Friday, May 15, 2009

DIHUKUM MATI TAPI MASIH HIDUP




1. 15 Mei 1948 bukanlah hari jadi saya apatah lagi hari jadi ahli keluarga saya. Tetapi tarikh ini merupakan hari jadi yang ke-61 kepada sebuah negara yang bernama Israel.

2.Tanggal tarikh ini juga bermula nakbah Palestin atau hari-hari kematian bagi penduduk Palestin.

3. Negara-negara Arab menentang keras penubuhan Israel lantas mengumumkan perang ke atasnya tetapi ternyata Israel yang baru sahaja berusia beberapa tahun ketika itu sudah dapat menumbangkan gergasi-gergasi arab sehingga ada di antara mereka yang akhirnya berdamai dan memulakan hubungan diplomatik bersama Israel.

4. Ketika berusia 19 tahun, Israel sudah berhasil menakluk Jerusalem atau BaitulMaqdis, yang menjadi kota suci umat Islam dan juga tempat ibadat penganut Kristian. Kalau dahulu wilayah mereka cuma beberapa peratus sahaja tetapi hari ini mereka telah mendominasi tanah Palestin dan sekarang ini sedang menumpukan usaha untuk meneruskan pembinaan haykal Sulaiman yang akan menjadi tempat ibadat mereka di masjid al-aqsa.

5. Palestin kini terbahagi kepada dua:Gaza dan Tebing Barat. Kehidupan mereka melarat dan seolah-olah terpenjara di tanah air sendiri. Perjuangan mereka hanya mendapat sokongan lisan daripada negara-negara Islam tetapi mereka terpaksa berjuang sendirian menghadapi peluru Israel.

6. Kenapa kita harus memberikan lagi kepercayaan kepada Amerika untuk terus menjadi orang tengah dalam konflik ini?61 tahun mereka sudah menjadi orang tengah tetapi hasilnya masih sahaja mendukacitakan. Apatah lagi hubungan karib mereka sudah terserlah saat Olmert mendedahkan betapa kecutnya George Bush dengan Israel ketika persidangan PBB yang lepas.

7. Sejak pentadbiran Tun Abdullah perhatian Malaysia terhadap Palestin tidak sehebat dan seserius ketika di bawah pentadbiran Tun Mahathir. Malaysia dilihat lebih senyap, 'tak apa' dan mengambil pendirian mengutuk sahaja tetapi langkah yang lebih berkesan masih juga belum ada. Cadangan Malaysia tatkala serangan Israel ke atas Palestin awal tahun ini juga hanya diterima oleh PBB saat peperangan sudah memakan ribuan nyawa rakyat Palestin.

8. Adakah cukup dengan sekadar demonstrasi?Jawapannya tidak. Kita perlu lebih dari itu. Tekanan demi tekanan perlu diberikan supaya Amerika mendesak Israel menamatkan sekatan ke atas Gaza. Mesir juga harus bertindak membuka laluan dan memberikan bantuan kemanusiaan ke atas saudara seagama sendiri. Tembok Apartheid yang sudah diklasifikasikan sebagai tembok haram oleh ICJ perlu diruntuhkan jika benar-benar mematuhi undang-undang.
9. Mungkin ramai yang berpendapat lebih uruskan masalah negara sendiri daripada sibuk menguruskan negara lain. Ya memang negara kita sedang menghadapi pergolakan politik tetapi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk terus menyambung usaha menyampai dan menyebarkan maklumat tentang Palestin kepada rakyat Malaysia baik melalui media massa mahupun media elektronik.

10. Keadilan dan pembelaan untuk Palestin sukar untuk menjadi realiti sekiranya Amerika terus menjadi tulang belakang Israel. Undang-undang bahkan mahkamah antarabangsa mahupun PBB juga berada di bawah telapak kaki Amerika dan mereka seolah-olah dikawal dan diatur supaya apa saja keputusan mesti berpihak kepada Israel.Jika tidak sekalipun, tidak ada tindakan yang perlu diambil ke atas sekutu rapatnya itu.

11. Rakyat Palestin sudah terpenjara di tanah air sendiri dan sedang menghadapi ancaman kebuluran dan kematian lantaran penjara yang dicipta oleh rejim Zionis sendiri. Isu ini perlu dilihat bukan saja dari konteks agama tetapi keseluruhan rakyat Palestin itu sendiri kerana rakyat Palestin bukan sahaja terdiri daripada Islam tetapi ada juga yang menganut Kristian. Walaupun terdapat perbezaan agama tetapi matlamat dan ideologi mereka tetap sama: kembalikan semula hak tanah air kepada mereka!

12. 61 tahun yang lepas penubuhan negara haram Israel simbolik kepada hukuman mati yang dikenakan ke atas rakyat Palestin. Mereka(Israel dan kuasa barat) sudah menyangka bahawa penduduk di tanah suci ketiga bagi umat Islam ini sudah benar-benar mati dan mereka boleh hidup aman dan sentosa di negara yang bernama Israel.

Tetapi hukuman mati yang dikenakan itu terus menghidupkan semangat perjuangan rakyat Palestin untuk mempertahankan maruah dan keadilan sehingga ke saat ini!

2 comments:

  1. Pope Benedict kata Vitican sokong penubuhan sebuah negara Palestin. Pd tahun 2000, John Paul II kata: "Tidak akan ada keamanan tanpa keadilan, tiada keadilan tanpa kemaafan."

    Persoalannya adakah cakap serupa bikin?

    ReplyDelete
  2. kesian rakyat palestin menderita tak habis2...

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)