Monday, December 31, 2012

2013: Sekali Dalam Hidup



    Hari baru merupakan satu lagi kanvas yang bersih,putih dan siap untuk dilukis. Bagaimana rupa bentuk lukisan itu tidak menjadi tumpuan kerana ianya berbeza mengikut perspektif hidup setiap manusia.

Hari baru juga bererti kita akan menerima dua pilihan:

a) Panggilan untuk melakukan perubahan dalam diri

b) Kekuatan untuk kekal dan tidak berubah

   Bagaimana untuk memilih salah satu daripada pilihan di atas terletak kepada hasil perbincangan dengan diri sendiri. Ikut gerak hati, mereka berkata. Justeru ia terletak kepada diri sendiri untuk mengambil salah satu daripada pilihan tersebut.

  Pada masa yang sama, kesalahan-kesalahan lepas tidak perlu dijadikan asas ketakutan dalam diri untuk melakukan sesuatu. Keupayaan melakukan sesuatu sama besarnya dengan ketakutan untuk melakukan sesuatu. Perbuatan adalah jalan terbaik untuk menghapuskan ketakutan.

  Kesalahan-kesalahan(wrongful act) bukanlah kesilapan(mistake). Tuhan tidak pernah melakukan kesilapan. Kalau kita membuat silap, bererti Dia membenarkan kita untuk meragui sifatNya yang maha Sempurna, maha Mengetahui dan maha Perancang. Kesalahan itu ‘disengajakan’ atau ‘dibenarkan’ oleh Tuhan agar kita selalu ingat bahawa manusia tidak sempurna; akan terus melakukan kesalahan sehingga kita mati.

   Hari baru membenarkan kita untuk menjadi lebih demokrasi; mendengar dan menerima pendapat orang lain tanpa paksaan agar pendapatnya itu diubah. Ia juga memberi kesempatan untuk kita berhenti menjadi Tuhan; menghukum manusia masuk neraka dengan prejudis dan kedekut untuk memaafkan kesalahan orang lain ( padahal kita sendiri meminta-minta diampunkan oleh Tuhan kemudian boleh pula berlagak sombong untuk tidak memaafkan orang lain)

    Hari baru juga menasihati kita agar jangan sedih apabila manusia berubah kerana cinta. Mereka berubah kerana mereka semakin mengenali diri sendiri dan lantas menyedari dua perkara: jika mereka adalah refleksi diri kita maka mereka akan kekal. Jika mereka adalah antagonis kepada diri kita maka mereka sendiri akan meninggalkan kita tanpa perlu dipaksa.

    Cinta bukan paksaan. Ia melibatkan urusan hati. Apabila kebiasaan menimbulkan keserasian, maka itulah cinta. Untuk mengetahuinya cukup mudah; bila kita rasa tenang, gembira dan bahagia bersama cinta tersebut.Itulah cinta. Bukan didirikan atas kemewahan dan berlangitkan paras rupa akan tetapi ia tersimpan di dalam kombinasi tiga perkara tersebut: tenang,gembira,bahagia.
  
   Hari baru adalah masa untuk meninggalkan apa yang menghalang kita daripada menikmati kebahagiaan. Kita berhak dan layak untuk bahagia. Bukan untuk menderita kerana dogma dan imej yang dipaksakan oleh orang lain ke atas diri kita.

   Nama tidak berubah.Jasad juga begitu.Tetapi kita boleh berubah apabila kita perbahurui (renew) jiwa kita; our soul.

Selamat menyambut hari baru.

(Daripada buku ‘Ekstasi Rumi’; bakal siap ditulis tahun 2013)

Friday, December 21, 2012

Dua Dunia Satu Jiwa



          Tidak berkesempatan menonton filem ini dalam tayangan perdana anjuran kelas Law & Media Fakulti Undang-Undang menjerumuskan aku untuk muat turun di internet.
         
                Kesimpulan filem ini: Emosi, falsafah, cukup mendalam.
          
   Tempo perlahan sengaja dicipta untuk memboleh penonton menghayati dan merasai satu demi satu perasaan atau emosi yang dilontarkan oleh watak-watak dalam filem tersebut.
   
       Memandangkan cerita ini sedikit berat maka amatlah bersesuaian sekiranya falsafah di sebalik filem ini dirungkai satu demi satu dalam bahasa yang mudah lagi memudahkan untuk para pembaca. Maka sebelum itu eloklah kiranya sinopsis filem ini digarap sebaik mungkin.

          Ceritanya sederhana. Tidak ada unsur-unsur materialistik yang bombastik melainkan aura-aura falsafahnya yang berjaya meninggalkan kesan di hati penonton.

Ia mengenai seorang wanita Palestin bernama Salma yang mempunyai sebuah kebun lemon. Kemudian, rumah kediaman menteri pertahanan Israel dibina bersebelahan kebun tersebut dan atas dasar keselamatan kebun tersebut menghadapi ancaman dimusnahkan. Salma meminta bantuan seorang peguam muda Ziad untuk membawa kes ini ke mahkamah. Akhirnya mahkamah memutuskan bahawa kebun itu tidak akan dimusnahkan tetapi 50% pokok lemon di kebun tersebut akan dipotong 30 cm untuk memudahkan pihak keselamatan Israel memerhatikan kebun tersebut dan tidak ada pengganas yang boleh bersembunyi dan menggunakan kebun tersebut untuk berselindung.

