Monday, December 31, 2012

2013: Sekali Dalam Hidup



    Hari baru merupakan satu lagi kanvas yang bersih,putih dan siap untuk dilukis. Bagaimana rupa bentuk lukisan itu tidak menjadi tumpuan kerana ianya berbeza mengikut perspektif hidup setiap manusia.

Hari baru juga bererti kita akan menerima dua pilihan:

a) Panggilan untuk melakukan perubahan dalam diri

b) Kekuatan untuk kekal dan tidak berubah

   Bagaimana untuk memilih salah satu daripada pilihan di atas terletak kepada hasil perbincangan dengan diri sendiri. Ikut gerak hati, mereka berkata. Justeru ia terletak kepada diri sendiri untuk mengambil salah satu daripada pilihan tersebut.

  Pada masa yang sama, kesalahan-kesalahan lepas tidak perlu dijadikan asas ketakutan dalam diri untuk melakukan sesuatu. Keupayaan melakukan sesuatu sama besarnya dengan ketakutan untuk melakukan sesuatu. Perbuatan adalah jalan terbaik untuk menghapuskan ketakutan.

  Kesalahan-kesalahan(wrongful act) bukanlah kesilapan(mistake). Tuhan tidak pernah melakukan kesilapan. Kalau kita membuat silap, bererti Dia membenarkan kita untuk meragui sifatNya yang maha Sempurna, maha Mengetahui dan maha Perancang. Kesalahan itu ‘disengajakan’ atau ‘dibenarkan’ oleh Tuhan agar kita selalu ingat bahawa manusia tidak sempurna; akan terus melakukan kesalahan sehingga kita mati.

   Hari baru membenarkan kita untuk menjadi lebih demokrasi; mendengar dan menerima pendapat orang lain tanpa paksaan agar pendapatnya itu diubah. Ia juga memberi kesempatan untuk kita berhenti menjadi Tuhan; menghukum manusia masuk neraka dengan prejudis dan kedekut untuk memaafkan kesalahan orang lain ( padahal kita sendiri meminta-minta diampunkan oleh Tuhan kemudian boleh pula berlagak sombong untuk tidak memaafkan orang lain)

    Hari baru juga menasihati kita agar jangan sedih apabila manusia berubah kerana cinta. Mereka berubah kerana mereka semakin mengenali diri sendiri dan lantas menyedari dua perkara: jika mereka adalah refleksi diri kita maka mereka akan kekal. Jika mereka adalah antagonis kepada diri kita maka mereka sendiri akan meninggalkan kita tanpa perlu dipaksa.

    Cinta bukan paksaan. Ia melibatkan urusan hati. Apabila kebiasaan menimbulkan keserasian, maka itulah cinta. Untuk mengetahuinya cukup mudah; bila kita rasa tenang, gembira dan bahagia bersama cinta tersebut.Itulah cinta. Bukan didirikan atas kemewahan dan berlangitkan paras rupa akan tetapi ia tersimpan di dalam kombinasi tiga perkara tersebut: tenang,gembira,bahagia.
  
   Hari baru adalah masa untuk meninggalkan apa yang menghalang kita daripada menikmati kebahagiaan. Kita berhak dan layak untuk bahagia. Bukan untuk menderita kerana dogma dan imej yang dipaksakan oleh orang lain ke atas diri kita.

   Nama tidak berubah.Jasad juga begitu.Tetapi kita boleh berubah apabila kita perbahurui (renew) jiwa kita; our soul.

Selamat menyambut hari baru.

(Daripada buku ‘Ekstasi Rumi’; bakal siap ditulis tahun 2013)

3 comments:

  1. Replies
    1. belum diputuskan lagi tetapi kalau berminat untuk jadi proof reader sangatlah dialu-alukan :)

      Delete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)