Sunday, September 22, 2013

Hanya Sepucuk Surat

''Apa bezanya novel ni dengan novel yang lain?''
 Tak dapat dinafikan novel masa kini telah mudah diramal jalan ceritanya. Mungkin ikut selera pembaca. Bersaing merebut tuah dalam ruang yang sama.
Aku tak tahu apa bezanya novel 7304 dan novel yang lain
 Apa yang aku tahu,
 Ia adalah kisah sebenar yang dialami oleh manusia biasa. Merasai kesakitan dan penderitaan kerana penyesalan. Menyesal kerana lambat mengungkapkan cinta dalam hati. Cinta untuk seseorang yang kita cintai & tahu dialah yang akan menghuni hati kita walau apa pun terjadi.

Novel ini, memberitahu bahawa keajaiban itu terletak dalam tangan manusia sendiri; cuma jalan untuk membuka pintu keajaiban tidaklah mudah. Tak mudah tapi tak mustahil.

Sebuah cerita yang menasihati pembacanya agar tidak menunggu masa yang 'perfect' untuk mengungkapkan cinta; perfect time tidak wujud. Hanya manusia yang perlu bertindak.

Sebuah cerita yang membawa mesej bahawa cinta yang tidak dilafazkan lebih derita rasanya jika ia hilang.

Cerita yang menuntun pembaca supaya tabah& tidak berputus asa dalam mendapatkan sesuatu

Dan jangan pernah memandang kecil terhadap perkara kecil yang dilakukan.

Kerana perkara kecil seperti sepucuk surat yang ditulis dengan hati, bisa mengubah masa depan.


Monday, August 19, 2013

Menulis&Trend


1. Terbaca di akhbar semalam tentang rungutan pengarah di Malaysia akibat sambutan yang tidak menggalakkan daripada penonton terhadap filem yang dibikin. Ada filem yang di bawah paras kutipan yang dijangkakan dan sudah tentunya ini membawa kepada kerugian kepada produksi filem.

2. Perkara ini tidak berlaku dalam industri filem sahaja tetapi juga dalam industri penulisan di Malaysia ketika ini. Tidak dapat dinafikan hampir semua jalan cerita novel lebih kurang sama; status keluarga antara kaya dan miskin akan diketengahkan(salah satu watak pastinya datang daripada keluarga tan sri atau yang punya syarikat mega), kahwin muda atau kahwin atas pilihan keluarga di samping novel yang mencampuradukkan bahasa telah mewarnai trend penulisan dan juga telah mempengaruhi trend filem dan drama di Malaysia.

3. Perhatian akan diberikan dan keuntungan dapat dijana sekiranya trend ini dapat diikuti. Tetapi trend juga tidak kekal lama; sepertimana yang berlaku sebelum ini apabila trend cinta Islamik pernah menjadi fenomena di Malaysia baik dalam penulisan mahupun perfileman. Tetapi sekarang trend itu telah berubah dan pastinya trend sekarang juga akan berubah tidak lama lagi.

4. Sebab itu saya tidak bersetuju kalau penonton atau pembaca dipersalahkan kalau karya yang dihasilkan tidak menepati sasaran mahupun tidak mencatat keuntungan. Apabila telah terlalu banyak lambakan karya yang sama pembaca akan beralih kepada sesuatu yang baru.

5. Saya cuba menjadi diri sendiri apabila menulis. Saya pernah cuba ikut trend tetapi tidak berhasil. Akhirnya saya memutuskan lebih baik menulis apa yang datang dari hati sendiri. Apa yang kita sendiri mahu. Sesuatu yang boleh menunjukkan diri kita yang sebenar.. Stay true to yourself. Pembaca akan baca apa yang mereka mahu dan jika mereka suka, mereka akan membelinya. Apabila menulis saya hanya mahu kekal menjadi diri sendiri dan mengekspresikan diri saya sendiri.

6. Walaupun keuntungan tidak dapat dikecapi dalam masa yang singkat sepertimana yang dijanjikan oleh trend, yang penting kita tidak kehilangan diri sendiri dan cuba tiru (imitate), menjadi orang yang kita sendiri tidak kenal.

7.Kerana menjadi diri sendiri tidak akan pernah hilang dan ditukar ganti seperti trend yang boleh berubah bila-bila masa sahaja. 

