Thursday, September 8, 2011

Tentang Dua Mat

 Suasana Aidilfitri tahun ini agak terganggu dengan berita yang tak putus-putus mengenai ceramah Mat Sabu yang mengangkat Mat Indera sebagai hero sebenar sewaktu kejadian serangan Bukit Kepong. Dari televisyen sampailah ke surat khabar semuanya bercerita mengenai kenyataan orang nombor dua Parti PAS ini.

   Entri ini ditulis bukanlah untuk memanjangkan lagi cerita jauh sekali untuk menghentam mana-mana pihak kerana tugas ini telah dijalankan dengan begitu baik oleh media mahupun blogger-blogger yang lainnya.

  Dan sebelum kita pergi lebih jauh, sejarah atau di dalam bahasa Inggeris, History adalah kejadian yang telah berlaku. Apapun aku lebih tertarik dengan perkataan History itu sendiri kerana jika disebut dengan lebih perlahan ia akan berbunyi '' His story'' atau erti kata lain cerita dia. Cerita siapa? Menurut Bernard Shaw salah seorang ahli falsafah Inggeris sejarah adalah ditulis oleh ''mereka yang menang''. Bila difikirkan semula ada kebenaran daripada ungkapan di atas. Kalau tentera Nazi yang memenangi Perang Dunia Kedua sudah pasti sejarah yang akan kita terima adalah berbeza dengan sekarang. Namun secara jujurnya, aku berpendapat setiap orang mempunyai sejarah tersendiri. Kita semua mempunyai sejarah tersendiri dengan melihat kejadian yang telah berlaku mengikut perspektif dan pandangan kita sendiri. Bezanya, samada sejarah mengikut perspektif kita itu adalah cerita yang dikongsi oleh pihak majoriti atau minoriti.

Tentang Mat Sabu


   Kenyataan Mat Sabu itu, menurutku tidak lebih daripada seorang rakyat biasa yang tidak menghabiskan sebahagian umurnya untuk menyelidik sejarah negara sepertimana yang dilakukan oleh sejarawan-sejarawan negara. Beliau juga, bukanlah pemegang ijazah mahupun doktor falsafah mengenai sejarah negara justeru pandangan beliau itu adalah pandangan ''layman''. Sama seperti orang yang tidak membaca teks penghakiman dari mukasurat pertama sehingga mukasurat terakhir dan kemudiannya terus mengkritik,menghentam, menuduh hakim itu bias, berat sebelah pandangan-pandangan sebegini dikategorikan sebagai ''layman'' atau ''reasonable man''. Sudah menjadi kebiasaan bagi kita untuk membuat kenyataan dan kritikan tanpa mengetahui perkara tersebut dalam dan luar. Yang biasa diketahui hanya luaran semata-mata.

   Justeru yang layak untuk membincangkan samada Mat Indera ini sebagai pejuang atau pengganas komunis  adalah tokoh-tokoh sejarawan negara termasuk ahli-ahli keluarga polis yang terlibat juga ahli keluarga Mat Indera.Bukannya ahli politik.

   Kita mafhum  bahawa keluarga Mat Sabu tidak terlibat dalam serangan Bukit Kepong tersebut. Tidak ada keluarga beliau yang terkorban sewaktu serangan tersebut. Kenyataan beliau itu, adalah kenyataan seorang ahli politik dan pandangan beliau itu terbatas dalam konteks politik semata.

Barangkali kesilapan Mat Sabu adalah tidak membawa buku ini sewaktu mengeluarkan kenyataan tersebut


Tentang Mat Indera


Memandangkan penulis blog ini seorang yang semakin pemalas gara-gara sudah 4 bulan tidak mengaktifkan intelektualitinya, justeru aku sediakan di sini butiran Mat Indera daripada buku di atas. Macamana aku boleh dapat, itu jangan tanya. Yang pasti dah dekat 3 tahun buku tu menjadi penghuni rak buku di bilik aku.







