Wednesday, August 18, 2010

Sampai bila?



1. Isu siswa-politik kembali bergema di dada akhbar. Ia berikutan cadangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato Saifuddin Abdullah agar mahasiswa diberikan kebebasan untuk berpolitik. Cadangan ini disambut dengan 'kad merah' oleh kabinet yang mahu status larangan berpolitik tidak akan diubah walaupun AUKU dipinda. Cadangan ini juga mendapat sambutan positif daripada sebahagian besar mahasiswa; tidak terkecuali Ketua Pemuda UMNO dengan beraninya menganggap tindakan kabinet sebagai 'gutless' dan memberi 'hint' kepada kerajaan yakni: Jika mahu undi golongan muda maka beri kepercayaan kepada mereka.

2. Dato Saifuddin sendiri dalam lawatan kami ke Parlimen semester lepas memberitahu bahawa beliau bukanlah golongan yang mahu menghapuskan AUKU 100 peratus tetapi mahu pindaan dibuat agar akta tersebut lebih fleksibel dan membuka ruang kebebasan kepada siswa untuk berpolitik. Dalam meneliti isu ini maka ada beberapa perkara yang harus dianalisis oleh kita semua sebelum membuat keputusan samada siswa perlu diberi kebebasan untuk berpolitik.

a) Kabinet menyatakan bahawa siswa tidak boleh berpolitik. Tetapi bagaimana dengan tindakan sebuah parti yang datang ke institusi pengajian tinggi dan menggalakkan penyertaan sukarelawan yang dianjurkan oleh parti tersebut bahkan ada parti yang mempunyai kelab siswa di luar negara.Bukankah tindakan tersebut secara tidak langsung mengheret siswa-siswi untuk berpolitik secara tidak langsung? Parti politik bukanlah parti NGO yang boleh disertai oleh siswa dan sudah pasti sebarang parti politik tidak boleh mengheret siswa ke kancah politik walau dengan apa cara sekalipun sekiranya benar kerajaan melarang siswa untuk berpolitik. Persoalan kedua: kalaupun ia bertujuan untuk memupuk semangat sukarelawan di kalangan siswa maka parti-parti lain yang ingin memupuk semangat sukarelawan di kalangan siswa juga harus diberi peluang untuk melaksanakannya di IPT. Kalau tokoh politik dari Parti A boleh berceramah di universiti kenapa tokoh politik Parti B tidak boleh berceramah di universiti juga? Ini bukanlah satu 'keadilan' dan 'fair play', jauh sekali mendukung konsep affirmative action kerana mereka yang diberi peluang untuk berpolitik di hadapan siswa adalah mereka yang mempunyai ruang dan peluang untuk berpolitik di kaca televisyen dan media perdana. Justeru kalau larangannya adalah jelas bahawa siswa tidak boleh berpolitik, maka pihak luar juga tidak boleh membawa politik masuk ke kampus, baik parti A mahupun parti B.

b) Apa yang diminta oleh siswa bukanlah menjadi ahli dalam parti politik semata akan tetapi ruang yang lebih luas untuk mereka menyampaikan pandangan,idea dan kritikan terhadap isu semasa yang tidak dapat lari daripada politik. Siswa berhak untuk memberitahu idea dan pandangan mereka tanpa sebarang tapisan dan dijemput dalam mana-mana program yang dianjurkan oleh parti politik agar suara mereka dapat didengar dan diketahui oleh umum. Apabila siswa diberi ruang sebegini tidak bereti kesemua siswa akan join pembangkang dan mengkritik kerajaan habis-habisan bahkan ini satu point baru untuk kerajaan mendekati suara akar umbi yang lebih kritis dan mempunyai pemikiran yang tajam. Kewujudan Majlis Perwakilan Pelajar adalah salah satu saluran untuk pelajar menyampaikan pendapat kepada kerajaan akan tetapi suara setiap mahasiswa juga adalah penting kerana undi dalam pilihanraya bukanlah undi yang boleh diwakili oleh mana-mana badan atau individu lain akan tetapi lambang pangkah di kertas undi pilihanraya datangnya daripada tangan siswa itu sendiri. Media-media elektronik khususnya internet harus dijadikan medan untuk mendengar suara akar umbi melalui komentar di blog, facebook,tweeter dan sebagainya. Setiap menteri boleh menyiarkan survey atau maklumbalas yang boleh diisi oleh siswa sendiri melalui internet dan lihatlah apa pandangan dan suara generasi muda. Dalam hal ini aku memberi salut kepada Dato Saifuddin sendiri kerana beliau sangat mudah didekati dan mudah berinteraksi melalui faceboo, bukan hanya sekadar membuat 'update status' tetapi komentar daripada pengguna FB yang lain juga mendapat perhatian dan maklumbalas beliau.
Kalau begitu, mengapa tidak isu siswa-politik ini dibuat survey dan undian melalui internet dan lihat keputusannya samada siswa sendiri bersetuju untuk diberi ruang berpolitik atau tidak.

c) Walaupun siswa tidak dibenarkan berpolitik tetapi to some extend siswa sebenarnya berpolitik apabila mereka melontarkan idea-idea di blog masing-masing. Mereka juga bukanlah pembaca akhbar perdana mahupun penonton berita di kaca televisyen tetapi berita-berita yang disiarkan di internet lebih mendapat perhatian mereka.Maaf jika aku katakan bahawa tindakan mengekang dan mengongkong mahasiswa adalah satu tindakan yang sia-sia kerana tidak ada satupun pintu yang boleh menutup mata, memekakkan telinga dan membisukan mulut siswa daripada berpolitik. Sekali lagi, berpolitik bukanlah menjadi ahli dalam parti politik semata-mata akan tetapi kebebasan dan ruang yang lebih luas untuk mereka melontarkan pandangan, mendengar dan menilai pandangan politik oleh semua pihak (tidak tertakluk kepada sesebuah parti sahaja). Jika ada yang mahu menjadi ahli dalam mana-mana parti politik maka itu harus diberikan kerana ia adalah salah satu hak kebebasan asasi dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Kalau diaorang ni yang asyik berpolitik, jadi ahli dalam parti politik tu tak lepas CGPA di universiti maka solusinya mudah; ikut prosedur yang sama seperti siswa-siswi lain yang gagal iaitu buang universiti ataupun ulang semula kertas yang gagal. Kenapa harus takut sekiranya siswa dibenarkan berpolitik?

3. Berkenaan hint yang diberikan oleh ketua pemuda UMNO kepada kerajaan; memang benar kalau nak undi siswa kena percaya kepada siswa. Bila kata percaya bukan sahaja beri kebebasan tapi kena dengar dan percaya kata-kata siswa. Kalau kami tidak mahu pemimpin yang makan rasuah kenalah percaya cakap kami. Kalau kami tak mahu pemimpin yang susah nak jenguk rakyat yang langsung tak buat apa-apa kerja untuk dekati kami, kenalah dengar pandangan kami ni.

Tidak perlu disekat atau dikekang lagi. Masanya untuk kita berubah dan membuat anjakan paradigma dalam hal ini kerana kekangan ini tidak menguntungkan sesiapa yang mengenakan kekangan sebegini. Mesej pilihanraya 2008 sudah cukup jelas; ia adalah kesan dan hasil .kekangan tersebut yang mana sejumlah besar undi generasi muda adalah untuk pembangkang. Nah apakah kekangan ini masih berkesan? Lagi lama siswa 'dipenjarakan' lagi bertambahlah undi mereka kepada pihak lawan kerana penjara adalah tempat daya intelektual, semangat dan keberanian dilahirkan.

2 comments:

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)