Thursday, June 23, 2011

Di sebalik segalanya


Apapun yang dilakukan oleh manusia, baik kecil ataupun besar, untuk seseorang ataupun untuk orang ramai pastinya akan terdetik sebuah pengharapan yang tidak ada bezanya dengan manusia lain.

Kewujudan. Visibility.

Tidak mahu dilupakan. tidak mahu dipinggirkan. Tidak mahu ketinggalan mengikut trend masa kini walaupun pada hakikatnya apa yang digelar trend hari ini adalah sesuatu yang tidak wujud lagi untuk hari esok.

Maka keletihan akan mula dirasai dan tercungap mendaki supaya tidak ketinggalan dan dianggap makhluk asing oleh manusia lainnya. Adapun yang tidak mahu dilupakan akan terus berusaha untuk melakukan sesuatu agar ramai orang mengingatinya dan namanya tidak terhenti setakat di batu nisan yang bakal diukir apabila sampai masanya.

Sesiapa yang pernah melalui akan dapat merasainya.
Telah banyak masa yang digunakan, tidak sedikit hati yang dikecewakan bahkan pernah meninggalkan orang yang menyayangi untuk mencapai apa yang disebut 'kemahsyuran'. Fame. Ingin rasa diri ini wujud dan tidak menjadi seperti orang-orang biasa yang namanya hanya tersenarai dalam sehelai kertas yang berbaris panjang bersama nama manusia yang lainnya.

Adapun yang mencari kemahsyuran kerana ingin mencari ketenangan. Telah dipelajari dalam hidup bahawa ketenangan itu tidak dapat dirasai dalam hidup yang hiruk-pikuk, bising dengan pujian dan cercaan manusia, kesibukan sehingga sentiasa berharap agar masa dapat dihentikan atau diberi lagi tambahan jam dan minit untuk menyempurnakan tugasan.

Tidak.ketenangan tidak dapat dicari di situ. tidak juga daripada lensa kamera, sorakan, tepukan daripada manusia yang lainnya ( manusia yang bersorak itu juga mahu dirinya diingati oleh orang yang disoraknya itu padahal dia lupa manusia itu pada dasarnya tidak mementingkan orang lain. Hanya punya kepentingan sendiri untuk mencapai impiannya sendiri).

Ketenangan itu tidak akan pernah sampai kepada manusia yang mencari erti hidup dengan kemahsyuran, kemewahan dan bernafas dengan pujian dan sorakan manusia lain. Ketenangan dan kepuasan hidup sebagai manusia itu terletak dalam perkara-perkara yang sangat mudah, kecil tapi besar nilainya. Simplicity.

Kunci kebahagiaan dan ketenangan itu terletak dalam perkara-perkara yang kecil. Simplicity is the key for happiness.

Ada yang mencapai kebahagiaan dengan melihat matahari terbit dan tenggelam; suara kegembiraan kanak-kanak yang bergurau senda, deru angin yang disertai alunan ombak atau dengan mendengar nafasnya dihembus dengan teratur itupun sudah boleh menghadiahkan kebahagiaan. telahpun aku temui kebahagiaan itu dan aku bersyukur kerana kebahagiaan itu akhirnya tidak terletak dalam apa yang aku cari selama ini: fame and visibility. Kemahsyuran dan kewujudan.

Seseorang yang berjalan di padang pasir bersungguh-sungguh mengejar oasis yang terbayang di hadapan mata. Dikejarnya dengan penuh semangat dan harapan hanya untuk menemukan bahawa itu hanyalah fenomena optikal yang membentuk apa yang dinamakan sebagai 'mirages'. Akhirnya, kematian menjemput lantaran akibat kehausan yang teramat sangat kerana apa yang disangka sebagai penyambung nyawa sebenarnya penghujung nyawa untuknya.

Tanpa disedari, dia telah meninggalkan sebuah perkampungan yang cukup untuknya meneruskan kehidupan tanpa perlu tertipu dengan fenomena optikal tersebut.

Seseorang itu adalah penipu kerana menipu dirinya tidak bahagia tinggal di perkampungan tersebut sehingga penipuan itu membawa dirinya ditipu dengan fenomena optikal yang menipu dirinya bahawa oasis itu di hadapan matanya. Maka dirinya pun mati bersama penipuan yang fana.

Maka itulah gambaran yang mampu untuk aku lukiskan apabila berbicara soal ketenangan dan kemahsyuran.

Tidak pula aku maksudkan untuk kembali ke masa silam dan mengiyakan apa yang disiniskan oleh orang lain apabila aku telah mengalami fenomena 'mirages' itu aku akan kembali mencari mereka yang akan melihat diri melutut dan dengan bangganya mengkhabarkan kepada yang lainnya ''telah aku beritahu bahawa manusia ini akan kembali mencari kita semula''.

Kerana ada sahaja yang masih menerima kita tanpa perlu berbicara sedemikian. Paling sedikit ada dua.

Tuhan dan dirimu sendiri.

No comments:

Post a Comment

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)