Sunday, April 29, 2012

Daripada rakyat untuk rakyat: Edisi Bersih 3.0

Hak Para pembaca untuk tidak menyokong pendapat entri ini akan dipertahankan oleh penulis blog ini.

Aman atau Ganas?

1. Menahan diri daripada memberi sebarang komen atau meng'update' status Facebook mengenai perhimpunan BERSIH yang berlaku di Kuala Lumpur semalam. Saya mengucapkan tahniah bagi mereka yang sedar dan mengikuti isu ini tidak kira samada mereka itu menyokong atau membantah perhimpunan tersebut. Apa yang pasti sebagai rakyat Malaysia anda prihatin tentang apa yang berlaku di negara ini.

2. Saya tidak akan mendebatkan perkara ini kerana seringkali terjadi fakta-fakta yang diberi akan meleret-leret sehingga menjadi tidak relevan. Jadi untuk mengekalkan stail penulisan penulis blog ini( yakni simple and straight to the point) saya hanya akan mengutarakan beberapa 'main point' sahaja dan sebelum itu eloklah kita bertanyakan soalan-soalan ini sebelum pergi lebih jauh:

Berlaku keganasan(seperti yang dijangka) dalam perhimpunan tersebut.

i) Adakah keganasan tersebut dapat dielakkan sekiranya pihak DBKL membenarkan mereka berhimpun di Dataran Merdeka?

ii) Adakah keganasan tersebut dapat dielakkan sekiranya mereka bersetuju untuk menggunakan stadium atau tempat lain sebagai tempat berhimpun?

iii) Adakah perhimpunan ini akan diteruskan sekiranya tuntutan mereka telah dipenuhi oleh SPR?

iv)Adakah perhimpunan ini akan diteruskan sekiranya mereka berpuas hati dengan inisiatif SPR untuk memperbaiki sistem pilihan raya Malaysia?

3. Datuk Ambiga memohon maaf atas keganasan yang berlaku dan 'declare' bahawa mereka yang melakukan keganasan tersebut tidak termasuk dalam agenda perhimpunan mereka dan tidak mengaku bahawa golongan tersebut adalah sebahagian daripada BERSIH. (sila tonton video ini)

4. Apabila siasatan dijalankan, saya berharap ianya merangkumi keganasan yang berlaku ke atas kedua-dua pihak (antara peserta dan polis) kerana kedua-dua golongan ini adalah manusia dan rakyat Malaysia. Tak adil kalau peserta yang cedera kemudian polis yang kena bertanggungjawab tetapi kalau polis yang cedera tiada siapa yang bertanggungjawab.

5. Justeru dalam hal tersebut, saya menyokong ( sekali lagi: dalam isu keganasan ini bukan bererti saya menyokong perhimpunan tersebut) kesediaan Datuk Ambiga untuk bekerjasama dengan polis untuk menyiasat insiden tersebut.

6. Berkenaan isu kereta polis diterbalikkan, saya serahkan kepada pembaca untuk menilai kedua-dua video ini sebelum membuat kesimpulan masing-masing( video 1 dan video 2)

Apa selepas ini?

1. Benda sudah pun berlaku dan pastinya apa yang terjadi semalam akan memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang sudah layak mengundi.

2. Sama ada ia akan mengukuhkan lagi pendirian anda untuk mengundi Parti A atau mengubah pendirian anda untuk mengundi Parti B maka sekali lagi terpulang kepada diri masing-masing. Secara jujurnya, apa yang berlaku semalam membuatkan saya kembali melihat pendirian saya untuk mengundi parti mana dalam PRU kelak [maaf, undi adalah rahsia ;) ]

3. Ketirisan yang berlaku dalam sistem pilihan raya ini (dan selepas menonton video debat YB KJ-Datuk Ambiga) dapat diselesaikan atau diperbaiki jika Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia 'dibersihkan'. Justeru ini bukanlah soal politik ( sehingga perlu memaki hamun ) tetapi ia lebih menjurus kepada memperbaiki SPR untuk memperbaiki sistem pilihan raya.

