Tidak
berkesempatan menonton filem ini dalam tayangan perdana anjuran kelas Law &
Media Fakulti Undang-Undang menjerumuskan aku untuk muat turun di internet.
Kesimpulan filem ini:
Emosi, falsafah, cukup mendalam.
Tempo perlahan sengaja dicipta untuk memboleh penonton menghayati dan
merasai satu demi satu perasaan atau emosi yang dilontarkan oleh watak-watak
dalam filem tersebut.
Memandangkan
cerita ini sedikit berat maka amatlah bersesuaian sekiranya falsafah di sebalik
filem ini dirungkai satu demi satu dalam bahasa yang mudah lagi memudahkan
untuk para pembaca. Maka sebelum itu eloklah kiranya sinopsis filem ini digarap
sebaik mungkin.
Ceritanya
sederhana. Tidak ada unsur-unsur materialistik yang bombastik melainkan
aura-aura falsafahnya yang berjaya meninggalkan kesan di hati penonton.
Ia mengenai
seorang wanita Palestin bernama Salma yang mempunyai sebuah kebun lemon.
Kemudian, rumah kediaman menteri pertahanan Israel dibina bersebelahan kebun
tersebut dan atas dasar keselamatan kebun tersebut menghadapi ancaman
dimusnahkan. Salma meminta bantuan seorang peguam muda Ziad untuk membawa kes
ini ke mahkamah. Akhirnya mahkamah memutuskan bahawa kebun itu tidak akan
dimusnahkan tetapi 50% pokok lemon di kebun tersebut akan dipotong 30 cm untuk
memudahkan pihak keselamatan Israel memerhatikan kebun tersebut dan tidak ada
pengganas yang boleh bersembunyi dan menggunakan kebun tersebut untuk
berselindung.
#1:
Israel-Amerika-Palestin
Kewujudan watak
anak Menteri Pertahanan Israel dan anak Salma yang belajar dan bekerja di
Amerika Syarikat adalah stau refleksi bahawa dunia masih mengharapkan kuasa
besar ini untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan sejak tahun 1948 walaupun
di akhirnya kita tahu bagaimana pertimbangan neraca itu akan berat di sebelah
pihak.Kedua-dua pihak masih memandang tinggi dan memasang harapan kepada
Amerika Syarikat untuk membela masa depan mereka. Justeru, apabila kita menuduh
Amerika Syarikat berat sebelah dalam menyelesaikan isu ini, jangan lupa bahawa
kita juga yang tidak putus harap meminta bantuan negara ini. Selagi kita
bergantung kepada Amerika Syarikat, selagi itu penindasan dan double standard
akan mencoret sejarah kehidupan Israel-Palestin.
#2: Palestin itu
sendiri
Salma dengan pertolongan Ziad cuba
meminta bantuan pemimpin Palestin tetapi
ternyata kerajaan mereka sendiri mempunyai karenah birokrasi yang menyukarkan
rakyat mereka sendiri untuk meminta bantuan. Betapa susahnya nak berjumpa
dengan pemimpin yang sentiasa sibuk dan padat jadualnya sehingga isu rakyat
sendiri tidak termasuk dalam priority list lantaran kebejatan sistem birokrasi
yang menyebalkan.
#3: Salma &
Ziad: Cinta tak terungkap
Filem ini mengangkat falsafah arab ‘’cinta
datang daripada kebiasaan’’. Bagaimana usia mereka berdua seperti ibu dan anak
tidak menghalang daripada cinta untuk berpuitis di hati masing-masing,
menjadikan seseorang itu tampak lebih menarik, cantik dan ‘hidup’ kehidupannya.
Dan seperti hal
cinta-cinta biasa, gossip manusia tidak dapat dipisahkan apabila manusia biasa
tidak bisa memahami cinta antara dua jiwa ini. Begitu mudah untuk bergossip
daripada menyelidiki atau setidaknya memahami perasaan kedua-dua pecinta ini.
