Thursday, September 8, 2011

Tentang Dua Mat

 Suasana Aidilfitri tahun ini agak terganggu dengan berita yang tak putus-putus mengenai ceramah Mat Sabu yang mengangkat Mat Indera sebagai hero sebenar sewaktu kejadian serangan Bukit Kepong. Dari televisyen sampailah ke surat khabar semuanya bercerita mengenai kenyataan orang nombor dua Parti PAS ini.

   Entri ini ditulis bukanlah untuk memanjangkan lagi cerita jauh sekali untuk menghentam mana-mana pihak kerana tugas ini telah dijalankan dengan begitu baik oleh media mahupun blogger-blogger yang lainnya.

  Dan sebelum kita pergi lebih jauh, sejarah atau di dalam bahasa Inggeris, History adalah kejadian yang telah berlaku. Apapun aku lebih tertarik dengan perkataan History itu sendiri kerana jika disebut dengan lebih perlahan ia akan berbunyi '' His story'' atau erti kata lain cerita dia. Cerita siapa? Menurut Bernard Shaw salah seorang ahli falsafah Inggeris sejarah adalah ditulis oleh ''mereka yang menang''. Bila difikirkan semula ada kebenaran daripada ungkapan di atas. Kalau tentera Nazi yang memenangi Perang Dunia Kedua sudah pasti sejarah yang akan kita terima adalah berbeza dengan sekarang. Namun secara jujurnya, aku berpendapat setiap orang mempunyai sejarah tersendiri. Kita semua mempunyai sejarah tersendiri dengan melihat kejadian yang telah berlaku mengikut perspektif dan pandangan kita sendiri. Bezanya, samada sejarah mengikut perspektif kita itu adalah cerita yang dikongsi oleh pihak majoriti atau minoriti.

Tentang Mat Sabu


   Kenyataan Mat Sabu itu, menurutku tidak lebih daripada seorang rakyat biasa yang tidak menghabiskan sebahagian umurnya untuk menyelidik sejarah negara sepertimana yang dilakukan oleh sejarawan-sejarawan negara. Beliau juga, bukanlah pemegang ijazah mahupun doktor falsafah mengenai sejarah negara justeru pandangan beliau itu adalah pandangan ''layman''. Sama seperti orang yang tidak membaca teks penghakiman dari mukasurat pertama sehingga mukasurat terakhir dan kemudiannya terus mengkritik,menghentam, menuduh hakim itu bias, berat sebelah pandangan-pandangan sebegini dikategorikan sebagai ''layman'' atau ''reasonable man''. Sudah menjadi kebiasaan bagi kita untuk membuat kenyataan dan kritikan tanpa mengetahui perkara tersebut dalam dan luar. Yang biasa diketahui hanya luaran semata-mata.

   Justeru yang layak untuk membincangkan samada Mat Indera ini sebagai pejuang atau pengganas komunis  adalah tokoh-tokoh sejarawan negara termasuk ahli-ahli keluarga polis yang terlibat juga ahli keluarga Mat Indera.Bukannya ahli politik.

   Kita mafhum  bahawa keluarga Mat Sabu tidak terlibat dalam serangan Bukit Kepong tersebut. Tidak ada keluarga beliau yang terkorban sewaktu serangan tersebut. Kenyataan beliau itu, adalah kenyataan seorang ahli politik dan pandangan beliau itu terbatas dalam konteks politik semata.

Barangkali kesilapan Mat Sabu adalah tidak membawa buku ini sewaktu mengeluarkan kenyataan tersebut


Tentang Mat Indera


Memandangkan penulis blog ini seorang yang semakin pemalas gara-gara sudah 4 bulan tidak mengaktifkan intelektualitinya, justeru aku sediakan di sini butiran Mat Indera daripada buku di atas. Macamana aku boleh dapat, itu jangan tanya. Yang pasti dah dekat 3 tahun buku tu menjadi penghuni rak buku di bilik aku.







Sedikit petikan daripada buku Pengukir Nama Johor mengenai Mat Indera:

''Seramai 43 orang calon telah berjaya dalam peperiksaan kelayakan menjadi guru agama. Hanya dua orang daripada yang lulus itu diberi penghormatan menerima anugerah butang perak yang mengandungi lambang kerajaan negeri Johor, yang layak dipakai sebagai lambang keperibadian dan kecermelangan.Seorang daripadanya ialah mat Indera''- m/s 110


'' Beberapa orang saksi telah memberitahu pihak penyiasat Inggeris bahawa Mat Indera yang melakukan serangan itu.Dakwaan mereka menimbulkan keraguan kerana bagaimana mereka dapat mengenali Mat Indera sedangkan serangan itu berlaku pada kira-kira pukul 5 pagi dalam suasana gelap dan hiruk pikuk.


    Keraguan ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan seorang anggota polis Marin bernama Abu Bakar yang terselamat dalam serangan itu. Dia mengatakan bahawa Mat Indera tidak menyerang sebaliknya melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis.


  Salah seorang Melayu yang turut bergerak selama setahun secara gerila ialah Shahran bin Abdul Ghani. Shahran pernah mengatakan '' Mat Indera itu termasuk dalam kumpulan Cina. Dia terus bersatu menjadi kumpulan Cina tapi Islam tetap Islam. Dia sembahyang. Waktu serang bukit kepong itu Mat Indera yang mengarahkan.Dia ketua besar.''
  
