Monday, December 5, 2011

Warkah Untuk UMNO




 Sudah lama tidak berbicara tentang politik. Bukan kerana merajuk tetapi sifat saya yang semakin ‘picky and choosy’ untuk membicarakan isu-isu semasa. Tetapi isu ini tidak pernah terlepas daripada perhatian saya. Tahun lepas saya ada membicarakan hal yang sama. Tahun ini, saya menyentuh isu ini lagi bukan kerana tradisi semata-mata tetapi kerana saya mahu membicarakan hal ini.

Ya, Perhimpunan Agung UMNO yang ke-65.

65 tahun.

Berubah?Banyak perubahannya. Parti yang tertua di Malaysia ini penuh dengan pengalaman dan sejarah manis pahit dalam negara ini.

Juga sebuah parti yang masih kekal bertahan sebagai kerajaan Malaysia sehingga ke hari ini.

 Saya sudah membaca teks penuh ucapan Presiden UMNO baru-baru ini. Terima kasih kepada umnonline kerana menyediakan ucapan tersebut untuk diakses melalui internet. Tak cukup duit nak beli akhbar harian yang menyediakan dua-tiga mukasurat penuh untuk mengisi teks ucapan presiden.

 Cukup berbasa-basi di sini. Kenapa ucapan Presiden UMNO ini sangat menarik perhatian saya? Kerana beliau ada menekankan kepentingan suara orang muda.
Suara orang muda diiktiraf. Kehendak mereka mula mendapat pertimbangan orang nombor satu di negara ini.

 Tuan Presiden menyatakan kerajaan mendengar permintaan orang muda dengan meminda Seksyen 15 AUKU kelak. Saya termenung buat seketika.

Setelah 30 bulan mentadbir akhirnya baru sekarang menunaikan permintaan ini? 

Barangkali keputusan Mahkamah Rayuan telah membantu suara orang muda untuk didengari.

Tetapi bayangkan apa terjadi sekiranya Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebaliknya. Seingat saya pindaan AUKU ini tidak termasuk dalam janji perubahan Tuan Presiden sewaktu ucapan Hari Malaysia 16 September yang lepas.

  Apapun, syukur alhamdulilah. Saya bersyukur akhirnya AUKU akan dipinda sekali lagi. Walaupun sedikit lambat, tetapi better late than never.

   Ucapan Tuan Presiden juga penuh dengan saranan untuk mendekati dan memahami ‘bahasa’ orang muda. Justeru di sinilah saya ingin memberi ‘bantuan’ agar saranan ini tercapai. Saya bukan mewakili golongan majoriti orang muda. Barangkali ramai orang muda yang tidak menyukai perkara ini. Tetapi sebagai orang muda Malaysia, saya berhak untuk memberitahu apa yang tersirat di dalam fikiran saya. Soal didengari atau tidak, saya tidak kisah kerana pendirian saya ini bebas daripada sebarang pengaruh mana-mana pihak. Ia datang dari hati saya sendiri, yang membentuk fikiran dan pandang sisi hidup saya.

   Pertama, adalah dinasihatkan untuk tidak menyerang parti-parti lawan sewaktu membuat perbahasan dalam perhimpunan tersebut. Kenapa? Dengan mengkritik pihak lawan tidak akan membuatkan kita lebih baik daripada mereka. Maaf tetapi ini yang saya dengar dalam perhimpunan tersebut. Penuh dengan serangan-serangan terhadap parti pembangkang dan membalas semula kritikan parti pembangkang dengan menggunakan ayat yang sama rendah martabatnya. Saya tidak mahu dipimpin oleh mereka yang menggunakan kata-kata kasar terhadap pihak lawan kerana ini telah menjatuhkan kredibiliti dan imej mereka secara tidak langsung. Dari segi psikologi, golongan ini sudah kerana terlalu terdesak sehingga terpaksa menggunakan pendekatan ad hominem atau personal attack. Tidak perlu menggunakan cara yang sama digunakan oleh parti lawan.

  Kedua, tidak perlu menekankan lagi isu ‘menyelamatkan hak Melayu, Raja-Raja dan Islam’. Apabila saya membangkitkan perkara ini tidak mengurangkan kemelayuan atau keislaman saya. Jauh sekali membawa kepada penderhakaan saya kepada institusi Raja-Raja Melayu. Kenapa? Isu ini tidak perlu dibangkitkan oleh mana-mana pihak di negara ini. Sesiapa yang mengaku penyelamat hak melayu, yang mengkritik dan mempertikaikan hak ini adalah menurut saya, tidak mengetahui dan membaca Perlembagaan Persekutuan. Kerana apa? 

Hal ini telah termaktub dalam Perlembagaan bahawa Perkara 153 (yakni berkaitan keistimewaan golongan bumiputera) adalah di bawah tanggungjawab dan perlindungan Yang Di-Pertuan Agong. Bukan mana-mana parti politik atau NGO atau individu di negara ini. Peruntukan ini diperkukuhkan lagi dengan Perkara 159(4) yang menyatakan perkara 153 ini tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Maka, sekali lagi saya ingin tegaskan, perkara ini adalah dibawah perlindungan dan penjagaan Majlis Raja-Raja. Siapa yang dapat memaksa dan mempengaruhi Majlis Raja-Raja untuk meminda perkara 153 ini? Maka penyelamat sebenar, penjaga sebenar perkara 153 ini adalah Raja-Raja Melayu. 