Sedikit petikan daripada buku Pengukir Nama Johor mengenai Mat Indera:

''Seramai 43 orang calon telah berjaya dalam peperiksaan kelayakan menjadi guru agama. Hanya dua orang daripada yang lulus itu diberi penghormatan menerima anugerah butang perak yang mengandungi lambang kerajaan negeri Johor, yang layak dipakai sebagai lambang keperibadian dan kecermelangan.Seorang daripadanya ialah mat Indera''- m/s 110


'' Beberapa orang saksi telah memberitahu pihak penyiasat Inggeris bahawa Mat Indera yang melakukan serangan itu.Dakwaan mereka menimbulkan keraguan kerana bagaimana mereka dapat mengenali Mat Indera sedangkan serangan itu berlaku pada kira-kira pukul 5 pagi dalam suasana gelap dan hiruk pikuk.


    Keraguan ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan seorang anggota polis Marin bernama Abu Bakar yang terselamat dalam serangan itu. Dia mengatakan bahawa Mat Indera tidak menyerang sebaliknya melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis.


  Salah seorang Melayu yang turut bergerak selama setahun secara gerila ialah Shahran bin Abdul Ghani. Shahran pernah mengatakan '' Mat Indera itu termasuk dalam kumpulan Cina. Dia terus bersatu menjadi kumpulan Cina tapi Islam tetap Islam. Dia sembahyang. Waktu serang bukit kepong itu Mat Indera yang mengarahkan.Dia ketua besar.''
  
 Johan Shah menyatakan bahawa abangnya(Mat Indera) memang mengakui bahawa dialah yang mengarahkan serangan ke atas balai polis bukit kepong tetapi arahan yang diberikan bukanlah untuk membakar apatah lagi membunuh. Arahannya ialah menangkap beberapa orang anggota polis yang berjudi dan mabuk pada malam Tahun Baru Cina. Malangnya orang-orang Cina di bawah arahannya telah membuat pakatan rahsia dan mengingkari perintah Mat Indera di luar pergerakannya.'' m/s 113-114.


''Kadi Haji Ahmad Shah bin Haji Abdul Jabar dan beberapa orang pemimpin Melayu yang mengiktiraf perjuangan Mat Indera telah menasihati Mat Indera. Malah mereka telah memberi jalan kepada Mat Indera bagaimana seharusnya dia menghadapi perbicaraan mahkamah supaya terlepas daripada hukuman mati. Menurut ceritanya Mat Indera menolak segala tawaran itu dengan mengatakan  ''Beginilah kehendak rakyat''


 Akhirnya hukuman gantung sampai mati yang telah diputuskan dilaksanakan pada jam 11 malam, 30 januari 1953 di Penjara Taiping. Kaum keluarganya merasa terkilan dengan cara bagaimana Mat Indera mengakhiri riwayat hidupnya. Pertama, hukuman gantung yang selalunya dijalankan pada pukul 5 pagi dilaksanakan pada pukul 11 malam. Kedua, tidak seorang pun kalangan ahli keluarga Mat Indera diberitahu pelaksanaan hukuman itu dan pengkebumian jenazah Mat Indera sehinggalah segala urusan tersebut selesai. Ketiga kubur Mat Indera terletak beberapa ela di luar kawasan tanah perkuburan Islam menimbulkan kecurigaan darpada segi kesahihannya sama ada benar-benar kubur tersebut kubur Mat Indera'' m/s 116


Kesimpulan


  Bukan bermaksud untuk membuat keputusan samada dia pejuang atau pengganas tetapi aku sekadar menyampaikan apa yang aku ketahui. Tapi sudah tentu sesiapa yang sudah membaca blog ini akan menganggap aku menyokong kenyataan Mat Sabu itu. Oh tidak, saya tidak menyokong sesiapa dalam hal ini. Lagipun dah lama dah aku berhenti daripada kegiatan berpolitik ini. Lagi pula, menganggap pihak polis sebagai agen penjajah dan mengangkat orang lain sebagai hero juga adalah keterlaluan. Seperti yang aku jelaskan sebentar tadi, Mat Sabu tidak merasai perkara ini dan keluarga beliau juga tidak terlibat dalam serangan Bukit Kepong itu. Kalau ayah Mat Sabu anggota polis yang terkorban di situ, ibu dan adik-beradiknya juga terbunuh dalam serangan itu, agak-agak dia nak buat ke kenyataan macamtu?
  
