Monday, August 19, 2013

Menulis&Trend


1. Terbaca di akhbar semalam tentang rungutan pengarah di Malaysia akibat sambutan yang tidak menggalakkan daripada penonton terhadap filem yang dibikin. Ada filem yang di bawah paras kutipan yang dijangkakan dan sudah tentunya ini membawa kepada kerugian kepada produksi filem.

2. Perkara ini tidak berlaku dalam industri filem sahaja tetapi juga dalam industri penulisan di Malaysia ketika ini. Tidak dapat dinafikan hampir semua jalan cerita novel lebih kurang sama; status keluarga antara kaya dan miskin akan diketengahkan(salah satu watak pastinya datang daripada keluarga tan sri atau yang punya syarikat mega), kahwin muda atau kahwin atas pilihan keluarga di samping novel yang mencampuradukkan bahasa telah mewarnai trend penulisan dan juga telah mempengaruhi trend filem dan drama di Malaysia.

3. Perhatian akan diberikan dan keuntungan dapat dijana sekiranya trend ini dapat diikuti. Tetapi trend juga tidak kekal lama; sepertimana yang berlaku sebelum ini apabila trend cinta Islamik pernah menjadi fenomena di Malaysia baik dalam penulisan mahupun perfileman. Tetapi sekarang trend itu telah berubah dan pastinya trend sekarang juga akan berubah tidak lama lagi.

4. Sebab itu saya tidak bersetuju kalau penonton atau pembaca dipersalahkan kalau karya yang dihasilkan tidak menepati sasaran mahupun tidak mencatat keuntungan. Apabila telah terlalu banyak lambakan karya yang sama pembaca akan beralih kepada sesuatu yang baru.

5. Saya cuba menjadi diri sendiri apabila menulis. Saya pernah cuba ikut trend tetapi tidak berhasil. Akhirnya saya memutuskan lebih baik menulis apa yang datang dari hati sendiri. Apa yang kita sendiri mahu. Sesuatu yang boleh menunjukkan diri kita yang sebenar.. Stay true to yourself. Pembaca akan baca apa yang mereka mahu dan jika mereka suka, mereka akan membelinya. Apabila menulis saya hanya mahu kekal menjadi diri sendiri dan mengekspresikan diri saya sendiri.

6. Walaupun keuntungan tidak dapat dikecapi dalam masa yang singkat sepertimana yang dijanjikan oleh trend, yang penting kita tidak kehilangan diri sendiri dan cuba tiru (imitate), menjadi orang yang kita sendiri tidak kenal.

7.Kerana menjadi diri sendiri tidak akan pernah hilang dan ditukar ganti seperti trend yang boleh berubah bila-bila masa sahaja. 

No comments:

Post a Comment

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)