Wednesday, September 24, 2014

PROLOG




‘’Dik, jangan banyak mengenang masa lalu. Adik harus bangkit dalam perjuangan hidup. Toh, tu kan masa depannya adik bakal menjadi pemimpin.’’

Terus maju ke hadapan. Lupakan masa lalu. Atau lebih ringkas dipanggil move on atau get over. Interpretasinya berbeza mengikut penilaian dan pengalama diri masing-masing.

Kalau menurut aku, ia bukan terkongkong dalam perkiraan arimetik mudah ‘’cari orang lain’’. 

Menurut aku, itu bukan jalan penyelesaiannya kerana belum tentu orang lain itu mampu membahagiakan kita. Kadang orang yang baru itu sangat berisiko tinggi; cara pandangnya melihat dunia sangat jengkel dan negatif; dunia ini seakan-akan dilukis dengan warna hitam yang malap, lesu dan melelahkan diri kita sendiri akibat tenaga radiasi positif kita disedut oleh orang sebegini.

Jadi perkataan move on/get over itu apa maksudnya?

Ia tentang mengubah diri sendiri. Atau erti kata lain, move on/get over dari diri sendiri di masa lalu.

Apabila kita berubah maka sudut pandang kita juga ikut berubah. Kalau kita berubah menjadi lebih tenang, santai dan berfikiran positif, maka cara pandang kita juga akan menjadi sedemikian. Situasi itu ditaksir menurut pertimbangan fikiran kita sendiri. Sama ada dunia ini dilukis oleh Tuhan dengan warna putih, hitam atau beraneka ragam warnanya, itu terletak pada hati yang melihat.

Jika ada jodoh, aku mungkin akan menghabiskan kisah hidupku dengan orang yang sama; orang yang telah membangunkan satu sisi hidupku yang tidak kuketahui sebelum ini, seseorang yang telah menjadikan aku tegak pendiriannya dengan keberanian yang ditiup tanpa henti. Dialah yang membangunkan dan dialah juga yang menghancurkan impian dan pengharapanku. Orang yang memberikanku kebahagiaan juga adalah orang yang memberikan aku kesengsaraan kerana cinta. (akan kucerita sebentar lagi hal ini)

Nama dan rupa fizikalnya akan kekal. Tetapi tidak fikiran dan emosinya kerana aku yakin, kalau kita sendiri yang berubah maka bagaimana kita melihat sesuatu itu juga berubah dan orang yang kita lihat itu juga pasti akan berubah.
Berubah tanpa perlu paksaan dan harapan. Itulah mengubah dunia dengan mengubah diri sendiri.

Atas kesedaran itulah, aku nekad mencari jalan untuk mengubah hitungan nasibku dan menyelusuri nikmat perjalanan spiritual yang maha luar biasa. Perjalanan yang telah melahirkan untukku definisi move on/get over itu sendiri. Perjalanan yang juga membawa aku untuk bertemu seorang lelaki di pertengahan usia, berambut gondrong, duduk di tepi jalan di atas sebuah tikar sambil mengeluarkan kata-kata yang kalian baca di awal penulisan ini.


Beginilah perjalanan hidupku.

No comments:

Post a Comment

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)