“A government afraid of its citizens is a
Democracy. Citizens afraid of government is tyranny” ― Thomas Jefferson
Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara/saudari
yang menggunakan nama pelajar hitam putih di dalam laman sosial facebook kerana
ingin berkongsi pandangan dengan saya.
Setelah meneliti penulisan beliau, saya akan
memecahkannya kepada empat bahagian. Bahagian tersebut akan berdasarkan
penulisan beliau( penulisan ini saya ambil secara verbatim dan kalian boleh
melihat kebenarannya dalam blog tersebut) yang saya akan cuba jawab dalam ayat
yang mudah difahami dan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak termasuk
penulis blog sendiri. Walaupun saya tidak bersetuju, tetapi hak anda untuk
bersuara akan tetap saya pertahankan =)
PERTAMA: ISU AUKU & UiTM
a) Budaya berdiskusi dan berdebat ini memang sesuai dijalankan di
university lain, tetapi langsung tidak sesuai di UiTM. Disebabkan
ketidakmatangan para pelajar UiTM, debat dan diskusi ini hanya akan menghancurkan
perpaduan melayu di UiTM..............
.........Oleh itu, sebarang matlamat lain, samada yang diterbitkan
secara awang-awangan seperti hak asasi manusia, hak pelajar, kebebasan akademik
dan keadilan sejagat ataupun wacana yang bersifat trend semasa seperti autonomi
university, autonomi ahli akademik; semestinya sesuatu yang tidak relevan di UiTM.
......... Sepatutnya
budak-budak ini sedar bahawa pelajar-pelajar UiTM adalah tidak matang dan
senang dicucuk oleh anasir-anasir luar yang bertopengkan hak asasi manusia.
Kita perlu memahami bahawa pelajar-pelajar UiTM ini tidak sesuai untuk
didedahkan kepada budaya pengajian di universiti lain
Apa perasaan kita apabila membaca kenyataan
ini?
Saudara/saudari
penulis blog yang tidak saya kenali, apabila anda membuat kenyataan ‘disebabkan
ketidakmatangan para pelajar UiTM’ bererti anda sendiri telah merendahkan
kemampuan pelajar UiTM untuk berdiskusi dan berdebat. Kalau diskusi dan
berdebat adalah tidak sesuai di UiTM maka saya sarankan persatuan-persatuan
yang berunsurkan debat dan diskusi dibubarkan dan sebarang program debat atau
diskusi tidak boleh dianjurkan di UiTM kerana ia tidak sesuai di universiti
ini.
Saya
bersyukur saudara/saudari bukan penuntut kuliah undang-undang kerana apabila
anda menyebut ‘’secara awang-awangan seperti hak asasi manusia....’’ itu
bererti anda tidak mengetahui isi kandungan Perlembagaan Persekutuan yang
memperuntukkan hak kebebasan warganegara(Perkara 5-13). Jika anda tidak
percaya, saya boleh pinjamkan. Emelkan alamat anda ke zhariflaw@gmail.com dan saya akan pinjam,
oh tidak saya akan berikan secara percuma kepada anda kerana saya yakin setiap
warganegara yang menjunjung prinsip rukun negara ketiga perlu mengetahui
perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Saya
berpendapat, pandangan penulis blog ini adalah relevan jika ianya diterbitkan
pada sekitar 70an dan 80an. Waktu itu internet tiada dan rakyat akan bergantung
kepada media massa. Tetapi sekarang zamannya sudah berubah. Internet boleh
diakses dan rakyat tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada media massa. Jika
kita fikir kita boleh mengawal siswa siswi pada hari ini maka kita silap kerana
mereka boleh mendapat maklumat dari pelbagai sumber dan pihak dengan menggunakan
internet. Apakah dengan mengawal mereka daripada tidak boleh berdiskusi dan
melarang pihak luar masuk dapat menghalang mereka mendapatkan maklumat di
internet?
Sebab
itu pendirian saya terhadap AUKU adalah jelas.AUKU perlu dipinda untuk
memastikan ia terus ‘segar’ dan relevan dengan keadaan semasa. Ia seharusnya
menjadi progresif bukannya regresif. Zaman mengawal informasi dan maklumat
sudah berakhir. Itu hakikat yang harus kita terima. Seluruh rakyat Malaysia
harus menerimanya. Bahkan Rasulullah s.a.w sendiri pernah berpesan kepada kita ‘’
Didiklah anakmu mengikut zamannya kerana zamannya adalah berbeza sama sekali
dengan zamanmu’’
Mengapa
sukar untuk kita mendidik generasi muda mengikut zamannya?Ini zaman generasi
muda. Generasi tahun 2011. Bukannya generasi 70,80,90an. Itu adalah hakikat
yang kita harus terima samada kita suka atau tidak.
