Tuesday, July 8, 2014

AKTA HARMONI NASIONAL: MENJAWAB LAPAN UNSUR PEGUAM MUSLIM UPRo


Sebagai salah seorang ahli jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar NUCC yang terlibat dalam menderaf RUU Harmoni Nasional, saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian saudara Azril dalam menyampaikan pendapat dan komentar beliau tentang perkara-perkara substantif berkenaan RUU Harmoni Nasional. Maka di sini saya menyampaikan penjelasan terhadap lapan unsur yang dikemukakan oleh saudara Azril Mohd Amin dalam artikelnya di siniPenjelasan saya di sini harus dibaca bersama dengan artikel beliau untuk memahami lebih lanjut jawapan-jawapan yang saya sediakan di sini.

UNSUR PERTAMA: RUU TIDAK DIBINCANGKAN DENGAN TELITI

Proses penggubalan RUU Harmoni Nasional masih di peringkat konsultasi dan tidak muktamad. Ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa hasil proses konsultasi yang sedang dijalankan bersama semua pihak. Di samping itu, NUCC sentiasa terbuka menerima cadangan dan jemputan untuk memberi penjelasan berkenaan RUU ini dan bersedia untuk memperbaiki deraf tersebut sebelum ia diserahkan kepada Peguam Negara, Kabinet dan seterusnya Parlimen.

UNSUR KEDUA: PERKARA 3(1) DIKETEPIKAN

          RUU Harmoni Nasional tidak mengenepikan kedudukan Islam menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan kerana tujuan utama RUU dicadangkan ialah untuk menjadikan kebencian berasaskan kaum dan agama sebagai jenayah dan menghapuskan diskriminasi yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.Justeru saya berpendapat tidak timbul isu mengetepikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

UNSUR KETIGA: SEKSYEN 7 DAN PERKARA 153

Seksyen 7 RUU Harmoni dan Rekonsiliasi Nasional perlu dibaca bersama seksyen 9. Seksyen 9 menggariskan beberapa faktor yang perlu diambil kira dalam menentukan sama ada diskriminasi tersebut mengikut lunas undang-undang dan faktor-faktor tersebut meliputi konteks, munasabah dan justifikasi, objektif, mempunyai tujuan yang sah (legitimate purpose) dan lain-lain. Di samping itu, ia tidak menyentuh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang telah dijelaskan dalam seksyen 2(2) RUU Harmoni dan Rekonsiliasi.

Seksyen 7 juga tidak bercanggah dengan Perkara 153 kerana Perkara 153 tidak menjulang agenda ‘’racial superiority’’ atau ‘’racial exclusivity’’. Perkara 153 hanya bertujuan memberi kedudukan istimewa kepada kaum bumiputera dalam beberapa bidang sahaja sahaja seperti yang dijelaskan dalam Perkara 153(2). Peruntukan Perkara 153 hanya bertujuan membantu golongan bumiputera yang kurang berkemampuan dalam bidang-bidang tertentu, jauh sekali mempromosikan idea ketuanan dan eksklusif berkenaan sesebuah kaum. Bahkan, perkara 153 diletakkan di bawah tanggungjawab Yang Dipertuan Agong. Justeru, adalah tidak logik untuk mengaitkan tanggungjawab YDPA ini dengan ideologi racial superiority atau exclusivity. Maka, tidak timbul isu untuk mengubah sebarang dasar tentang tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153 dan isu Perkara 38(5) juga tidak timbul.

UNSUR KEEMPAT: MAJLIS PEGUAM DAN PENGGUBALAN RUU

Adalah tidak benar proses penggubalan RUU ini hanya melibatkan Majlis Peguam sahaja kerana ia adalah inisiatif Jawatankuasa Undang-Undang dan Polisi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) atau juga dikenali sebagai NUCC yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri sendiri. Bahkan ia adalah satu usaha kolektif yang melibatkan rakyat Malaysia secara keseluruhan apabila RUU tersebut dimuatnaik di laman web NUCC (www.nucc.my) untuk dinilai dan mendapat maklumbalas daripada pelbagai pihak. Seperti yang telah dinyatakan, RUU ini belum muktamad dan akan dinilai serta digubal semula dengan membuat sebarang pindaan dan penambahbaikan yang sewajarnya.

UNSUR KELIMA: NIAT MENJULANG PERKARA 8

Sebenarnya, bukan ketiga-tiga RUU yang tertumpu kepada Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan seperti yang dinyatakan oleh saudara Azril. Hanya satu sahaja yang berkaitan dengan peruntukan tersebut iaitu RUU Harmoni dan Rekonsiliasi Nasional.

Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca secara holistik dan menyeluruh sepertimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia [2010] 2 MLJ 333. Jika niat menjulang hak kesamarataan menurut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan itu bertentangan dengan fasal-fasal utama lain dalam Perlembagaan Persekutuan maka Perkara 8 itu sendiri perlu diisyitiharkan tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada pendapat saya, tidak ada salahnya niat menjulang Perkara 8 kerana ia sendiri tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan lain di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia memperuntukkan kesamarataan di sisi undang-undang dan kesamarataan tersebut tertakluk kepada peruntukan-peruntukan lain yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan dan hal ini dijelaskan secara nyata dalam Perkara 8(1) dan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

UNSUR KEENAM: RUU DAN ATEIS

Tafsiran kepercayaan dan agama Seksyen 4 RUU Jenayah Pembencian berasaskan Kaum dan Agama perlu dirujuk dengan Seksyen 5 dan 6. Ini kerana Seksyen 5 dan 6 memperuntukkan kesalahan bagi individu atau kumpulan yang mencetuskan kebencian berasaskan agama dan kepercayaan atau melakukan kecederaan fizikal berasaskan agama dan kepercayaan. Justeru, dalam menjadikan kebencian berasaskan agama sebagai satu jenayah, ia harus meliputi semua aspek agama dan kepercayaan; tidak ada seorang pun yang harus terkecuali.

Sebagai contoh, jika A mencederakan B kerana B adalah seorang ateis, maka A harus dikenakan hukuman sepertimana yang diperuntukkan dalam undang-undang tersebut. Ia juga digunapakai ke atas B(seorang ateis) yang menyerang A hanya kerana A menganut agama Islam.

Tafsiran yang terkandung dalam seksyen tersebut tidak lain hanyalah untuk membantu hakim membuat keputusan sekiranya terdapat kes yang melibatkan RUU ini. Ia bukan bertujuan untuk menggalakkan kebebasan meninggalkan agama mahupun bercanggah dengan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan. RUU ini digubal berdasarkan realiti bahawa wujudnya pelbagai kepercayaan dan agama di negara in maka kita tidak boleh menafikan kewujudan pelbagai agama dan kepercayaan di negara ini.

Bahkan peruntukan RUU ini selaras dengan prinsip yang terkandung dalam Al-Quran iaitu ‘’ dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Berlakulah adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa’’ (surah al-Maaidah 5:8).

UNSUR KETUJUH: TRIBUNAL DAN INSTITUSI KEHAKIMAN

Tribunal adalah quasi-judicial dan tidak bertujuan untuk mengambil alih peranan institusi kehakiman. Matlamat utamanya ialah untuk menyelesaikan kes dalam masa yang singkat dan menjimatkan kos. Tribunal yang dicadangkan dalam RUU ini hanya mengendalikan kes-kes berkaitan diskriminasi sahaja dan menjadi forum untuk menyelesaikan kes-kes berkaitan diskriminasi.

Sebagai contoh, sekiranya seorang Muslimah berhijab tidak dibenarkan bekerja hanya kerana beliau berhijab, maka beliau boleh mengemukakan laporan dan membawa kes ini ke Tribunal tersebut untuk menyelesaikan kes tersebut dalam masa yang lebih singkat dan kos yang sedikit.

Di samping itu, Seksyen 28 RUU Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi memperuntukkan setiap keputusan Tribunal adalah tertakluk kepada semakan kehakiman (judicial review). Justeru, tidak timbul isu pertindihan kuasa mahupun mengambil alih kuasa institusi kehakiman.

UNSUR KELAPAN: TRIBUNAL DAN KUASA MEMANGGIL

Hanya kerana Tribunal boleh memanggil mana-mana pihak dalam prosiding tidak bererti meletakkan hal ehwal Islam di bawah entiti Tribunal tersebut.

Sebagai contoh, jika ada inidividu berautoriti agama Islam menjadi saksi atau responden dalam sesebuah kes berkaitan diskriminasi, apakah individu tersebut tidak boleh dipanggil oleh Tribunal dalam prosiding? Jika tidak boleh maka akan berlaku ketidakadilan dan menyukarkan Tribunal untuk membuat keputusan menyelesaikan kes tersebut.

Bahkan peruntukan Seksyen 23 RUU Suruhanjaya tersebut adalah sama seperti Seksyen 14 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 yang telahpun menjadi undang-undang yang sah sejak 15 tahun yang lepas.

Justeru tidak timbul isu memberi kuasa yang luas kerana peruntukan tersebut bersifat administratif, teknikal dan berkaitan dengan prosiding berkaitan kes diskriminasi semata-mata, jauh sekali untuk meletakkan hal ehwal Islam di bawah Tribunal tersebut.

KESIMPULAN

Saya ingin meminjam petikan penghakiman Tun Suffian dalam kes Ah Thian 1976 2 MLJ 112, ‘’ The doctrine of the supremacy of Parliament does not apply in Malaysia. The power of Parliament and of State Legislatures in Malaysia is limited by the Constitution  and they cannot make any law they please.’’


Dalam proses menderaf dan menggubal RUU ini, tidak dapat dinafikan bahawa RUU ini juga tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan justeru ia sedaya-upaya digubal dan dideraf agar tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Maklumbalas dan penambahbaikan daripada semua pihak amatlah diperlukan kerana zaman ‘Kerajaan tahu segalanya’ sudah berakhir. RUU Harmoni Nasional akan menjadi undang-undang pertama di Malaysia yang melalui proses konsultasi secara terbuka dan tidak ada mana-mana pihak yang diketepikan. Cadangan dan penambahbaikan daripada semua pihak amatlah dialu-alukan oleh NUCC.

No comments:

Post a Comment

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)