Sunday, March 7, 2010

TSUNAMI 2008: MASIH LAGI BERBISA?



1. Tiba-tiba hati tergerak untuk menyelak halaman akhbar NST hari ini dan dipaparkan kira-kira tiga mukasurat penuh untuk menceritakan tentang keadaan politik negara selepas berlakunya tsunami pada tahun 2008; di mana kerajaan BN nyaris tumbang dan tidak lagi menguasai 2/3 Parlimen. Isu-isu demokrasi, perlembagaan dan hak-hak perkauman mula mendapat perhatian rakyat. Isu pembangunan mahupun kemajuan yang dimainkan oleh kerajaan sudah tidak menangkap hati rakyat jelata. Maka pada entri bulan aku akan cuba memberi beberapa ulasan tentang landskap politik negara pasca 2008 apatah lagi 8 Mac 2008 adalah hari 'D-DAY' kerana hari itu bermulanya perubahan yang besar dalam politik tanah air.

2. Ada seorang ahli UMNO memberi ulasan bahawa tindakan PAS dan DAP memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim(DSAI) agar beliau tetap menjadi bos PR dan seterusnya menjadi Perdana Menteri apabila PR menang dalam pilihanraya umum akan datang dianggap sebagai satu yang 'unusual'. Apatah lagi waktu ini parti pimpinan DSAI yakni PKR memiliki 26 kerusi berbanding DAP(28) sementara PAS (23). Justeru apakah yang 'unusual' itu?

3. DSAI dilihat sebagai satu aset berharga kepada Pakatan Rakyat kerana beliau dahulunya merupakan orang besar dalam kerajaan. Menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan adalah satu pengalaman yang sangat berguna untuk DSAI gunakan bagi menentang kerajaan BN. Kelebihan yang ada pada DSAI ini adalah sangat berguna jika PR berjaya memenangi pilihanraya umum akan datang ditambah lagi dengan imej beliau yang sering mendapat sokongan dari negara luar terutama negara barat.

4. Salah satu kekuatan yang ada pada DSAI sendiri adalah kehebatan beliau dalam memberi ceramah dan mempengaruhi rakyat supaya mempercayai kata-kata beliau. Aku sendiri mengakui pernah menonton ceramah DSAI di Youtube dan ternyata beliau mengguna pakai teknik ceramah yang sangat berkesan walaupun ada kalanya bahasa yang digunakan itu agak kurang 'sopan'. Tetapi stail beliau yang bersahaja, tidak terlalu formal dan melibatkan hadirin yang hadir dalam ceramahnya merupakan teknik 'berbisa' beliau untuk mempengaruhi rakyat.

5.Apakah DSAI masih berbisa? Kalau di kaca mata generasi muda barangkali beliau adalah sumber inspirasi reformasi dan demonstrasi. Masih ramai orang-orang muda yang menjadikan beliau sebagai idola dan menyanjung beliau. Masih ramai yang memberikan perhatian terhadap kes beliau ketika ini di mahkamah dan masih ramai yang mempercayai bahawa beliau tidak bersalah.

6. Justeru bagaimana pula dengan kemelut yang melanda parti PKR sekarang ini sehingga DSAI sendiri mengakui bahawa PKR memang menghadapi masalah ketika ini?

7. Dalam konteks ini aku melihat pada tujuan sebenar PKR ditubuhkan. Setelah memikirkan begitu lama maka dapatlah aku simpulkan bahawa tujuan PKR ditubuhkan adalah untuk melengkapkan perjuangan politik DSAI menjadi Perdana Menteri Malaysia. Bermula sejak ditahan di ISA sehingga kini PKR masih wujud kerana inilah platform untuk DSAI menjadi Perdana Menteri nanti. Maka 'keghairahan' ini menyebabkan pemilihan wakil rakyat yang menggunakan platform PKR juga tidak sesuai, bermasalah dan akhirnya memakan diri sendiri. Tak kisah siapa dan apa yang penting DSAI mesti jadi PM.

8. Nah kalau begitu mengapa PAS dan DAP juga menyokong DSAI? Apabila PR diwujudkan aku mendapati perjuangan asal PAS untuk membentuk sebuah negara Islam di Malaysia juga agak tenggelam timbul. Perjuangan asal mereka untuk melaksanakan sistem hudud akhirnya terpaksa dikompromi dengan DAP yang menentang pelaksanaan tersebut. Bahkan ada di kalangan ahli PAS sendiri yang mempersoalkan apakah terdapat dalam mana-mana transkrip dan perlembagaan dalam parti PAS yang memberitahu bahawa PAS ingin membentuk sebuah negara Islam. Maka halatuju PAS ketika ini adalah: jatuhkan UMNO. Tak kisah kena bekerjasama dengan sesiapa yang penting UMNO mesti kalah dan tidak lagi menjadi kerajaan Malaysia. Tak kisah siapa yang jadi PM walaupun orang itu sewaktu dalam kerajaan mengkritik PAS yang penting UMNO kalah. DAP pula masih dengan corak yang sama; sebab itu mereka menyokong DSAI kerana DSAI mempunyai pendirian yang sama dengan mereka dalam isu-isu seperti isu Chin Peng dan sebagainya.

9. Apakah DSAI masih lagi berbisa? Ya atau Tidak. Tetapi jangan direndahkan keupayaan beliau kerana pilihanraya umum 2008 sudah membuktikan bahawa apa-apa sahaja boleh berlaku dan jangan sesekali berfikir teknik propaganda yang meluas berpihak kepada kerajaan sudah cukup untuk menjamin kemenangan kerana pada hari ini, media alternatif sudah mula menguasai media perdana.

Bab selanjutnya: Media- Mana yang relevan?

4 comments:

  1. kiter bukan sokong PR atau PKR pun..
    tapi kiter meluat dengan yg dalam BN..UMNO pun mcm dah suam-suam aje..tsunami PKR bukan bermakna cerah kat UMNO, mendong dan gerhana dalm BN-UMNO pun tak pulih-pulih lagi

    ReplyDelete
  2. sometimes both sides of the elction are douchebag but you have to pick the best out of those two. huhuhuhu

    ReplyDelete
  3. setuju dgn point ke 4 tu..mmg slh 1 faktor yg m'buat glgn muda t'tarik dgn dsai ialah keupayaan beliau dlm syarahn yg m'buatkn org percaya 100% tnpe usul periksa..

    ReplyDelete
  4. politik negara dalam proses menghadapi perubahan. ia sudah mula matang. sekarang merupakan kerangka masa dimana kita boleh katakan politik negara kita dalam peringkat remaja. seperti yang kta ketahui remaja mempunyi masalah crisis identiti... begitu juga dengan landskap politik negara kita."krisis identiti". Jika kita lihat negara maju seperti UK dan US landskap politik mereka telah bermula lama dahulu sudah beratus-ratus tahun barulah mencapai politik matang. negara kita akan capai saat dan ketika itu tetapi bila? itu adalah persoalan yang kita sendiri perlu jawab kerana kematangan penduduk adalah tunjak utama kepada arena politik negara.

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)