4. Sudah tentu saya juga kecewa apabila mengetahui Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR( baca di sini dan sini ) adalah ahli UMNO. Meskipun tidak aktif dan tidak bayar yuran tahunan tetapi apabila ada kemungkinan mereka adalah ahli UMNO sudah imej SPR itu sendiri akan terjejas. Ia juga memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap ketelusan SPR.

5. Justeru, kalau kita benar-benar mahu kekal fokus dalam isu ini maka tidak perlu meleret-leret dengan hujah-hujah yang melalut. Hipotesis saya mudah: Perbaiki SPR untuk perbaiki sistem pilihan raya Malaysia dan penambahbaikan itu memerlukan sokongan kita semua sebagai rakyat Malaysia.

6. Tetapi jangan sangka SPR tak buat apa-apa dalam menangani isu ini. Gambar di bawah merupakan 'research' kecil yang saya lakukan:



Gambar pertama bertarikh 7/10/2011 menunjukkan seorang pendaftar yang lahir pada 10 Jun 1879 masih wujud. Gambar kedua bertarikh 29/4/2012 menunjukkan pendaftar tersebut tidak lagi berada di dalam rekod.

Kesimpulan

1. Pada hari ini kita telah menjalankan tugas kita sebagai rakyat Malaysia dan juga sebagai manusia biasa. Ada yang menyokong dan ada yang menentang. Itu lumrah. Meskipun saya secara peribadi tidak menyokong perhimpunan tersebut tetapi saya menghormati pendirian mereka untuk bertindak dengan cara tersebut.

2. Satu pengajaran bahawa perhimpunan yang ''bersih'' juga boleh bertukar menjadi kotor (dengan sampah-sarap dan keganasan).

3. Satu pengajaran untuk kerajaan bahawa rakyat semakin 'alert' dan mengawasi tingkah laku kerajaan baik dari polisi pentadbiran sehinggalah gaya hidup para pemimpin negara.

4. Berharap agar adab-adab yang dianjurkan oleh Islam masih diamalkan oleh peserta yang beragama Islam (tidak meninggalkan solat, tidak bercampur lelaki dan perempuan yang bukan mahram)

5. Normal bagi si A daripada parti A menuduh parti B yang sedang berkuasa sebagai korup dan polis sebagai anjing kepada parti B. Ini kerana ia juga adalah normal jika si B pula menuduh parti A sebagai korup dan polis sebagai anjing kepada parti A apabila parti A nanti berkuasa. Ia tertakluk kepada 'view' seseorang dalam situasi yang berbeza.

6. Tidak ada satupun kerajaan di dunia ini yang benar-benar sempurna dan bersih. Ketidaksempurnaan itu yang telah menjadikan manusia mempunyai pandangan dan pendirian yang berbeza.

Atas sebab itu saya tidak percaya kerajaan Malaysia akan menjadi sempurna dan bersih apabila Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pentadbiran. Saya juga tidak percaya BN akan dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan sempurna apabila mengekalkan tampuk pentadbiran Malaysia.

Apabila kita mengetahui hakikat ini, maka kita akan menghormati pandangan dan hak setiap manusia untuk memberi pandangannya sendiri dan mempunyai pendirian sendiri.

7. Kerana setiap orang mempunyai sebab untuk menyokong dan menentang sesuatu dan bukanlah hak saya di sini untuk menentukan apakah niat mereka untuk menyokong dan menentang.

Akhir kata, inilah kesimpulan dan pendirian saya berkenaan perhimpunan BERSIH yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam:



=)

p/s: Ya saya mengambil kata-kata tersebut dari laman web 9gag (komik online). Sama ada benar atau tidak Tolstoy yang mengungkapnya, Wallahua'lam. Yang penting ia memberi kesan mendalam kepada saya.

Daripada rakyat untuk rakyat.