Justeru
pendirian saya jelas: AUKU perlu dipinda selaras dengan peredaran masa kini.
b) Intipati sebenar UiTM, matlamat sebenar UiTM
adalah untuk perpaduan melayu, dan disebabkan UMNO yang menubuhkan UiTM,
perpaduan melayu mestilah merujuk kepada perpaduan melayu di bawah UMNO sahaja.
Tiada tempat di dalam UiTM bagi wacana atau sebarang polisi yang bercorak
selain daripada perpaduan melayu
Jika benar
matlamat sebenar UiTM adalah untuk perpaduan melayu kenapa tidak dibenarkan
sahaja pelajar Melayu yang belajar di sini? Jangan lupa kita mempunyai ‘saudara
dan saudari’ dari Sabah dan Sarawak. Mereka ini bukan sahaja terdiri daripada
orang Melayu tetapi etnik-etnik Bumiputera. UiTM adalah untuk BUMIPUTERA, bukan
untuk MELAYU semata-mata.
Jika
sebab UMNO yang menubuhkan UiTM maka tiada tempat untuk wacana dan polisi yang
bercorak selain daripada perpaduan melayu, saya berpendapat semua universiti
perlu melakukan perkara yang sama. Mengapa? Sebab UMNO juga menubuhkan
universiti-universiti yang lain seperti UM,USM,UKM dan lain-lain.
Tidak
boleh ada unsur diskriminasi dalam soal kebebasan untuk berdiskusi dan
kebebasan bersuara. Jika tidak ia sudah melanggar perkara 8 dan 10 Perlembagaan
Persekutuan. Perkara 153 tidak memberi keistimewaan untuk Bumiputera dalam soal
kebebasan bersuara atau menganjurkan sebarang diskusi mahupun wacana. Justeru
dengan mengatakan bahawa perkara-perkara lain selain mengenai perpaduan melayu
adalah tidak relevan UiTM, saya anggap satu perkara yang keterlaluan dan
merendahkan kemampuan pelajar-pelajar UiTM untuk berdiskusi.
Nah
kalau begitu, adalah dinasihatkan agar semua pelajar UiTm tidak menyertai
mana-mana pertandingan anjuran pihak luar jika tidak ada unsur-unsur perpaduan
Melayu. Amacam?
c) Disebabkan itulah kesemua pihak perlu
meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak yang berkuasa di UiTM
Dengan
penuh rasa hormat dan rendah diri, saya tidak dapat bersetuju dalam hal ini
kerana saya berpegang teguh kepada prinsip ‘’absolute power corrupts absolutely.’’
Bahkan dengan prinsip ini juga saya tidak bersetuju kuasa mutlak diberikan
sepenuhnya kepada mahasiswa. Sebab itu saya tidak pernah meminta AUKU dimansuhkan
tetapi dipinda. Saya melihat AUKU perlu dijadikan sebagai satu ‘guideline’
bukan ‘prohibition’ atau ‘preventive act’.
Kita
mencari keseimbangan kuasa bukannya kuasa yang mutlak.
Kesimpulan untuk isu ini adalah: Taktik mengongkong dan menganggap bahawa
pelajar UiTM tidak perlu menerima pendedahan seperti pelajar-pelajar di
universiti sudah lagi tidak relevan pada tahun ini dan pada tahun-tahun yang
mendatang. Budak-budak sekarang sudah pandai; tak kasi tak apa boleh cari kat
internet. Potong wireless? Tak apa sebab broadband/ YES 4G ada. Apa yang
diperlukan adalah sebuah laptop dan akses kepada internet.
Ini
bukan cubaan. Ini betul-betul. Ini realiti.
KEDUA: ISU UMNO, DATO SAIFUDDIN DAN DATO SERI KHALED NORDIN
Saya
melihat penulis blog ini telah menggunakan elemen ad hominem untuk
menjustifikasi hujah beliau dan ia lebih kepada strategi untuk melaga-lagakan
pihak tertentu. Apabila beliau banyak menyerang peribadi Dato Saifuddin, saya
terdiam seketika dan saya akan menjawab perkara ini dalam 2 cara dan hendaklah
dimaklumkan bahawa Dato Saifuddin tidak membayar saya untuk menjawab soalan ini
dan saya bukanlah salah seorang ‘cybertrooper’ kerajaan mahupun pembangkang.
