Sunday, May 10, 2009

SALUT UNTUK MAMA


1. ''Seorang anak yang hebat lahirnya dari seorang ibu yang hebat.'' Begitulah ucapan musisi Indonesia yang terkenal Ahmad Dhani. Ternyata kehebatan dan kejayaan beliau dalam hidup adalah hasil daripada ketaatan dan kepatuhannya kepada seorang insan yang bernama ibu.

2. Saya sendiri bersyukur kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana, baik dan harmoni. Meskipun ibu saya bukanlah daripada orang-orang terkenal, tetapi beliau di mata saya tetap yang terbaik dan sepanjang hayat saya akan terhutang budi dengan seorang insan yang bernama ibu.
3. Hubungan saya dengan ibu sangat rapat sejak kecil lagi berikutan kerjaya ayah yang sentiasa berada di laut dan jarang sekali berada di rumah dan memang kehidupan saya semasa kecil sangat bergantung kepada ibu. Bahkan ketika pendaftaran sekolah rendah pun ibu yang bertungkus-lumus sendirian menguruskan saya kerana waktu itu ayah bertugas sebagai pemerhati pihak PBB di Sahara Barat.
4. Tidaklah dapat saya perincikan satu per satu pengorbanan ibu kepada saya tetapi cukup untuk saya mengingatinya sebagai seorang ibu yang sangat sabar dan tabah. Dan antara perkara-perkara yang tidak akan saya lupa adalah kehadiran ibu setiap kali hari anugerah cemerlang bermula dari tadika sampailah saya tamat tingkatan 5. Tidak lupa juga kewajipan ibu yang menghantar dan mengambil saya ketika alam persekolahan.
5. Saya tidak cerewet dalam makanan. Apa yang ibu masak saya makan dan biasanya saya dan abang bergilir-gilir memesan menu untuk masakan hari esok. Tapi bila sampai di giliran saya, biasanya saya memberi jawapan 'tak kisah'. Tetapi masakan ibu yang paling digemari adalah kuah kacang untuk masakan lontong dan ketika berada di UiTM antara perkara yang membuatkan saya rindu untuk pulang ke rumah adalah kopi di waktu pagi dan teh tarik di waktu petang yang ibu sediakan. Bahkan saya akan menelefon ibu malam atau beberapa jam sebelum peperiksaan untuk mendapatkan ketenangan dan semangat untuk menjawab exam.
6. Mengapa syurga di bawah telapak kaki ibu?Kenapa tidak di wajahnya ataupun di kepalanya? Syurga itu merupakan satu tempat di mana nikmatnya kekal abadi dan ia merupakan setinggi-tinggi tempat dan darjat kepada manusia. Ini memberi isyarat bahawa semulia-mulia tempat yang diciptakan Allah adalah di bawah keredhaan seorang insan yang mulia bernama ibu.

7. Sewaktu sekolah setiap kali waktu pulang saya akan duduk di belakang kereta dan membaca suratkhabar. Kawan-kawan ibu yang nampak mengusik ibu yang dia menjadi 'pemandu' kepada perdana menteri.Pada saya ibu bukan 'pemandu' tetapi 'pembentuk'.

8.Dan insyallah saya akan membanggakan ibu dengan menjadikan gurauan itu satu kenyataan satu masa nanti dan orang pertama yang akan saya jumpa setelah saya menjawat jawatan itu adalah: IBU.

9. Saya selalu berdoa dan berharap mudah-mudahan saya lahir daripada seorang ibu yang hebat!

Salut untuk ibu!

4 comments:

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)