Thursday, August 1, 2013

Cinta akan datang kembali


Apabila Shah Jehan membina Taj Mahal, dia hanya memikirkan isterinya. Tentu dia tidak terfikir Taj Mahal akan menjadi tumpuan pelancong dan kesan cintanya itu akan mengheret jutaan manusia untuk datang ke Taj Mahal. Bahkan dia juga tidak pernah terfikir bahawa Taj Mahal itu juga akan memberi kesan dalam hidupku.     
        Dia tak peduli tentang kewujudanku.Apa yang dia peduli ialah cintanya kepada Mumtaz.

        ‘’Kenapa aku harus pergi ke India sedangkan dia berada di Jepun?’’
         Rumi mengukir senyuman.
        ‘’Cinta itu yang boleh dimiliki apabila kesunyian menghidupkan semula rohmu yang telah mati. Seperti jasad yang sunyi berada di perut bumi, begitu jugalah dengan roh yang mati. Ia hanya bisa dihidupkan dengan bisikan kesunyian. Kesunyian itu akan menguji sama ada engkau bisa hidup bersendirian atau tidak.’’
        ‘’Kenapa kesunyian harus tahu aku bisa hidup sendiri atau tidak?’’
        ‘’Dunia ilham diisi dengan suara-suara kesunyian yang akan menghidupkan alam di dalamnya. Suara-suara itu akan menyapamu dengan bisikan bahawa kalau engkau tidak bisa hidup dalam kesunyian maka engkau tidak bisa mempercayai dirimu sendiri. Apabila engkau tidak percaya kepada diri sendiri akan sukarlah engkau untuk mengenali diri. Apabila engkau tidak mampu mengenali dirimu sendiri, jangan engkau harap engkau bisa mengenali orang lain.
        Kalau engkau tidak bisa berbicara dengan dirimu, jangan engkau sangka engkau bisa berbicara dengan orang lain tentang cinta. Jika engkau tidak bisa mencintai dirimu sendiri, cinta tidak akan bisa membawamu untuk mencintai orang lain.
        Engkau hanya mengetahui apa yang kau mahu dan apa yang engkau miliki dalam kehilangan. Sesungguhnya kehilangan itu akan mengembalikan semula apa yang telah ia ambil dalam keadaan yang tidak engkau sangka. Ia bergerak dalam cara yang misteri; tidak bisa engkau jangka bila ia akan datang.
        Tetapi, apabila ia datang, jangan pernah menolak kehadiran dirinya.’’

        ‘’Aku hilang diriku. Aku hilang cinta. Aku hilang Faten Liyana. Apa lagi yang bisa aku harapkan dalam kehidupanku ini?’’ ujarku dalam suara yang menekan hiba.
        ‘’Engkau telah kembali dalam cinta yang pernah engkau tinggalkan. Kembalinya engkau ke dalam dunia ilham adalah langkah pertama bagaimana Tuhan mahu mengajarmu erti kehidupan. Sebelum engkau hilang segalanya, Tuhan telah membawamu kembali ke dalam dunia ilham agar engkau bisa hidup semula dalam manusia-manusia yang engkau akan lihat di India. Mereka adalah jelmaan dirimu.
         Engkau akan melihat dirimu dalam mata mereka yang mana akan bersatu untuk menghidupkan semula rohmu. Penyatuan itu berlaku apabila engkau bersendirian dan waktu itu seluruh alam akan tunduk menunaikan hajatmu. Merekalah refleksi versi dirimu dan belajarlah daripada mereka tanpa ragu dan malu. Mereka akan memberi erti manusia dan engkau memahaminya dengan bisikan cinta di dunia ilham.
        Di India, engkau akan belajar tentang cinta; erti cinta yang telah Tuhan sediakan untuk kehidupanmu.
        Apabila engkau telah mengenali dan mencintai dirimu, cinta akan datang memimpin tanganmu untuk mencintai perempuan yang engkau cintai selama ini.
        Cukuplah bagi kita ini Allah, Dia sebaik-baik Peneman dan Penolong,’’ ucapnya lagi sambil memelukku dan berlalu pergi.

