Wednesday, February 17, 2010

Jaga Kain Sendiri

1. Tindakan 50 ahli Parlimen Australia menghantar memorandum kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia berkenaan bantahan terhadap prosiding mahkamah dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah mendapat reaksi yang sangat hebat. Kira-kira 500 orang yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO berdemonstrasi dan menghantar memorandum bantahan ke kedutaan Australia. Kelab BNBCC, Makkal Sakti dan juga Team Bloggers Kebangsaan juga ikut serta dalam hal ini.

2.Terkejut dengan tindakan ahli Parlimen Australia? Aku tidak.

3. Dahulu mereka menggelar Tun Mahathir sebagai 'keras kepala'. Mereka juga yang mengkritik undang-undang hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah di Malaysia bahkan mereka juga yang dahulunya melantik diri sendiri sebagai polis Asia dan akan bertindak sekiranya sesebuah negara di Asia Tenggara ini disyaki sebagai pusat pengganas. Mujur pemimpin negara kita waktu itu bukan seorang yang 'lembik' atau 'pengampu', dengan tegas Tun menjawab ''Ceroboh bererti perang.''

4. Ini juga bukan kali pertama orang luar begitu 'prihatin' dengan apa yang berlaku di Malaysia. Tahun 1998, sewaktu makan malam di Sidan APEC Naib Presiden Amerika Al-Gore menyokong gerakan reformasi rakyat Malaysia untuk menjatuhkan kerajaan pada waktu itu. Madeleine Albright juga telah mengadakan pertemuan dengan Dr Wan Azizah dan memberitahu yang beliau ingin melihat Datuk Seri Anwar di penjara. Bahkan sebelum itu juga Datuk Seri Anwar dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan diberi penghormatan memeriksa barisan kehormatan di Pentagon. Beliau juga sewaktu krisis ekonomi 1998 telah terang-terangan mahu bekerjasama dengan IMF dan mahu malaysia meminjam wang daripada badan kewangan dunia tersebut.

5.Mujurlah kita tidak meminjam daripada IMF kalau tidak nasib kita akan serupa Indonesia yang baru sahaja berhasil membayar kembali pinjaman tersebut sekitar tahun 2006/2007.

6. Tak perlulah awak nak sibuk-sibuk hal negara orang melainkan kalau orang itu warganegara awak ataupun orang itu ada kepentingan untuk awak dan beri keuntungan. Kalau tak ada tak payahlah masuk campur hal orang. Banyak lagi kes di negara awak sendiri yang perlu diberikan perhatian.

7.Sebab itu ada pepatah Melayu menyebut 'jangan jaga tepi kain orang' sebagai peringatan berjaga-jaga sebab nanti kalau dah terjaga sampai masuk kain orang, komfem ada something wrong somewhere kat situ.

Sunday, February 14, 2010

Ada Apa Dengan...

1. Bila sampai 14 Februari semua akan bercerita pasal: cinta. Ada yang anggap hari ini akan menjadi hari istimewa sebab setiap pasangan akan sanggup buat apa sahaja untuk membuktikan cintanya. Kalau baca entri tahun lepas aku memberi komentar pasal valentine day dan tidak pernah menyokong untuk sambut benda-benda ni (walaupun status dah berubah). Kalau nak tahu lebih lanjut pergilah kat archives february 2009 blog aku.

2. Aku lebih tertarik untuk bercerita tentang: couple. Isu ni dah menjadi satu bahan perdebatan yang sangat hebat; kalau boleh jadi tajuk debate BEL 342 komfem ramai yang akan pilih tajuk ni. Isu ini menjadi isu kontemporari; sebahagian ada yang menyokong sementara ada juga yang menentang dengan hujah-hujah yang kukuh. Buku-buku yang menceritakan perihal ini pun mengalir di pasaran; banyak cerita-cerita yang kita dengar pasal couple; yang paling femes rasanya cerita couple yang selepas pergi ceramah dan bertanya dengan ustaz dia kemudian lepas dah tanya apa semua dia putuskan hubungan tu.

