranya ada penulisan saya di atas mengguris perasaan mana-mana pihak dan saya serahkan kepada para pembaca yang lainnya untuk membuat penilaian. 

  Adalah sangat penting untuk saya jelaskan bahawa apabila saya menulis artikel ini, tidak bererti saya anti-UiTM atau ahli kepada mana-mana persatuan mahasiswa. Bahkan persatuan mahasiswa sendiri sudah hilang ‘independent’nya setelah menyertai grup ‘ASALKAN BUKAN UMNO (ABU)’. Kalau benar-benar independent, maka beranikan diri untuk mengkritik dan menegur kedua-dua pihak. Jangan bila satu pihak ni buat salah kita hentam gila-gila, tapi bila satu pihak ni ada buat salah kita diam tak mahu komen. Harus diingat, tiada satu pun manusia yang perfect. Kita bukan malaikat. Pemimpin-pemimpin dalam parti bukan malaikat. Saya menyokong prinsip menolak ketaksuban terhadap parti atau semangat ‘kepartian’. Mana yang betul kita cakap. Mana yang salah kita tegur. Kalau orang tu menggunakan ayat-ayat yang kasar terhadap orang lain selepas solat hajat takkan kita nak ‘cover line’. Kalau orang tu betul makan rasuah, takkan kita nak diam buat-buat tak tahu?

  Saya menulis mengikut cara saya sendiri. Terima kasih kepada yang bersetuju mahupun tidak. Kerana saya sedang belajar menerima hakikat bahawa manusia itu tidak sempurna.Saya tidak boleh memuaskan hati semua orang. Pandang sisi mereka terhadap sesuatu perkara adalah berbeza. Ada yang setengah isi dan ada yang setengah kosong. Saya berdoa dan berharap agar lebih banyak ruang dan platform diberikan kepada kedua-dua pihak yakni pro-A mahupun pro-M kerana kerana dari situ kita akan dapat menilai peribadi, idea dan halatuju perjuangan mereka.

Wallahua'lam.

''Free the freedom. restrict the restriction. But guide both of them wisely''.

2 comments:

  1. maaf saudara, saya rasa blog tu hanyalah blog trolling sahaja. sekian mekasih.

    ReplyDelete
  2. betul... xperlu ambil serius..... kalau dibaca semua entry tu mmg nk trolling sahaja... boleh mengelirukan...

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)