Mat Indera juga adalah manusia biasa. Meskipun beliau merancang atau berkomplot dalam serangan Bukit Kepong itu tetapi apabila membaca cara beliau menerima hukuman tersebut menurutku adalah sedikit keterlaluan. Beliau harus diperlakukan seperti manusia yang lainnya kerana tidak ada perbezaan dalam menjatuhkan hukuman dari segi undang-undang.

  Perbezaan Mat Indera dengan pejuang-pejuang lain seperti Tok Janggut dan Rosli Dhobi ialah Mat Indera dilabel sebagai komunis sedangkan Tok Janggut dan Rosli Dhobi berjuang tanpa kerjasama komunis.

 Cuti 4 bulan ini bererti juga akan tamatlah pengajianku dengan Professor Sir Tap Hatemanak di mana waktu kelas kami ialah sekitar jam 12 tgah malam sehingga 1 pagi. Pelajarannya cukup mudah dan adalah satu kesalahan jika tidak mempraktikkan apa yang telah dipelajari:

1. Kepada media, teruskanlah menyiarkan cerita ini sampai bulan depan. Tak apa, memang rakyat Malaysia bermurah hati untuk membelanjakan seringgit dua setiap hari untuk baca cerita ini dan memang kami beli tv untuk luangkan masa dekat setengah jam dengar cerita ini sampai raya tahun depan.
( mata ke atas, tangan ke dada)

2. Kepada ahli politik, adalah sangat digalakkan untuk mendebatkan isu ini. Pilihanraya pun dah semakin dekat. Bila berdebat baru boleh tahu sokongan rakyat kat kita macamana. Ketepikan fakta-fakta sejarah apa semua. Itu tak penting. Yang penting rakyat nak tahu siapa lagi hebat bila berdebat, mengkritik, menghentam dan menjatuhkan hukuman ke atas seseorang ( mata ke atas tangan ke dada)

3. Oh satu lagi. Kalau nak berdebat mengenai Mat Indera tu saya syorkan supaya kita berdebat juga mengenai Tok Janggut, Dato Maharajalela dan Rosli Dhoby. Mereka pun menentang British juga dan mengakhiri riwayat hidup masing-masing dengan hukuman mati yang diputuskan oleh pihak penjajah. Alang-alang nak berdebat tu kan, biar pakai pakej terus. Jimat duit, jimat masa. ( mata ke atas tangan ke dada)

Maaf dipinta jika entri ini menyinggung perasaan mana-mana pihak. Semoga kita dapat membuat penilaian mengikut pandangan dan ukuran perspektif masing-masing.Kurangkan menghakimi manusia kerana Tuhan sendiri sudah mampu untuk menghakimi ciptaanNya sendiri =)

waallahua'alam.

Monday, August 29, 2011

Raya 2011



Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin kepada semua pembaca blog ini dan juga rakan-rakan di facebook. Maaf jika ada entri-entri blog yang mengguris perasaan sesetengah pihak, para penyokong dan peminat kepada sesetengah individu yang menjadi sasaran kritikan fikiran saya yang sederhana dan penuh dengan kesilapan sebelum-sebelum ini.

