Sunday, June 19, 2011

Kalau Tuhan



Kalau Tuhan itu sempurna dan Maha Adil mengapa diciptakan manusia serba kekurangan dan ada di kalangan manusia itu sendiri tidak cukup sifat akal dan fizikalnya?

Kalau Tuhan itu maha Berkuasa ,Perkasa dan Penyayang, mengapa tidak dikalahkan iblis dan kejahatan begitu sahaja agar manusia semuanya dapat masuk ke Syurga?

Kehidupan manusia yang semakin bertamadun tinggi dengan perkembangan teknologi yang tidak terbatas sehingga ciptaan hari ini bukan lagi sebuah ciptaan yang terkini untuk hari esok. Manusia diberikan akal dan daya imaginasi serta kekuatan fizikal untuk mencipta pelbagai rekaan untuk diisyitiharkan sebagai teknologi terbaru bertujuan hanyalah semata-mata untuk manfaat dan kegunaan manusia itu sendiri. Ambillah satu contoh yang sangat mudah: penciptaan robot yang bertujuan untuk membantu kehidupan manusia pada masa kini dan masa hadapan sehingga telah terbit satu filem animasi yang memaparkan konflik antara robot dan manusia pada masa akan datang.

Sesungguhnya, sehebat mana robot itu dicipta dan menyerupai fungsi manusia, ia masih lagi tertakluk kepada kebijaksanaan yang menciptakannya yakni manusia. Sempurna manapun robot itu ia masih tidak dapat menandingi kehebatan manusia.

Itu sebab manusia itu sendiri yang tidak sempurna, jawab para sinis yang skeptikal.

Adapun manusia itu tidak sempurna tetapi manusia masih lagi dianggap lebih sempurna dan hebat daripada robot. Akal. Mampukah manusia mencipta akal untuk robot agar ia boleh berfikir dan berimaginasi seperti manusia? Justeru dakwaan yang menyatakan sesuatu itu tidak sempurna kerana sang pencipta juga tidak sempurna adalah tidak selalunya tepat.

Sebab manusia itu sendiri masih mempunyai kelebihan yang tidak dapat ditandingi robot. Ciptaan itu adalah berada di dalam lingkungan dan keterbatasan kesempurnaan manusia itu sendiri.

Maka jika manusia ada yang menganggap dirinya sempurna dan telah banyak kisah kita dengar akan keangkuhan manusia dan kehebatan manusia dahulu kala, maka janganlah lupa bahawa pencipta manusia itu pastinya jauh lebih hebat dan sempurna daripada ciptaan-Nya.

Maha suci Allah daripada segala kekurangan.

Adapun untuk soalan kedua itu lebih menjurus kepada pergaduhan antara kebaikan dan kejahatan. Seringkali di akhir cerita kebaikan akan menang. Tetapi akal logika akan sentiasa mencabar ketetapan itu dengan soalan mengapa tidak kebaikan itu menghapuskan kejahatan terus serta-merta?

Manusia diberikan satu anugerah yang tidak ternilai setelah anugerah akal diberikan. Anugerah ini juga yang membezakan manusia dengan ciptaan Tuhan yang lainnya. Pilihan. Manusia bisa memilih baik atau jahat. Tuhan itu bukanlah lemah akan tetapi diberikan ‘pengampunan’ barang sementara untuk kejahatan bermaharajalela sebelum sampai masanya ia diberi balasan. Dan sesungguhnya inilah janji Tuhan yang menguji sejauh mana manusia itu percaya kepada pencipta-Nya. Namun begitu, sesungguhnya kebaikan itu sebenarnya akan sentiasa mengatasi kejahatan dan tidaklah kejahatan itu akan dapat menandingi kebaikan walau bagaimana nikmat melakukan kejahatan itu kerana nikmat yang terkandung dalam kebaikan itu adalah satu hadiah yang hanya dapat dinikmati oleh mereka yang melakukan kebaikan.

Ketenangan.