Kalau ya, saya dah berhenti belajar sebab dengar cerita jadi ‘cybertrooper’
lagi kaya dan mahsyuk; tak perlu kerja berat-berat cuma perlu menghadap laptop
dan update blog dengan kerap.
Pertama,
apabila dato terlibat dalam isu-isu sebegini, ia sedikit sebanyak telah memecah
dominasi pihak pembangkang dalam menjuarai isu-isu ‘rakyat’. Dato telah menjadi
bukti bahawa kerajaan masih mahu mendengar dan memahami isu-isu terbaru yang
dialami oleh rakyat. Dengan memecahkan dominasi ini ia akan membuatkan pembangkang
‘tiada modal’ untuk bercerita sekaligus memberikan tentangan dan kepayahan
untuk pembangkang ‘bercerita’.
Kedua,
pendirian Dato Saifuddin dan mereka yang menyokong pindaan AUKU adalah seiring
dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes UKM4. Keputusan mahkamah perlu
dihormati. Kalau kes-kes lain seperti kes di Perak kita minta rakyat menerima
keputusan mahkamah mengapa sekarang kita tidak boleh menerima keputusan
mahkamah? Ia diadili dan diputuskan oleh tiga orang hakim dan majoriti hakim
(2-1) mengisytiharkan seksyen 15 AUKU adalah tidak sah. Bahkan dalam
penghakiman minoriti, YA Low Hop Bing dalam obiter
dicta memberi cadangan agar ia dipinda oleh Parlimen kerana mahkamah tidak
mempunyai kuasa untuk meminda. Tugas mahkamah adalah menentukan samada
peruntukan tersebut adalah sah di sisi undang-undang atau tidak.
Jika
Dato Seri Najib Tun Razak boleh menerima keputusan mahkamah ini dan bersetuju
untuk meminda AUKU sewaktu sesi Parlimen baru-baru ini, mengapa tidak kita
boleh menerima keputusan ini juga?
KETIGA: ISU-ISU SAMPINGAN
a) Mereka juga sepatutnya menyedari masyarakat pelajar UiTM adalah
semuanya berasal dari kampong dari keluarga orang susah seperti petani, pesawah
dan penoreh getah....
Saya
sangat berharap bahawa saudara/saudari penulis blog ini tersilap taip ‘semuanya’
itu kerana fakta ini langsung tidak tepat. Jika tepat masakan UiTM mempunyai
masalah dengan pelajar yang membawa kenderaan. Tidak semua berasal dari kampung
dan keluarga orang susah. Ada pelajar-pelajar UiTM yang mempunyai kenderaan
yang lebih hebat daripada pensyarah, ada pelajar-pelajar UiTM yang memiliki
handphone lagi mahal daripada pensyarah sendiri. Justeru, tidak perlulah
saudara-saudari menulis semua kerana fakta itu tidak tepat. Sangat tidak tepat.
Maaf bukan untuk menyinggung tetapi saya boleh menerima jika anda menulis ‘sebahagian’
tetapi bukan ‘semuanya’
b) Apabila saudara-saudari menyebut ‘’ Budaya berdiskusi dan berdebat ini memang
sesuai dijalankan di university lain, tetapi langsung tidak sesuai di UiTM’’
saya terkesima apabila membaca entri blog ini apabila anda menulis
‘’ Memang
benar artis-artis seperti Hujan,Bunkface dan Siti Nurhaliza pernah membuat
konsert yang besar-besaran di dalam UiTM. Akan tetapi itulah jenis aktiviti
yang sesuai dengan mahasiswa. Apa salahnya berhibur sekali-sekala? Sebarang
percubaan untuk memburukkan konsert ini sebagai aktiviti haram/mungkar adalah
hanya dakyah pembangkang semata-mata. Adalah tidak salah sekiranya para pelajar
ingin berhibur sekali-sekala. Sekiranya ia adalah haram/mungkar, tentu
ustaz-ustaz dari Pusat Pemikiran dan Pemahaman Islam UiTM akan bertindak
mengeluarkan fatwa. Tetapi tidak pernah pun ustaz-unstaz tersebut bertindak
sedemikian. Ini membuktikan bahawa tiada salah diadakan konsert-konsert
tersebut dan mereka-mereka yang membuat bising mengenai halal/haram itu
hanyalah agen-agen PAS yang tidak bertamadun’’
Saya terkedu. Budaya diskusi yang mempunyai unsur ilmiah tidak sesuai di
UiTM tetapi hiburan/konsert adalah sesuai di UiTM? Err sebentar. Anda juga ada
menyatakan bahawa ‘’ Mereka juga sepatutnya
menyedari masyarakat pelajar UiTM adalah semuanya berasal dari kampong dari keluarga
orang susah seperti petani, pesawah dan penoreh getah’’ dan adakah
pelajar’pelajar UiTM yang ‘semuanya’ berasa dari kampong ini sesuai dengan
berhibur dalam konsert-konsert yang dianjurkan di UiTM?
