Monday, August 19, 2013

Menulis&Trend


1. Terbaca di akhbar semalam tentang rungutan pengarah di Malaysia akibat sambutan yang tidak menggalakkan daripada penonton terhadap filem yang dibikin. Ada filem yang di bawah paras kutipan yang dijangkakan dan sudah tentunya ini membawa kepada kerugian kepada produksi filem.

2. Perkara ini tidak berlaku dalam industri filem sahaja tetapi juga dalam industri penulisan di Malaysia ketika ini. Tidak dapat dinafikan hampir semua jalan cerita novel lebih kurang sama; status keluarga antara kaya dan miskin akan diketengahkan(salah satu watak pastinya datang daripada keluarga tan sri atau yang punya syarikat mega), kahwin muda atau kahwin atas pilihan keluarga di samping novel yang mencampuradukkan bahasa telah mewarnai trend penulisan dan juga telah mempengaruhi trend filem dan drama di Malaysia.

3. Perhatian akan diberikan dan keuntungan dapat dijana sekiranya trend ini dapat diikuti. Tetapi trend juga tidak kekal lama; sepertimana yang berlaku sebelum ini apabila trend cinta Islamik pernah menjadi fenomena di Malaysia baik dalam penulisan mahupun perfileman. Tetapi sekarang trend itu telah berubah dan pastinya trend sekarang juga akan berubah tidak lama lagi.

4. Sebab itu saya tidak bersetuju kalau penonton atau pembaca dipersalahkan kalau karya yang dihasilkan tidak menepati sasaran mahupun tidak mencatat keuntungan. Apabila telah terlalu banyak lambakan karya yang sama pembaca akan beralih kepada sesuatu yang baru.

5. Saya cuba menjadi diri sendiri apabila menulis. Saya pernah cuba ikut trend tetapi tidak berhasil. Akhirnya saya memutuskan lebih baik menulis apa yang datang dari hati sendiri. Apa yang kita sendiri mahu. Sesuatu yang boleh menunjukkan diri kita yang sebenar.. Stay true to yourself. Pembaca akan baca apa yang mereka mahu dan jika mereka suka, mereka akan membelinya. Apabila menulis saya hanya mahu kekal menjadi diri sendiri dan mengekspresikan diri saya sendiri.

6. Walaupun keuntungan tidak dapat dikecapi dalam masa yang singkat sepertimana yang dijanjikan oleh trend, yang penting kita tidak kehilangan diri sendiri dan cuba tiru (imitate), menjadi orang yang kita sendiri tidak kenal.

7.Kerana menjadi diri sendiri tidak akan pernah hilang dan ditukar ganti seperti trend yang boleh berubah bila-bila masa sahaja. 

Thursday, August 1, 2013

Cinta akan datang kembali


Apabila Shah Jehan membina Taj Mahal, dia hanya memikirkan isterinya. Tentu dia tidak terfikir Taj Mahal akan menjadi tumpuan pelancong dan kesan cintanya itu akan mengheret jutaan manusia untuk datang ke Taj Mahal. Bahkan dia juga tidak pernah terfikir bahawa Taj Mahal itu juga akan memberi kesan dalam hidupku.     
        Dia tak peduli tentang kewujudanku.Apa yang dia peduli ialah cintanya kepada Mumtaz.