3. Masa kat sekolah dulu pun ustaz aku ada buat larangan keras terhadap mereka2 yang nak couple. Lepas dah habis dia ceramah, aku pun buat sesi usrah dengan dia tanya pasal benda ni. Ustaz cakap dia cuma tegur mereka2 yang bercouple ni dari kelas-kelas hujung n couple sampai tak ingat dunia dan akhirat. Ustaz sendiri pun pernah couple tapi cara ustaz lebih kepada keagamaan dan tak lah sampai lupa tanggungjawab. Ustaz pun dah kasi 'restu' kalau aku nak couple (err tapi tu 3 tahun lepas saya single lagi tapi sekarang dah valid dah hoho).

4. Sejak aku single lagi aku masih berpegang pada pendirian yang sama yang akan aku simpulkan di akhir blog ni. Cuma sekarang mari kita berbincang: boleh ke x couple dalam Islam?

5. Ada sesetengah pendapat menyatakan tidak boleh bercouple kerana akan menjurus kepada maksiat. Pendapat ini lebih menjurus kepada preventive atau pencegahan; mereka mengambil pendekatan bahawa couple ini akan membawa kepada maksiat seterusnya ke kancah perzinaan. Melihat pula pada keadaan sekarang di mana kes zina dan buang anak makin meningkat. Jadi pendekatan ini dilihat sedikit 'keras' dan rigid.

6. Tetapi Islam adalah satu agama yang fitrah, agama yang tidak menyimpang daripada kehendak manusia. Bahkan dalam al-quran sendiri menjelaskan kehidupan pasangan adalah satu lumrah fitrah yang dihadiahkan oleh Allah. Bahkan perasaan cinta itu sendiri adalah ciptaan Allah. Aku sangat tertarik dengan kisah seorang lelaki yang bercouple kemudian bila dia jumpa dan terima pendapat ustaz yang mengatakan couple itu haram, tak boleh terus dia putuskan hubungan dia dengan perempuan tersebut. Bohong kalau takda perasaan sedih dan kecewa, bohong kalau takda perasaan marah dan boleh membawa kepada permusuhan kalau dah putus couple walau apa alasan sekalipun. Bukankah permusuhan itu ditegah dalam Islam? Bukankah kesedihan,kekecewaan dan putus asa adalah sangat dilarang dalam Islam? Bukankah Islam itu selari dengan kehendak manusia?

7. Tetapi harus diingat, walaupun Islam itu sesuai dengan fitrah manusia tetapi tetap dengan aturannya sendiri; Islam sendiri melarang perzinaan, berkelakuan sumbang dan memelihara adab-adab dalam pergaulan sesama manusia. Maka mengikut pendirian aku bahawa couple itu perlu ada niat yang bersih.Niat yang lurus iaitu: untuk berkahwin. Masalah orang bercouple sekarang adalah untuk buat 'projek', tu yang jadi menyimpang tu. Kalau niat nak berkahwin kan bagus, bukankah berkahwin itu mengikut ajaran Islam?

8. Haruslah juga dijaga adab-adab waktu bercouple. Siapa cakap kalau nak couple kena pegang tangan? Boleh je couple tak pegang tangan. Boleh je couple tak payah dating. Nak dating2 buat ape; pergilah sesi taaruf bersama keluarga. Makan kat rumah kan lagi jimat, fitnah pun xde sebab ada family sekali. Yang penting niat tu: couple mahu kahwin. Mesti juga jangan diabaikan tanggungjawab-tanggungjawab yang lain; kepada Allah, kepada keluarga, kepada pelajaran etc.

