Monday, April 6, 2009

SIAPA MENANG BUKIT DAN BATANG?

Esok akan berlangsung pilihanraya kecil di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai. Akan bermula penentuan samada rakyat masih percaya dengan kepimpinan BN dan akan menentukan samada orang Melayu masih lagi percaya dengan UMNO yang baru pulih dengan kehadiran Tun Mahathir serta kepimpinan baru yang disusun sewaktu perhimpunan Agung beberapa minggu yang lepas. Yang pasti undi 'tidak percaya' rakyat sewaktu pentabdiran Tun Abdullah akan kembali semula selepas Tun Mahathir mengekspresikan kepercayaan beliau kepada kepimpinan baru UMNO.
Pasti ramai penyokong PR kecewa apabila pemimpin suci mereka iaitu DS Anwar Ibrahim menangguhkan pengumuman besar beliau malam semalam kepada 7 April. Satu lagi retorik supaya orang datang dan mendengar ceramah beliau.Apa yang harus disembunyikan kalau perkara itu benar?Apa yang dimaksudkan oleh beliau dengan keadaan sekarang tidak selamat untuk mengumumkan perkara itu? Apakah DS Anwar akan menggunakan pengumuman itu untuk memburukkan DS Najib sekiranya BN menang esok?Bagaimana pula kalau PR yang menang?Adakah DS Anwar akan mengumumkan juga pengumuman besarnya itu?Apakah rakyat akan masih percaya dengan janji beliau untuk memberitahu pengumuman itu selepas pilihanraya selepas janji pertama ini telah dimungkiri?Atau mungkin janji pengumuman ini untuk eskapisme kepada rakyat supaya melupakan janji beliau yang tidak tertunai pada 16 September lepas?Para penyokongnya akan menjadi 'followers in waiting' sebagaimana beliau menjadi 'Prime Minister in waiting'.
Apakah isu Altantuya akan terus membayangi pentadbiran DS Najib?Apakah pihak pembangkang berjaya menyakinkan rakyat dengan isu ini di samping menggunakan kemenangan Ketua Pemuda sebagai bahan untuk membuktikan bahawa UMNO masih korup?Isu penderhakaan dan rampasan kuasa di Perak terus menjadi pertikaian untuk membuktikan siapa yang benar atau salah. Sementara nun jauh di seberang laut China Selatan, isu yang sama turut berkumandang di Batang Ai dan kali ini isu kebajikan penduduk di sana menjadi 'perencah' tambahan kepada pilihanraya kali ini.
Mengikut perkiraan saya, BN akan menang satu bukit di Kedah dan satu batang di Sarawak sementara PR akan menang satu bukit di Perak. Ini hanya satu kemungkinan sahaja. Samada benar atau tidak ia terletak di tangan pengundi esok.
Selamat mengundi dan selamat menentukan masa depan negara!

2 comments:

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)