#1: Israel-Amerika-Palestin

Kewujudan watak anak Menteri Pertahanan Israel dan anak Salma yang belajar dan bekerja di Amerika Syarikat adalah stau refleksi bahawa dunia masih mengharapkan kuasa besar ini untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan sejak tahun 1948 walaupun di akhirnya kita tahu bagaimana pertimbangan neraca itu akan berat di sebelah pihak.Kedua-dua pihak masih memandang tinggi dan memasang harapan kepada Amerika Syarikat untuk membela masa depan mereka. Justeru, apabila kita menuduh Amerika Syarikat berat sebelah dalam menyelesaikan isu ini, jangan lupa bahawa kita juga yang tidak putus harap meminta bantuan negara ini. Selagi kita bergantung kepada Amerika Syarikat, selagi itu penindasan dan double standard akan mencoret sejarah kehidupan Israel-Palestin.

#2: Palestin itu sendiri

          Salma dengan pertolongan Ziad cuba meminta bantuan pemimpin Palestin tetapi  ternyata kerajaan mereka sendiri mempunyai karenah birokrasi yang menyukarkan rakyat mereka sendiri untuk meminta bantuan. Betapa susahnya nak berjumpa dengan pemimpin yang sentiasa sibuk dan padat jadualnya sehingga isu rakyat sendiri tidak termasuk dalam priority list lantaran kebejatan sistem birokrasi yang menyebalkan.

#3: Salma & Ziad: Cinta tak terungkap

          Filem ini mengangkat falsafah arab ‘’cinta datang daripada kebiasaan’’. Bagaimana usia mereka berdua seperti ibu dan anak tidak menghalang daripada cinta untuk berpuitis di hati masing-masing, menjadikan seseorang itu tampak lebih menarik, cantik dan ‘hidup’ kehidupannya.

Dan seperti hal cinta-cinta biasa, gossip manusia tidak dapat dipisahkan apabila manusia biasa tidak bisa memahami cinta antara dua jiwa ini. Begitu mudah untuk bergossip daripada menyelidiki atau setidaknya memahami perasaan kedua-dua pecinta ini.
#4: Salma dan Navon: dua tamadun, satu jiwa

          Karakter Salma dan Navon(isteri Menteri Pertahanan Israel) merealisasikan unsur feminisme di dalam filem ini apabila jiwa dan perasaan mereka digarap sebaik mungkin untuk penonton menikmati apa yang sedang dirasakan oleh kedua-dua wanita ini. Mereka cuba berkomunikasi tetapi dihalang dengan pagar yang mengelilingi kebun lemon yang terletak di antara rumah mereka berdua. Dipisahkan dengan prejudis dan prasangka sesama sendiri yang hanya dapat dihapuskan dengan membina jambatan; usaha untuk mendekati dan memahami pihak yang lain. Bukannya dengan cara terus-terusan menindas mengikut petunjuk prejudis dan bias yang dicipta oleh diri sendiri.

Salma menjiwai ketabahan dan sepanjang durasi filem ini, wajahnya tidak lekang daripada kesabaran dan tidak pula dia diheret dengan provokasi marah dan ancaman pihak Israel kecuali apabila kebunnya dimasuki oleh pihak Israel. Tidak agresif. Melawan penindasan dengan cara yang cool, relaks dan tenang.

Sementara Navon cuba menyampaikan perasaan rakyat Israel yang terbelenggu dan hidup dalam ketakutan bayang-bayang sendiri. Bahawa penindasan yang mereka cipta itu juga membataskan kebebasan dan kebahagiaan hidup mereka. Sifat diplomasi, terbuka dan mengakui kesalahan diserlahkan dengan baik oleh pelakon Rona Lipaz Michael yang akhirnya melahirkan tagline cerita ini: She found her greatest ally in the last place she expected.

#5: Ziad: Loyar muda 2.0

          Melihat kesederhanaan Ziad sebagai peguam di Palestin menyebabkan aku menjadi malu dengan diri sendiri. Kereta yang biasa-biasa, pejabat yang kecil dan pakaian yang sederhana menggambarkan betapa rakyat Palestin itu rasa miskinnya sama rata kecuali apabila nanti dia dilantik sebagai penasihat undang-undang kerajaan Palestin. Tetapi, perwatakan Ziad yang tidak memikirkan hal yuran guaman apabila didesak oleh Salma akan berapa kosnya menyebabkan rasa malu itu berlipat kali ganda.

Kenapa?

Sudah menjadi satu ketetapan bahawa bayaran minima akan dikenakan sebelum kes itu dibawa ke mahkamah atau senang cerita, baru buka fail dah kena caj. Nilainya pula minta ampun; sebab itu orang kelas bawahan yang tidak punya perancangan kewangan untuk mengupah peguam haknya ditindas dan didiamkan sepi kerana duit. Duit menjadi hambatan yang menyeksakan kerana loyar itu imejnya sudah diloyakan dengan kerakusan memikirkan duit dan duit.