#4: Salma dan
Navon: dua tamadun, satu jiwa
Karakter Salma dan Navon(isteri
Menteri Pertahanan Israel) merealisasikan unsur feminisme di dalam filem ini
apabila jiwa dan perasaan mereka digarap sebaik mungkin untuk penonton
menikmati apa yang sedang dirasakan oleh kedua-dua wanita ini. Mereka cuba
berkomunikasi tetapi dihalang dengan pagar yang mengelilingi kebun lemon yang
terletak di antara rumah mereka berdua. Dipisahkan dengan prejudis dan
prasangka sesama sendiri yang hanya dapat dihapuskan dengan membina jambatan;
usaha untuk mendekati dan memahami pihak yang lain. Bukannya dengan cara
terus-terusan menindas mengikut petunjuk prejudis dan bias yang dicipta oleh
diri sendiri.
Salma menjiwai
ketabahan dan sepanjang durasi filem ini, wajahnya tidak lekang daripada
kesabaran dan tidak pula dia diheret dengan provokasi marah dan ancaman pihak
Israel kecuali apabila kebunnya dimasuki oleh pihak Israel. Tidak agresif.
Melawan penindasan dengan cara yang cool, relaks dan tenang.
Sementara Navon
cuba menyampaikan perasaan rakyat Israel yang terbelenggu dan hidup dalam
ketakutan bayang-bayang sendiri. Bahawa penindasan yang mereka cipta itu juga
membataskan kebebasan dan kebahagiaan hidup mereka. Sifat diplomasi, terbuka
dan mengakui kesalahan diserlahkan dengan baik oleh pelakon Rona Lipaz Michael
yang akhirnya melahirkan tagline cerita ini: She found her greatest ally in
the last place she expected.
#5: Ziad: Loyar
muda 2.0
Melihat kesederhanaan Ziad sebagai
peguam di Palestin menyebabkan aku menjadi malu dengan diri sendiri. Kereta
yang biasa-biasa, pejabat yang kecil dan pakaian yang sederhana menggambarkan
betapa rakyat Palestin itu rasa miskinnya sama rata kecuali apabila nanti dia
dilantik sebagai penasihat undang-undang kerajaan Palestin. Tetapi, perwatakan
Ziad yang tidak memikirkan hal yuran guaman apabila didesak oleh Salma akan
berapa kosnya menyebabkan rasa malu itu berlipat kali ganda.
Kenapa?
Sudah menjadi
satu ketetapan bahawa bayaran minima akan dikenakan sebelum kes itu dibawa ke
mahkamah atau senang cerita, baru buka fail dah kena caj. Nilainya pula minta
ampun; sebab itu orang kelas bawahan yang tidak punya perancangan kewangan
untuk mengupah peguam haknya ditindas dan didiamkan sepi kerana duit. Duit
menjadi hambatan yang menyeksakan kerana loyar itu imejnya sudah diloyakan
dengan kerakusan memikirkan duit dan duit.
Tetapi watak
Ziad menceritakan sebaliknya kerana dia tahu Salma tidak mempunyai duit yang
cukup sekiranya kos guaman dikenakan ke atas wanita tua itu.
#6: Lunas
undang-undang cara Israel.
Ada dua signifikan yang terkandung dalam bab
ini; pertama bagaimana martabat wanita Israel diangkat tinggi dalam filem ini
apabila tiga orang hakim yang mendengar perbicaraan ini di Mahkamah Agung
terdiri daripada wanita. Samada realitinya betul atau tidak itu aku serahkan
kepada Tuhan.
Kedua, apabila perintah larangan memasuki kebun itu dikenakan,
aku terfikir mengapa Ziad tidak meletakkan hujah menangguhkan perintah tersebut
sehingga kes ini dibawa ke Mahkamah Agung atas dasar sekiranya perintah tersebut
berkuatkuasa, ia akan memudaratkan kebun lemon yang memerlukan penjagaan dan
sekaligus memberi kesan buruk kepada Salma yang hidupnya bergantung kepada
pendapatan hasil kebun tersebut. Ini adalah satu bentuk deprivasi
kehidupan(right to life) yang secara kejam menindas hak asasi ciptaan Tuhan
bernama manusia.