        Saat itu, aku mula merindui Maria. Gadis yang pernah hidup dalam hatiku dan telah mengajarku kembali untuk mempercayai cinta di saat cinta pergi daripada kehidupanku.
‘’Janganlah bersedih.’’
        Maria memandangku dengan senyuman. Sebuah senyuman yang jernih tetapi penuh dengan ketenangan dan auranya yang tersendiri.
        Dia menemaniku melihat cinta berlalu pergi dalam kehidupanku. Menanti bersamaku dalam keresahan apakah aku akan tidak menemukan cinta lagi selepas ini.
        ‘’Cinta akan datang kembali. Apabila ia datang, sambutlah ia sebagaimana engkau menyambut kehadiranku tanpa sebarang prejudis. Terimalah ia sebagaimana engkau menerima kehadiranku dalam kehidupanmu. Cintailah ia sebagaimana tangan kita berdua bergenggaman di saat nafas terakhir berada di hujung peluru yang menembusi jasad kita berdua.
        Jangan pernah engkau melepaskannya lagi,’’ ucapnya sambil menatap mataku.
        Aku melihatnya kembali. Menembusi anak matanya adalah sebuah makna yang akan diungkapkannya sebentar lagi.
        ‘’ Cintailah dia sebagaimana matamu ini menembusi jasadku. Jangan engkau bataskan cinta itu hanya pada jasad tetapi cintailah dia sehingga engkau dapat merasakan rohnya berada dalam cintamu. Sesungguhnya itulah makna yang engkau rasakan ketika ini.’’

Daripada novel 7304

Monday, July 22, 2013

Selepas Lima Tahun

Novel Ekstasi Rumi

1. Novel ini telah mula ditulis bulan Mac 2012 tetapi aku dah mula menulis dalam fikiranku beberapa bulan sebelum itu. Senang cerita, aku dah 'mengandung' novel ini sebelum bulan Mac 2012.

2. Kemudian, aku mengolah semula novel ini pada penghujung tahun 2012 dan akhirnya siap menulis pada bulan Februari 2013.

3. Novel ini akan kuberi percuma kepada para pembaca novel 7304 dan akan diberikan dalam bentuk PDF.

4. Kenapa dalam pdf?Kenapa tak cetak?

5. Sasaran aku ialah penulisan ini akan dibaca oleh generasi muda seperti aku. Kebiasannya novel di pasaran akan dijual pada harga RM 19.90 atau RM20. Jadi kalau aku cetak novel Ekstasi Rumi bersama novel 7304, kos pengeluaran akan menjadi lebih mahal ( kos sebuah novel 7304 ialah RM10.00) dan ini akan menyebabkan harganya menjadi lebih mahal.

6. Justeru aku tak mahu orang-orang yang minat membaca ini dibebankan dengan harga yang mahal untuk membaca buku. Budaya membaca seharusnya tidak dibataskan atau dikastakan dengan harga. Semua orang sepatutnya dipermudahkan untuk membaca buku.

7. Lagipula, novel ekstasi rumi ini telah menemui pembacanya dalam group zinesatumalam di facebook dan kenalan-kenalan rapat. Dan aku memberinya secara percuma. Aku yakin takdir buku ini ialah untuk dibaca secara percuma dan digandingkan bersama novel 7304.

Novel 7304


1. Pada 23 Julai 2012, sebuah surat yang telah ditulis seminggu sebelumnya telah selamat sampai di sebuah rumah di Chiba, Jepun.

2. Aku tak pernah menyangka surat itu akan mengubah segala-galanya sehinggalah membawa aku untuk menulis novel 7304 ini.

3. Aku berhasrat untuk menerbitkannya dalam bentuk hardcopy hasil dorongan brader Zoul Yazix, pengasas grup zinesatumalam di Facebook.

4. Ini juga kali pertama aku menguruskannya sendiri; bermula dari menulis, mengedit, memohon ISBN sampaila mencetaknya. Pelbagai ujian dan cabaran ditempuhi untuk 'melahirkan' novel ini. Semua kos dibiayai oleh diri aku sendiri. Walaupun payah tetapi aku tetap rasa puas sebab aku dapat menguruskannya sendiri. Kalau ada salah dan kekurangan sekalipun itu adalah kekhilafan diriku sendiri. Untung rugi pun aku akan tanggung sendiri.

