Monday, May 5, 2014

KENAPA RAKYAT MALAYSIA TAKUT KENA POTONG TANGAN?




Isu Hudud yang diketengahkan oleh pelbagai pihak ketika ini bukanlah sesuatu yang baru kerana Rang Hudud Kelantan telahpun diperkenalkan pada tahun 1993 dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat negara ini. Bukan itu sahaja, malah sebuah buku bertajuk ‘’Hukuman Dalam Undang-Undang Islam: Suatu penilaian terhadap hukum hudud Kelantan dan Terengganu’’ hasil penulisan Prof Mohammad Hashim Kamali juga telah diterbitkan dan saya berpendapat bahawa penulisan tersebut adalah satu kajian yang komprehensif dalam mendepani isu ini.

Malangnya, perkataan Hudud itu telah dipandang negatif dan meninggalkan kesan yang buruk kepada imej agama Islam kerana ia dikaitkan dengan hukuman yang keras atau ‘tidak berperikemanusiaan’ sekaligus ini memburukkan lagi imej agama Islam di mata kalangan penganut bukan agama Islam di negara ini.
Hakikatnya, Hudud itu bukanlah tentang hukuman semata-mata; ia bukan sahaja tentang hukuman memotong tangan, sebatan seratus kali mahupun rejam tetapi ia juga meliputi tiga prinsip iaitu tawbah (repentance), pemulihan(reform) dan pencegahan (prevention). Bahkan dalil-dalil Al-Quran yang menyentuh soal Hudud juga menitikberatkan soal peluang untuk pesalah mengubah diri dan bertaubat sebelum hukuman tersebut dilaksanakan. Menurut Ibnu Hazm, memberi keizinan kepada pesalah untuk bertaubat sebelum pelaksanaan hukuman Hudud dijalankan ke atas dirinya merupakan satu kewajiban dan tanggungjawab. Justeru, Hudud bukanlah berorientasikan hukuman semata-mata tetapi lebih bersifat kemanusiaan dengan memberi keutamaan kepada peluang untuk pesalah mengubah diri dan tidak dikenakan hukuman jika kesalahan tersebut dilakukan kali pertama (first time offender).

Walaupun terdapat beberapa jenayah yang termaktub dalam hukuman Hudud, saya ingin menarik perhatian pembaca berkenaan jenayah mencuri. Terdapat sebuah kes yang berlaku di Kelantan apabila seorang penganggur dihukum penjara dua tahun dan denda RM 5000 kerana didakwa mencuri RM2 di tabung masjid (baca sini). Namun, jika penganggur ini melakukan kesalahan tersebut dan dihukum di bawah hukuman Hudud, beliau akan dibebaskan dan tangannya tidak akan dipotong kerana beliau seorang penganggur yang sedang dihimpit kemiskinan dan kelaparan serta tidak punya pekerjaan untuk membeli makanan.

Justeru, tanggapan bahawa ramai orang akan kehilangan tangan kerana mencuri di bawah Hudud adalah tidak benar kerana terdapat beberapa pengecualian sebelum seseorang itu dihukum di bawah pelaksanaan hukum Hudud. Ini kerana Islam menekankan keadilan dan adalah tidak adil jika seorang fakir miskin yang tidak punya pendapatan dipotong tangannya kerana mencuri untuk membeli makanan sedangkan mereka yang korup dan mencuri duit rakyat itulah yang seharusnya mendapat hukuman tersebut.

Pada masa yang sama, kita juga harus menimbangkan pandangan S.A.A Maududi dalam penulisannya ‘’ The Islamic State and Constitution’’ apabila beliau berpendapat bahawa dalam dunia yang mana setiap orang menjaga diri mereka masing-masing, yang sistem ekonominya memudahkan beberapa orang tertentu menjadi kaya-raya dengan menindas orang miskin maka melaksanakan hudud dalam kes curi akan hanya melindungi harta penindas.Beliau juga menambah, hukuman Hudud untuk zina pula ia ditujukan kepada masyarakat yang perkahwinan dipermudahkan bukannya untuk masyarakat yang keadaan ekonomi dan budayanya membuatkan perkahwinan begitu sukar.

Selain itu, dalam buku Salim el-awa yang bertajuk ‘’Punishment In Islamic Law’’ beliau berpendapat dalam keadaan sekarang, tidak masuk akal untuk memotong tangan pencuri sedangkan dia tidak ada sumber rezeki atau untuk menghukum zina dalam apa bentuk sekalipun dalam suatu masyarakat yang semuanya menggoda dan menggalakkan hubungan seks luar nikah.

Di samping itu, Yusuf Al-Qardawi juga menyentuh isu dengan berpendapat ‘’ Keadilan Islam tidak menerima logik bahawa perintah Tuhan dilaksanakan kepada pencuri namun kita mengabaikan perintah Tuhan dalam pembayaran zakat dan sistem bantuan sosial Islam. Hanya terdapat satu ayat dalam Al-Quran berkaitan hukuman hudud ke atas pencuri tetapi terdapat berpuluh ayat menyentuh tentang zakat dan menolong orang miskin’’.

Di negara ini, kita begitu berbangga dengan kutipan zakat yang mencecah puluhan juta malah jika digabungkan kesemua negeri, boleh mencecah angka billion. Anehnya, kemiskinan di kalangan umat Islam masih sahaja berterusan dan wujud malah pengurusan agihan zakat juga masih lemah dengan komplikasi birokrasi yang menyeksakan. Penulisan bekas Mufti Perlis berdasarkan pengalaman beliau sendiri sudah cukup untuk menceritakan segalanya tentang realiti pengagihan zakat dan umat Islam di negara ini. (baca di sini)

Gambaran bahawa hudud adalah tentang hukuman semata-mata adalah tidak tepat dan seakan sengaja diperbesar-besarkan untuk kepentingan politik. Seharusnya gambaran yang jelas harus diberikan agar Hudud itu tidak dipandang negatif dan bukannya dilaksanakan atas dasar mengaut keuntungan politik semata-mata.


No comments:

Post a Comment

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)