#7: Tipikal
perilaku
Filem ini juga mengiaskan perilaku
Israel-Palestin dalam realiti hidup sebenar. Ia boleh dilihat dalam aspek-aspek
berikut:
a) Apabila
perintah larangan dikenakan, Salma dan sesiapa sahaja tidak dibenarkan masuk ke
dalam kebun tersebut.Ironisnya Menteri Pertahanan Israel mengarahkan
pekerja-pekerjanya mengambil buah lemon di kebun Salma ketika mengadakan satu
jamuan kerana waktu itu mereka kekurangan buah tersebut.
b) Filem ini
mengajar sinikal dalam menggambarkan sifat Israel yang selalu membesar-besarkan
isu yang kecil atau kata nama lainnya paranoia. Mereka mendakwa pokok lemon itu
berpotensi untuk dijadikan kawasan serang hendap pengganas dan ia adalah real
and imminent threat to the Minister. Aneh. Kebun lemon boleh menjadi
ancaman yang benar untuk seorang Menteri Pertahanan yang dikelilingi oleh
pengawal peribadi 24 jam. Lantas, mereka mempamerkan belas kemanusiaan ke atas
Palestin apabila menyediakan pampasan kepada Salma meskipun undang-undang
mereka didakwa tidak akan memberi pampasan dalam kes-kes sebegini. Dalam
prinsip undang-undang, sifat Israel yang satu ini dipanggil anticipatory self-defence.
Sementara di
pihak Palestin, kebun itu langsung tidak digunakan oleh pengganas sejak
kewujudannya 50 tahun lalu.kebun yang diusahakan sejak turun-temurun, menjadi
satu-satunya sumber rezeki seorang wanita Palestin tua secara automatis menjadi
ancaman yang benar apabila Menteri Pertahanan Israel mendiami kawasan itu. Namun,
kehadiran Menteri Pertahanan Israel itu untuk sekian tempoh tidak menerima
sebarang serangan daripada pengganas melalui kebun lemon itu. Tetapi sifat
tidak bersalah dan tidak mendatangkan bahaya ditolak oleh Mahkamah Tentera
sebelum Mahkamah Agung membenarkan kenyataan tersebut.
Akibatnya, Israel
sendiri hidup dalam ketakutan dengan ketakutan yang mereka cipta sendiri.
Setelah perintah Mahkamah Agung diputuskan, bukan sahaja pokok lemon itu
dipotong tetapi tembok besar didirikan untuk melindungi menteri tersebut.
Dari situ
sisi,ia menggambarkan kekecilan hati Israel dalam menanggapi isu ini apabila
sebuah kebun lemon dan seorang wanita tua bisa menimbulkan ketakutan kepada
seorang Menteri Pertahanan yang kediamannya mewah, dilengkapi dengan perisian
keselamatan canggih dan pengawal peribadi sepanjang masa. Kelemahan itu
dieksploitasi dengan cara genius dan sinikal oleh pengarah filem ini.
#Moral
Hanya
satu: selagi jambatan tidak dibina untuk menghubungkan dua identiti ini, selagi
itu tidak akan tersentuh perasaan, sisi pandang mereka dan tidak akan tercipta
keamanan. Hanya komunikasi, toleransi dan persefahaman dapat menyatukan dua
kepingan puzzle ini.
Selagi
kewujudan salah satu pihak tidak diakui dan dianggap tidak wujud harkatnya
sebagai manusia, selagi itu teruskan bermimpi untuk mencapai keamanan di bumi suci
tiga agama itu.
Seperti kebun lemon itu, ia mempunyai unsur susur galur, perasaan, fikiran dan keperluan serta kehendak kedua-dua tamadun yang dipisahkan oleh kebun lemon ini. Ia boleh digunakan sebagai kunci menyatukan dua tamadun bahkan berupaya memisahkan dua tamadun tersebut dengan ketakutan dan prejudis.
No comments:
Post a Comment
hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)