        ‘’Kenapa aku harus pergi ke India sedangkan dia berada di Jepun?’’
         Rumi mengukir senyuman.
        ‘’Cinta itu yang boleh dimiliki apabila kesunyian menghidupkan semula rohmu yang telah mati. Seperti jasad yang sunyi berada di perut bumi, begitu jugalah dengan roh yang mati. Ia hanya bisa dihidupkan dengan bisikan kesunyian. Kesunyian itu akan menguji sama ada engkau bisa hidup bersendirian atau tidak.’’
        ‘’Kenapa kesunyian harus tahu aku bisa hidup sendiri atau tidak?’’
        ‘’Dunia ilham diisi dengan suara-suara kesunyian yang akan menghidupkan alam di dalamnya. Suara-suara itu akan menyapamu dengan bisikan bahawa kalau engkau tidak bisa hidup dalam kesunyian maka engkau tidak bisa mempercayai dirimu sendiri. Apabila engkau tidak percaya kepada diri sendiri akan sukarlah engkau untuk mengenali diri. Apabila engkau tidak mampu mengenali dirimu sendiri, jangan engkau harap engkau bisa mengenali orang lain.
        Kalau engkau tidak bisa berbicara dengan dirimu, jangan engkau sangka engkau bisa berbicara dengan orang lain tentang cinta. Jika engkau tidak bisa mencintai dirimu sendiri, cinta tidak akan bisa membawamu untuk mencintai orang lain.
        Engkau hanya mengetahui apa yang kau mahu dan apa yang engkau miliki dalam kehilangan. Sesungguhnya kehilangan itu akan mengembalikan semula apa yang telah ia ambil dalam keadaan yang tidak engkau sangka. Ia bergerak dalam cara yang misteri; tidak bisa engkau jangka bila ia akan datang.
        Tetapi, apabila ia datang, jangan pernah menolak kehadiran dirinya.’’

        ‘’Aku hilang diriku. Aku hilang cinta. Aku hilang Faten Liyana. Apa lagi yang bisa aku harapkan dalam kehidupanku ini?’’ ujarku dalam suara yang menekan hiba.
        ‘’Engkau telah kembali dalam cinta yang pernah engkau tinggalkan. Kembalinya engkau ke dalam dunia ilham adalah langkah pertama bagaimana Tuhan mahu mengajarmu erti kehidupan. Sebelum engkau hilang segalanya, Tuhan telah membawamu kembali ke dalam dunia ilham agar engkau bisa hidup semula dalam manusia-manusia yang engkau akan lihat di India. Mereka adalah jelmaan dirimu.
         Engkau akan melihat dirimu dalam mata mereka yang mana akan bersatu untuk menghidupkan semula rohmu. Penyatuan itu berlaku apabila engkau bersendirian dan waktu itu seluruh alam akan tunduk menunaikan hajatmu. Merekalah refleksi versi dirimu dan belajarlah daripada mereka tanpa ragu dan malu. Mereka akan memberi erti manusia dan engkau memahaminya dengan bisikan cinta di dunia ilham.
        Di India, engkau akan belajar tentang cinta; erti cinta yang telah Tuhan sediakan untuk kehidupanmu.
        Apabila engkau telah mengenali dan mencintai dirimu, cinta akan datang memimpin tanganmu untuk mencintai perempuan yang engkau cintai selama ini.
        Cukuplah bagi kita ini Allah, Dia sebaik-baik Peneman dan Penolong,’’ ucapnya lagi sambil memelukku dan berlalu pergi.

        Saat itu, aku mula merindui Maria. Gadis yang pernah hidup dalam hatiku dan telah mengajarku kembali untuk mempercayai cinta di saat cinta pergi daripada kehidupanku.
‘’Janganlah bersedih.’’
        Maria memandangku dengan senyuman. Sebuah senyuman yang jernih tetapi penuh dengan ketenangan dan auranya yang tersendiri.
        Dia menemaniku melihat cinta berlalu pergi dalam kehidupanku. Menanti bersamaku dalam keresahan apakah aku akan tidak menemukan cinta lagi selepas ini.
        ‘’Cinta akan datang kembali. Apabila ia datang, sambutlah ia sebagaimana engkau menyambut kehadiranku tanpa sebarang prejudis. Terimalah ia sebagaimana engkau menerima kehadiranku dalam kehidupanmu. Cintailah ia sebagaimana tangan kita berdua bergenggaman di saat nafas terakhir berada di hujung peluru yang menembusi jasad kita berdua.
        Jangan pernah engkau melepaskannya lagi,’’ ucapnya sambil menatap mataku.
        Aku melihatnya kembali. Menembusi anak matanya adalah sebuah makna yang akan diungkapkannya sebentar lagi.
        ‘’ Cintailah dia sebagaimana matamu ini menembusi jasadku. Jangan engkau bataskan cinta itu hanya pada jasad tetapi cintailah dia sehingga engkau dapat merasakan rohnya berada dalam cintamu. Sesungguhnya itulah makna yang engkau rasakan ketika ini.’’

Daripada novel 7304