Saturday, April 21, 2012

Dataran Merdeka & PTPTN



Selepas isu AUKU reda, mahasiswa Malaysia kembali mencuri tumpuan dengan memfokuskan isu PTPTN dan pendidikan percuma. Dalam hal ini saya tidak akan memberi sebarang komen panjang lebar ataupun menulis sebuah buku khas mengenai isu ini kerana dua perkara:

1. Tidak berminat dengan isu tersebut.
2. Bukan peminjam duit PTPTN


Ketepikan sebab yang pertama itu kerana sudah sedia maklum penulis blog ini adalah seorang yang sangat memilih untuk membincangkan isu-isu yang ada di negara ini walaupun ada kemungkinan untuk jadi 'famous' jika membincangkan perkara tersebut. Kedua, saya bukanlah salah seorang yang meminjam duit PTPTN justeru tidak adil jika saya menyatakan pendirian mempertahan atau menghapuskan PTPTN.

Namun begitu, cuma ada beberapa perkara yang saya ingin utarakan:

1. Walaupun isu ini melibatkan pihak kerajaan tetapi tidak perlulah menyerang individu-individu tertentu dan menggunakan gendang politik untuk memperjuangkan isu tersebut. Serangan peribadi (ad hominem) bukan sahaja memburukkan individu tersebut malah memburukkan mereka yang memburukkan individu tersebut.

Memusnahkan rumah jiran tidak menjadikan rumah kita lebih cantik.

2. Batas pengetahuan saya mengenai isu PTPTN ini ialah disebabkan adanya faedah (interest atau bunga) dalam pinjaman tersebut serta yuran pentadbiran( administrative fees). Jika perkara ini yang menjadi bebanan para peminjam maka eloklah kerajaan membincangkan semula isu ini kerana bunga tersebut boleh menjadi punca mengapa ramai orang muda kita yang bankrap apabila pinjaman mencecah RM 30,000.

Terdapat juga dua persoalan untuk dikongsikan bersama:

1. Katakan kerajaan bersetuju untuk menukar PTPTN kepada biasiswa tanpa perlu mahasiswa mendapatkan CGPA 3.50 tetapi ia hanya berkuatkuasa pada tahun hadapan. Kalau kita bersetuju bererti kita benar-benar memperjuangkan pendidikan percuma untuk generasi masa hadapan. Tak apalah kalau yang lepas tak dapat kelebihan tersebut asalkan generasi masa hadapan tidak menerima nasib yang sama.

Akan tetapi kalau kita tidak bersetuju dan menuntut agar peminjam sebelum ini pun perlu mendapat keistimewaan yang sama, bererti (maaf ini hanya pendapat saya) kita melakukan ini bukanlah untuk masa hadapan akan tetapi untuk kepentingan diri juga. Mahu pinjaman kita dilupuskan dan menyelamatkan diri sendiri.

Maka, adakah kita melakukan ini untuk diri kita atau untuk kepentingan masa hadapan?

2. Dataran merdeka. Sampai sekarang saya masih berpendapat bahawa sesiapa sahaja asalkan rakyat Malaysia berhak untuk menggunakan stadium tersebut. Berhimpun di situ lebih baik dari berdemonstrasi di tengah jalan dan menyusahkan rakyat lain. Kalau duduk dan berkhemah di situ, maka itu atas risiko sendiri. Selagi mana perhimpunan tersebut tidak melanggar garis panduan yang telah ditetapkan dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ( yakni perhimpunan tersebut tidak akan mengancam public security and public order) maka rakyat tidak perlu disekat untuk datang atau berhimpun di stadium merdeka.

Bagaimana dengan anda?


* Merilekskan diri dengan membaca komik versi PTPTN =) kredit untuk blog ini

Thursday, April 5, 2012

Ambil mudah



Mengambil mudah (take for granted) adalah satu perkara yang tidak dapat kita dielakkan. Matahari yang sama, bulan yang sama, udara yang sama membuatkan kita terlepas pandang akan pentingnya kewujudan contoh-contoh tersebut dalam hidup kita.

Ambil mudah terhadap orang yang disayangi. Sentiasa ada masa lagi untuk pulang berjumpa keluarga. Sentiasa ada kerja lain untuk disiapkan dan waktu untuk dihabiskan dengan urusan-urusan kerja sehingga orang yang penting di dalam hidup kita diabaikan kerana kita yakin bahawa mereka ini adalah orang yang sama. Tidak berubah.Masih sama.Masih lagi boleh berjumpa pada masa yang akan datang.

