Di bulan ini, semua berlari dan berlumba-lumba melakukan kebaikan. Kebanyakan daripada manusia yang mengucap syahadah menyambut kedatangan bulan Ramadhan ini dengan ibadah yang dilipatgandakan, semakin banyak masa diluangkan untuk beribadah kerana setiap kebaikan yang dilakukan dalam bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Tuhan.
Juga kebanyakan manusia beribadah untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadr; malam yang tidak ada dalam bulan lain selain Ramadhan. Malam yang seharusnya disambut sebagai 'tahun baru' kerana di malam inilah Malaikat-Malaikat turun dengan urusan-urusan dunia yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
Mencari pahala daripada Tuhan.Mencari redha Tuhan.Mencari ampunan Tuhan.Mencari syurga Tuhan.Mencari perlindungan daripada neraka Tuhan. Sedangkan jika direnungkan kembali, niat berpuasa kita itu sendiri bukanlah untuk semua perkara di atas tetapi hanya untuk satu.
''Kerana Allah Taala''
Mencari Tuhan itu sendiri lebih penting daripada segala-galanya.Apakah syurga itu lebih utama daripada pencipta syurga itu sendiri? Apakah nilai Tuhan itu terletak pada syurga, redha,ampunan dan pahala semata? Sudah tentu tidak. Kerana menurut pandangan yang tersirat, Tuhan itu lebih penting dari segala-galanya.
Tuhan itu sendiri lebih penting. Janganlah meletakkan nilai sesuatu untuk kita beribadah dan melakukan kebaikan kerana itu semua perlu dilakukan semata-mata kerana Tuhan Yang Satu.
''Solatku,ibadahku,mati dan hidupku untuk Allah Taala''. Itu janji kita lima kali sehari semalam.
Tidaklah salah menurutku untuk mengharapkan redha dan ganjaran atas kebaikan yang dilakukan tetapi jangan sampai ia mengaburi tujuan utama. Tujuan yang satu, bersih dan suci daripada segala apa nilai yang ada baik di dunia atau di akhirat yakni Tuhan itu sendiri.
Bahkan di satu tahap, aku berasa malu sekiranya memohon ibadah dan kebaikan yang dilakukan mendapat balasan daripada Tuhan. Bukankah ibadah yang dilakukan itu pun kerana izin-Nya? Kebaikan itu tidak dapat dilakukan sekiranya Tuhan tidak mengizinkan dan tidak memberi peluang padaku untuk berbuat sedemikian. Lantas, apalagi yang boleh dibanggakan dengan ibadah yang dilakukan, angkuh menuduh orang lain tidak layak masuk ke syurga padahal ibadahnya itupun tidak dapat dilakukan tanpa izin Tuhan yang Kuasa.
Mencari Tuhan.Para Pencari Tuhan itu sedikit tetapi mereka tidak berputus asa kerana mereka tahu pencarian itu tidak akan terhenti di sini. Pencarian itu hanya terhenti apabila mereka dipertemukan dengan Tuhan kelak. Saat itu, pencarian akan berakhir. Tiada lagi yang perlu dilakukan kerana diri ini sudah berada di samping Tuhan.
Moga-moga kita termasuk di dalam golongan Pencari Tuhan yang sebenar. Amin. Waalahu'alam
No comments:
Post a Comment
hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)