Saturday, April 21, 2012

Dataran Merdeka & PTPTN



Selepas isu AUKU reda, mahasiswa Malaysia kembali mencuri tumpuan dengan memfokuskan isu PTPTN dan pendidikan percuma. Dalam hal ini saya tidak akan memberi sebarang komen panjang lebar ataupun menulis sebuah buku khas mengenai isu ini kerana dua perkara:

1. Tidak berminat dengan isu tersebut.
2. Bukan peminjam duit PTPTN


Ketepikan sebab yang pertama itu kerana sudah sedia maklum penulis blog ini adalah seorang yang sangat memilih untuk membincangkan isu-isu yang ada di negara ini walaupun ada kemungkinan untuk jadi 'famous' jika membincangkan perkara tersebut. Kedua, saya bukanlah salah seorang yang meminjam duit PTPTN justeru tidak adil jika saya menyatakan pendirian mempertahan atau menghapuskan PTPTN.

Namun begitu, cuma ada beberapa perkara yang saya ingin utarakan:

1. Walaupun isu ini melibatkan pihak kerajaan tetapi tidak perlulah menyerang individu-individu tertentu dan menggunakan gendang politik untuk memperjuangkan isu tersebut. Serangan peribadi (ad hominem) bukan sahaja memburukkan individu tersebut malah memburukkan mereka yang memburukkan individu tersebut.

Memusnahkan rumah jiran tidak menjadikan rumah kita lebih cantik.

2. Batas pengetahuan saya mengenai isu PTPTN ini ialah disebabkan adanya faedah (interest atau bunga) dalam pinjaman tersebut serta yuran pentadbiran( administrative fees). Jika perkara ini yang menjadi bebanan para peminjam maka eloklah kerajaan membincangkan semula isu ini kerana bunga tersebut boleh menjadi punca mengapa ramai orang muda kita yang bankrap apabila pinjaman mencecah RM 30,000.

Terdapat juga dua persoalan untuk dikongsikan bersama:

1. Katakan kerajaan bersetuju untuk menukar PTPTN kepada biasiswa tanpa perlu mahasiswa mendapatkan CGPA 3.50 tetapi ia hanya berkuatkuasa pada tahun hadapan. Kalau kita bersetuju bererti kita benar-benar memperjuangkan pendidikan percuma untuk generasi masa hadapan. Tak apalah kalau yang lepas tak dapat kelebihan tersebut asalkan generasi masa hadapan tidak menerima nasib yang sama.

Akan tetapi kalau kita tidak bersetuju dan menuntut agar peminjam sebelum ini pun perlu mendapat keistimewaan yang sama, bererti (maaf ini hanya pendapat saya) kita melakukan ini bukanlah untuk masa hadapan akan tetapi untuk kepentingan diri juga. Mahu pinjaman kita dilupuskan dan menyelamatkan diri sendiri.

Maka, adakah kita melakukan ini untuk diri kita atau untuk kepentingan masa hadapan?

2. Dataran merdeka. Sampai sekarang saya masih berpendapat bahawa sesiapa sahaja asalkan rakyat Malaysia berhak untuk menggunakan stadium tersebut. Berhimpun di situ lebih baik dari berdemonstrasi di tengah jalan dan menyusahkan rakyat lain. Kalau duduk dan berkhemah di situ, maka itu atas risiko sendiri. Selagi mana perhimpunan tersebut tidak melanggar garis panduan yang telah ditetapkan dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ( yakni perhimpunan tersebut tidak akan mengancam public security and public order) maka rakyat tidak perlu disekat untuk datang atau berhimpun di stadium merdeka.

Bagaimana dengan anda?


* Merilekskan diri dengan membaca komik versi PTPTN =) kredit untuk blog ini

No comments:

Post a Comment

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)