5.  Benda kalau dah suka, kita akan buat apa saja untuk merealisasikannya.

Mula Dijual

1. Insyallah novel 7304 dan EKSTASI RUMI akan mula dijual pada hari esok(23/7/2013) bersempena memperingati hari bersejarah yakni hari di mana sepucuk surat yang ditulis telah disampai ke Jepun dan mengubah kehidupan aku seratus peratus.

2. Novel ini akan dijual melalui cara online dan tidak dijual di mana-mana kedai buku kerana aku mencetaknya dengan kuantiti yang terhad. Jadi lebih baik jika aku menguruskannya sendiri. Lagipun, teknologi sekarang telah dijadikan platform bisnes selain daripada dihantar ke kedai-kedai. Aku juga tidak menulisnya dengan terlalu tebal sebab pembaca tidak perlu menghabiskan sebuah buku dalam masa yang sangat lama. Kalau tulis tebal-tebal nanti susah pembaca nak habiskan dan secara psikologinya akan 'meletihkan' pembaca untuk menghabiskannya.

 Lebih baik sedikit tetapi berkesan isinya daripada banyak tetapi pembaca tidak dapat menikmati isi buku tersebut.

3. Novel ini akan dijual dengan harga RM16.00 dan tidak termasuk kos pos laju. Aku akan menghantar ke alamat pembeli sebaik sahaja pembelian telah dikonfirmasikan.

4. Sama ada novel ini boleh laris dan habis dijual, itu aku tak dapat nak beri jawapan. Sebab buku mempunyai masa depannya sendiri. Aku tak dapat kawal masa depannya; aku hanya bisa menguruskan proses 'kelahiran' tetapi apa yang akan terjadi kepadanya, aku serahkan kepada Tuhan.

5. Aku mendoakan semoga para pembaca akan dapat menikmati novel-novel ini dan terima kasih atas sokongan yang diberikan. Insyallah kita akan mendapat apa yang kita cari daripada novel-novel ini.

Salam Ramadan Al-Mubarak

Berikut adalah komentar daripada seorang pembaca novel Ekstasi Rumi, Hazirah Kamal:

Terlebih dahulu, karya ini hasil tulisan pelajar undang-undang. Mahu tidak mahu roh undang-undang itu ada. Tapi tidaklah juga bermakna yang tidak ada asas undang-undang secara formal tidak mampu menghadamnya. Topik dijadikan cukup-cukup universal, untuk semua mampu hayatinya.

Saya bukan pakar sastera, maka saya awal-awal memberitahu apa yang saya komen dari karya ini bukan dari segi gaya bahasa, tatabahasa atau susun atur ceritanya. Cuma dari sudut pandang seorang pembaca biasa, saya lebih suka melihat apa idea si penulis, apa yang sarat di kepala dan dimuntahkan dalam bentuk tulisan 134 muka surat ini. Walau saya tahu, pengkarya kadang-kadang cuma mahu menulis dan tidak ada tujuan khusus ketika berkarya.  Well, saya bersedia untuk kedua-dua.

Mengikut tajuk ekstasi rumi, saya mengandaikan rumi itu sebagai non living thing. Dan hampir separuh teks ini, saya masih punya tanggapan serupa, walaupun penulis sejak mula mengatakan rumi dalam cerita ini adalah manusia, bukan 26 (atau 25?) abjad yang biasa kita guna. Tapi sedikit demi sedikit, kemanusiaan Rumi mula dipamerkan dan saya mula yakin kata penulis. Rumi itu manusia.

Jadi, seperti yang dikatakan sebentar tadi, roh undang-undang kuat dalam karya ini. Tapi ia dimanipulasi dengan cukup baik untuk membincangkan isu yang lebih besar daripada sekadar  mahkamah dan peguamcara. And it is a well done job.  J

Banyak yang saya refleks mana letak diri saya sepanjang dua, tiga jam membaca ini. Ramai sekali mahukan keadilan, jangka mereka keadilan itu definisi bahagia. “Kalau kita hukum semua pesalah tuhan, baru tuhan redha, baru hidup kita bahagia.” Banyak sekali memegang falsafah, atau, ya, falsampah ini. Obsesi. Bukan jawapan kepada penghayatan mengenal tuhan.  Obsesi, penyebab umat nabi musa menyembah tuhan lembu hanya kerana samiri kata itu suruhan nabi musa. Hanya kerana ‘orang kata’. Sebab nak menjadi majoriti, sebab nak hidup dalam zon selesa.