Maaf tetapi tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa sesiapa yang mendakwa dirinya adalah penyelamat, penjaga hak Melayu, juga kepada sesiapa yang mempertikaikan dan mencadangkan sebarang perubahan terhadap hak ini bererti mereka tidak menghormati,memahami dan mengetahui kuasa dan hak Majlis Raja-Raja.

  Ketiga, sampai masa untuk pendekatan UMNO diubah. Bukan setakat mempunyai akaun Facebook dan twitter semata-mata tetapi ‘interaksi’ atau komunikasi itu lebih penting. Apakah sudah cukup dinamakan sebagai interaksi jika hanya update status tetapi susah nak menjawab soalan dan cadangan daripada rakyat sendiri?Apa yang saya harapkan adalah meja diskusi yang lebih besar dan tiada sekatan, semua orang berhak menyampaikan pandangan dan menerima maklumbalas. Saya tidak mahu pendirian saya diambilkira daripada pendirian ‘wakil-wakil’ orang muda yang hanya memberi pandangan untuk mengampu,membodek atau menyokong mana-mana pihak sehingga banyak tapisan perlu dibuat sehingga mesej yang sebenar untuk disampaikan akan terkubur begitu sahaja. Maaf mungkin ia berbau egois di situ tetapi hakikatnya, semua orang mahu suaranya didengar secara langsung dan diambilkira. Walaupun suara itu suara minoriti, setidaknya ada respons dan maklumbalas.

  Dalam hal ketiga ini, UMNO masih ketinggalan. Saya tidak menafikan banyak program yang dianjurkan untuk mendekati orang muda tetapi strategi dan pendekatan tersebut masih jauh tertinggal jika dibandingkan dengan parti lawan. Bukan sahaja gah di Facebook dan twitter, tetapi UMNO perlu merakyatkan program-program mereka sehingga ia mudah didekati. 

Pendekatan pertama yang perlu diambil ialah tidak sekadar menganjurkan ceramah semata-mata tetapi apa yang dimahukan adalah diskusi, komunikasi dua hala.Selalu terjadi ialah penceramah bercakap dua jam tetapi diskusi hanya mengambil masa sepuluh minit ( atau langsung tiada kerana kesuntukan masa).

Kedua, pelbagaikan program-program tersebut selain daripada aktiviti sukan dan ceramah. Tidak perlu menggunakan bajet dan duit yang banyak kerana cara ini telah digunakan oleh pihak pembangkang tanpa memerlukan bajet yang banyak. Hadirkan diri dengan program-program yang dianjurkan oleh orang muda tanpa perlu banyak protokol dan formaliti. Santaikan kehadiran. Berikan orang muda peluang untuk mendekati dan berinteraksi sendiri dengan  personaliti UMNO.Sudah tiba masanya untuk tidak menjadikan duit sebagai senjata utama. Tidak perlu menjadikan protokol dan kemewahan sebagai lambang peribadi kerana itu hanya membezakan lagi diri anda dengan orang muda. Mulakan keterbukaan dengan duduk dan menghadiri program-program yang disertai juga oleh parti lawan. Berhenti daripada menggunakan polemik kaum untuk memenangi hati orang muda.Apa yang lebih penting adalah bergaul dan berdiskusi dengan orang muda. Fahami dan ketahui isu apa yang sebenarnya menjadi keutamaan dan fokus mereka. Itu, lebih penting daripada memainkan irama yang sama.

  Dulu,kini dan selamanya. Itu pegangan UMNO. Tetapi isu-isu yang menjadi tema kehidupan orang muda hari ini tidak boleh dikaitkan dengan dulu,kini dan selamanya. Barangkali isu dahulu sudah tidak lagi menjadi isu pada masa kini. Jika mahu kekal relevan sehingga selamanya maka perubahan harus dilakukan. Berhenti daripada menggunakan isu-isu lama. Lakukan pembaharuan dari atas sehingga ke akar umbi. Bukan sahaja akar umbi yang harus berubah tetapi yang menjadi pohon juga harus berubah. Mengubah strategi untuk kekal relevan. Jika tidak mahu berubah, percayalah suatu masa nanti rakyat yang akan berubah dan akhirnya mengubah pilihan dan kehendak mereka.

  Saya mendoakan UMNO akan berubah. Diperlukan ramai personaliti yang berfikiran matang, berjiwa besar dan terbuka, berintegriti,bersih daripada rasuah politik dan kata-kata kasar untuk membentuk UMNO baru. Ya, UMNO baru yang lebih relevan dan berjiwa rakyat.Sebelum rakyat berubah dan mahukan pembaharuan tetapi UMNO enggan berubah. Maka pada saat itu janganlah dipersalahkan rakyat sebagai tidak mengenang budi dan mengkhianati UMNO.

Kerana taat dan setia seorang rakyat itu hanya pada Raja dan Negara. Bukan pada mana-mana individu atau parti politik di negara ini.Itu yang termaktub dalam Rukun Negara.

  UMNO ibarat seorang datuk berusia 65 tahun yang memimpin anak cucu yang jauh lebih muda daripadanya. Bagaimana mahu kekal relevan sebagai pemimpin kepada mereka?

Jawapan adalah seperti di atas.

Waalahua’lam.

2 comments:

  1. UMNO perlu berubah..sampai bila mahu menjadikan isu melayu dan bngsa sebagai alat pancing undi tanpa perubahan yg drastik dr dalam..mengkritik bukan bermakna pembkg ttp satu taggjwb menjadikan negara lebih baik..zharif,stuju taat setia utk negara dan Raja dan bukan mana2 parti poltik..;)

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)