9.Mungkin ada yang tak bersetuju. Itu normal. Ada yang mengambil pendekatan bahawa couple itu haram, aku hormati pendirian tersebut. Walaupun aku mengambil pendirian 'couple tak salah tapi mesti dengan niat yang betul iaitu untuk kahwin. Dan mestilah harus menjaga daripada berzina dan perkara-perkara yang mengundang fitnah'. Itulah pendirian aku dan itulah yang aku akan lakukan dalam bercouple ni. Jadi doa-doa kan la ye hubungan kami berterusan sampai berkawhin nanti insya-allah.

10.Couple?Boleh tapi bersyarat. Boleh tapi ada panduan. Jangan over sudeh.

Tuesday, February 9, 2010

MASIH BELUM SEMPURNA



KEPUTUSAN
1. Walaupun dah berulang kali aku berjanji pada diri sendiri untuk tidak memberi sebarang komentar dalam krisis yang berlaku di Perak tetapi krisis inilah yang telah menukar landskap blog aku untuk lebih kritikal memberi pandangan berkaitan isu-isu politik tempatan. Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini telah mengesahkan Dr.Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

2. Memandangkan keputusan tersebut masih belum dikeluarkan secara writing dan tidaklah diketahui keseluruhan penghakiman tersebut namun 'legal reasoning' yang diutarakan adalah Perlembagaan Negeri tiada peruntukan yang memerlukan undi tidak percaya dilakukan. Adalah jelas bahawa Dr.Zambry memiliki sokongan majoriti 31 daripada 59 ahli Undangan Negeri Perak.

3.Secara praktikalnya, mana-mana parti yang mempunyai majoriti akan membentuk sebuah kerajaan untuk mentadbir sebuah negeri baik ia satu majoriti mudah atau 2/3. Tidak ada lagi parti yang minoriti dapat mentadbir kerana jika minoriti yang mentadbir maka pelbagai kesukaran akan timbul. Ambil contoh kelulusan bajet tahunan; sudah pasti bajet yang dibentangkan oleh minoriti tidak akan dapat diluluskan kerana kuasa majoriti berada di pihak lawan dan yang akan menjadi mangsa adalah rakyat sendiri. Rakyat tidak dapat merasai pembangunan dan peruntukan yang disediakan dalam bajet tersebut.

'ABSOLUTE MONARCHY'

1.Pelbagai reaksi diberikan oleh kedua-dua belah pihak.Antara yang menarik perhatian aku adalah komentar dari Ir.Nizar yang mengatakan bahawa keputusan mahkamah ini membawa isyarat kepada 'absolute monarchy'.

2.Tidaklah dapat aku persetujui berkenaan komentar beliau ini kerana jika benar negara kita absolute monarchy maka yang betul2 memegang kuasa, yang menjalankan pentadbiran, yang membuat dasar negara akan menjadi kuasa Sultan/YDPA. Bahkan komentar beliau itu sangatlah tidak relevan kerana negara kita mengamalkan Constitutional Monarchy- kuasa monarki adalah berada di dalam garisan/panduan undang-undang. Kalau benar kita sedang menuju ke absolute monarchy maka Artikel 182&183 perlu dimansuhkan kerana artikel ini jelas membuktikan bahawa kita bukan absolute monarki-YDPA atau Sultan sendiri tidak mempunyai imuniti daripada tindakan undang-undang.

3. Dalam konteks yang lebih luas Perlembagaan Persekutuan Artikel 40(2) ada memperuntukkan ''The Yang Di pertuan Agong may act in his discretion in the perfomance of the following functions that is to say:
a)The appointment of a Prime Minister
b)The witholding of consent to a request for the dissolution of Parliament
c)The requisition of a meeting of Conference of Rulers concerned solely with privileges, positions,honours and dignities of Their Royal Highnesses, and any action at such a meeting.

4. Berkenaan krisis di Perak, jelas ia memberi isyarat bahawa Sultan Azlan Shah ( yang juga merupakan bekas Ketua Hakim Negara) menggunakan kuasa yang diperuntukkan oleh baginda kerana artikel 40(2) ini juga ada pada Raja-Raja Melayu atau sultan di negeri-negeri.

