Wednesday, October 24, 2012

Dato Saifuddin v Datuk Zulkifli Nordin: Refleksi isu SUARAM



(berdasarkan wawancara Dato Saifuddin & Datuk Zulkifli Nordin di Berita Harian 21/10/2012)

i. Status SUARAM
          Dato Saifuddin bersandarkan kepada kenyataan Datuk Seri Mohd Nazri Aziz di Parlimen bahawa ‘’tiada pendakwaan boleh dibuat terhadap mana-mana syarikat atau pertubuhan yang menerima dana asing.’’ Ianya menjadi kesalahan jika kegiatan mereka didapati bersalah dari segi undang-undang terutama Kanun Keseksaan.

          Datuk Zulkifli bersandarkan hujah ‘’ Ia adalah berkenaan keselamatan, integriti dan sensitiviti negara. Ia adalah sebuah badan bukan kerajaan haram yang mendapat bantuan dana haram dan menjalankan kegiatan haram. Datuk juga menambah ‘’Waima negara sebebas Amerika Syarikat pun tak benarkan campur tangan asing menerusi Foreign Agents Registration Act (FARA).

Komen: Status samada SUARAM adalah haram atau tidak ianya perlu diputuskan oleh Mahkamah. Meskipun ianya dikatakan tidak berdaftar tetapi SUARAM telah wujud sejak tahun 1989 (rujuk laman web SUARAM) dan status pertubuhan ini tidak lagi dibawa oleh mana-mana pihak ke mahkamah.
          Menyentuh soal keselamatan, integriti dan sensitiviti negara, pertuduhan yang diutarakan oleh Datuk Zulkifli membawa satu beban yang sangat berat yakni tuduhan itu harus dibawa bersama dengan beban bukti bahawa kegiatan SUARAM telah mengancam perintah awam atau ‘’public order’’. Dalam kes Dato’ Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar v SIS Forum(Malaysia) yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Julai 2012, Hakim Abdul Wahab Patail menegaskan:

‘’To be satisfied that the Book was prejudicial to public order in the face of the fact there was no prejudice to public order in the two years the Book was in circulation, is in such outrageous defiance of logic that it falls squarely within the meaning of Wednesbury unreasonableness, and of irrationality.”

          Meskipun ianya berbeza kerana kes ini berkaitan dengan pengharaman buku, tetapi prinsip untuk menentukan samada ianya haram atau tidak boleh digunapakai. Apa yang dimaksudkan oleh Hakim dalam kes berkenaan ialah pengharaman buku tersebut atas dasar ianya mengancam perintah awam adalah tidak sah kerana selama dua tahun buku itu diterbitkan, ia tidak mengundang apa-apa ancaman terhadap perintah awam (keselamatan,integrity dan sensitiviti negara). Justeru pengharaman tersebut telah gagal di bawah satu prinsip yang dinamakan ‘’Wednesbury principle’’.

          Justeru dalam soal SUARAM, kewujudan mereka selama lebih 20 tahun masih belum terdapat bukti bahawa pertubuhan ini melakukan kegiatan-kegiatan haram yang mengancam keselamatan negara.Ketiadaan bukti dan fakta ini menjejaskan kredibiliti tuduhan yang dilemparkan oleh Datuk Zulkifli.

          Di samping itu, adalah tidak sesuai untuk membandingkan situasi sebegini dengan negara Amerika yang mempunyai Foreign Agents Registration Act (FARA) untuk menangani isu dana asing sedangkan Malaysia tidak mempunyai undang-undang semirip undang-undang tersebut. Atas sebab itu, Datuk Seri Nazri menyatakan tiada pendakwaan boleh dibuat terhadap mana-mana syarikat atau pertubuhan yang menerima dana asing.Apa yang dinyatakan oleh Dato Saifuddin tidak lebih daripada sekadar menyokong kenyataan Datuk Seri Nazri.

          Setelah menimbang hujah kedua-dua pihak, saya berpendapat bahawa SUARAM  tidak boleh dilabel sebagai haram dan menjalankan kegiatan haram yang mampu menggugat keselamatan negara. Tidak ada bukti kukuh yang dikemukakan oleh pihak yang menuduh bahawa selama lebih 20 tahun kewujudan SUARAM itu terdapat aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh badan NGO ini mengguggat keselamatan, integriti dan sensitiviti negara.
     
ii. ISU PLATFORM

          Dato Saifuddin menyatakan ‘’Kerajaan Persekutuan dan UMNO tidak ada birokrasi idea dan kekangan bercakap. Ada perkara yang dibincangkan terlebih dulu dalam diskusi di khalayak dan kemudian dibawa ke Kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO. Ada juga yang sebaliknya.
    
      Datuk Zulkifli memberi komentar bahawa ‘’UMNO tak berani. Tak sesuai ambil pendirian terbuka.Lebih terhormat dan bermaruah kalau beliau letak jawatan dan berpegang kepada pendirian itu. Najib tak patut pecat tapi Saifuddin patut letak 
jawatan.’’

Komen: Ini berkenaan isu dalaman parti yang mana Dato Saifuddin lebih arif tentang prosedur dan selok-belok parti yang diwakilinya, UMNO.  Apabila dato menyatakan ‘’ Ada perkara yang dibincangkan terlebih dulu dalam diskusi di khalayak dan kemudian dibawa ke Kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO. Ada juga yang sebaliknya.’’ , ini membawa pengertian bahawa tidak ada satu garis panduan atau syarat tentang isu apa yang perlu dibawa ke cabinet dan MT UMNO sebelum dibawa untuk diskusi di khalayak.
   
       Meskipun saya bukanlah seorang yang arif tentang tarian politik tetapi sikap pasif  UMNO dalam isu platform ini membuktikan keterbukaan parti tersebut menerima idea-idea yang baru dan berbeza. Ini membuktikan kesediaan UMNO untuk meninggalkan prinsip ‘’Be with us or against us’’. Mentaliti ‘’mengkritik bererti menyebelahi pembangkang’’ tidak diamalkan oleh MT dan jawatankuasa disiplin UMNO. Kelahiran lapisan baru ini semakin bercambah dalam parti UMNO yang dilihat menjadi satu pemangkin untuk survival UMNO dalam mengikuti trend generasi muda yang akan mewakili peratusan majoriti pengundi dalam PRU akan datang.

          Desakan agar Dato’ Saifuddin meletak jawatan kerana ‘tersalah’ platform adalah sedikit keterlaluan kerana kepimpinan tertinggi UMNO sendiri tidak membangkitkan isu ini. Kenyataan Dato yang menampakkan keterbukaan beliau dalam menyuarakan pendapat sedikit sebanyak memberi impak positif kerana ia mencerminkan tranformasi yang dibawa oleh UMNO; menampakkan UMNO sedang dan sedia berubah untuk menjadi lebih kritis,terbuka dan bersedia menghadapi politik baru.

Jujur saya katakan kehadiran beliau dalam parti UMNO sedikit sebanyak menimbulkan semacam dilema untuk pengundi muda kerana sebelum ini hanya parti pembangkang yang dilihat lebih bijak,kritis dan munasabah dalam menyampaikan pendapat di mana kriteria-kriteria ini memikat hati pengundi muda.
Kesimpulannya, platform tidak boleh membatasi perbezaan pendapat. Selama mana ia tidak memberi kesan negatif dan janji transformasi dipegang, selagi itu percanggahan pendapat tidak memerlukan platform atau forum yang sesuai. Jika tidak, sesebuah parti itu akan dilihat seperti mengongkong ahlinya untuk bersuara dan takut dengan bayang-bayang sendiri.


No comments:

Post a Comment

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)