Friday, April 25, 2014

SIVIL & SYARIAH: MASA UNTUK BERTINDAK


Setelah meyakini bahawa artikel ini akan ditendang oleh mainstream media mahupun online media, maka blog sendiri adalah tempat terbaik untuk menyampaikan pendapat berkenaan perkara ini. Mungkin sensitif tapi itu tak bererti ia boleh diselesaikan dengan duduk diam dan dibiar senyap tanpa sebarang tindakan.

Isu hak penjagaan anak antara Muslim dan bukan Muslim telah sekali lagi mendapat perhatian meluas daripada masyarakat Malaysia baru-baru ini apabila Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan anak kepada saudari S.Deepa sebelum anaknya dilarikan oleh bekas suaminya yang juga merupakan seorang mualaf Izwan Abdullah. Saudara Izwan, pada masa yang sama, mendapat hak penjagaan anak dari Mahkamah Syariah tahun lepas.

Saya berpendapat semua pihak harus menghormati kedudukan Mahkamah Tinggi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di samping mempunyai bidang kuasa dalam mengendalikan hal-hal berkaitan Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Di samping itu, kedudukan Mahkamah Syariah dalam Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga haruslah dihormati.

Pada masa yang sama, prinsip-prinsip yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes terdahulu iaitu Indira Gandhi a/p Mutho v Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors [2013] MLJU 735 juga perlu diambil kira oleh semua pihak. Prinsip-prinsip tersebut adalah:

·       Orang bukan Muslim tidak tertakluk kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah dan apa-apa keputusan Mahkamah Syariah tidak terpakai ke atas dirinya

·   Prosiding Mahkamah Tinggi Malaya atau Sabah & Sarawak lebih tinggi berbanding Mahkamah Syariah memandangkan Mahkamah Tinggi diwujudkan langsung dari Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan

·        Apabila pasangan tidak mencapai persetujuan berkenaan status agama anak-anak maka status agama anak-anak tersebut dikekalkan sehingga mencapai usia 18 tahun dan selepas mencapai usia 18 tahun, anak-anak tersebut boleh memilih agama mereka sendiri

·   Penukaran status agama anak-anak tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa melanggar Perkara 3, 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan

·      Hak mendengar harus diberikan kepada suami atau isteri yang tidak memeluk Islam memandangkan hak mendengar adalah keadilan sejagat (natural justice)

Walaupun Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap hal-hal berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah, perkahwinan yang didirikan oleh pasangan suami isteri ini adalah berlandaskan prosedur-prosedur yang terkandung dalam Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan akta tersebut juga memperincikan hal-hal berkaitan perceraian bagi pasangan bukan Islam seperti hak penjagaan, nafkah dan sebagainya. Justeru keputusan penjagaan anak bagi pasangan ini adalah berpaksikan peruntukan yang disediakan dalam akta tersebut memandangkan mereka telah berkahwin dan memperoleh cahaya mata sebelum saudara Izwan memeluk Islam.

Pertikaian yang timbul, pada pendapat saya, adalah disebabkan dua perkara: Pertama, Mahkamah Syariah juga mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan hak penjagaan anak dan kedua, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas individu yang bukan beragama Islam.

Dalam menangani isu ini, pindaan ke atas Akta Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 harus dilaksanakan dalam memastikan kejadian yang sama berlaku di masa hadapan. Keputusan kabinet pada tahun 2009 yang melarang salah seorang daripada pasangan menukar agama anak-anak tanpa kebenaran kedua-dua pasangan tersebut boleh digunakan dalam pindaan tersebut di samping menyediakan satu platform untuk kedua-dua pasangan menyelesaikan isu-isu berkaitan penjagaan anak, nafkah dan lain-lain.

Walaupun tidak dinafikan bahawa isu ini merupakan satu isu yang sensitif, kewujudannya tidak boleh dinafikan begitu sahaja tanpa sebarang penyelesaian. Tidak menghiraukan atau tidak menjawab bukanlah satu jalan penyelesaian berkenaan isu ini. Sudah tiba masanya sistem perundangan Malaysia memberi panduan yang jelas dalam menangani isu ini kerana ia juga memberi kesan yang buruk terhadap sebarang usaha rekonsiliasi antara kaum di negara.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai majoriti penganut beragama Islam, keadilan haruslah diberikan kepada semua pihak sepertimana yang dijelaskan dalam kitab suci Al-Quran ‘’ Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kepada sesiapa jua kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan’’ (5:8)


7 comments:

  1. zharif, why on earth would you suggest no media (maisntream and alternative) won't publish this.

    This is a good piece!

    ReplyDelete
    Replies
    1. because i already sent it to the media and no response so hahaha....i guess my own blog can accept this kind of article ;)

      Delete
    2. well then, sorry.

      i like this article. keep 'em coming.

      Delete
  2. Zharif, why on earth would you suggest no media (maisntream and alternative) won't publish this.

    This is a good piece!

    ReplyDelete
  3. oh btw, bos saya dah suruh buat one file and compile cases to discuss this issue. Untuk future reference. By end of my pupillage period, he'd want to see that.

    If you have more inputs, do share.

    ReplyDelete
  4. oh btw, bos saya dah suruh buat one file and compile cases to discuss this issue. Untuk future reference. By end of my pupillage period, he'd want to see that.

    If you have more inputs, do share.

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)