5.Baginda juga menggunakan kuasa sebagai seorang sultan Perak mengikut perlembagaan negeri Perak sepertimana dalam klausa 4 perkara 16 yang berbunyi ''Sultan mempunyai kuasa melantik seseorang Menteri Besar dari kalangan yang Baginda dapati sesuai dan untuk melantik seseorang menteri Besar di bawah klausa 4, baginda boleh mengetepikan mana-mana peruntukan Perlembagaan Negeri jika pada pendapat baginda ini sesuai dan berpatutan''

6. Jika ditanya apakah Sultan melampaui bidang kuasa baginda maka jawapan peribadi saya tidak. Bahkan Sultan menggunakan kuasa baginda; tidak hanya seperti kebiasaan yang hanya menjadi amalan teori semata tetapi dalam kes ini Sultan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada baginda. Baginda juga telah melantik MB Perak yang baru setelah mendapati majoriti DUN berpihak kepada BN. Maka komentar absolute monarchy yang dilemparkan oleh Ir.Nizar itu adalah tidak relevan kerana dalam hal ini Sultan Perak, bekas Ketua Hakim Negara ini telah menggunakan kuasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan dan telah mengamalkan apa yang dinamakan 'constitutional monarchy'.

BEBERAPA ISU

1. Antara salah satu aspek lain yang dititikberatkan dalam keputusan kali ini adalah suasana sosial rakyat. Pengekalan Dr.Zambry sebagai MB Perak sekurang-kurangnya membolehkan Perak dibangunkan dan ditadbir tanpa ada sebarang pertikaian antara pihak istana dan pihak kerajaan. Ada kemungkinan suasana yang tidak aman dan tidak harmoni akan timbul jika keputusan mahkamah persekutuan menjadi sebaliknya; ia akan dieksploitasi untuk mencemarkan institusi diraja dengan menganggap bahawa keputusan Sultan adalah salah dan melampaui bidang kuasa dan jika keputusan mahkamah Tinggi dibenarkan maka akan jadilah implikasi dalam subtopik 'Keputusan' dalam perenggan ketiga. Yang menjadi mangsa: Rakyat.

2. Meskipun dari aspek perundangan menyebelahi BN tetapi ini tidak bererti BN sudah boleh menarik nafas lega kerana dari segi moraliti dan penerimaan sebenar adalah terletak di tangan rakyat Perak. Tangan-tangan inilah yang akan menentukan 'keputusan' sebenar dalam PRU akan datang. Jika benar PR masih diterima rakyat maka Ir.Nizar tidak perlu risau kerana beliau pasti akan dilantik sebagai MB Perak semula( itupun kalau DAP tidak ada calon Melayu di Perak) dalam pilihanraya akan datang.

3. Kemampuan BN melompatkan ADUN pembangkang untuk menjadi Bebas yang menyokong BN adalah satu perkara yang sangat 'menakjubkan'. Menurut pandangan aku yang daif ini adalah tidak perlu untuk tergesa-gesa mendapatkan kuasa yang hilang kerana paling lama pun setiap 5 tahun negara kita akan mengadakan pilihanraya. Biarlah rakyat yang menentukan selepas 5 tahun itu samada mereka mahu menukar kerajaan atau tidak. Kerana itu hak rakyat. Hak untuk meminta diperintah dan ditadbir. Justeru isu lompat parti ini harus diberi perhatian serius dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana dari segi moraliti, ia adalah satu perbuatan yang sangat tidak wajar.

Perundangan bukanlah jalan mutlak untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Waalahua'lam

Sunday, February 7, 2010

Meninjau Sisi Masyarakat yang Berbeza

1.Minggu ni memang banyak aktiviti yang aku sertai dan insyallah aku akan ceritakan satu per satu. Yang pertama sekali bengkel membaca kes tetapi yang ni aku akan cerita lain entri sebab ada peristiwa menarik berlaku dalam bengkel ni. Yang kedua pasal Extreme Outdoor Quest Kesatria dan ketiga adalah program Melawat Rumah Nur Salam anjuran kelab Student Community Law Committee( SCLC).

