Wednesday, May 13, 2009

SEJUK DAN PANAS 40 TAHUN

''Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adilla kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.'' Al-Maidah ayat 8.

1. Meskipun hati saya pernah 'dikhianati' oleh gadis berbangsa Cina tetapi tidak sedikitpun saya membenci atau berdendam dengan kaum Cina kerana itulaha ajaran agama yang termaktub oleh kitab suci Quran. Lagipun pada saya soal peribadi tidak boleh bercampuraduk dengan hubungan sosial bahkan dengan kawan-kawan Cina yang lain saya masih berhubung dan hubungan kami masih saja baik dan tenang.

2. Meskipun sudah 40 tahun tragedi rusuhan kaum berakhir tetapi kesannya masih dapat dirasai sehingga sekarang. Sesiapa yang hidup pada tahun 1969 pasti tidak akan dapat melupakan kejadian-kejadian yang berlaku di mana ramai yang kehilangan nyawa, harta benda yang musnah dan perintah darurat diisytiharkan.

3. Sehubungan dengan itu, rukun negara diperkenalkan berpaksikan 5 perkara yang dapat menjamin perpaduan antara kaum. Dasar DEB juga menjadi pemacu kemajuan dan keseimbangan ekonomi antara kaum.

4. Meskipun ada beberapa ketika hubungan yang harmoni ini diuji dengan beberapa isu tetapi alhamdulilah tragedi 13 Mei 1969 tidak mempunyai siri selanjutnya. Ya memang diakui terdapat beberapa isu yang panas dan masih belum selesai seperti kontrak sosial, hak bumiputera, kek ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

5. Namun isu-isu yang panas ini perlu ditangani dengan tangan dan kepala yang sejuk. Permuafakatan yang terbentuk sejak awal kemerdekaan perlu diutamakan dan bukannya melontarkan rasa tidak puas hati dengan mengheret negara ke kancah pergaduhan dan persengketaan. Apatah lagi apabila ia berlaku maka kuasa luar yang menangguk air keruh sentiasa ternanti-nanti untuk masuk campur dan memberi bantuan kepada pihak yang meminta bantuan untuk menang. Apa yang terjadi adalah maruah negara tergadai dan kemerdekaan yang dikecapi akan hilang.

6. Ambillah pengajaran Perang Korea yang telah memisahkan sebuah negara menjadi dua sedangkan kedua-dua negara itu adalah bangsa yang sama. Akibat masuk campur kuasa asing maka negara yang dahulunya satu kini berpecah. Perang vietnam juga wajar dijadikan iktibar betapa masalah dalaman kadang-kadang mengheret ke arah peperangan yang lebih teruk.

7. Jadi wajarlah Malaysia yang berbilang kaum ini mula menepis rasa prejudis dan mengambil jati diri sebagai bangsa Malaysia demi meneruskan pembangunan dan kemajuan negara. Sudah tiba masanya kita melangkah lebih jauh dan tidak mengungkit kembali kisah-kisah lalu yang akan mencetuskan konflik dan krisis.

8. Sewaktu kekalahan di Bukit Gantang, UMNO menyalahkan MCA kerana gagal menarik pengundi Cina untuk mengundi. Memang adalah satu fakta bahawa undi Cina telah membantu kemenangan parti pembangkang dalam pilihanraya tersebut.

9. Tetapi menurut saya ini bukanlah masa yang tepat untuk menuding jari kepada sesiapa. Bahkan UMNO sendiri mempunyai kelemahan dan kesilapan yang perlu diatasi. Kerajaan sendiri perlu mendalami masalah sebenar yang dihadapi masyarakat cina dan mengembalikan keyakinan mereka untuk menyokong semula BN. Bukanlah tanggungjawab MCA dan Gerakan semata untuk mendapatkan sokongan Cina sementara MIC sahaja bertanggungjawab untuk pengundi India dan UMNO untuk Melayu. Seluruh komponen dalam BN itu bertanggungjawab untuk semua pengundi tanpa mengira apa jua bangsa dan negara kerana rakyat menilai berdasarkan kolektif dan parti keseluruhannya.Barulah titik penyelesaian dapat dicari, bukannya alasan dan tuding-menuding menjadi sandaran.

10. Benarlah kata-kata pujangga 'Mengisi kemerdekaan itu lebih sulit daripada mencapai kemerdekaan!'

No comments:

Post a Comment

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)