Friday, May 25, 2012

Daripada Rakyat Untuk Rakyat: Pindaan AUKU

1. Ada juga yang bertanya mengapa tidak dibukukan dan dijual di pasaran buku TENTANG AUKU yang ditulis dan diterbitkan secara percuma di internet.

2. Sejujurnya ada juga keinginan untuk menerbitkannya di pasaran dan memperoleh duit daripada jualan buku tersebut.

3. Tetapi jika difikirkan kembali, kalau saya menulis sebab duit maka saya tidak akan dapat menulis hatta satu perenggan sekalipun.

4. Mengapa? Kerana menulis itu menuntut satu 'alunan' yang datang dari jiwa; ia tidak boleh didorong dengan unsur-unsur luaran yang bersifat sementara. Ia ditulis kerana ia perlu ditulis. Bukan sebab duit. Bukan sebab populariti. Bukan sebab glamour.

5. Sehingga sekarang saya tidak tahu berapa ramai yang sudah memuat turun dan membaca e-book TENTANG AUKU tersebut. Ini kerana isu tersebut bukanlah isu yang diminati oleh semua orang. Tetapi saya percaya ia akan dibaca; sama seperti penulisan e-book kedua saya ini oleh mereka yang meminati perkara ini dan mahu berkongsi idea tentang sesuatu isu yang berlaku di dalam kehidupan ini.

6. Hari ini, saya akan memuat naik sebuah lagi e-book yang lebih bersifat spin-off; saya tidak pasti jika penulisan sebanyak 12 muka surat itu boleh dianggap sebagai sebuah buku. Walau apa pun, ia berkaitan dengan pindaan terbaru AUKU. Ia siap ditulis kira-kira dua hari yang lepas dan hanya pada hari ini saya berkesempatan untuk memuat naik penulisan tersebut di internet.

7. Dan ya, ia adalah percuma dan boleh dimuat turun di sini

8. Pada masa yang sama juga, saya telah membuat dua perubahan pada hari ini yang berkaitan dengan blog yang sudah mencecah usia 3 tahun ini:

i) Tajuknya ditukar ( kembali kepada tajuk dahulu ''My Way'' yang lebih 'menarik' menurut perhitungan saya)

ii) Linknya juga telah ditukar kepada http://zharifbadrul.blogspot.com. Tidak ada lagi pre-lawrian.blogspot.com. Tidak ada signifikan yang besar dalam pertukaran ini. Saya cuma fikir sudah tiba masanya untuk blog ini diberi nama penulisnya sendiri.

9. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memuat turun e-book TENTANG AUKU sebelum ini dan saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang akan memuat turun e-book kedua saya tersebut. Harapan saya semoga ia juga tidak kurang hebat pengisiannya dengan e-book pertama.

''Menulis adalah derita yang terindah. Derita kerana ia menyebabkan seseorang itu melupakan dunia. Terindah kerana ia menyebabkan seseorang itu mengingati dirinya sendiri.

Tuesday, May 15, 2012

Masih Muda Belia




1. 15 Mei adalah Hari Belia Malaysia. Bagi mereka yang masih menikmati usia belia diucapkan selamat menyambut Hari Belia Malaysia.

2.Sudah tentu aku masih menikmati usia belia. Termasuk dalam golongan bernama belia ini banyak stigma dan tanggapan positif mahupun negatif.

3. Dilabel pemberontak, suka memprotes, buat sesuatu tak guna otak, banyak buang masa dan idea-idea masih cetek dan tidak boleh diterima pakai.

4. Tetapi golongan ini jugalah yang akan dicari dan dirayu untuk mengundi apabila tiba pilihan raya kelak. Golongan ini jugalah yang akan didekati apabila sesuatu isu yang diperjuangkan oleh mereka telah membuka mata masyarakat.

5. Ada individu yang telah mencapai banyak kejayaan dan memberi sumbangan kepada negara mahupun masyarakat dalam usia yang masih muda belia ini. Bila terfikirkan hal itu, mulalah melihat diri sendiri dan bertanyakan soalan: apa sumbangan yang aku dah buat?

