Monday, April 26, 2010

BEDAH SIASAT

Ada beberapa kelainan dalam blog aku apabila menyentuh isu pilihanraya. Kalau dahulu aku lebih suka membuat komen dan pendapat sebelum pilihanraya tetapi untuk pilihanraya kecil Hulu Selangor, anda akan mendapati blog ini bersih daripada sebarang entri yang berkaitan dengan peribadi calon-calon yang bertanding mahupun ramalan siapa yang menang. Aku cuba mengadaptasi cara 'undang-undang' dalam pilihanraya kali ini; buat pertama kalinya aku mengumpulkan artikel-artikel berkaitan pilihanraya Hulu Selangor dan menyimpannya dalam satu folder. Artikel-artikel tersebut aku ambil daripada laman web Malaysian Insider yang menyediakan bahan-bahan baik dari kerajaan mahupun pembangkang. Aku bertindak 'bisu' sebelum pilihanraya ini ialah salah satu adaptasi daripada prinsip undang-undang iaitu 'contempt of court'. Aku tak mahu buat sebarang komen sebelum keputusan berbicara jadi selepas habis pilihanraya barulah aku rasa wajar untuk membuat sedikit pandangan dan ulasan. Lagipun aku bukanlah jentera mana-mana ahli politik yang diwajibkan untuk berkempen bagi memastikan kemenangan parti-parti tertentu.
Apa yang ingin aku sampaikan selepas ini barangkali akan menimbulkan rasa tidak puas hati, bahkan persepsi anda terhadap penulis ini juga akan bertukar tetapi inilah apa yang aku lihat dari kacamata sebagai 'orang muda' di Malaysia yang memerhatikan dari jauh bagaimana gelanggang politik kita berfungsi. Maka di sini aku sediakan 4 isu besar untuk dibincangkan bersama.

1. PERIBADI
- Pilihanraya kali ini menyaksikan satu kelainan apabila BN menggunakan taktik yang selama ini digunakan pembangkang yakni menyerang peribadi calon PKR sebagai kaki botol dan kaki judi. Bukan sahaja calon PKR, tetapi juga peribadi pemimpin PKR juga diserang bertubi-tubi oleh pemimpin dan bekas pemimpin BN termasuklah kes liwat beliau di mahkamah. Aku tak tahu samada it's amounted to contempt of court. Malangnya Pakatan Rakyat tidak mempunyai banyak modal untuk menyerang peribadi calon BN; hanya isu APCO sahaja dilemparkan kepada pemimpin BN tetapi malangnya isu 'siapa kawan Israel' juga terkena batang hidung sendiri dengan pendedahan Foundation For Future serta Paul Wolfowitz. Rasanya lagi 'sedap' kalau buka balik isu buku satanic verses di mana penulisnya mendapat penghargaan sebagai 'profound writer' oleh pemimpin PKR itu sendiri.
Nik Aziz cakap taktik serang peribadi calon adalah 'kerja bodoh'. Aku bersetuju dengan pendapat itu sebab kedua-dua pihak baik kerajaan mahupun pembangkang memang tengah mengamalkan trend kerja tu pun. Kalau di Hulu Selangor ni nampak ketara kerajaan buat kerja bodoh tu tapi jangan lupa juga semasa pilihanraya kecil di Terengganu tahun lepas di mana peribadi calon BN juga dieksploitasi sebaik mungkin oleh pihak pembangkang. Jadi dalam menyimpulkan 'kerja bodoh' ni, dua-dua pihak dua kali lima je.
Isu peribadi calon mendapat perhatian rakyat Malaysia dan ini membuktikan bahawa rakyat tidak lagi memilih calon berdasarkan parti semata. Tetapi trend menyerang peribadi calon jugak adalah sesuatu yang 'kureng bagus' sebab dalam hierarki fallacies of speaking tahap paling rendah dan 'tidak bertamadun' adalah ad hominem( menyerang peribadi orang).

2.DUIT
Ini adalah isu kedua yang sangat penting dalam pilihanraya kali ini lebih-lebih lagi ia melibatkan tentang masalah penduduk Felda Sungai Buaya. Ia berkaitan dengan pampasan sejumlah 1.2 juta ringgit yang masih tidak dapat diselesaikan sejak tahun 1994 apabila peneroka Felda bersetuju untuk menjual tanah mereka kepada pemaju Murnia Jaya Develop Berhad. Bukan itu sahaja, penduduk Hulu Selangor juga memohon supaya persimpangan lebuhraya juga dibina di kawasan tersebut.
Maka dalam pilihanraya kecil ini menyaksikan peneroka-peneroka Felda tersebut 'dibayar' sebanyak RM 50,000 dan dengan serta-merta projek lebuhraya tersebut akan dilaksanakan jika BN menang. PM juga menjanjikan lebih banyak duit akan 'dibayar' jika Selangor kembali ke pangkuan BN dalam pilihanraya umum akan datang.
I don't know whether this can be amounted to bribe. Menurut pemahaman mudah, rasuah adalah memberikan sesuatu supaya orang lain akan mengundi atau menyokong kita dalam sebuah pertandingan dan akan menjanjikan sesuatu lagi sekiranya kita menang dalam pertandingan tersebut. Tapi tak tahulah kan kalau pilihanraya tidak dikira pertandingan dan tiada istilah rasuah dalam pilihanraya tapi kalau dilihat dari segi dasar dan konsepnya, pada aku lebih kurang sama sahaja walaupun matlamat sesebuah parti itu adalah membawa pembangunan dan kemajuan.
'Goodies' ini termasuk janji membina sekolah, sistem perparitan mengelak banjir,lebuhraya dan sebagainya bernilai RM51 juta ringgit sementara goodies pihak pembangkang bernilai RM182,00( termasuk skim warga emas). Adakah duit masih lagi menjadi pancing relevan dalam sesebuah pilihanraya hanya boleh dijawab mengikut situasi tempat tersebut. Dalam PRU 2008 sejumlah jutaan ringgit dijanjikan kepada rakyat Kelantan jika BN menang tetapi nampaknya 'goodies' tersebut tidak diterima oleh rakyat Kelantan.
Lain padang lain belalang barangkali.

