Wednesday, April 13, 2011

Tuhan tahu tapi menunggu

Penipuan yang terbesar!

Tak boleh dimaafkan!

Jangan harap boleh kembali semula!

Memang semua salah dia!

Aku menatap kosong. Tidak ada apa yang boleh aku fikir melainkan perkataan-perkataan tersebut. Kutarik nafas dalam-dalam. Di saat itulah sepotong ayat terlintas di fikiran,

‘’Apakah manusia itu akan dibiarkan berkata ‘Kami beriman’ sedangkan tidak diuji lagi’’

Maka datanglah satu sosok badan yang sangat kukenali.Sangat jelas. Wajahnya mirip, tak lebih dan tak kurang seperti

Aku.

Dia duduk di hadapanku. Senyum. Mengerti apa yang sedang kualami sekarang.

‘’Apa kau pasti itu semua salah dia?’’

Aku tidak menjawab.

‘’ Beginilah. Dalam tempoh sebulan itu, cuba fikirkan balik. Apakah engkau tidak melakukan kesalahan seperti dia? Dalam hidup kau sebelum mengenali dia, apakah engkau tidak melakukan kesalahan tersebut?’’

Seluruh memori otak bergetar. Mengimbas semula semua peristiwa yang berkaitan dari tiga tahun yang lepas. Aku tersentak.

Tidak ada satu pun perbuatannya yang mengguris hati, yang menghancurkan hati selama sebulan itu kurang atau lebih dengan perbuatan aku. Semuanya; adalah seperti hukuman yang setimpal ibarat hukuman bunuh dibalas bunuh. Dirasakan seluruh langit itu jatuh menghempap aku. Selama sebulan itu juga perbuatanku terhadapnya adalah sama seperti apa yang dia lakukan terhadapku. Tak lebih dan tak kurang.

‘’ Masa sebulan yang pertama kau tak layan dia, kau juga ada buat kesalahan yang sama. Lagi teruk sebab masa itu kau dah ada hubungan dengan dia. Apakah kau layak untuk menyalahkan dia seratus peratus?’’

He who comes to equity must come with clean hands

Terkesima. Tidak menjawab. Semuanya telah dibalas.

‘’ Ambillah ia sebagai kafarah atas kesalahanmu selama ini. Lihatlah bagaimana adilnya Allah terhadapmu. Betapa Allah tahu engkau berbuat kesalahan tetapi Dia menunggu untuk kamu membayar kesalahan tersebut dalam waktu sekarang. Waktu di mana engkau sudah benar-benar jauh daripadaNya. Waktu di mana engkau mula mahu kembali ke jalannya.

Pak Hamka. Aku masih mengingati senyumannya yang sangat menenangkan hati. Digodanya aku untuk mencapai tulisan hikmatnya Tasauf Moden lalu dibuka bahagian ‘’ kebahagiaan yang dirasakan oleh Rasullullah’’. Lagi, sudah kubaca ayat tersebut berulang kali tetapi kali ini ia benar-benar meresap dan begitu menekan perasaan. Kata orang, kalau tak melalui sesuatu perkara kita tak akan pernah merasai.

‘’ Aku ini hamba Allah. Dia tidak sesekali mengecewakan daku.’’

Ayat Baginda Ar-rasul tatkala mendapat ilham daripada Ar-Rahim sewaktu perjanjian hudaibiyah.

Terasa bahuku ditepuk Pak Hamka sebelum aku terus mengulangi mukjizat rasul terakhir yang menguatkan jiwa itu.

‘’Dia telah melakukan kesalahan. Dia bersumpah atas nama Tuhan untuk sesuatu yang bohong dan palsu!’’

Pak Hamka tersenyum.

‘’Bukankah dia telah bertaubat di hadapan Tuhan? Siapakah engkau untuk menilai dan menghukum dia sesudah dia bertaubat kepada pencipta-Nya?Siapakah engkau untuk mengadili samada dia benar-benar bertaubat atau tidak? Dia menggunakan nama Tuhan dan dia bertaubat sesudah itu. Mengapakah engkau pula harus berasa kecewa dan amarah? Jika Tuhan memberikan dia kesempatan untuk bertaubat, siapakah engkau untuk terus menyimpan dendam dan mengungkit perkara itu?’’

Diam kembali. Pak Hamka terus mengukir senyuman.

‘’ Kalau Allah boleh memberi kau peluang berkali-kali untuk berbuat atas kesalahan yang sama, kenapa engkau tidak boleh memaafkan orang lain? Mengapa kau harus begitu angkuh dan sombong , bertindak melebihi Tuhan dan ego tidak mahu memaafkan orang lain? Siapa engkau? Sucikah engkau daripada melakukan dosa?’’ kata zharif kepada aku.