Saya mendoakan semoga hari raya tahun ini dapat mengeratkan hubungan yang terpisah dan membuka lembaran baru dalam hidup. Juga saya mendoakan mudah-mudahan isu murtad yang menjadi intipati isu utama di bulan Ramadhan tahun ini menjadi iktibar dan pengajaran untuk kita. Juga semoga duit-duit zakat yang dibayar tahun ini tidak lagi 'tersumbat' dan dapat digunakan sehingga ke sen yang terakhir untuk golongan yang layak menerima zakat.

Moga-moga ruh Ramadhan sentiasa mengiringi nafas kita sehingga kita dipertemukan lagi untuk merasai ruh Ramadhan di tahun yang mendatang.Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kesejateraan, keampunan dan kasih sayang Tuhan Yang Satu kepada hamba-hambaNya yang beragama Islam.

Amin.

salam takzim,
zharif

Saturday, August 20, 2011

mungkin ini sebabnya

Selain daripada kemampuan untuk menggunakan kalkulator walaupun untuk membuat pengiraan yang mudah( bila difikirkan semula, ada hikmahnya kenapa matematik tidak sesuai untuk manusia seperti aku), rasanya ini juga adalah salah satu faktor mengapa KPT 'mencampak' aku ke dalam fakulti undang-undang 3 tahun yang lepas. Awalnya aku memprotes; tetapi apabila menemukan semula khazanah ini, barangkali ini juga telah menyiapkan aku untuk meneruskan kehidupan dalam bidang ini.

Menafsir dan memahami bait-bait perkataan adalah sangat penting dalam dunia perundangan. Tak kisah samada ia adalah tafsiran mengikut kepala individu itu sendiri kerana sememangnya dalam undang-undang tiada yang betul dan salah. Keputusan di mahkamah pun jika difikirkan semula adalah mengikut pertimbangan dan tafsiran seorang atau sebaris manusia yang bernama hakim.

Ini adalah sebuah lagu daripada 8 lagu yang pernah aku perdalami maksud perkataan-perkataannya dengan halus dan teliti; aku biarkan ia tidak diubah mahupun diolah semula agar keasliannya yang sudah berusia 3 tahun ini kekal tidak terusik.

TAFSIR LAGU RUANG RINDU-LETTO

DI DAUN YANG IKUT MENGALIR LEMBUT

TERBAWA SUNGAI KE UJUNG MATA

DAN AKU MULAI TAKUT TERBAWA CINTA

MENGHIRUP RINDU YANG SESAKKAN DADA

JALANKU HAMPA DAN KUSENTUH DIA

TERASA HANGAT OH DI DALAM HATI

KUPEGANG ERAT DAN KUHALANGI WAKTU

TAK URUNG JUA KULIHATNYA PERGI

TAK PERNAH KU RAGU DAN SELALU KUINGAT

KERLINGAN MATAMU DAN SENTUHAN HANGAT

KUSAAT ITU TAKUT MENCARI MAKNA

TUMBUHKAN RASA YANG SESAKKAN DADA

CHORUS:

KAU DATANG DAN PERGI OH BEGITU SAJA

SEMUA KUTERIMA APA ADANYA

MATA TERPEJAM DAN HATI MENGUMAM

DI RUANG RINDU KITA BERTEMU

Lagu ciptaan kumpulan Letto cukup berfalsafah dan simbolik dalam menceritakan perihal cinta. Lagu di atas menggambarkan luahan hati seorang lelaki kepada kekasihnya yang seperti tidak mengambil berat tentang soal cinta.

Di rangkap pertama secara keseluruhannya menceritakan perasaan lelaki tersebut yang takut sekiranya beliau jatuh cinta. Hal ini kerana beliau seakan-akan ‘takut’ untuk merasai rindu yang digambarkan seperti udara yang dihirup yang mana akan menyesakkan dadanya dengan perasaan rindu tersebut. Hal ini memang wajar kerana orang yang bercinta pasti akan mengalami sebuah perasaan yang cukup aneh yakni rindu dan perasaan ini mampu mengheret dan menyeksa jiwa seseorang yang mengalaminya.

