Saturday, April 3, 2010

Model Ekonomi Baru & 153

1. Baru-baru ini Model Ekonomi Baru(MEB) telah dilancarkan oleh DS Najib sebagai satu dasar kesinambungan kepada Dasar Ekonomi Baru. Malangnya aku tak dapat mengikuti lanjut perihal model ini cuma semalam keluar di akhbar tempatan apabila berlaku 'pertikaman lidah' antara sebuah badan NGO yang dikenali sebagai Perkasa dengan kerajaan apabila Perkasa mendakwa MEB tidak memperuntukkan kepentingan Melayu.

2.Sekurang-kurangnya ada 2 isu yang ditimbulkan: penubuhan Equal Opportunity Commission(EOC) yang bertentangan dengan Artikel 153 dan tiada peruntukan 30% untuk bumiputera dalam kek ekonomi Malaysia.

3. Aku tak mahu menyebelahi mana-mana pihak cuma adalah lebih baik aku menjelaskan realiti sebenar perkara ini mengikut pemahaman undang-undang yang ada. Walaupun masih lagi dalam proses pembelajaran tetapi apa yang aku dapat dalam proses tersebut haruslah dikongsi bersama kerana itulah tanggungjawab sebagai pengamal ilmu undang-undang kepada masyarakat. Biarpun sedikit tetapi dapat memberi pengetahuan dan penjelasan yang bermanfaat.

4. Kerajaan yang diwakili DS Nazri membidas isu pertama dengan menyatakan bahawa penubuhan EOC adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan bertentangan dengan artikel 153 dalam apa cara sekalipun.

5. Adalah penting untuk diingatkan bahawa artikel 153 adalah berkaitan dengan kedudukan istimewa kaum bumiputera termasuk Melayu dan kaum pribumi Sabah dan Sarawak. Persoalannya to what extent the special position? Artikel 153(2) menjelaskan lebih lanjut tentang perihal ini dan terdapat 3 perkara utama yang berkaitan dengan kedudukan istimewa itu iaitu a) kedudukan dalam perkhidmatan awam, (b) pelajaran( biasiswa,latihan,fasiliti) dan (c) permit atau lesen perniagaan & perdagangan.

6. Adalah penting juga untuk diingatkan bahawa artikel 153 tidak boleh dipinda melainkan mendapat 2/3 undi majoriti Parlimen DAN persetujuan daripada Majlis Raja-Raja Melayu sepertimana yang diperuntukkan dalam artikel 159(5) Perlembagaan Persekutuan. Justeru apa yang dapat aku simpulkan di sini ialah tidak ada cara sekalipun artikel 153 akan dipinda selagi mana adanya Sistem Kesultanan Melayu di negara ini. Maka isu-isu seperti kononnya cuma parti tersebut yang mampu mempertahankan hak Melayu dan hak Melayu akan dihapuskan jika parti lain yang memerintah Malaysia adalah tidak relevan kerana hak Melayu sendiri sudah dijaga dan diselamatkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

7. Apa juga keputusan, nasihat atau recommendation oleh EOC mestilah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan kerana sebarang perkara yang akan melibatkan artikel 153 haruslah dirujuk atau perlu melalui consultation daripada Majlis Raja-Raja Melayu. Ia jelas disebut dalam artikel 38(5) yakni ''The Conference of Rulers shall be consulted before any change in policy affecting administrative action under Article 153 is made''.

8. Berkaitan isu kedua yakni tiada peruntukan 30% untuk kaum Melayu dalam kek ekonomi negara, haruslah diingatkan bahawa tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan 30% daripada kek ekonomi negara diperuntukkan untuk kaum Melayu. Bererti ia boleh dikurangkan atau dilebihkan daripada 30% itu sendiri. Peruntukan dan pembahagian ekuiti tersebut adalah mengikut konvensyen semata-mata.

9. Mungkin apa yang aku tuliskan di sini barangkali berpihak kepada kerajaan tetapi itulah realiti yang tidak boleh dielakkan. Tidak mungkin aku harus menyorok kebenaran hanya semata-mata aku 'kurang berkenan' dengan sikap DS Nazri dalam beberapa hal sebelum ini. Tidak mungkin juga aku perlu menyorok fakta ini hanya kerana Tun Mahathir, seorang yang sangat aku hormati dan layak diberi penghormatan 'our great man' adalah salah seorang ahli Perkasa. Apabila berkaitan dengan undang-undang, maka prinsip nemo judex in causa sua* akan ditegakkan. (* bermaksud tiada berat sebelah dalam menjalankan keadilan.)

10. Mungkin juga ada yang berpendapat post ini mencerminkan aku kurang prihatin dengan kepentingan Melayu. Kalau aku tidak prihatin kenapa aku keluarkan semua fakta yang menunjukkan kepentingan Melayu atau hak Melayu tidak akan tergugat bahkan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan?

2 comments:

  1. pedulikan apa yang orang hendak katakan. kita selaku pelajar undang-undang dan bakal pengamal undang-undang akan cuba sedaya upaya untuk berkongsi ilmu bersama mereka.

    isu NEM ini masih baru dan saya sendiri masih lagi dalam stage "input" or "research". mungkin lepas final exam baru la masuk stage process. nanti kita sama2 bole bincangkan isu ni dengan lebih mendalam.

    good job BOSS xD!

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)