2.SCLC berorientasikan kebajikan dan program dia memang melawat ke rumah-rumah kebajikan dan buat legal teaching di sana. Macam hari ni kami buat legal teaching mengenai panggilan palsu di rumah yayasan Nur Salam di Jalan Chow Kit KL. Tapi yela target group ialah budak-budak bawah umur 12 tahun so takkan nak cerita pasal undang-undang, tak pasal2 syok sendiri je kitaorang nanti.

3. Satu pengalaman yang sangat berharga kerana hari ini aku menemui 'dimensi' lain dalam masyarakat di negara kita. Kebanyakan kanak2 yang berada di sini mempunyai latarbelakang yang kurang bernasib baik; tetapi bakat mereka sangat mengagumkan. Andai sahaja mereka mempunyai persekitaran yang bagus komfem mereka dah berjaya dalam bidang masing-masing. Kehidupan mereka di rumah Nur Salam ni sangat teratur dan kondusif; banyak penaja yang bermurah hati menaja kelengkapan rumah ni dan senang cerita memang selesa habis.

4. Pengalaman dengan budak-budak? hoho macam biasa aku ni dengan budak-budak sangat 'cair' dan terlalu toleran. Langsung tak tegas dan tak garang langsung sampai budak-budak pun enjoy je dengan aku. Rasa terharu jugak bila budak-budak berkumpul, duduk atas riba kemudian bercerita itu ini tanya macam-macam. So kita layan jela dan memang betul kanak-kanak adalah satu anugerah Tuhan yang sangat bernilai.

5. Bila ada sesi permainan dengan tanah liat, aku sangat kagum dengan bakat kanak-kanak ni. Sangat kreatif dan bertenaga; langsung tak penat walaupun time tu aku dah tak larat nak bergerak dan banyak kali dah menguap. Tapi sebab budak2 ni sangat bertenaga dan aktif maka diusahakan jugak untuk melayan mereka. Ternyata mereka sangat kreatif dan banyak idea; sebagai habuan dapatla setiap seorang gula2 sebelum kami balik. Mana yang untung dapatlah lolipop yang aku bawak hoho.

6. Bila nak balik tu terasa sebak jugak sampai ada yang sorang tu dah pegang2 tangan aku cakap tak payah balik. Yang mana minta lolipop lagi aku janji next time aku datang aku bawak. Apapun ini satu pengalaman yang sangat tak ternilai kerana dari situ aku belajar untuk memahami budak-budak; menilai mereka dengan sama rata tanpa memikir siapa mereka dan latarbelakang mereka. Mereka semua sama; mempunyai bakat dan energi yang sangat hebat; tetap ceria walaupun mempunyai latarbelakang yang sukar dan yang pasti, mereka inilah yang harus dijaga masa depannya, tidak boleh membiarkan mereka hidup dalam sisi gelap lagi kerana setiap daripada mereka mempunyai potensi untuk hidup dengan lebih sempurna.

7. Golongan seperti inilah yang harus menjadi perhatian kita; tidak boleh membiarkan mereka terus berada dalam sisi gelap dan membiarkan kita kehilangan satu demi satu harapan dan pewaris negara. Meninjau sisi masyarakat yang berbeza akan memberi keinsafan, betapa bertuah kita dapat hidup dalam persekitaran yang kondusif dengan ibu bapa yang sangat bertanggungjawab dan membesarkan kita dengan segala kemudahan yang ada.

*Gambar tidak boleh diletakkan kerana kanak2 ini dilindungi di bawah akta Kanak-kanak 2001 dan atas dasar keselamatan mereka serta keluarga mereka.