Jalanku hampa dan kusentuh dia terasa hangat oh di dalam hati.Jalan di situ bermaksud masa kerana di baris ketiga ada tertulis kuhalangi waktu.Jadi ia bukanlah jalan yang menggunakan kaki dan lelaki ini sedang membayangkan dirinya sedang menyentuh kekasihnya itu. Hal ini dikuatkan lagi apabila lelaki tersebut hanya merasakan ‘kehangatan menyentuh kekasihnya’ cuma di dalam hati. Beliau cuba sedaya-upaya menghalangi waktu daripada terus berjalan kerana dia mahu tetap terus berada dalam keadaan tersebut(membayangkan dirinya menyentuh kekasih).Tak urung jua kulihatnya pergi pula bereti mahu tidak mahu dia terpaksa merelakan kepergian angan/bayangannya sebentar tadi kerana waktu sememangnya tidak mungkin dapat diberhentikan.

Rangkap ketiga pula menunjukkan bahawa lelaki tersebut begitu yakin bahawa kekasihnya itu mencintainya berdasarkan baris Tak pernah kuragu dan selalu kuingat kerlingan matamu dan sentuhan hangat. Apabila kekasihnya melakukan hal yang sedemikian(kerlingan mata dan sentuhan) beliau mula takut dan cemas mencari makna.Makna di sini boleh dikaitkan dengan cinta ataupun rindu tetapi pendapat kedua(yakni rindu) lebih tepat kerana ia sama maksud dengan baris terakhir rangkap pertama(sila rujuk lirik lagu di atas).

Kau datang dan pergi oh begitu saja. Baris ini yang menjadi sinopsis bagi keseluruhan lagu tersebut. Kekasihnya seolah-olah tidak serius, berdolak-dalik dan buat endah tak endah terhadap cinta lelaki tersebut kepada dirinya.Ada kemungkinan gadis ini seorang yang playgirl(seperti yang ditunjukkan dalam videoklip lagu ini) tetapi mungkin juga dia belum bersedia untuk menjalani hubungan yang serius dengan lelaki tersebut dan menganggap mereka cuma ‘kawan biasa’(erti lainnya jual mahal). Semua kuterima apa adanya pula bererti lelaki tersebut mempunyai perwatakan yang sungguh relaks, matang dan sabar melayani ‘permainan’ atau ‘jual mahal’ gadis tersebut dan ini juga menggambarkan lelaki itu bukanlah seorang yang suka merungut atau terlalu mendesak. Mata terpejam dan hati mengumam pula lebih merujuk kepada keadaan lelaki tersebut. Seperti manusia lain apabila kita dalam keadaan sabar dan cuba menenangkan diri maka kita akan memejamkan mata sekuat-kuatnya. Gumam bererti ‘terkulum dalam mulut’. Mengugam bererti hatinya telah mengawal atau memerintah mulutnya untuk melakukan perkara tersebut(gumam).Kerana hati manusialah yang sebenarnya mengawal perbuatan dan tindakan.Baris terakhir yakni Diruang rindu kita bertemu bererti memang benar lelaki dan perempuan tersebut sedang bercinta. Apabila kedua-duanya sedang diheret rasa ‘rindu’ maka masing-masing akan mengingati pasangannya. Si lelaki akan merindui si perempuan dan si perempuan pula merindui si lelaki. Jadi hanya dalam keadaan ‘merindu’ atau mengikut ungkapan yang lebih indah yang telah diungkapkan oleh kumpulan Letto iaitu ‘ruang rindu’ kedua-duanya hanya bisa bertemu. Ya di dalam ruang itu saja mereka bisa ‘berkomunikasi’,mengingati satu sama lain mengikut khayal rindunya sendiri......

30 Mac 2008 3.30 am

Saturday, August 13, 2011

Kiriman dari Sydney


*Original version*

Ketika sedang mengemas bilik, aku menemukan semula sehelai kertas yang menyimpan ilham-ilham saat berada di Sydney kira-kira setahun yang lepas. Ilham ini muncul saat aku bersendirian di dalam bilik gara-gara muscle cramped di kaki. Justeru masa ini dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk mengabadikan saat di bumi asing.

