1. Apa akan jadi sekiranya pengajar memandu anda tidak melakukan sebarang ujian, test dan latihan kepada anda di jalanraya yang sebenar sebelum anda diuji oleh pegawai JPJ? Kalau anda berjaya lulus maka tahniah!itu adalah salah satu keajaiban dalam dunia.
2. Beberapa minggu yang lalu saudara Manoharan dibebaskan dari ISA setelah parlimen Kota Alam bakal berdepan dengan pilihanraya jika beliau masih di dalam tahanan. Selain dari itu, BN juga membuat keputusan untuk menolak pembubaran DUN dan mengemukakan rayuan supaya keputusan mahkamah tinggi berkenaan kes Ir.Nizar dihalang. Hari ini satu lagi keputusan diambil oleh BN untuk tidak bertanding dalam pilihanraya kecil Penanti kelak.
3. Alasan yang diberi agak panjang tetapi bolehlah saya bahagikan kepada tiga: pengosongan kawasan ini tidak mengikut perlembagaan, taktik pembangkang dan BN mahu fokus untuk isu-isu negara.
4. Para pembaca sekarang pasti ingat tentang kenyataan saya supaya BN tidak perlu bertanding dalam PRK Penanti kelak atas alasan pembaziran duit dan taktik pembangkang untuk menghilangkan fokus DS Najib daripada meneruskan kerja mengatasi masalah utama seperti kegawatan ekonomi.
5. Melihat situasi yang semakin rumit apabila rakyat mula mempercayai bahawa BN takut kalah lagi dengan menolak pembubaran DUN Perak ditambah dengan masalah dalaman parti pembangkang sendiri di Penanti, saya mula berpendapat bahawa kerajaan perlu bertanding di Penanti dengan satu alasan sahaja: KEMBALIKAN KEPERCAYAAN RAKYAT KEPADA BN.
6. Saya tidak tahu samada pengosongan kawasan Penanti ini tidak selari dengan perlembagaan kerana saya masih di peringkat asasi undang-undang(mungkin perlu tunggu lagi 5 tahun untuk saya menjelaskan perkara ini setelah bekerja di AG Chamber dalam Drafting Chamber). Berkenaan dengan alasan kedua, saya juga ini taktik pembangkang untuk menaikkan self-esteem dan confident mereka bahawa mereka masih menerima sokongan rakyat jika menang dalam PRK itu nanti.
7. Meskipun saya sendiri tidak yakin BN akan menang di Penanti tetapi taktik pembangkang ini juga boleh membawa padah kepada mereka sendiri; jika menang sekalipun mungkin berdepan dengan pengurangan undi majoriti apatah lagi masalah dalaman yang saya maksudkan sebentar tadi adalah pendirian PAS Pulau Pinang yang masih tidak berpuashati dengan calon PKR dan juga isu berkaitan peletakan jawatan Fairus. Bukan untuk melagakan PAS dan PKR tetapi inilah hakikat sebenar yang terjadi dan semua yang membaca akhbar pasti tahu akan hal ini. Samada ia sudah selesai atau tidak saya serahkan pada Tuhan yang Maha Mengetahui.
8.Niat BN untuk meneruskan tumpuan kepada agenda utama negara sangat saya hargai apatah lagi negara dan dunia amnya sedang berdepan dengan isu krisis ekonomi dan virus selsema babi. Tetapi benarkah tumpuan itu? Apakah langkah-langkah dan program yang telah dirancang dan bakal dijalankan oleh BN untuk memenangi semula hati dan fikiran rakyat?Apakah media-media sekarang ini memberikan tumpuan kepada perkembangan ekonomi Malaysia, apakah usaha kerajaan untuk mengatasi masalah ini ditonjolkan oleh media-media lebih hebat daripada isu politik?Bagaimana pula dengan isu harga ayam?Isu PPSMI?Isu-isu jenayah?Adakah usaha kerajaan ini mendapat publisiti meluas di media?Atau usahanya ada tetapi minimal sehingga sukar untuk diwar-warkan kepada rakyat? Pastinya kita ingin tahu bagaimana prestasi ekonomi sekarang, berapa ramai yang dapat kerja balik, data-data berkenaan eksport dan import serta sejauh mana keberkesanan pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan beberapa ketika lalu.
