Aku diam membisu.
''Sebelum dia jadi adik angkat dia pernah tanya saya nak jadikan dia sebagai apa. Saya tak cakap nak jadikan dia girlfriend saya.Sekarang ni baru rasa sayang kat dia.''
Tiba-tiba aku tersentap. Budak ni perli aku ke apa, bisik hatiku.
Melihat mukanya sedikit kecewa, aku hanya memberi nasihat yang dimiliki daripada pengalaman sendiri. Adakalanya pengalaman sendiri itu barangkali tidak lagi berguna kepada kita tetapi sangat bererti untuk orang lainnya. Begitu hebat percaturan Tuhan menggarap skrip kehidupan manusia.
''Beritahulah dia. Soal dapat ke tak itu lain cerita. Aku tak cadangkan kau untuk rampas dia tapi beritahu sahaja apa perasaanmu kepada dia. Sekurang-kurangnya dia tahu. Setidak-tidaknya kau tak menyesal walaupun terlambat.''
Sudah lama tidak berbicara soal jiwa apatah lagi mendengar masalah sebegini. Ini kerana undang-undang tidak pernah wujud apabila berbicara soal cinta. Sebab hanya cinta sahaja yang mempunyai kebebasan melampaui batas undang-undang yang dicipta oleh manusia.Sebab itu ada manusia yang tidak tunduk kepada undang-undang untuk berdiri sama tinggi dengan cinta. Sanggup kehilangan status dan kekayaan kerana cinta. Pasti Edward VIII menyokong apa yang kunyatakan sebentar tadi.
Di sini bukanlah aku ingin membincangkan lebih lanjut akan hal sebelumnya kerana hal tersbeut akan diselesaikan apabila nasihatku tadi akan dilaksanakan. Isi yang tersirat daripada situasi di awal entri adalah bagaimana cinta itu hadir menjadikan dua jiwa masyrik dan maghrib serasi dalam satu ruang yang mengawal kedua-duanya.
Disebut oleh pujangga arab bahawa cinta itu datang kerana kebiasaan. Oleh kerana sering meluangkan masa bersama maka kebiasaan dan keserasian itu hadir lalu membentuk perasaan menyayangi dan ambil berat disertai dengan perasaan gundah serta sedikit rasa cemburu. Kalau itu yang dirasai maka kebiasaan itu adalah titik permulaan untuk membentuk perasaan cinta.
Khalil Gibran pula menyentuh isu cinta dengan gayanya yang sangat puitis dan mendalam. ''Jangan kau kira cinta datang dari keakraban yang lama dan pendekatan yang tekun. Cinta adalah kesesuaian jiwa dan jika itu tidak pernah ada cinta tidak akan pernah tercipta dalam hitungan tahun bahkan abad.
Tidak sedikit kisah bagaimana masa yang diambil bertahun-tahun untuk mengenali hati budi masing-masing berakhir dengan perpisahan. Ada juga yang telah terikat dalam erti persahabatan sejak kecil tetapi diakhirnya mereka tidak pernah menjadi pasangan bersama sebaliknya mencintai orang lainnya. Tidak kurang juga bagaimana pasangan yang mencintai satu sama lain dan langsung menyimpul percintaan mereka itu dengan bernikah di awalnya hanya berkenalan untuk beberapa bulan bahkan beberapa hari.
Menurutku tidak ada salahnya dalam pendapat kedua-dua di atas. Kerana cinta itu adalah seperti lukisan yang diilhamkan oleh pelukis itu sendiri. Tidaklah salah kiranya ada yang bersetuju dengan pendapat pertama mahupun pendapat yang selepasnya. Bahkan kedua-dua pendapat yang bersilang ini mempunyai titik persamaan: kebiasaan itu boleh membawa kepada kesesuaian jiwa yang melahirkan rasa cinta dan kedua-dua pendapat itu juga bersetuju bahawa cinta itu lahirnya daripada hati manusia yang membentuk keserasian dua perasaan yang membentuk sebuah istilah bernama cinta.
Justeru, tidaklah salah kiranya muncul pendapat ketiga: Bahawa cinta itu datang daripada hati dan mencari cinta itu bererti harus mencari diri sendiri. Mencari diri sendiri juga bererti harus mencintai diri sendiri sebelum berkongsi rasa cinta itu dengan manusia yang lainnya.
Mana mungkin boleh berkongsi makanan dengan orang lain kalau kita sendiri tidak punya makanan.
penuh maksud tersirat..
ReplyDelete