Saya
terkesima.
c) Nilai, tradisi dan budaya Melayu adalah menurut perintah. Maka budaya
tidak bersetuju dan membangkang yang cuba dibawakan oleh gerakan ini adalah
tidak sesuai, malah satu budaya yang biadap
Benarkah? Bagaimana pula dengan pepatah melayu ‘’ Raja Adil Disembah,
Raja Zalim Disanggah’’? Bagaimana pula dengan kisah Sultan Mahmud mangkat
dijulang? Bagaimana pula dengan kata-kata Tun Perak apabila anaknya dibunuh
oleh Sultan Muhammad, anakanda sultan Mahmud pada ketika itu?
‘’Adat Melayu tidak pernah menderhaka akan
tetapi kalau kita bertuankan yang seorang ini,janganlah’’.
AKHIR CERITA
Tidak
ada apa yang boleh saya ulas lebih lanjut mengenai penulisan saudara/saudari
blog ini melainkan beliau berpaksikan kepada politik dan maaf jika saya katakan
beliau adalah golongan-golongan yang ‘hardliner’. Sukar untuk berubah (Jika
tidak masakan beliau bermati-matian mempertahankan bahawa konsert tak jadi
masalah tapi kalau diskusi atau debat itu tidak sesuai di UiTM). Justeru, saya
memohon maaf sekiranya ada penulisan saya di atas mengguris perasaan mana-mana
pihak dan saya serahkan kepada para pembaca yang lainnya untuk membuat
penilaian.
Adalah sangat
penting untuk saya jelaskan bahawa apabila saya menulis artikel ini, tidak
bererti saya anti-UiTM atau ahli kepada mana-mana persatuan mahasiswa. Bahkan
persatuan mahasiswa sendiri sudah hilang ‘independent’nya setelah menyertai
grup ‘ASALKAN BUKAN UMNO (ABU)’. Kalau benar-benar independent, maka beranikan
diri untuk mengkritik dan menegur kedua-dua pihak. Jangan bila satu pihak ni
buat salah kita hentam gila-gila, tapi bila satu pihak ni ada buat salah kita
diam tak mahu komen. Harus diingat, tiada satu pun manusia yang perfect. Kita
bukan malaikat. Pemimpin-pemimpin dalam parti bukan malaikat. Saya menyokong
prinsip menolak ketaksuban terhadap parti atau semangat ‘kepartian’. Mana yang
betul kita cakap. Mana yang salah kita tegur. Kalau orang tu menggunakan
ayat-ayat yang kasar terhadap orang lain selepas solat hajat takkan kita nak ‘cover
line’. Kalau orang tu betul makan rasuah, takkan kita nak diam buat-buat tak
tahu?
Saya
menulis mengikut cara saya sendiri. Terima kasih kepada yang bersetuju mahupun
tidak. Kerana saya sedang belajar menerima hakikat bahawa manusia itu tidak
sempurna.Saya tidak boleh memuaskan hati semua orang. Pandang sisi mereka
terhadap sesuatu perkara adalah berbeza. Ada yang setengah isi dan ada yang
setengah kosong. Saya berdoa dan berharap agar lebih banyak ruang dan platform
diberikan kepada kedua-dua pihak yakni pro-A mahupun pro-M kerana kerana dari
situ kita akan dapat menilai peribadi, idea dan halatuju perjuangan mereka.
Wallahua'lam.
''Free the freedom. restrict the restriction. But guide both of them wisely''.