Demi menjaga ketulennya, maka tidak ada sebarang perubahan yang dilakukan meskipun aku terasa ada ayat-ayat yang boleh digubah semula. Tujuan ia diabadikan di sini sebagai langkah berjaga-jaga kalau kertas ini hilang semula; setidak-tidaknya aku mempunyai 'salinan' ilham tersebut di sini.

Dan waktu ini, bumi Sydney sedang hujan. Dan sesungguhnya hujan adalah syurga untuk manusia yang sedang mencari erti =)

1.

Pejamkan matamu
Kan kucup dahimu
Mungkin kita bertemu
Ini yang terakhir

Hembuskan nafasmu
Hanya untuk diriku
Kenangan yang tercipta
Kan tetap milik kita berdua

Biarkan masa berlalu
Takkan pernah hilang rasa ini
Hanya aku yang bisa simpan cinta ini
Hanya kau yang bisa miliki rasa itu

Genggam tanganku
Meski detik seterusnya
akan memisahkan kita
Tapi jangan pernah kau tangisi kisah ini
Kerana pengorbanan itu seharusnya menjadi saksi
Bahwa aku mencintai hatimu
meski jasadmu adalah miliknya
Hati itu tidak pernah hilang dan musnah
Ia akan tetap hidup tidak berhenti
Selagi ada coretan ini

8/7/2010
3.23 pm
Sydney, Australia


2.
Rintik hujan dari langit
Membalut rasa sejuk nafas
mendingkan hati yang hilang
tatkala masih mencari
di mana jejak langkah sendiri
maka kesunyian itu adalah
tutur kata yang indah
membisikkan pada kita
erti hidup yang sebenar

Bahwa diri sendiri itu adalah teman yang sejati
Tidak pernah mengkhianati apatah lagi membohongi kita
Bahwa Tuhan itu selalu ada menjaga kita
Supaya kita tidak kedinginan dalam bersendirian
Kerana bersendirian tidak pernah wujud dalam dunia ini
Kerana di mana kita
Di situ juga ada Dia yang bernama Allah

8/7/2010
3.42 pm


3.

Kuhendap dari jendela
Gadis itu
berjalan merentasi bumi sydney
Dalam kesejukan di musim dingin
Ia lukisan terindah pernah kulihat
Di celah-celah manusia yang menuju destinasi
dia masih memegang prinsip bersama kain putih
melitupi rambutnya
meski tidak pernah kulihat wajahnya
tetapi itu adalah lukisan yang indah
lebih indah hingga menenggelami kemegahan Opera House
Lebih jernih lukisannya dari air di Sydney Harbour
Itu adalah hadiah sebelum nafasku terakhir berhembus di Sydney

8/7/2010
4.07 pm

Beberapa gambar yang sempat diambil pada waktu berseminya ilham =)





Wednesday, August 10, 2011

Memang senang salahkan orang lain



1. Apabila isu jamuan yang ditaja oleh komuniti gereja kepada golongan yang merefleksi sisi kehidupan manusia yang berbeza, begitu ramai manusia bersuara. Ada yang mengambil kesempatan ini untuk kepentingan politik sendiri; meraih sokongan di mata majoriti manusia yang lainnya.

2. Jika mahu berbicara dari segi perundangan, perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan sudah termaktub dan ada orang yang lebih layak untuk menerangkan peruntukan ini. Sudah pasti orang tersebut bukannya aku.

3. Adakalanya lebih baik aku menanggalkan lensa mata yang melihat setiap perkara dengan paksi hukum dan undang-undang semata. Tidak menjadi kesalahan sekiranya perbicaraan kali ini menggunakan bahasa manusia biasa.

