To say
the things he truly feels
And not
the words of one who kneels
The record
shows I took the blows
And did
it my way
Semua ada di depan mata. Jaminan masa
depan, pendapatan tetap, tawaran pengajian dalam bidang yang diminati sejak
semester pertama dan tawaran pengajian ke luar negara serta diberi kerja tetap
selepas habis belajar.
Apa lagi yang tak cukup, Zharif? Semua
sudah ada di depan mata.
Dalam hidup ini, tak semua benda boleh
dijual beli atau ditukar ganti. Kalau ada menyangka semuanya punya harga
bererti dia tidak pernah berdiri untuk dirinya sendiri.
Bagi saya, prinsip hidup adalah satu
benda yang tak boleh dijual beli dengan apapun dan itu termasuklah semua
hal-hal yang saya nyatakan di perenggan awal tadi.
Izinkan saya menjelaskan lebih lanjut di
sini.
Sejak cadangan bahawa Rang Undang-Undang
Akta Harmoni Nasional perlu melalui proses konsultasi yang terbuka dan
melibatkan semua pihak, telah timbul niat untuk melibatkan generasi muda kerana
saya percaya mereka adalah pemegang taruh (stakeholder) yang penting di negara
ini. Bayangkan sebuah undang-undang yang akan memberi kesan dalam kehidupan
mereka kelak tetapi golongan ini tidak didengari pandangan dan fikiran mereka.
Setidak-tidaknya mereka diberi ruang untuk bersuara dan menyampaikan fikiran
dengan cara yang penuh hikmah dan intelektual.
Maka bercadanglah saya untuk memberi
penghormatan kepada alma mater saya untuk menjadi tuan rumah dalam mengadakan
konsultasi bersama belia khususnya mahasiswa mahasiswi universiti.
Terdapat perubahan dari segi masa dan
tarikh sebelum kembali ke tarikh asal. Beza tarikh asal dan tarikh yang
bertukar itu cuma dua hari.
Dan perubahan itu membawa kepada berita bahawa konsultasi tersebut
dibatalkan.
Apabila saya bercadang untuk buat semula
ke tarikh asal dengan harapan ia dapat dijalankan semula, ia tidak dapat juga
dilaksanakan.
Jadi, tarikh bukan menjadi masalah.
Walaupun bukanlah rasmi, tetapi menerusi
satu panggilan, saya diberitahu konsultasi tersebut boleh dijalankan tetapi
dengan dua syarat: Tukar tajuk dan tukar salah seorang panelis ( panelisnya
adalah saya dan Dato Saifuddin Abdullah). Menurut panggilan itu juga, hal ini
melebihi jangkauan pihak fakulti. Bererti ianya datang daripada ‘orang-orang
yang lebih tinggi daripada itu’.
Kalau kedua-duanya ditukar, maka apa
lagi erti konsultasi tersebut?
Satu konsultasi terbuka dalam proses
menggubal undang-undang tidak dapat dilakukan di sebuah universiti hanya kerana
kedua-dua alasan tersebut adalah sesuatu yang bukanlah di luar jangkaan saya
tetapi cukup menimbulkan kekecewaan dalam diri saya.
Akhirnya konsultasi tersebut dijalankan di pejabat kerja kami tanpa sebarang kekacauan bahkan aroma intelektualiti itu memuaskan hati semua yang hadir. Tidak kurang juga yang kagum dan seakan tidak percaya bahawa penggubalan undang-undang di Malaysia sudah memasuki fasa baru yakni melibatkan semua pihak termasuklah generasi muda.
Justeru apa kaitannya cerita ini dengan
prinsip saya?
Saya percaya pada kebebasan berfikir dan
menyampaikan pendapat dalam cara yang penuh hikmah dan berintelektual tanpa
rasa takut dan memihak kepada sesiapa (without fear and favour). Saya percaya
setiap orang berhak menyampaikan ideanya walaupun bertentangan dengan pendapat
kita sendiri.
Prinsip itu, adalah satu-satunya yang
tidak boleh ditukar ganti dengan apa pun. Tidak walaupun saya ditawarkan dengan
sesuatu yang lebih daripada apa yang sedang ditawarkan ketika ini.
Apa lagi yang saya ada jika prinsip itu
tidak ada?
Dan apa lagi yang menakutkan jika
prinsip tersebut tidak dapat saya dirikan dalam kehidupan saya kelak di tempat
yang menjadi suapan ilmu saya sebelum ini?
Dah kalau diskusi ilmiah dan intelektual
pun bersyarat yang bukan-bukan, apa lagi yang tinggal untuk sesebuah institusi
pengajian tinggi itu.
Mungkin ada ayng sinis, mungkin juga ada
yang kata saya naif dalam membuat keputusan; menolak jaminan masa depan yang
selesa, selamat.
Tak mengapalah yang itu.
Setidak-tidaknya saya tahu saya tidak hilang prinsip saya. Apabila saya tidak
hilang prinsip, saya tidak hilang diri saya. Apa gunanya jaminan itu ini,
selesa, selamat tetapi jiwa saya memberontak, senantiasa menyalahkan diri
sendiri kerana membuat keputusan tanpa menghiraukan prinsip?
Atas sebab itu, saya menolak tawaran
tersebut dan akan meneruskan kerjaya saya sekarang ini.
Setidak-tidaknya saya
boleh berdiri di atas prinsip saya dalam kerjaya sekarang ini dan sudahlah saya
tetapkan hati bahawa rezeki saya itu ada dalam genggaman Tuhan Yang Maha Merancang.
Apa yang perlu dirisaukan jika Tuhan adalah jaminan dalam hidup?
Walaupun kami ‘dilarang’ daripada
mengadakan konsultasi tersebut, tidaklah kami berniat untuk menolak jika
sebarang bantuan diperlukan daripada universiti itu sendiri. Bahkan beberapa
program yang akan datang melibatkan fakulti pengajian saya telah pun kami
tolong tanpa mengharap ‘dibenarkan masuk semula’ ke
tempat tersebut.
Bukan niat saya untuk memburukkan tempat
saya mengemis dan mencari ilmu sebelum ini tetapi saya yakin bahawa sesuatu
kebenaran tidak boleh ditimbus begitu sahaja. Apa yang benar untuk saya mungkin
tidak untuk orang lain. Tetapi saya tetap percaya dengan apa yang saya tulis di
sini dan tidaklah saya berubah pendirian untuk menambah kurang atau membuangnya
daripada blog ini.
Saya mendoakan agar satu hari nanti kebebebasan berintelektual akan diterima dan menjadi budaya dalam institusi pengajian negara tanpa perlu dibantutkan dengan syarat-syarat ghaib berasal daripada peraturan-peraturan ghaib yang dibuat oleh tangan-tangan yang ghaib.
Dan Tuhan lebih Mengetahui.
No comments:
Post a Comment
hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)