‘’ Aku tahu dan dia pun tahu engkau mahu mencapai sesuatu dalam hidup engkau tetapi sesuatu itu bukanlah segalanya. Engkau bisa memenangi banyak perkara tetapi tidak memenangi isinya adalah seperti tidak memenangi apa-apa. Engkau bisa memiliki dunia tetapi kalau engkau tidak mampu memiliki isi dunia maka tiadalah ertinya memiliki dunia itu.Janganlah kiranya engkau mahu menuju ke satu tempat itu tanpa menghiraukan sekelilingmu. Janganlah hatimu mati kerana tujuan itu.’’

‘’Engkau selalu mendabik dada kononnya kau mempunyai toleransi yang tinggi. Nah mana janjimu itu?’’

Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku kehabisan kata. Aku tidak berdaya. Semuanya telah disingkap di hadapanku. Tidak ada suatu pun yang boleh aku dustakan atau nafikan. Semuanya adalah benar belaka.

Tujuh hari. Mintalah kepada Tuhan. Dia pemilik segalanya. Kalau engkau minta daripada manusia, maka pelbagai keputusan yang akan diterima. Tetapi jika kau minta kepada Tuhan, Dialah yang memberi keputusan tanpa dipengaruhi dan bermotifkan apa-apa. Maka mintalah keputusan dan istikharah kepada Tuhan.

Andainya manusia tidak bersetuju, memusuhi, mengancam, mengusir, membenci dan mengatakan engkau gila dan bodoh dengan keputusan tersebut, maka janganlah engkau bersedih hati. Sesungguhnya bukanlah engkau yang membuat keputusan tersebut. Jika mereka marah dan menekan engkau serta kecewa dengan keputusan tersebut, maka keputusan tersebut datangnya dari Allah. Bererti mereka itu yang kecewa dan geram serta marah kepada Allah.

Jika Allah mahu memberi kebahagiaan, Dia tidak boleh ditahan dengan mana-mana tangan sekalipun.

Aku tersenyum. Dr.Asri datang menyejukkan jiwa yang kontang setelah apa yang terjadi. Benar, tidak semua boleh ditangani dengan kudrat manusia yang terbatas ini. Sesungguhnya ‘discretionary power’ Allah adalah yang terbaik untukku sekarang ini.

Kuambil nasihatnya. Kuserahkan semuanya kepada Tuhan. Semuanya. Kubiarkan Tuhan tentukan keputusan dan apa yang harus aku lakukan.

‘’18 bulan kau mengenali dia. Kau lebih kenal dia daripada orang lain. Janganlah kau percaya melainkan diri engkau sendiri. Engkau tahu siapa dia. Kali pertama engkau bertemu dengan dia adalah bersama keluarga dia. Sudah kau tahu dia siapa. Jangan pernah menyalahi takdir’’

Sudah masuk hari kelima. Begitu banyak petanda telah diberikan Tuhan. Aku semakin tenang. Hati semakin teguh. Kuambil perintang hati untuk memaafkan dan mengakui kesalahan diri. Masih lagi aku serahkan semuanya kepada Tuhan dan Dialah yang member sedikit demi sedikit petunjuk.

‘’Jika Allah tidak menyayangimu bagaimana engkau boleh buat apa yang telah engkau buat selama ini?’’

‘’Jika Allah tidak mentakdirkan engkau untuk sesuatu perkara, bagaimana hatimu boleh tergerak untuk melakukan semua perkara yang mendekatkan engkau dengan takdir itu?’’

Semakin tenang. Masih menunggu jawapan. Petunjuk sudah semakin banyak diberikan.Kebenaran semakin mengufuk. Hati semakin tenteram.

Justeru kalau ada apa-apa yang terjadi padamu janganlah cepat engkau salahkan orang lain. Duduk dan renung sebentar, kerana apa yang terjadi itu pasti ada hikmahnya. Pasti ada sesuatu yang bermanfaat untukmu.

Inilah juga kafarah dan bayaran yang harus kuterima atas segala kesalahan yang telah aku lakukan sebelum ini. Aku telah menerima hukuman itu.

Tuhan tahu. Tapi menunggu

2 comments:

  1. penggunaan ayat yang menarik... tapi sy tak dpt tngkap jln ceritanya.. =(

    ReplyDelete
  2. Nice :-) it is as much as an advice to me as it is to you too :-)

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)