6. Bila dikira balik, mungkin satu dua ( cuba menganggap penulisan tentang AUKU yang menjadi e-book percuma adalah satu sumbangan terbesar setakat ini tetapi bila fikir balik, berapa ramai yang dah baca? Mungkin sedikit jadi tak boleh dianggap sebaga sumbangan). Mungkin tiada langsung. Kalau aku mati esok lusa orang lain barangkali tak teringat akan kewujudan aku sebagai rakyat dan masyarakat sebuah negara bernama Malaysia.

7. Mungkin undi sewaktu PRU kelak akan menjadi sumbangan pertama aku untuk negara. Itu pun tak pasti samada boleh dikira sebagai sumbangan atau tidak.

8.Bercerita soal PRU, semua orang sibuk membuat ramalan. Aku pun tidak berkecuali. Barangkali ia akan berlaku sewaktu cuti khas seminggu yang diberikan oleh UiTM ( tak pernah-pernah dapat cuti sempena Hari Gawai selepas hampir 4 tahun menjadi pelajar UiTM). Atau mungkin selepas hari jadi aku.Atau mungkin selepas raya.

9. Walau apapun, aku berdoa moga diberi kesempatan untuk mengundi kali ini meskipun dengan bangganya aku boleh mengisytiharkan diri sebagai 'pengundi atas pagar' buat ketika ini. Kenapa atas pagar?

10. Sebab masih ada banyak isu-isu yang menjadi minat aku masih belum diuruskan dengan baik oleh kedua-dua pihak. Jadi mungkin di saat-saat akhir ini ada yang muncul sebagai 'hero' dan memperjuangkan isu tersebut dengan lebih realistik dan bukan modal untuk tarik undi semata-mata.

11. Oh sudah tentu salah satu isu tersebut adalah berkenaan AUKU. Mungkin ada yang pesimis setelah membaca kenyataan sebentar tadi. ''Sudah-sudahlah tu Zharif. Dah dipinda pun. Kau bukan tahu pun pasal sejarah latarbelakang AUKU. Tu pun ada hati nak tulis pasal AUKU''

12. Aku mungkin tidak ingat tentang sejarah AUKU dari A sampai Z sebab aku sendiri tidak memberi sepenuh minat dalam mendalami sejarah tersebut. Aku lebih berminat dengan isi kandungan AUKU itu sendiri.

13. Walaupun sudah dipinda tapi masih ada satu perkara yang menganggu fikiranku berkenaan pindaan tersebut.

14. Dalam entri yang akan datang (jika diizinkan oleh Tuhan) barangkali aku boleh 'membuka pekung' pindaan AUKU ini.

15. Aku mungkin betul atau salah dalam hal berkenaan pindaan tersebut. Tapi sekurang-kurangnya aku punya pendirian untuk membicarakan sesuatu perkara.

16. Dan barangkali mempunyai pendirian itu sendiri merupakan sumbangan sebagai belia kepada negara.

Hanya Tuhan yang lebih Mengetahui

Monday, May 7, 2012

Kuasa Media

GAMBAR SAUDARA KHALID ISMATH



1. Beberapa penjelasan perlu dilakukan:

a. Saya bukan pengikut fahaman syiah

b. Saya tidak menyokong perbuatan atau perkataan yang dilakukan oleh saudara Khalid.

c. Ini dilakukan bukan atas dasar 'sama-sama pelajar Law UiTM'

d. Saya tidak dibayar oleh sesiapa untuk menulis entri ini

Jadi kenapa aku kena tulis entri ini?

Jawapan: Sebab gambar di atas tu....terang-terangan bukan dia. Tetapi betapa hebatnya pengaruh media sampai gambar tersebut boleh jadi front page. Kalau sekali imbas dan yang tidak pernah melihat muka saudara Khalid mungkin akan terus bersetuju bahawa dialah yang memukul polis trafik tersebut. Tetapi cukuplah dua perbezaan ini yang boleh saya nyatakan:

i) Stail rambut kedua-dua pihak berbeza

ii) Gambar lelaki sebelah kiri tidak berjanggut sementara saudara Khalid (sebelah kanan) berjanggut.

Pengajaran untuk semua: Daripada nak memalukan orang akhirnya malu diri sendiri.