4. Ada pihak yag terus menuding jari menuduh komuniti ini dalam usaha memurtadkan penganut islam di negara ini apatah lagi jamuan tersebut diadakan pada bulan Ramadhan, bulan di mana umat Islam diwajibkan berpuasa sehingga mentari terbenam.

5.Tidak seharusnya kita terus menyalahkan komuniti gereja dengan perasaan benci, marah dan geram yang meluap-luap. Perbezaan agama merupakan satu ketetapan Tuhan ke atas ciptaannya yang bernama manusia.

6.Komuniti gereja menemukan Tuhan dengan konsep Triniti. Umat Islam pula menemukan Tuhan dengan konsep syahadah; mengenali Tuhan bernama Allah, sifatnya adalah Satu dan selamanya kekal sebagai Tuhan Yang Satu.

7. Membantu golongan yang merefleksi sisi kehidupan manusia yang berbeza( yakni golongan yang kurang bernasib baik, tali pergantungan mereka sebagai manusia putus sedikit demi sedikit lantaran kemiskinan dan kesempitan hidup) merupakan satu jalan untuk komuniti gereja ini mendekatkan diri dengan Tuhan. Bahkan sifat mereka ini telah dikhabarkan melalui surah Al-Maidah, ayat 82 yang bermaksud ''....Dan sesungguhnya kamu mendapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata '' sesungguhnya kami ini orang Nasrani(Kristian). Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu terdapat pendeta-pendeta dan rahib dan sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri''

8. Sementara golongan yang dibantu pula, pastinya menerima bantuan tersebut dengan penuh kesenangan tanpa syarat lantaran adanya manusia lain yang masih peduli terhadap mereka.Pada waktu itu, pasti hati mereka tidak lagi terbeban untuk pergi ke pejabat amil dan baitulmal, mengisi borang dan menunggu sehingga borang tersebut diproses dan diluluskan dalam jangka masa yang panjang. Apakah golongan manusia sebegini layak diperlakukan sebegini?Perlu menunggu berhari-hari untuk mendapatkan hak mereka yang telah ditetapkan dalam agama Islam sedangkan setiap hari golongan yang tidak berhak bisa saja menikmati kemewahan tanpa perlu melalui proses yang menyulitkan ini.

9.Di zaman kegemilangan Islam, duit baitulmal mahupun zakat begitu banyak melimpah ruah kerana diceritakan pada waktu itu tidak ada lagi golongan yang layak menerima duit zakat mahupun baitulmal. Tetapi hari ini, di sini, jumlah duit zakat dan baitulmal pastinya mencecah billion ringgit tetapi masih ada lagi golongan yang layak untuk menerima dan menikmati duit tersebut.

10. Punya kesempatan untuk bersolat di Masjid KLCC. Di saat umat Islam sedang bersiap untuk menunaikan solat, ada umat Islam yang lainnya berdiri, mundar-mandir dan mendekati jemaah masjid memohon bantuan kewangan. Berapa ramai yang peduli terhadap mereka ini?Jujurnya aku sendiri berasa malu kerana kesombonganku yang tidak menegur mereka, bertanyakan keadaan mereka sebaliknya hanya memberi wang dan kemudian berlalu pergi.

11. Dan apabila isu sebegini terjadi, dengan pantas jari-jemari kita menuding kesalahan kepada komuniti gereja ini. Menyalahkan orang lain memang mudah kerana ia mampu menutup keegoan, mempertahankan nafs sendiri untuk mengakui hakikat kepincangan yang berlaku dalam soal kebajikan sosial umat Islam di negara ini.

12. Tidak malukah kita?Menyalahkan orang lain sedangkan kesalahan sendiri sudah terpampang dengan begitu jelas?

13.Apakah kita tidak mampu untuk membiayai dan melayani golongan terpinggir ini sebagaimana komuniti gereja ini melayan mereka? Apakah kita sudah siap untuk turun menjejakkan kaki menemui golongan ini, menelefon mereka bertanyakan khabar setiap hari akan perkembangan hidup mereka? Adakah kita sudah siap untuk memberika hak mereka yang telah ditetapkan oleh Allah tanpa perlu karenah birokrasi yang menyesakkan nafas? Apakah kita sudah siap, menerima dan memandang mereka selayaknya sebagai seorang manusia?

