Monday, June 30, 2014

MENJAWAB 'KETAKUTAN' TUN MAHATHIR


Rasa bersalah tak boleh dihilangkan sampailah ke saat jari ini menulis ketika ini. Rasa bersalah sebab individu yang bakal saya jawab kenyataannya ini adalah seseorang yang sangat saya kagumi dan beliaulah faktor mengapa saya meminati politik Malaysia sejak berumur 13 tahun. Kekaguman itu telah membawa saya untuk bekerja sebagai salah seorang volunteer dan amicus curiae di Perdana Global Peace Foundation dan Kuala Lumpur War Crime Tribunal.

Tetapi, pada hari ini saya memohon maaf kerana terpaksa menjawab kenyataan ayahanda Tun yang disiarkan di blog beliau sendiri di sini Ini kerana saya berpendapat kenyataan Tun adalah tidak benar dan didirikan atas dasar bayangan ketakutan yang tidak menjadi realiti. 

Justeru saya terpanggil menulis artikel ini yang juga mungkin akan disiarkan oleh media sosial yang lain kelak. Walau apa pun, respons ini bukanlah untuk mengaibkan Tun sebaliknya memberikan penjelasan (clarification) tentang kenyataan Tun.


1. Kenyataan bahawa apabila Akta Hasutan digugurkan maka rakyat Malaysia akan bebas menghasut adalah tidak benar. Ini kerana Akta Harmoni yang dirujuk oleh Tun Mahathir iaitu Rang Undang-undang Jenayah Pembencian Kaum dan Agama menghukum kesalahan menghasut atau mencetuskan provokasi berasaskan kaum dan agama. Bahkan undang-undang tersebut memperuntukkan kesalahan melakukan keganasan fizikal berasaskan kaum dan agama sepertimana yang termaktub dalam klausa 4 sehingga 6 Rang Undang-Undang tersebut.


2. Di samping itu, kenyataan bahawa akan wujudnya hasutan supaya institusi raja dihapuskan dan tidak ada lagi undang-undang yang melarang sebarang cemuhan terhadap raja dan institusi raja juga adalah tidak benar. Klausa 3 Rang Undang-Undang Jenayah Pembencian Kaum dan Agama memperuntukkan kesalahan mencetuskan provokasi untuk menimbulkan kebencian dan penghinaan terhadap Raja-Raja dengan hukuman penjara tidak melebihi 7 tahun dan denda sebanyak lima ribu ringgit.



3. Justeru, ‘ketakutan’ yang dibayangkan oleh Tun Mahathir adalah tidak benar sama sekali.Saya memohon agar Tun Mahathir meluangkan sedikit masa untuk meneliti dan membaca Rang Undang-Undang tersebut sebelum membuat kritikan seterusnya dan pihak NUCC sentiasa terbuka untuk berdiskusi dan berbincang dengan rakyat Malaysia untuk memperbaiki Rang Undang-Undang tersebut.

Monday, June 9, 2014

PENGHUJUNG CERITA

Entri kali ini saya cuba ringkaskan sebaik mungkin sebab terlalu banyak hal yang berlaku sejak tamat LLB. Salah satunya ialah aku telah secara rasmi menjadi alumni UiTM tetapi hubungan dengan UiTM tidak akan habis ( akan diceritakan kemudian). Jadi sekarang ini ada beberapa perkara yang perlu dinukilkan di sini.

1. Aku tidak buat chambering dan tidak ada niat untuk buat sebab itu satu-satunya perkara yang aku pasti aku tak nak buat dalam hidup ini. Banyak sebab tapi cukup kalau aku katakan di sini aku tidak akan buat sesuatu yang aku tak berapa suka dan tidak sepenuh hati untuk buat. Walaupun aku tak tahu apa yang aku minat dan mahu buat sekurang-kurangnya aku tahu apa aku nak buat. Ini membawa aku ke perkara kedua.

2. Setelah hidup sebagai seorang hipster di rumah selama dua bulan ( makan tidur ulang), aku memutuskan untuk kembali semula ke ibu kota dan bertemu dengan mentor politik yang sangat dikagumi pemikirannya. Siapa lagi kalau bukan Dato Saifuddin. Awalnya datang untuk bertanya khabar sahaja dan tanya kalau ada apa-apa yang boleh dibantu. Sekarang, dah dua bulan aku bekerja bersama beliau dalam urusan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) dan terlibat secara langsung dalam proses menderaf dan menggubal undang-undang baru di Malaysia iaitu Akta Harmoni Nasional.  Tetapi, waktu hari lahir (iaitu tiga hari lepas) akan membawa kepada satu lagi perubahan dan ada kaitannya dengan pendahuluan bab ini.

3. 6 Jun 2014. Aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat LLM dalam bidang Constitutional Law. Constitutional Law! Satu-satunya subjek yang aku paling suka dalam sekolah undang-undang selain jurisprudence dan benda tu terhidang di depan mata. Bukan setakat terhidang, tapi hidangan tu ditawarkan di luar negara. Jadi, ya. LLM in Constitutional law di luar negara. Bermula selewat-lewatnya bulan September ini. Tempat? Kena pilih sendiri tetapi tak tahu lagi pilih kat mana. Ini membawa aku ke perkara nombor empat.

4. Aku telah merancang untuk kembali semula ke UiTM Moot Club dan menjadi konon-kononnya 'manager' di kelab tersebut selama 3 tahun. Tetapi memandangkan perkara tiga harus dipenuhi, projek 3 tahun tersebut terpaksa ditangguhkan sehingga aku tamat buat LLM. Lepas habis, aku ada kontrak 7 tahun dengan UiTM dan selama 7 tahun tu, aku akan jadi 'manager' dan tenaga pelatih Moot Club secara rasmi.
Moot Club. Selamanya di hati. Dulu, kini dan selamanya #eh

5. Dan...tak adil kalau Tuhan beri khabar gembira tanpa ada kesedihan. Sebab lumrah hidup manusia tidak akan semuanya indah dan dipenuhi dengan khabar baik setiap masa. Jadi, di hujung entri ini aku merasakan ia menjadi satu keperluan untuk aku membuat klarifikasi agar tidak ada yang membuat kesimpulan atau tanggapan yang tidak betul. Berkenaan dengan hubungan saya dan girlfriend saya, seorang yang sangat saya cintai sejak dua tahun, bukan dua tapi 6 tahun, sudah sampai ke penghujung. Mohon maaf kerana tidak akan saya perincikan sebab musababnya apatah lagi ia sudah melibatkan ramai pihak dan saya memikul semua kesalahan dan tanggungjawab atas apa yang terjadi.
''Zharif dah berubah. Zharif yang dulu dah mati. Sekarang hanya ada Zharif yang penuh dengan sisi gelapnya. Zharif dah berubah menjadi raksasa. Raksasa yang maha kejam dan zalim.''

Mungkin. Dan aku terima kenyataan tersebut. Sebab aku sudah hilang diri aku buat kali kedua. Apakah ini petunjuk untuk aku kembali mencium bumi India? Mungkin. Atau mungkin bumi lain. Bumi yang boleh menghidupkan aku semula.

Ada perancangan untuk cari pengganti?
Tidak. Bukan sekarang. Bukan dalam waktu terdekat. Rasa lebih selesa hidup bersendirian dan tidak ada sesiapa yang akan disakiti lagi dengan egois serta kedegilan aku. Jadi, tak mengapalah. Kisah tak sempurna bak kata Samsons.Atau luluh. Atau tak bisa memiliki.Atau...ah tak kisahlah. I have to live with that.