9. Dari sudut lain pula, ini mungkin satu strategi BN yang lain untuk memantapkan semula jentera-jentera parti di samping melakukan kerja-kerja secara senyap untuk memulihkan semula imej parti serta mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada kerajaan. Kalau begitu kenapa harus semua tertumpu kepada masalah politik Perak?Jika mahkamah Tinggi sudah memutuskan kepada Ir Nizar maka pada fikiran saya tidak salah untuk membawa kes ini kepada mahkamah rayuan dan mahkamah Persekutuan tetapi tak perlulah buat rayuan untuk menangguhkanb keputusan tersebut supaya Ir.Nizar tidak dapat melakukan fungsi sebagai MB. Biarlah dia jadi MB sampai Mahkamah Persekutuan memutuskan siapa yang layak dan dalam kesempatan masa yang ada itu, semua ADUN BN dan jentera parti BN termasuk pemimpin-pemimpin tertingginya datang ke Perak, buat satu rapat umum dan penjelasan kepada rakyat tentang perkara yang sebenar, kedudukan yang sebenar dan jalankan tugas seperti biasa sehingga kata putus datang dari mahkamah Persekutuan.
10. Kalaupun Ir.Nizar mengusulkan pembubaran DUN kepada Sultan, tidak semestinya Sultan harus menuruti usul itu. Jadi kenapa nak buat rayuan penangguhan keputusan mahkamah tinggi? Pada saya saat kita menjadi 'pembangkang' atau 'pengalah' inilah satu detik yang sesuai untuk kita berundur,mengumpul semula kekuatan, memulihkan kepercayaan rakyat yang sudah 'letih' dan kembali 'menyerang' apabila waktunya sudah tepat(yakni selepas keputusan Mahkamah Persekutuan).
11. Pengunduran BN ini juga memungkinkan pertandingan PKR dengan parti bebas di mana salah seorang dari parti bebas itu merupakan bekas orang kuat PKR. Barangkali BN mahu parti bebas ini yang juga merupakan bekas orang kuat PKR membuka sendiri kepincangan dan agenda PKR yang semakin bercelaru itu. Ini juga tidak keterlaluan saya katakan satu taktik untuk memberitahu bahawa BN tidak berbohong apabila mendedahkan siapa PKR yang sebenar kerana parti bebas sendiri sudah mengiya dan menyokong hal itu. Bererti ada juga satu kemungkinan bahawa BN akan menolong secara tidak langsung kepada parti bebas ini(calonnya adalah wanita dan maaf saya tidak take-note tentang namanya).
12. Tetapi menurut saya, masih, BN sewajarnya bertanding untuk membuktikan bahawa mereka bukanlah 'pengecut' seperti yang rakyat yakini sekarang dan membuka mata PR akan menurunnya undi majoriti yang diraih oleh mereka. Masalah dalaman dalam PR itu sendiri memberi peluang untuk BN menyerang dan meragukan kepercayaan rakyat kepada kemampuan PR untuk menjadi wakil DUN Penanti. Namun keputusan itu telah diputuskan dalam mesyuarat tertinggi BN jadi saya menghormati keputusan pimpinan.
13. Namun, PRU 13 dalam masa 3 tahun akan datang tetap dan pasti akan berlaku. Jadi kenapa tidak kita melalui ujian-ujian kecil dahulu untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan sendiri mahupun musuh supaya lebih siap menghadapi pilihanraya akan datang?
14.Adalah salah untuk masuk ke medan perang dengan mentaliti bahawa 'kita akan kalah' kerana kekalahan itu benar-benar akan menimpa kita. Tetapi prinsip 'lawan dulu, menang kalah belakang cerita' akan lebih dihormati dan disanjung ramai. Bersedia untuk kalah lebih baik dan lebih mendapat penghormatan.
''PENGECUT ITU MATINYA BERIBU KALI. ORANG YANG BERANI MATINYA SEKALI IAITU MATI YANG SEBENARNYA''-HAMKA
''BERUNDUR SELANGKAH UNTUK MARA SEPULUH LANGKAH''-TSU TZU
Apapun keputusan telah dibuat dan biarlah anda yang sedang membaca menilai dan membuat pandangan sendiri!
saya jg spt saudara ..mash tak dpt jawapan kenapa BN putuskan tak mau bertanding ,BN parti besar..kalau kerana 3 alasan itu rasanya tak wajar, ini bukan macam main dam aji
ReplyDeleteatau mungkin sekadar gimik sebelum hari penamaan calon.
Nak tgk dlm tempoh kempen ni berapa ramai org UMNO (BN) yg berkampung kat Penanti..membazirkah?
p/s: saya org gomen