Tuesday, June 14, 2011

epitaph

Apa yang perlu ditulis di batu nisan anda?
Itulah maksud epitaph ( text on your tombstone)

Selain nama, tarikh lahir dan tarikh mati serta diiringi dengan pesanan 'sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham' pasti kita juga mahu meninggalkan kata-kata terakhir agar orang lain yang membaca setidaknya dapat mengingati kata-kata tersebut walaupun tidak lagi mengingati siapa yang mengucapkannya.

Maka setelah lama aku berfikir, inilah yang aku mahu diukirkan di batu nisan kunanti selain daripada tiga perkara yang telah disebut sebentar tadi.

''Pulang ke kampung halaman''

ramai yang beranggapan apabila seseorang itu mati maka dia akan mati. Tidak hidup lagi. Tetapi anggapan itu disangkal oleh orang-orang terdahulu sebelum kita, yang punya keyakinan akan ketetapan bahawa manusia semuanya akan menghembuskan nafas terakhir dan akan kembali semula ke tempat asal walau setinggi mana dia berada di dunia ini. Dan tempat asal itu tidak lain adalah cebisan tanah.

Dari sudut pandangan golongan yang berkeyakinan itu, aku sangat terkesan dengan ucapan mereka bahawa 'kami tidak mati. Kami hanya pulang ke kampung halaman.' Dunia ini adalah tempat persinggahan. Kita dilahirkan di dunia tetapi kita tidak berasal di sini. Sehebat-hebat manusia pun akan timbul kerinduan akan kampung halamannya. Jika tidak masakan setiap kali musim perayaan semua sudah bersiap untuk pulang ke kampung. Bagi mahasiswa yang bakal menikmati cuti semester, apakah tidak punya keinginan untuk kembali semula ke rumah dan kampung halaman?

Maka hidup manusia secara keseluruhannya begitu jugalah. Dunia tidak lebih dari tempat persinggahan melabuh sebelum belayar semula. Tidaklah dunia ini kekal kerana yang kekal adalah kampung halaman itu sendiri. Maka di sana akan ditemukan dengan semua yang merindui dan menunggu kepulangan kita; adapun diceritakan bahawa setiap manusia itu telah ditentukan pasangan bidadarinya apabila dia kembali semula ke kampung halaman. Di sana jugalah akan bertemu semua yang telah meninggalkan kita terlebih dahulu dan yang paling penting dan sangat terpenting dari semuanya itu adalah menerima salam dan bertemu dengan Pencipta diri kita ini.

Maka di sana, kehidupan adalah abadi yang tiada penghujung. Maka maafkan aku kiranya aku mengatakan bahawa manusia itu adalah sebenarnya immortal; abadi. Cumanya apabila kita menghembuskan nafas terakhir itu bererti sudah tiba masanya pulang ke kampung halaman.

Tidak seharusnya ketakutan menyelubungi bagi mereka yang benar-benar percaya bahawa kematian itu bererti kepulangan semula ke kampung halaman. Hanya mereka yang kurang yakin dan ragu-ragu akan kenyataan itu akan dibayangi ketakutan dan berharap agar dirinya diberikan lagi masa untuk hidup di dunia ini.

Pulang ke kampung halaman. Tiada yang perlu dikesali dan diraikan. Kampung halaman itu adalah sebaik-baik tempat bagi setiap manusia.

*entri ini adalah jawapan kepada soalan yang diberikan kepada para pembaca blog paulo coelho

Bagaimana pula dengan kalian?

epitaph manusia-manusia lainnya:

“Don’t Try” Charles Bukowski

The best is yet to come.” Frank Sinatra

“I had a lover’s quarrel with the world” Robert Frost

“Free at last. Free at last. Thank God Almighty I’m Free At Last.” Martin Luther King, Jr.

“A tomb now suffices him for whom the world was not enough” Alexander the Great

“Truth to your own spirit” Jim Morrison


No comments:

Post a Comment

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)