Sebab itu juga kita mengambil mudah dengan nafas yang dihembus, kaki yang memudahkan kita untuk bergerak dan mulut untuk memudahkan kita makan dan minum. Kerana kita yakin benda-benda ini sama:udara disedut untuk bernafas. Kaki untuk bergerak. Mulut untuk makan dan minum.

Sebab itu juga kita mengambil mudah dengan Tuhan. Mengapa?Sebab kita tahu Tuhan sentiasa ada dengan kita. Melihat kita walaupun tidak dipinta. Mendengar keluhan dan masalah tanpa perlu dipohon. Apabila susah dan mempunyai harapan untuk sesuatu perkara, kita akan berdoa kerana kita tahu Tuhan mendengar. Apabila untuk menenangkan diri dan menunjukkan kita tidak bersalah, nama Tuhan digunakan untuk mempertahankan kedudukan kita di pihak yang benar. Kita gunakan Tuhan untuk membersihkan nama kita dan menampilkan imej kita yang baik dan bersih.Sebab itu juga kita ambil mudah dengan doa sebab kita tahu kita boleh berdoa pada bila-bila masa.

Pokoknya, kita mengambil mudah sebab kita tidak merasai pentingnya kewujudan perkara-perkara tersebut dalam hidup kita.

Khalil Gibran pernah menyebut ‘’Cinta tidak mengenal kedalamannya sehingga perpisahan pun tiba’’

Apabila kita berpisah daripada sesuatu yang kita sayangi tetapi kita ambil mudah terhadap sesuatu itu, maka barulah kita akan merasai betapa pentingnya kewujudan dia di dalam hidup kita.Jika diberi masa, kita akan menggunakan sepenuh masa yang ada untuk bersama dengan sesuatu yang kita sayangi itu sehingga ia hilang.

Apabila kita diberitahu bahawa pagi esok adalah pagi terakhir untuk kita, sudah tentu kita akan cuba memanfaatkan sepenuhnya masa untuk merasai sinaran matahari dan menatap matahari terbit sehingga matahari terbenam.

Apabila kita diberitahu bahawa Tuhan tidak akan lagi mendengar doa kita dan menerima apa-apa lagi permohonan kita mulai hari esok, apakah reaksi kita?

Adakah kita akan berdoa dalam setiap nafas yang dihembus? Apakah kita akan duduk di atas tikar solat; tidak hiraukan keadaan sekeliling kerana mahu berdoa untuk kali terakhir agar Tuhan mendengar dan tidak menghukum kita apabila kita bertemu dengan Dia selepas itu?

Pada hari itu barulah kita sedar betapa dalamnya cinta Tuhan kepada kita.Memberikan masa untuk kita berdoa dan berharap kepadaNya tanpa ada waktu-waktu tertentu.

Dan bagi mereka yang tidak mengambil mudah tentang Tuhan, berdoa dan beribadah bukan kerana syurga atau neraka akan tetapi kerana diriNya sendiri, merasai Dia sentiasa ada dan berbicara denganNya baik di waktu susah dan senang tidak akan berasa susah hati apabila hari ini adalah hari terakhir untuk berdoa dan berharap.

Kerana hari-hari sebelum ini, mereka sudahpun berdoa dengan penuh kesedaran dan merasai kepentingan Tuhan dalam hidup kita.mereka sudah pun merasai betapa dalamnya cinta Tuhan kepada mereka. Dunia adalah perpisahan antara mereka dan Tuhan justeru doa adalah jalan untuk berhubung dalam perpisahan.

Justeru apabila hari ini hari terakhir untuk berdoa, mereka tidak sabar untuk menunggu hari esok.

Kerana hari esok bererti pertemuan dengan Tuhan. Tidak lagi perlu berdoa kerana mereka boleh berbicara terus di hadapan Tuhan dan meluangkan sepenuh masa.Tidak ada lagi perpisahan kerana dapat bertemu semula dengan Tuhan.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita mem’perlahan’kan masa dengan melihat kembali perkara-perkara yang kita ambil mudah dalam hidup ini. Agar kita tidak merasakan kepentingan perkara tersebut hanya selepas ia sudah tiada lagi dalam hidup kita.

Waallahu’alam.