Cubalah lakukan kebaikan maka apakah tuan-tuan dan puan-puan rasakan? Cuba pula lakukan kejahatan walau barang sedikitpun maka rasakan apa akibatnya. Nikmat yang palsu hanya akan diiringi dengan resah dan gelisah serta tidak keruan. Ambil contoh perbuatan mencuri. Awalnya akan terasa nikmat perbuatan itu kerana memperolehi sesuatu dengan mudah dan senangg akan tetapi hati itu tidak akan pernah tenteram kerana akan sentiasa terbit soalan-soalan yang meracau kedamaian jiwa; apakah orang lain melihat perbuatan mencuri tadi? Adakah tuan punya barang itu tahu? Apakah alasan yang harus diberikan sekiranya aku ditanya akan kehilangan barang tersebut? Cuba pula kita melakukan kebaikan dengan penuh rasa ikhlas dan senang apakah kita akan diganggu dengan soalan-soalan sebegitu?

Maka kejahatan itulah yang telah menghantar hamba Allah yang dahulunya taat melakukan kejahatan sehingga tersungkur ke dalam neraka. Ambillah pengajaran daripada Barsisha, hamba Tuhan yang warak dan alim mengakhiri kehidupannya dengan bertuhankan syaitan setelah melakukan kejahatan satu per satu. Adapun itu bukanlah kezaliman Tuhan meskipun Tuhan sudah Mengetahui kesudahan hambanya itu. Kerana manusia itu tidak mengetahui kesudahan hidupnya bererti dia mempunyai pilihan dengan hidupnya dan sesungguhnya itulah kebebasan yang Tuhan berikan kepada hambaNya yang bernama manusia selain daripada kebebasan untuk berfikir dan berimaginasi.

Justeru, gunakalah pilihan itu mengikut pertimbangan sendiri. Jangan pernah menyalahi takdir kerana takdir itu adalah satu jalan yang sangat misteri dan tidak diketahui bagaimana penghujungnya akan tetapi manusia itu bisa berjalan dan menentukan hala tujunya untuk menemukan penghujungnya.

***

Seringkali manusia berputus asa apabila disangkanya Tuhan tidak menjawab doanya. Adapula yang mendakwa komunikasi dengan Tuhan itu adalah mustahil kerana hanya manusia sahaja berbicara tetapi tidak pernah mendengar suara Tuhan yang berbicara. Lebih daripada itu, ada yang sanggup menggunakan hukum sains fizik dan akal logika untuk membuktikan kewujudan Tuhan.

Adapun menemukan Tuhan itu bukanlah dengan melalui jalan yang rumit dan memeningkan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah diam dan sepi kerana jika keadaan bising dan hiruk-pikuk maka suara Tuhan itu tidak dapat didengari. Carilah suara itu sewaktu kesunyian adalah temanmu dan gelap itu penglihatanmu. Bukalah pintu dengan memaafkan kesalahan orang lain dan maafkanlah diri sendiri kerana dengan itu baru akan disedari bahawa manusia itu tidaklah sempurna dan jauh sekali layak untuk berlaku sombong angkuh. Selepas itu, tidak perlu dinyatakan selanjutnya kerana hati itu sendiri akan membimbingmu untuk menemukan cahaya. Tanyalah soalan dan akan didengari jawapan yang ikhlas dan tidak diragukan cahaya daripada jawapan tersebut kerana setiap butir kata jawapan itu akan menenangkan semula hati yang gundah.

Sesiapa yang mengenali dirinya sendiri maka dia akan mengenali Tuhannya. Sesiapa yang menemukan dirinya sendiri akan bertemu dengan pencipta-Nya.

waallahua'alam


3 comments:

  1. Lama tidak ke sini zharif... Sihat hendaknya.

    Penciptaan manusia itu sudah sempurna. Tidak ada yang dapat menandingi penciptaan tersebut...

    ReplyDelete
  2. Z, i miss your writing.. now i've 'em =)

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)