Dan, jika mahu saya ringkaskan karya ini dalam satu ayat, cinta adalah berdamai dengan diri sendiri. Absence of self doubt.  Dan, jangan salah faham, ramai yang sangka telah jumpa, tapi sebenarnya kalau jujur dan tanya diri sendiri, banyak yang mahu dipersoalkannya. Terus mencari, itu pesan naskah ini pada saya.


Jika cadangan untuk penambahbaikan yang awak cari dari review ini, maaf, saya belum mampu untuk memberi. Cukuplah penulis menulis dari hati. Dan tidak cuba untuk conform to society.

Tulis apa yang kita rasa, bukan apa yang mereka nak baca.  Mungkin mainstream publisher akan mencadangkan untuk ubah sana-sini nanti, well, terpulang. Tapi naskah ini sudah memadai bagi saya. this is zharif badrul’s. Dan jika adapun penambahbaikan, biarlah ia datang dari anda sendiri. 

Wednesday, July 17, 2013

Dah lama nak cakap,

1. Tak tahu macamana nak mula. Kekok barangkali.

2. Empat belas minggu dah berlalu. LLB di UiTM, seperti yang dicanang sangat busy, sangat hectic dan pressure telah melabuhkan tirainya untuk semester pertama. Aku tak pasti bagaimana harus aku simpulkan pengalaman semester pertama ni.

3. Busy? Itu biasa. Kalau tak busy then sama jela macam BLS itu hari. Bila tengok balik kehidupan BLS, sungguh tak setanding mana dengan kehidupan LLB. Tapi kalau LLB tu tak mengubah hidup maknanya ia tak layak untuk dijadikan cabaran.

4. So far, untuk aku takdelah teruk sangat sampai tidur dalam kelas dan tak sempat nak keluar berlari atau menulis. Masih lagi boleh tidur malam walaupun tak selama dulu. Jadi tak betullah kalau semua student LLB mengalami rutin kehidupan yang sama sebab sebelum ni pun ada jugak senior-senior yang aku kenal tak complain apa-apa pasal LLB.

5. Jadi, in the end ia terpulang kepada individu tu macamana nak uruskan LLB. It is not what you carry but how you carry. Selalunya yang rasa LLB ni hectic gila khinzir sampai rasa tak ada life nila yang selalu kita nampak di laman-laman sosial. Yang tak merungut, yang mengaku memang LLB ni busy tapi takdela sampai tak ada kehidupan langsung, tak akan cerita benda-benda tu di khalayak ramai. Biasanya mereka cuma memberitahu apabila ada orang yang bertanya kepada mereka.

6. Senang cerita, yang banyak merungut nila yang memberi tanggapan negatif kepada orang lain. Tapi nak buat camna, freedom of speech. Aku hormat pandangan mereka walaupun aku tak bersetuju. Tak semestinya semua orang kena tengok gelas tu separuh kosong. Ada juga yang tengok gelas tu separuh penuh.

7. Bagi aku, aku cuma rasa bersyukur sebab masih dapat belajar dalam keadaan yang kondusif kalau nak dibandingkan dengan orang lain di negara lain yang nak belajar law. Sibuk tu memang normallah dan nasib aku mempunyai firmmates yang komited dan bekerjasama walaupun cara masing-masing buat kerja tu berbeza.

8. Lagipun, aku dah pasang niat sebelum nak start LLB aritu yang aku nak tunjuk kat member-member BLS aku yang LLB ni taklah seperti yang dicanangkan sebelum ni. Aku nak buktikan tak semua orang mempunyai nasib dan 'penderitaan' yang sama. Macam aku cakap tadi, terpulang kepada individu tu nak handle benda tu macamana.

9. Atau mungkin aku bernasib baik sebab dapat lecturers yang baik dan firmmates yang ok. Mungkin ni baru semester pertama. Mungkin semester kedua lagi busy dan aku mungkin terpaksa tidur dekat kelas selama 14 minggu. Mungkin.