14. Begitu ramai yang mengetahui sabda Rasul bahawa kesempitan hidup bisa membawa seseorang itu kepada kekufuran. Ramai yang mengetahui tetapi sedikit yang mengerti dan mengamalkan sabda tersebut.

Waallahua'alam.

Monday, August 1, 2011

PENCARIAN BERMULA



Di bulan ini, semua berlari dan berlumba-lumba melakukan kebaikan. Kebanyakan daripada manusia yang mengucap syahadah menyambut kedatangan bulan Ramadhan ini dengan ibadah yang dilipatgandakan, semakin banyak masa diluangkan untuk beribadah kerana setiap kebaikan yang dilakukan dalam bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Tuhan.

Juga kebanyakan manusia beribadah untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadr; malam yang tidak ada dalam bulan lain selain Ramadhan. Malam yang seharusnya disambut sebagai 'tahun baru' kerana di malam inilah Malaikat-Malaikat turun dengan urusan-urusan dunia yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

Mencari pahala daripada Tuhan.Mencari redha Tuhan.Mencari ampunan Tuhan.Mencari syurga Tuhan.Mencari perlindungan daripada neraka Tuhan. Sedangkan jika direnungkan kembali, niat berpuasa kita itu sendiri bukanlah untuk semua perkara di atas tetapi hanya untuk satu.

''Kerana Allah Taala''

Mencari Tuhan itu sendiri lebih penting daripada segala-galanya.Apakah syurga itu lebih utama daripada pencipta syurga itu sendiri? Apakah nilai Tuhan itu terletak pada syurga, redha,ampunan dan pahala semata? Sudah tentu tidak. Kerana menurut pandangan yang tersirat, Tuhan itu lebih penting dari segala-galanya.

Tuhan itu sendiri lebih penting. Janganlah meletakkan nilai sesuatu untuk kita beribadah dan melakukan kebaikan kerana itu semua perlu dilakukan semata-mata kerana Tuhan Yang Satu.
''Solatku,ibadahku,mati dan hidupku untuk Allah Taala''. Itu janji kita lima kali sehari semalam.

Tidaklah salah menurutku untuk mengharapkan redha dan ganjaran atas kebaikan yang dilakukan tetapi jangan sampai ia mengaburi tujuan utama. Tujuan yang satu, bersih dan suci daripada segala apa nilai yang ada baik di dunia atau di akhirat yakni Tuhan itu sendiri.

Bahkan di satu tahap, aku berasa malu sekiranya memohon ibadah dan kebaikan yang dilakukan mendapat balasan daripada Tuhan. Bukankah ibadah yang dilakukan itu pun kerana izin-Nya? Kebaikan itu tidak dapat dilakukan sekiranya Tuhan tidak mengizinkan dan tidak memberi peluang padaku untuk berbuat sedemikian. Lantas, apalagi yang boleh dibanggakan dengan ibadah yang dilakukan, angkuh menuduh orang lain tidak layak masuk ke syurga padahal ibadahnya itupun tidak dapat dilakukan tanpa izin Tuhan yang Kuasa.

Mencari Tuhan.Para Pencari Tuhan itu sedikit tetapi mereka tidak berputus asa kerana mereka tahu pencarian itu tidak akan terhenti di sini. Pencarian itu hanya terhenti apabila mereka dipertemukan dengan Tuhan kelak. Saat itu, pencarian akan berakhir. Tiada lagi yang perlu dilakukan kerana diri ini sudah berada di samping Tuhan.

Moga-moga kita termasuk di dalam golongan Pencari Tuhan yang sebenar. Amin. Waalahu'alam