Maaf.
Satu perkataan dengan empat huruf. Sering dimanipulasi sehingga taraf
penggunaannya seperti cinta; sering diucapkan untuk memberi kelegaan sementara
tetapi dalam hati tiada siapa yang tahu.Atau mungkin dizahirkan untuk
kepentingan tertentu,lazimnya untuk tidak kehilangan seseorang atau sesuatu
dalam hidup. Semuanya untuk memastikan keadaan berjalan seperti biasa. Business as usual. Kepastian kerana
takut perkara ‘seperti biasa’ itu hilang. Untuk melupakan hal yang pernah
terjadi.Selesa dalam status quo dalam bahasa mudahnya.
Itu hubungan maaf antara sesama manusia.
Bagaimana pula memaafkan diri sendiri?
Jarang dibincangkan kerana ketakutan
bersemuka dengan diri sendiri melebihi ketakutan menghadap seorang raja atau
pemerintah di muka bumi. Atau kadang-kadang ia melebihi ketakutan untuk
menghadap Tuhan. Apabila berdepan dengan diri sendiri, tidak ada penghalang
mahupun penghadang; wajah sebenar diserlahkan dan diri kita dibogelkan tanpa
sebarang perlindungan.
Kita menjadi takut untuk memaafkan
diri sendiri kerana ancaman dalam fikiran bahawa tidak ada apa yang perlu
dimaafkan. Atau lebih sadis kita tidak mengakui bahawa adanya diri kita untuk
dibawa berbincang dan berterus-terang.
Memaafkan diri sendiri kerana
perbuatan-perbuatan yang menafikan kehendak hati. Menutup mulut sendiri untuk
diwakili oleh mulut orang lain. Berlutut di atas kehendak orang lain.
Menidakkan kegeniusan sendiri kerana takut ia diperbodohkan oleh manusia lain.
Atau, memaafkan diri sendiri kerana
menyalahkan diri berbuat atau tidak berbuat sesuatu. Dalam hal ini, apabila
diamati semula tidaklah seratus peratus menjadi kesalahan diri sendiri secara
total. Hubungan yang berantakan, pekerjaan yang hilang, duit yang tidak pernah
cukup dan pergaduhan yang berlarutan. Berulang kali kejadian-kejadian tersebut
dimainkan dalam fikiran sehingga ia menjadi satu gumpalan rasa bersalah.
Tetapi selepas memaafkan diri sendiri
diberikan, semuanya akan menjadi cerah. Apa yang menjadi rasa bersalah itu
perlahan-lahan larut dalam pujukan realistik; hubungan yang berantakan
misalnya. Ya kita ada melakukan kesalahan tetapi jangan lupa hubungan
memerlukan dua manusia untuk menari tarian cinta. Pekerjaan yang hilang bukan
disebabkan untung sial nasib diri tetapi juga ditentukan dengan keadaan ekonomi
semasa; semuanya bukan kesalahan diri sendiri. Beban itu tidak perlu dipikul
bersendirian.
Depani diri sendiri.Mohon maaf. Kita
mungkin akan terguris jika hal tersebut berulang kali tetapi jangan berhenti
memohon dan memaafkan diri sendiri.
Kerana prinsip dasarnya perlu diingat
sampai mati: Tuhan tidak pernah berputus harap kepada manusia.
(Daripada Ekstasi Rumi)
seni memaafkan dan meminta maaf..
ReplyDelete