10. Dan semakin aku menghampiri penghujung kehidupan sebagai law student, semakin aku tak pasti aku nak buat apa lepasni. Aku tak pasti nak kerja dalam profesion perundangan atau meneruskan impian aku sebagai penulis. Walaupun kerja penulis tu tak seglamour kerja dalam bidang undang-undang, at least aku buat benda yang aku suka; benda yang aku tak perlu tengok jam bila nak habis. Benda yang aku tak rasa berat hati untuk buat tiap kali bangun pagi. Benda yang aku boleh rasa flow tiap kali aku buat.

11. Lagipun nanti bila dah nak mati, aku tak mahu ada list ini

12. Mungkin bulan Ramadhan kali ini akan memberi sesuatu untuk aku. Sesuatu yang dapat membantu aku untuk membuat soul searching ini, insya Allah.

Sunday, April 21, 2013

Sebelum memilih episod 1

Wacana Ilmiah...ke?

1. Apabila universiti saya menganjurkan wacana ilmiah 'sebelum senja berlabuh', dengan jujurnya saya tak pergi program tersebut.

2. Sebab apa tak pergi? Sebab ia bertentangan dengan pindaan terbaru seksyen 15(2)(d) AUKU yang turut memberi kesan kepada pindaan akta 173.

3. Seksyen tersebut melarang pelajar daripada menyertai aktiviti parti politik dalam kampus. rasionalnya ialah untuk mengekalkan neutraliti sesebuah universiti.

4. Mungkin keterlaluan untuk mengaitkan wacana ilmiah tersebut dengan aktiviti parti politik. Tetapi wacana ilmiah tersebut boleh dijadikan 'pretext' untuk membenarkan aktiviti parti politik.

5. Walaupun ianya bukan anjuran mana-mana parti politik tapi kalau dah isi kandungan wacana tu penuh dengan politik yang menyokong satu parti dan 'membelasah' parti politik lain, tercapai ke tujuan untuk mengekalkan neutraliti universiti tu? Apatah lagi kalau dalam program tu sendiri dah terang-terangan membuat declaration menyokong satu parti.

6. Neutral ke macam tu?

7. Jangan sempitkan aktiviti parti politik dengan hanya berkempen letak bendera parti. Ia boleh berlaku dalam pelbagai cara. Salah satunya ialah menggunakan nama wacana ilmiah tetapi di dalamnya penuh dengan retorik menyokong sesebuah parti politik.

8. Walaupun saya tak pergi dan boleh jadi kenyataan-kenyataan yang dilemparkan adalah imaginasi penulis semata-mata, tetapi kenyataan-kenyataan tersebut diperolehi daripada mereka yang hadir ke program tersebut. 

9.Kalau tak betul, tak betullah.Tapi dah berapa banyak wacana ilmiah atau isu semasa digunapakai untuk cover benda yang sebetulnya. Macam lagu Nirwana band, ''Sudah cukup sudah''. 

10. Atau dengan lebih elegan lagi, seperti kata-kata Abraham Lincoln 
''You can fool some of the people all of the time
and all of the people some of the time
but you cannot fool all of the people all of the time''

BERKEMPEN

1. Tahniah dan syabas kepada calon-calon ahli parlimen dan DUN yang bakal bertanding dalam PRU 13 pada 5 Mei ini. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini tiada siapa yang menang tanpa bertanding. Ini menandakan PRU kali ini ialah ''ibu segala PRU''

2. Tapi kalau sekarang dah jadi ibu, PRU 14,15 dan seterusnya macam mana? Takkan tak jadi ibu dah?Ok abaikan perenggan ni.

3. Tahniah juga kepada kawan-kawan yang telah menonjolkan diri sebagai penyokong parti pilihan masing-masing. Tak perlu lagi rasa takut sebab AUKU dah membenarkan mahasiswa untuk menyertai dan menyokong mana-mana parti politik. Tahniah kerana telah mengisytiharkan diri anda sebagai penyokong BN atau PR. Lepas ni, tak bolehlah nak claim pendapat tu neutral dan tak berpihak kepada sesiapa sebabnya dah terang-terangan menyokong sesebuah parti politik. 

4. Yelah dah banyak sangat kan yang cakap neutral la, tak berpihak kepada sesiapa la tapi bila bercakap dok tibai satu pihak je. Salah parti yang disokong ditutup supaya tak ada orang tahu.

