1.Saya tidak tahu samada gambar di atas sesuai atau tidak tetapi melihat keadaan sekarang saya tidak ada keraguan bahawa Pilihanraya Umum akan datang bukan lagi parti UMNO yang memerintah Malaysia.
2. Ketika hari ke 100 pentadbiran Datuk Seri Najib beliau berjanji untuk menghapuskan rasuah. Tetapi kenapa sekarang pada hari ini, diumumkan bahawa calon UMNO di Bagan Pinang adalah seorang yang pernah didapati bersalah atas kesalahan rasuah politik?
3. Sudah cukup MT UMNO sudah dijejaskan dengan kehadiran seorang perasuah politik yang menjadi Ketua bagi sayap kanan parti dan sekarang calon untuk pilihanraya kecil di Bagan Pinang adalah seorang yang mempunyai imej yang serupa?
4. Seluruh bahagian UMNO Negeri Sembilan memberi sokongan kepada pencalonan Tan Sri Isa Samad. Saya sendiri menganggap mungkin UMNO sudah tidak mempunyai ahli yang lebih layak dan bersih untuk dicalonkan. Tidak dinafikan sokongan akar umbi itu penting tetapi sokongan rakyat itu adalah lebih penting dan pilihanraya kali ini telah membuktikan sekali lagi bahawa UMNO merestui ahlinya yang terlibat dalam rasuah politik untuk mewakili dan membela nasib rakyat.
5.UMNO lebih rela untuk menang dalam pertempuran kecil daripada melihat skop yang lebih besar iaitu pilihanraya umum akan datang.Kita harus meyakini akan wujudnya satu perkataan yang dipanggil 'social stigma' atau 'social repurcussion' di mana persepsi sosial akan menimpa kepada mana-mana pesalah dan ia sangat sukar untuk diubah. Ternyata orang UMNO yang saya jumpa ketika dahulu yang menganggap saya tidak layak untuk bercakap hal politik kerana tidak cukup umur adalah sama dengan orang UMNO yang lainnya; tidak pernah mahu melihat ke masa hadapan dan memikirkan kesan pada masa akan datang.
6. Pastinya rakyat berasa 'tertipu' dan yakin bahawa UMNO tidak akan berubah dan akan tetap dirantai dengan masalah rasuah politik. Pastinya juga dilema akan melanda pengundi-pengundi yang bakal mengundi pada pilihanraya umum akan datang termasuk pengundi-pengundi muda dan baru kerana kami semestinya tidak mahu menyokong parti yang merestui rasuah secara terang-terangan dan sayangkan ahlinya yang rasuah daripada rakyat.
7.Mungkin tidak adil untuk terus menghukum. Tetapi inilah bukan waktu yang tepat untuk membenarkan lagi dakwaan pembangkang bahawa UMNO benar-benar korup dan tidak layak lagi mentadbir negara.Keadaan sekarang sudah tidak ubah seperti mengusung partinya sendiri ke dalam kubur politik dan siap mengikuti jejak langkah senario politik Jepun yang sudah beralih pentadbiran.
8.Saya tidak terkejut UMNO akan menang dalam pilihanraya Bagan Pinang tetapi saya juga tidak terkejut jika UMNO akan kalah dalam pilihanraya umum akan datang.
Mayat sudah, kubur dah siap, keranda sedang diusung, nisan sudah siap dipacak....
Bila nak baca yaasin pula?