3.UNDI KAUM
Selepas PRU 2008 undi kaum tidak lagi menjadi isu kerana rakyat dilihat lebih peka terhadap isu-isu nasional dan semasa. Tetapi dalam pilihanraya Hulu Selangor, undi daripada sesebuah kaum sangat dititikberatkan bahkan post-mortem pasca pilihanraya ini juga lebih fokus kepada sokongan kaum mana yang lebih banyak.
Sokongan orang Melayu dilihat lebih cenderung kepada BN apabila BN berjaya mengatasi masalah isu Felda berbanding PR. Sokongan orang India juga dilihat meningkat; tetapi dalam margin yang kecil. Peningkatan ini mungkin disebabkan begitu banyak parti seperti MIC,IPF,Makkal Sakti dan sebagainya menjadi jentera kepada kerajaan cuma peningkatan yang kecil ini disebabkan oleh pemimpin MIC sendiri. Ada yang menyatakan bahawa kepimpinan MIC perlu bertukar jika tidak sokongan generasi muda India tidak akan dapat dimiliki oleh MIC. Sementara kekurangan PKR pula adalah ketiadaan pemimpin India yang dapat mempengaruhi pengundi India di kawasan tersebut (barangkali kalau Nallakaruppan ada lagi dalam PKR mungkin keputusannya berbeza).
Sokongan orang Cina pula apabila dianalisis tersebut menurun terhadap BN. Sebabnya tak dapatlah dipastikan cuma mungkin aku boleh menyenaraikan dua perkara; pertama kejayaan DAP menunjukkan Perkasa adalah kumpulan ekstremis yang disokong kerajaan untuk vokal terhadap 'hak dan ketuanan' Melayu sementara yang kedua adalah masalah hampir setahun setengah yang dialami oleh MCA juga sedikit sebanyak mempengaruhi undi penduduk Cina disitu ( sepertimana yang diakui oleh Dr.Chua Soi Lek). Yang mana satu betul aku serahkan kepada penduduk Cina Hulu Selangor untuk tentukan.

4.KELUAR PARTI
Ini isu tipikal tiap kali pilihanraya menjelang. Beratus-ratus ahli biasa sesebuah parti (terutama parti pembangkang) akan dilaporkan keluar dari parti. Betul atau tidak kenalah tanya tuan punya badan sendiri tetapi barangkali isu ini melibatkan orang 'kenamaan' dalam PKR sendiri iaitu Dr.Halili yang juga orang rapat pemimpin PKR memberi impak kepada undi dalam pilihanraya kali ini. Keluarnya beberapa ahli parlimen PKR sebelum ini juga (Zulkifli dan Zahrain) juga menyumbang kepada faktor kekalahan PKR.

Secara keseluruhannya pilihanraya kecil Hulu Selangor adalah pilihanraya kecil ke-10 selepas PRU 2008 dan kemenangan ketiga BN dalam pilihanraya kecil pasca 2008. Pilihanraya kecil ini mempunyai dua signifikan penting; pertama undi majoriti yang dimenangi BN lebih tinggi daripada yang diraih oleh PKR pada tahun 2008 (meskipun tidak melepasi KPI yang ditetapkan) dan kedua ia adalah satu-satunya pilihanraya kecil pasca 2008 yang bukan status quo. Sebelum ini, pilihanraya kecil adalah status quo semata; hanya mengekalkan kemenangan parti yang memenangi kerusi tersebut pada 2008. Tetapi pilihanraya kecil Hulu Selangor ini berbeza kerana ia dimenangi oleh BN.Pada tahun 2008 ia dimenangi oleh PKR. Jadi adakah ini satu petanda perubahan untuk PRU 2013?
Mungkin masih jauh untuk diramalkan. Pilihanraya kecil Sibu pula akan menjadi tumpuan kita selepas ini.


3 comments:

  1. haisshhh...terlampau byk sgt cte2 politik neh smpi ku jadik pening...gugugug

    ReplyDelete
  2. sayang sekali politik negara semakin hari semakin kurang matang. biarpun dari pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang. namun selaku orang muda juga orang mungkin akan katakan apa yang kita tahu. dunia politik jauh lebih kotor dari ini.

    penulisan yang baik sekali walaupun esok ada paper. heheehe =)! nice one boss

    ReplyDelete
  3. thanks for the little story, cant wait to hear more...

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)