Sunday, December 6, 2009

Waris Mewarisi...

1. Aristotle dalam catatannya memberitahu bahawa sistem demokrasi adalah sistem yang terburuk kerana terlalu banyak pendapat dan ini akan menyukarkan proses membuat keputusan. Beliau lebih cenderung dengan menggunakan sistem aristokrat ataupun monarki.

2. Pendapat ini kemudiannya dipertikaikan kerana Aristotle tidak membuat penilaian secara menyeluruh akan sistem kerajaan di dunia dan beliau memberi pendapat mengikut zaman di mana beliau hidup. Barangkali Aristotle termasuk dalam golongan bangsawan @ aristokrat sebab itu beliau menyokong sistem ini.

3. Sistem Khalifah Islam telah menyaksikan kegemilangan yang sungguh hebat terutama di bawah pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab. Beliau dipilih oleh Saidina Abu Bakar r.a. untuk menjadi khalifah kedua meskipun jika diteliti Saidina Umar jauh lebih muda daripada Saidina Usman bin Affan( yang kemudiannya menjadi khalifah ketiga). Sistem khalifah ini sebenarnya tamat selepas kewafatan Saidina Ali r.a kerana selepas itu, pemerintahan Islam bertukar menjadi pemerintahan yang dipanggil pewarisan; di mana anak kepada pemerintah Islam akan mewarisi tampuk pentadbiran.

4.Kesudahannya, kekuatan Islam berakhir dan berlaku banyak pecah-belah dalam wilayah kekuasaan Islam sehingga menyebabkan kuasa barat berhasil menakluk wilayah-wilayah Islam.

5. Begitu juga di Tanah Melayu sebelum kehadiran penjajah. Kita pasti mengingati peristiwa kebesaran jiwa Bendahara Tun Perak apabila memaafkan Sultan Muhammad yang membunuh anaknya dan meminta Sultan Muhammad menjadi sultan di wilayah Pahang, tidak di Melaka. Jika dilihat dari segi moral memang agak tidak adil apabila seseorang yang membunuh boleh diangkat menjadi sultan. Bahkan kalau dilihat dalam zaman mesopotamia kod hammurabi juga dilihat tidak adil kerana memberi keringanan kepada golongan atasan ataupun pemerintah dalam menjalani hukuman.

6.Ketidakcekapan Sultan Mahmud dalam mentadbir Melaka telah membawa kepada penguasaan Portugis. Peristiwa di Johor yakni kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang juga menjadi satu isyarat bahawa jika sistem pewarisan boleh membawa kepada 'malapetaka' jika tiba giliran kepada mereka yang tidak cekap. Ada pepatah Melayu mengatakan ''Raja Adil Disembah Raja Zalim Disanggah''

7. Kita bersyukur kerana sistem pentadbiran di negara ini adalah monarki berpelembagaan. Ia juga bererti bahawa bidang kuasa Sultan juga tertakluk dalam perlembagaan negara dan artikel 182 dan 183 memberi isyarat bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang. Bahkan ketua eksekutif ( perdana menteri) dipilih melalui pilihan raya. Memberi peluang kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka dengan suara majoriti.

8. Suara majoriti tidak boleh dipinggirkan.Mungkin pihak yang memperkenalkan sistem pewarisan adalah mereka yang layak dan mampu membuat kerja dan bertanggungjawab tetapi pihak seterusnya yang menggunapakai sistem tersebut tidak semestinya layak dan berkemampuan. Tindakan memperkenalkan sesuatu sistem menggunakan standard diri sendiri tanpa memikirkan untung rugi orang lain pada masa hadapan adalah tindakan yang 'kurang cermat'. Hakikatnya apabila kita sudah memulakan sesuatu agak sukar untuk mengubahnya kembali dan kitaran kurang cermat itu akan berterusan sehingga ada orang yang sanggup menghentikannya demi kepentingan orang ramai.

9. George Santayana pernah memberitahu ''Sesiapa yang tidak mempelajari sejarah akan mengulangi kesilapan yang sama''. Mendapat A dalam subjek Sejarah tidak memberi jaminan bahawa kita telah benar2 mempelajari sejarah.

Keadaan sama. Cuma waktu berbeza

2 comments:

  1. entri ni mengingatkan sejarah yang pernah kita belajar...belajar daripada sejarah...

    ReplyDelete
  2. assalammualaikum

    didoakan satu hari nanti sistem khalifah seperti zaman 4 orang sahabat akan muncul semula.ameen.

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)