2. Saya pohon maaf jika ada mana-mana pihak yang melenting selepas membaca entri ini. Bukan hendak membela sesiapa tetapi sekadar mahu memberitahu perbezaan di dalam gambar tersebut dan betapa besarnya kuasa media terhadap seseorang.

3. Dia mungkin bersalah kerana mengeluarkan kenyataan 'mahu bunuh semua polis' di dalam facebook tetapi untuk beliau bersalah kerana memukul polis trafik hanya berdasarkan gambar di atas....saya fikir susah sikit untuk menyamakan beliau dengan polis tersebut.

4. Tetapi jika ada bukti selain daripada gambar tersebut maka dakwalah beliau atas nama keadilan dan kebenaran.

5. Dan sudah tentu, saya tidak punya kuasa untuk menghukum beliau bersalah atau tidak dalam mana-mana isu yang berkaitan dengan beliau.

The Lady

1. Berpeluang untuk menonton filem The Lady bersama Timbalan Menteri dan 119 rakyat Malaysia yang lain. ( baca di sini)

2. Aku tidak akan mengulas lanjut mengenai filem ini. Cumanya selepas menonton filem tersebut, aku ditelefon oleh Sinar Harian untuk memberi pendapat mengenai filem tersebut. Pendapat aku disimpulkan dalam satu perenggan
( boleh ditemui dalam link yang sama di point 1)
''....Program anjuran hari ini juga berkesan untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa yang demokrasi yang ditunjukkan dalam filem ini seharusnya diguna pakai dalam Malaysia.''

3. Pertama sekali, saya ucapkan terima kasih kerana sudi bertanyakan tentang pendapat saya. Kedua, maaf kerana mungkin pendapat yang diberikan sedikit kabur. Ini kerana apabila membaca perenggan tersebut, ianya boleh ditafsirkan bahawa aku menyatakan bahawa demokrasi yang ditunjukkan di dalam filem The Lady yakni demokrasi di negara Myanmmar seharusnya diguna pakai dalam Malaysia.

4. Sudah tentu orang akan menganggap bahawa aku menyokong tindakan ganas junta terhadap rakyat sendiri sehingga menyebabkan Suu Kyi bangkit menentang kezaliman tersebut. Bahkan filem itu berkisarkan tentang perjuangan menuntut demokrasi, bukannya demokrasi di negara tersebut kerana di dalam waktu itu demokrasi boleh dikatakan tidak diamalkan oleh pihak junta.

5. Apa yang aku cuba sampaikan dalam sesi wawancara tersebut ialah cara Suu Kyi memperjuangkan demokrasi itu perlu diguna pakai di Malaysia, bukannya demokrasi. Ini kerana aku berpendapat Suu Kyi mengambil langkah 'ahimsa' atau non-violence sepertimana yang diperjuangkan oleh Mahatma Gandhi. Tidak aada kekerasan yang digunakan ke atas tentera. Apabila tempat ceramahnya dimusnahkan, Suu Kyi tidak melawan. Apabila beliau dijadikan tahanan dalam rumah, Suu Kyi tidak cuba untuk melarikan diri atau melawan perintah tersebut.

6. Jadi mungkin perkataan ''cara'' itu tertinggal atau aku sendiri tidak menyebutnya (ya saya mempunyai masalah short term memory).

7. Filem itu juga memaparkan sebab mahasiswa memprotes dan melakukan demonstrasi. Ianya disebabkan universiti tidak mampu lagi menyediakan makanan untuk mereka. Barangkali ini sebabnya tidak ramai mahasiswa Malaysia yang hendak melakukan demonstrasi kerana di Malaysia semua orang cukup makan dan cukup fasiliti. Cumanya ada satu dua isu yang pada hemat saya boleh diselesaikan dengan cara yang lebih baik daripada berdemonstrasi.

8. Dan demokrasi juga bukan bererti kita mempunyai hak tanpa batasan. Kalau begitu tak perlulah negara yang berdemokrasi mempunyai undang-undang kerana semua orang mempunyai hak kebebasan. Justeru demokrasi adalah bagaimana mencari keseimbangan antara kuasa dan kebebasan.

9. Absolute power corrupts absolutely. But, absolute freedom corrupts absolutely as well =)

wa'allahualam