Wednesday, August 10, 2011

Memang senang salahkan orang lain



1. Apabila isu jamuan yang ditaja oleh komuniti gereja kepada golongan yang merefleksi sisi kehidupan manusia yang berbeza, begitu ramai manusia bersuara. Ada yang mengambil kesempatan ini untuk kepentingan politik sendiri; meraih sokongan di mata majoriti manusia yang lainnya.

2. Jika mahu berbicara dari segi perundangan, perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan sudah termaktub dan ada orang yang lebih layak untuk menerangkan peruntukan ini. Sudah pasti orang tersebut bukannya aku.

3. Adakalanya lebih baik aku menanggalkan lensa mata yang melihat setiap perkara dengan paksi hukum dan undang-undang semata. Tidak menjadi kesalahan sekiranya perbicaraan kali ini menggunakan bahasa manusia biasa.

4. Ada pihak yag terus menuding jari menuduh komuniti ini dalam usaha memurtadkan penganut islam di negara ini apatah lagi jamuan tersebut diadakan pada bulan Ramadhan, bulan di mana umat Islam diwajibkan berpuasa sehingga mentari terbenam.

5.Tidak seharusnya kita terus menyalahkan komuniti gereja dengan perasaan benci, marah dan geram yang meluap-luap. Perbezaan agama merupakan satu ketetapan Tuhan ke atas ciptaannya yang bernama manusia.

6.Komuniti gereja menemukan Tuhan dengan konsep Triniti. Umat Islam pula menemukan Tuhan dengan konsep syahadah; mengenali Tuhan bernama Allah, sifatnya adalah Satu dan selamanya kekal sebagai Tuhan Yang Satu.

7. Membantu golongan yang merefleksi sisi kehidupan manusia yang berbeza( yakni golongan yang kurang bernasib baik, tali pergantungan mereka sebagai manusia putus sedikit demi sedikit lantaran kemiskinan dan kesempitan hidup) merupakan satu jalan untuk komuniti gereja ini mendekatkan diri dengan Tuhan. Bahkan sifat mereka ini telah dikhabarkan melalui surah Al-Maidah, ayat 82 yang bermaksud ''....Dan sesungguhnya kamu mendapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata '' sesungguhnya kami ini orang Nasrani(Kristian). Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu terdapat pendeta-pendeta dan rahib dan sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri''

8. Sementara golongan yang dibantu pula, pastinya menerima bantuan tersebut dengan penuh kesenangan tanpa syarat lantaran adanya manusia lain yang masih peduli terhadap mereka.Pada waktu itu, pasti hati mereka tidak lagi terbeban untuk pergi ke pejabat amil dan baitulmal, mengisi borang dan menunggu sehingga borang tersebut diproses dan diluluskan dalam jangka masa yang panjang. Apakah golongan manusia sebegini layak diperlakukan sebegini?Perlu menunggu berhari-hari untuk mendapatkan hak mereka yang telah ditetapkan dalam agama Islam sedangkan setiap hari golongan yang tidak berhak bisa saja menikmati kemewahan tanpa perlu melalui proses yang menyulitkan ini.

9.Di zaman kegemilangan Islam, duit baitulmal mahupun zakat begitu banyak melimpah ruah kerana diceritakan pada waktu itu tidak ada lagi golongan yang layak menerima duit zakat mahupun baitulmal. Tetapi hari ini, di sini, jumlah duit zakat dan baitulmal pastinya mencecah billion ringgit tetapi masih ada lagi golongan yang layak untuk menerima dan menikmati duit tersebut.

10. Punya kesempatan untuk bersolat di Masjid KLCC. Di saat umat Islam sedang bersiap untuk menunaikan solat, ada umat Islam yang lainnya berdiri, mundar-mandir dan mendekati jemaah masjid memohon bantuan kewangan. Berapa ramai yang peduli terhadap mereka ini?Jujurnya aku sendiri berasa malu kerana kesombonganku yang tidak menegur mereka, bertanyakan keadaan mereka sebaliknya hanya memberi wang dan kemudian berlalu pergi.

11. Dan apabila isu sebegini terjadi, dengan pantas jari-jemari kita menuding kesalahan kepada komuniti gereja ini. Menyalahkan orang lain memang mudah kerana ia mampu menutup keegoan, mempertahankan nafs sendiri untuk mengakui hakikat kepincangan yang berlaku dalam soal kebajikan sosial umat Islam di negara ini.

12. Tidak malukah kita?Menyalahkan orang lain sedangkan kesalahan sendiri sudah terpampang dengan begitu jelas?

13.Apakah kita tidak mampu untuk membiayai dan melayani golongan terpinggir ini sebagaimana komuniti gereja ini melayan mereka? Apakah kita sudah siap untuk turun menjejakkan kaki menemui golongan ini, menelefon mereka bertanyakan khabar setiap hari akan perkembangan hidup mereka? Adakah kita sudah siap untuk memberika hak mereka yang telah ditetapkan oleh Allah tanpa perlu karenah birokrasi yang menyesakkan nafas? Apakah kita sudah siap, menerima dan memandang mereka selayaknya sebagai seorang manusia?

14. Begitu ramai yang mengetahui sabda Rasul bahawa kesempitan hidup bisa membawa seseorang itu kepada kekufuran. Ramai yang mengetahui tetapi sedikit yang mengerti dan mengamalkan sabda tersebut.

Waallahua'alam.

1 comment:

  1. aku pun kadang-kadang makin pening dengan isu ni. huhu. macam-macam argument aku baca and dengar

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)