5. Malangnya saya termasuk dalam statistik pengundi muda atas pagar; masih lagi belum membuat keputusan. Walaupun berdasarkan rekod-rekod entri blog ini sejak 4-5 tahun lepas seolah-olah menunjukkan saya menyokong satu parti ni, sekarang saya mengaku saya belum membuat keputusan yang muktamad untuk mengundi parti apa dalam PRU 13.

6.Alhasilnya, saya mengambil keputusan untuk membaca manifesto kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan. Manifesto kedua-dua parti akan dibaca,diteliti dan dibandingkan serapi yang boleh. 

7.Setidak-tidaknya tak jadilah macam robot- suruh pangkah A terus pangkah A.Taklah memangkah sebab benci orang ni orang tu. Taklah memangkah untuk kepentingan sendiri sebab apabila ada orang tanya kenapa undi parti A bolehlah jawapan diberi berdasarkan alasan yang sesuai yakni manifesto mereka lebih realistik dan mementingkan rakyat.

8.Yup, mementingkan rakyat. Bukan setakat jadikan tagline  atau nama parti tetapi yang betul-betul mementingkan rakyat,, menghormati rakyat dan memahami jiwa rakyat.

Baca dulu sebelum membuat keputusan!



Wednesday, February 20, 2013

Untuk Pembaca,


1. Apabila berada di negara orang, aku akan cuba mengambil masa untuk menulis sesuatu. Tanda aku   berterima kasih kerana tempat itu telah memberikan aku ilham untuk menulis. Tanda bahawa setiap kejadian di alam ini bukanlah satu hal yang sia-sia. Kalau tempat itu tidak memberi manfaat untuk manusia lain, setidaknya ia bermanfaat untuk penulis seperti aku mengabdikan sesuatu daripada tempat tersebut.

2. Sewaktu di Sydney, aku mengambil masa sehari untuk berehat dan duduk di dalam bilik. Sambil-sambil tu menghendap di luar tingkap untuk mencari ilham.Di India, aku pernah duduk di halaman  Humayun Tomb untuk menulis. Ketika berada di Jepun, aku mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk menulis sambil berlatarbelakangkan gunung Fuji.

3. Di Sydney, aku menulis dua puisi; satu untuk cinta sejati dan satu untuk cinta abadi. Hal yang sama berulang di Jepun.

4. Sangat mencukupkan bagi seorang manusia yang sudah menemukan seorang lagi manusia yang akan sentiasa mengingatkan dia kepada Tuhan. Apatah lagi jika seorang lagi itu menjaga sumber ilhamnya; menunggu masa yang sesuai untuk mencurahkan apa yang telah dikandungkan dalam sumber tersebut.





5. Dan Alhamdulilah, novel yang ditulis sejak bulan Disember telah selamat ditulis. Dua entri sebelum ini diambil daripada novel tersebut. Justeru dengan sukacitanya saya menjemput para pembaca yang berminat untuk memberi review dan respons berkenaan novel tersebut untuk membaca novel tersebut. Tinggalkan emel anda di ruangan komen facebook atau di blog ini atau langsung sahaja emel kepada zhariflaw@gmail.com. Penulis memerlukan 10 orang untuk membaca dan memberi review tentang novel ini.

6.Bagi sesiapa yang pernah membaca novel Laskar Cinta, selamata menikmati karya terbaru penulis ini!

EKSTASI RUMI 

Sinopsis:

    Kali pertama perkataan rumi itu wujud dalam hidup ialah apabila ia digunakan sebagai alternatif kepada tulisan jawi. Tulisan rumi merangkumi dua puluh enam huruf seperti yang sedang digunakan dalam novel ini.

          Apabila semakin meningkat dewasa, takdir membawa aku untuk mengetahui bahawa rumi bukanlah sekadar tulisan tetapi ia merujuk kepada seorang manusia yang telah membawa perubahan besar dalam agama Islam terutama dalam aliran falsafah dan tasawuf. Apa yang dapat disimpulkan ialah Rumi bertanggungjawab menjenamakan imej agama Islam dengan pendekatan yang lembut yakni seni dan mengaitkannya dengan cinta.

          Tidak ada siapa yang dapat memahami cinta lebih daripada Rumi. Mungkin agak keterlaluan tetapi itulah dia di hidupku. Walaupun Rumi sudah lama meninggal dunia tetapi kehadirannya dapat dirasai hingga kini dan dia hadir di saat aku berjalan dalam kegelapan mencari erti kehidupan dan makna cinta.