 Johan Shah menyatakan bahawa abangnya(Mat Indera) memang mengakui bahawa dialah yang mengarahkan serangan ke atas balai polis bukit kepong tetapi arahan yang diberikan bukanlah untuk membakar apatah lagi membunuh. Arahannya ialah menangkap beberapa orang anggota polis yang berjudi dan mabuk pada malam Tahun Baru Cina. Malangnya orang-orang Cina di bawah arahannya telah membuat pakatan rahsia dan mengingkari perintah Mat Indera di luar pergerakannya.'' m/s 113-114.


''Kadi Haji Ahmad Shah bin Haji Abdul Jabar dan beberapa orang pemimpin Melayu yang mengiktiraf perjuangan Mat Indera telah menasihati Mat Indera. Malah mereka telah memberi jalan kepada Mat Indera bagaimana seharusnya dia menghadapi perbicaraan mahkamah supaya terlepas daripada hukuman mati. Menurut ceritanya Mat Indera menolak segala tawaran itu dengan mengatakan  ''Beginilah kehendak rakyat''


 Akhirnya hukuman gantung sampai mati yang telah diputuskan dilaksanakan pada jam 11 malam, 30 januari 1953 di Penjara Taiping. Kaum keluarganya merasa terkilan dengan cara bagaimana Mat Indera mengakhiri riwayat hidupnya. Pertama, hukuman gantung yang selalunya dijalankan pada pukul 5 pagi dilaksanakan pada pukul 11 malam. Kedua, tidak seorang pun kalangan ahli keluarga Mat Indera diberitahu pelaksanaan hukuman itu dan pengkebumian jenazah Mat Indera sehinggalah segala urusan tersebut selesai. Ketiga kubur Mat Indera terletak beberapa ela di luar kawasan tanah perkuburan Islam menimbulkan kecurigaan darpada segi kesahihannya sama ada benar-benar kubur tersebut kubur Mat Indera'' m/s 116


Kesimpulan


  Bukan bermaksud untuk membuat keputusan samada dia pejuang atau pengganas tetapi aku sekadar menyampaikan apa yang aku ketahui. Tapi sudah tentu sesiapa yang sudah membaca blog ini akan menganggap aku menyokong kenyataan Mat Sabu itu. Oh tidak, saya tidak menyokong sesiapa dalam hal ini. Lagipun dah lama dah aku berhenti daripada kegiatan berpolitik ini. Lagi pula, menganggap pihak polis sebagai agen penjajah dan mengangkat orang lain sebagai hero juga adalah keterlaluan. Seperti yang aku jelaskan sebentar tadi, Mat Sabu tidak merasai perkara ini dan keluarga beliau juga tidak terlibat dalam serangan Bukit Kepong itu. Kalau ayah Mat Sabu anggota polis yang terkorban di situ, ibu dan adik-beradiknya juga terbunuh dalam serangan itu, agak-agak dia nak buat ke kenyataan macamtu?
  
Mat Indera juga adalah manusia biasa. Meskipun beliau merancang atau berkomplot dalam serangan Bukit Kepong itu tetapi apabila membaca cara beliau menerima hukuman tersebut menurutku adalah sedikit keterlaluan. Beliau harus diperlakukan seperti manusia yang lainnya kerana tidak ada perbezaan dalam menjatuhkan hukuman dari segi undang-undang.

  Perbezaan Mat Indera dengan pejuang-pejuang lain seperti Tok Janggut dan Rosli Dhobi ialah Mat Indera dilabel sebagai komunis sedangkan Tok Janggut dan Rosli Dhobi berjuang tanpa kerjasama komunis.

 Cuti 4 bulan ini bererti juga akan tamatlah pengajianku dengan Professor Sir Tap Hatemanak di mana waktu kelas kami ialah sekitar jam 12 tgah malam sehingga 1 pagi. Pelajarannya cukup mudah dan adalah satu kesalahan jika tidak mempraktikkan apa yang telah dipelajari:

1. Kepada media, teruskanlah menyiarkan cerita ini sampai bulan depan. Tak apa, memang rakyat Malaysia bermurah hati untuk membelanjakan seringgit dua setiap hari untuk baca cerita ini dan memang kami beli tv untuk luangkan masa dekat setengah jam dengar cerita ini sampai raya tahun depan.
( mata ke atas, tangan ke dada)

2. Kepada ahli politik, adalah sangat digalakkan untuk mendebatkan isu ini. Pilihanraya pun dah semakin dekat. Bila berdebat baru boleh tahu sokongan rakyat kat kita macamana. Ketepikan fakta-fakta sejarah apa semua. Itu tak penting. Yang penting rakyat nak tahu siapa lagi hebat bila berdebat, mengkritik, menghentam dan menjatuhkan hukuman ke atas seseorang ( mata ke atas tangan ke dada)

3. Oh satu lagi. Kalau nak berdebat mengenai Mat Indera tu saya syorkan supaya kita berdebat juga mengenai Tok Janggut, Dato Maharajalela dan Rosli Dhoby. Mereka pun menentang British juga dan mengakhiri riwayat hidup masing-masing dengan hukuman mati yang diputuskan oleh pihak penjajah. Alang-alang nak berdebat tu kan, biar pakai pakej terus. Jimat duit, jimat masa. ( mata ke atas tangan ke dada)

Maaf dipinta jika entri ini menyinggung perasaan mana-mana pihak. Semoga kita dapat membuat penilaian mengikut pandangan dan ukuran perspektif masing-masing.Kurangkan menghakimi manusia kerana Tuhan sendiri sudah mampu untuk menghakimi ciptaanNya sendiri =)

waallahua'alam.

No comments:

Post a Comment

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)