Friday, August 27, 2010

Betul ke? episod 1

SUMBER: THE MALAYSIAN INSIDER

1. Bahang pilihanraya ke-13 semakin dekat. Pelbagai isu mula mengisi ruang pentas politik tanah air dengan unsur-unsur yang kadang-kala agak 'memualkan'. Isu-isu lama kedengaran; bahkan dalam waktu kritikal begini semua wakil rakyat sudah mula wajib melihat senarai janji-janji yang ditabur pada pilihanraya tahun lepas samada sudah ditunaikan ataupun tidak. Jika pilihan kedua menjadi jawapan, maka berdoalah agar rakyat sudah lupa akan janji sewaktu pilihanraya lepas supaya boleh mengulangi janji yang sama dalam pilihanraya akan datang.

2. Dipendekkan cerita, survey yang dijalankan oleh Pemuda BN menunjukkan keputusan yang sangat menarik. Di atas adalah carta pai yang dikeluarkan oleh mereka dan dijadikan berita utama dalam Malaysian Insider seminggu lepas. Mohon maaf atas kelewatan.

3. Carta pai yang pertama rasanya tiada masalah. Kalau aku diberi peluang untuk memberi jawapan maka aku lebih cenderung untuk mewakili peratusan terbesar di situ kerana memang tak dapat dinafikan bahawa kerajaan BN mempunyai kelemahan tetapi pujian harus diberikan kerana ada penambahbaikan yang cuba dilakukan meskipun ada sesetengahnya hanya tinggal slogan semata. Keadaan ekonomi negara yang semakin baik juga menyumbang kepada faktor ini tetapi kerajaan tidak seharusnya 'mencuba' semata, BN harus melakukan lebih daripada itu. Tiada perubahan yang konkrit dilakukan atau sesetangah isu 'panas' dibiarkan menjadi kontroversi dan bahan perdebatan.

4. Carta pai ketiga juga tidak menjadi masalah. Kebanyakan pengundi muda mahu mengundi. Itu adalah tanggungjawab. Kalau syarat umur mengundi tu diturunkan kepada 18 tahun lagi bagus sebab lebih ramai yang boleh mengundi dan peratusan yang mahu mengundi juga pasti akan meningkat. Keputusan ini juga memberi satu isyarat yang jelas; pengundi muda akan membentuk peratusan undi majoriti di negara ini dalam pilihanraya akan datang. Ini harus diambil perhatian oleh kerajaan dan pembangkang jika mahu mentadbir sebuah negara bernama Malaysia.

5. Carta pai kedua lebih menarik perhatian aku. Sebab? Kerana menurut Ketua Pemuda BN carta ini menunjukkan bahawa BN mendapat sokongan golongan muda lebih banyak daripada pembangkang. Kalau menurut statistik yang dikeluarkan itu memang betul. Tetapi mari kita lihat realitinya: BN menguasai 24% sokongan orang muda sementara pakatan rakyat menguasai 11%. Secara teknikalnya tiada siapa yang mendapat sokongan majoriti bahkan hanya berbeza 13%. Jika survey tersebut dilakukan ke atas 1000 orang muda bererti BN mendapat sokongan 240 orang sementara PR mendapat 110. Selebihnya adalah orang muda yang berada di atas garisan sempadan; samada mahu melompat masuk mengundi kerajaan atau mengundi pembangkang. Golongan 62% ini mahu melihat prestasi kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

6. Ini bukanlah satu keputusan yang memuaskan. 62% adalah satu angka yang sangat besar. Masih banyak yang perlu dilakukan oleh BN untuk menarik sekurang-kurangnya separuh daripada peratusan tersebut menyokong mereka kerana ada potensi bahawa separuh atau lebih daripada separuh 62% ini akan mengundi pembangkang sekiranya tiada perubahan atau inisiatif diambil oleh BN untuk menarik undi mereka.

7.Kalau mahu jawapan jujur, trend pengundi muda sekarang rasanya tidak banyak beza seperti pilihanraya umum yang lepas. Mereka lebih cenderung memihak kepada pembangkang kerana sikap pembangkang yang lebih terbuka, mendekati dan memahami apa yang mereka mahukan serta stail politik mereka yang tidak menampakkan perkauman sebaliknya lebih bermotifkan keadilan sosial dan kebajikan rakyat. Ada kemungkinan juga sebilangan besar peratusan 62% ini tidak akan mengeluar undi ataupun membuat undi rosak kerana tidak dapat membuat keputusan yang tepat. Barangkali di mata mereka tiada perbezaan antara kerajaan dan pembangkang apatah lagi prestasi pembangkang dalam memimpin beberapa buah negeri di negara ini tidaklah sebagus mana atau sama saja dengan cara pentadbiran kerajaan BN.

8. Sekarang adalah detik-detik yang kritikal untuk kedua-dua pihak menarik hati pengundi muda. Naik jatuh mereka ada di tangan kuasa orang muda. Hari ini juga sudah timbul isu baru yang juga sangat menarik untuk dikupas. Berkenaan ke mana sokongan orang muda sekarang dan 'drama' politik negara yang semakin hangat tetapi untuk entri kali ini, biarlah para pembaca menilai sendiri realiti sebenar. Cuma aku mengharapkan agar satu tinjauan juga dilakukan oleh badan bebas ataupun dari pihak pembangkang supaya kita, rakyat Malaysia dapat menilai dan menimbang hal ini.

1 comment:

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)