Thursday, April 5, 2012

Ambil mudah



Mengambil mudah (take for granted) adalah satu perkara yang tidak dapat kita dielakkan. Matahari yang sama, bulan yang sama, udara yang sama membuatkan kita terlepas pandang akan pentingnya kewujudan contoh-contoh tersebut dalam hidup kita.

Ambil mudah terhadap orang yang disayangi. Sentiasa ada masa lagi untuk pulang berjumpa keluarga. Sentiasa ada kerja lain untuk disiapkan dan waktu untuk dihabiskan dengan urusan-urusan kerja sehingga orang yang penting di dalam hidup kita diabaikan kerana kita yakin bahawa mereka ini adalah orang yang sama. Tidak berubah.Masih sama.Masih lagi boleh berjumpa pada masa yang akan datang.

Sebab itu juga kita mengambil mudah dengan nafas yang dihembus, kaki yang memudahkan kita untuk bergerak dan mulut untuk memudahkan kita makan dan minum. Kerana kita yakin benda-benda ini sama:udara disedut untuk bernafas. Kaki untuk bergerak. Mulut untuk makan dan minum.

Sebab itu juga kita mengambil mudah dengan Tuhan. Mengapa?Sebab kita tahu Tuhan sentiasa ada dengan kita. Melihat kita walaupun tidak dipinta. Mendengar keluhan dan masalah tanpa perlu dipohon. Apabila susah dan mempunyai harapan untuk sesuatu perkara, kita akan berdoa kerana kita tahu Tuhan mendengar. Apabila untuk menenangkan diri dan menunjukkan kita tidak bersalah, nama Tuhan digunakan untuk mempertahankan kedudukan kita di pihak yang benar. Kita gunakan Tuhan untuk membersihkan nama kita dan menampilkan imej kita yang baik dan bersih.Sebab itu juga kita ambil mudah dengan doa sebab kita tahu kita boleh berdoa pada bila-bila masa.

Pokoknya, kita mengambil mudah sebab kita tidak merasai pentingnya kewujudan perkara-perkara tersebut dalam hidup kita.

Khalil Gibran pernah menyebut ‘’Cinta tidak mengenal kedalamannya sehingga perpisahan pun tiba’’

Apabila kita berpisah daripada sesuatu yang kita sayangi tetapi kita ambil mudah terhadap sesuatu itu, maka barulah kita akan merasai betapa pentingnya kewujudan dia di dalam hidup kita.Jika diberi masa, kita akan menggunakan sepenuh masa yang ada untuk bersama dengan sesuatu yang kita sayangi itu sehingga ia hilang.

Apabila kita diberitahu bahawa pagi esok adalah pagi terakhir untuk kita, sudah tentu kita akan cuba memanfaatkan sepenuhnya masa untuk merasai sinaran matahari dan menatap matahari terbit sehingga matahari terbenam.

Apabila kita diberitahu bahawa Tuhan tidak akan lagi mendengar doa kita dan menerima apa-apa lagi permohonan kita mulai hari esok, apakah reaksi kita?

Adakah kita akan berdoa dalam setiap nafas yang dihembus? Apakah kita akan duduk di atas tikar solat; tidak hiraukan keadaan sekeliling kerana mahu berdoa untuk kali terakhir agar Tuhan mendengar dan tidak menghukum kita apabila kita bertemu dengan Dia selepas itu?

Pada hari itu barulah kita sedar betapa dalamnya cinta Tuhan kepada kita.Memberikan masa untuk kita berdoa dan berharap kepadaNya tanpa ada waktu-waktu tertentu.

Dan bagi mereka yang tidak mengambil mudah tentang Tuhan, berdoa dan beribadah bukan kerana syurga atau neraka akan tetapi kerana diriNya sendiri, merasai Dia sentiasa ada dan berbicara denganNya baik di waktu susah dan senang tidak akan berasa susah hati apabila hari ini adalah hari terakhir untuk berdoa dan berharap.

Kerana hari-hari sebelum ini, mereka sudahpun berdoa dengan penuh kesedaran dan merasai kepentingan Tuhan dalam hidup kita.mereka sudah pun merasai betapa dalamnya cinta Tuhan kepada mereka. Dunia adalah perpisahan antara mereka dan Tuhan justeru doa adalah jalan untuk berhubung dalam perpisahan.

Justeru apabila hari ini hari terakhir untuk berdoa, mereka tidak sabar untuk menunggu hari esok.

Kerana hari esok bererti pertemuan dengan Tuhan. Tidak lagi perlu berdoa kerana mereka boleh berbicara terus di hadapan Tuhan dan meluangkan sepenuh masa.Tidak ada lagi perpisahan kerana dapat bertemu semula dengan Tuhan.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita mem’perlahan’kan masa dengan melihat kembali perkara-perkara yang kita ambil mudah dalam hidup ini. Agar kita tidak merasakan kepentingan perkara tersebut hanya selepas ia sudah tiada lagi dalam hidup kita.

Waallahu’alam.

No comments:

Post a Comment

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)