Tetapi watak Ziad menceritakan sebaliknya kerana dia tahu Salma tidak mempunyai duit yang cukup sekiranya kos guaman dikenakan ke atas wanita tua itu.

#6: Lunas undang-undang cara Israel.

   Ada dua signifikan yang terkandung dalam bab ini; pertama bagaimana martabat wanita Israel diangkat tinggi dalam filem ini apabila tiga orang hakim yang mendengar perbicaraan ini di Mahkamah Agung terdiri daripada wanita. Samada realitinya betul atau tidak itu aku serahkan kepada Tuhan. 

Kedua, apabila perintah larangan memasuki kebun itu dikenakan, aku terfikir mengapa Ziad tidak meletakkan hujah menangguhkan perintah tersebut sehingga kes ini dibawa ke Mahkamah Agung atas dasar sekiranya perintah tersebut berkuatkuasa, ia akan memudaratkan kebun lemon yang memerlukan penjagaan dan sekaligus memberi kesan buruk kepada Salma yang hidupnya bergantung kepada pendapatan hasil kebun tersebut. Ini adalah satu bentuk deprivasi kehidupan(right to life) yang secara kejam menindas hak asasi ciptaan Tuhan bernama manusia.

#7: Tipikal perilaku

          Filem ini juga mengiaskan perilaku Israel-Palestin dalam realiti hidup sebenar. Ia boleh dilihat dalam aspek-aspek berikut:

a) Apabila perintah larangan dikenakan, Salma dan sesiapa sahaja tidak dibenarkan masuk ke dalam kebun tersebut.Ironisnya Menteri Pertahanan Israel mengarahkan pekerja-pekerjanya mengambil buah lemon di kebun Salma ketika mengadakan satu jamuan kerana waktu itu mereka kekurangan buah tersebut.

b) Filem ini mengajar sinikal dalam menggambarkan sifat Israel yang selalu membesar-besarkan isu yang kecil atau kata nama lainnya paranoia. Mereka mendakwa pokok lemon itu berpotensi untuk dijadikan kawasan serang hendap pengganas dan ia adalah  real and imminent threat to the Minister. Aneh. Kebun lemon boleh menjadi ancaman yang benar untuk seorang Menteri Pertahanan yang dikelilingi oleh pengawal peribadi 24 jam. Lantas, mereka mempamerkan belas kemanusiaan ke atas Palestin apabila menyediakan pampasan kepada Salma meskipun undang-undang mereka didakwa tidak akan memberi pampasan dalam kes-kes sebegini. Dalam prinsip undang-undang, sifat Israel yang satu ini dipanggil anticipatory self-defence.

Sementara di pihak Palestin, kebun itu langsung tidak digunakan oleh pengganas sejak kewujudannya 50 tahun lalu.kebun yang diusahakan sejak turun-temurun, menjadi satu-satunya sumber rezeki seorang wanita Palestin tua secara automatis menjadi ancaman yang benar apabila Menteri Pertahanan Israel mendiami kawasan itu. Namun, kehadiran Menteri Pertahanan Israel itu untuk sekian tempoh tidak menerima sebarang serangan daripada pengganas melalui kebun lemon itu. Tetapi sifat tidak bersalah dan tidak mendatangkan bahaya ditolak oleh Mahkamah Tentera sebelum Mahkamah Agung membenarkan kenyataan tersebut.

Akibatnya, Israel sendiri hidup dalam ketakutan dengan ketakutan yang mereka cipta sendiri. Setelah perintah Mahkamah Agung diputuskan, bukan sahaja pokok lemon itu dipotong tetapi tembok besar didirikan untuk melindungi menteri tersebut.

Dari situ sisi,ia menggambarkan kekecilan hati Israel dalam menanggapi isu ini apabila sebuah kebun lemon dan seorang wanita tua bisa menimbulkan ketakutan kepada seorang Menteri Pertahanan yang kediamannya mewah, dilengkapi dengan perisian keselamatan canggih dan pengawal peribadi sepanjang masa. Kelemahan itu dieksploitasi dengan cara genius dan sinikal oleh pengarah filem ini.

#Moral
          Hanya satu: selagi jambatan tidak dibina untuk menghubungkan dua identiti ini, selagi itu tidak akan tersentuh perasaan, sisi pandang mereka dan tidak akan tercipta keamanan. Hanya komunikasi, toleransi dan persefahaman dapat menyatukan dua kepingan puzzle ini.

          Selagi kewujudan salah satu pihak tidak diakui dan dianggap tidak wujud harkatnya sebagai manusia, selagi itu teruskan bermimpi untuk mencapai keamanan di bumi suci tiga agama itu.

Seperti kebun lemon itu, ia mempunyai unsur susur galur, perasaan, fikiran dan keperluan serta kehendak kedua-dua tamadun yang dipisahkan oleh kebun lemon ini. Ia boleh digunakan sebagai kunci menyatukan dua tamadun bahkan berupaya memisahkan dua tamadun tersebut dengan ketakutan dan prejudis.