          Saat itu, tanpa dan secara tidak sengaja, aku menghidupkannya semula. Di satu tempat yang penuh rahsia dan tidak dapat dikawal oleh sesiapa pun kecuali tuan empunya diri.

Hati.
          Sebab itu jangan menyangka kewujudan seorang manusia tidak berguna di muka bumi ini. Mungkin tidak sekarang tetapi tidak ada satu yang diciptakan oleh Sang Pencipta tanpa sebarang tujuan.Mungkin kesannya tidak nampak kepada ahli terdekat tetapi ia boleh merentasi sempadan masa dan generasi. Jika kewujudan seorang manusia yang bernama Rumi itu hanya mempunyai satu tujuan maka tujuan itu tidak lain untuk memimpin aku mengerti maksud kehidupan dan cinta...

Monday, January 7, 2013

Mohon Maaf




     Maaf. Satu perkataan dengan empat huruf. Sering dimanipulasi sehingga taraf penggunaannya seperti cinta; sering diucapkan untuk memberi kelegaan sementara tetapi dalam hati tiada siapa yang tahu.Atau mungkin dizahirkan untuk kepentingan tertentu,lazimnya untuk tidak kehilangan seseorang atau sesuatu dalam hidup. Semuanya untuk memastikan keadaan berjalan seperti biasa. Business as usual. Kepastian kerana takut perkara ‘seperti biasa’ itu hilang. Untuk melupakan hal yang pernah terjadi.Selesa dalam status quo dalam bahasa mudahnya.

          Itu hubungan maaf antara sesama manusia. Bagaimana pula memaafkan diri sendiri?

          Jarang dibincangkan kerana ketakutan bersemuka dengan diri sendiri melebihi ketakutan menghadap seorang raja atau pemerintah di muka bumi. Atau kadang-kadang ia melebihi ketakutan untuk menghadap Tuhan. Apabila berdepan dengan diri sendiri, tidak ada penghalang mahupun penghadang; wajah sebenar diserlahkan dan diri kita dibogelkan tanpa sebarang perlindungan.

          Kita menjadi takut untuk memaafkan diri sendiri kerana ancaman dalam fikiran bahawa tidak ada apa yang perlu dimaafkan. Atau lebih sadis kita tidak mengakui bahawa adanya diri kita untuk dibawa berbincang dan berterus-terang.

          Memaafkan diri sendiri kerana perbuatan-perbuatan yang menafikan kehendak hati. Menutup mulut sendiri untuk diwakili oleh mulut orang lain. Berlutut di atas kehendak orang lain. Menidakkan kegeniusan sendiri kerana takut ia diperbodohkan oleh manusia lain.

          Atau, memaafkan diri sendiri kerana menyalahkan diri berbuat atau tidak berbuat sesuatu. Dalam hal ini, apabila diamati semula tidaklah seratus peratus menjadi kesalahan diri sendiri secara total. Hubungan yang berantakan, pekerjaan yang hilang, duit yang tidak pernah cukup dan pergaduhan yang berlarutan. Berulang kali kejadian-kejadian tersebut dimainkan dalam fikiran sehingga ia menjadi satu gumpalan rasa bersalah.

          Tetapi selepas memaafkan diri sendiri diberikan, semuanya akan menjadi cerah. Apa yang menjadi rasa bersalah itu perlahan-lahan larut dalam pujukan realistik; hubungan yang berantakan misalnya. Ya kita ada melakukan kesalahan tetapi jangan lupa hubungan memerlukan dua manusia untuk menari tarian cinta. Pekerjaan yang hilang bukan disebabkan untung sial nasib diri tetapi juga ditentukan dengan keadaan ekonomi semasa; semuanya bukan kesalahan diri sendiri. Beban itu tidak perlu dipikul bersendirian.

          Depani diri sendiri.Mohon maaf. Kita mungkin akan terguris jika hal tersebut berulang kali tetapi jangan berhenti memohon dan memaafkan diri sendiri.

          Kerana prinsip dasarnya perlu diingat sampai mati: Tuhan tidak pernah berputus harap kepada manusia.

(Daripada Ekstasi Rumi)