Monday, March 21, 2011

4 Cerita - 4 Pelajaran - 1 Penulis

salam, your thoughts are vital for malaysia's politics. jgn berputus asa. dekat diri dgn politik Islam. tiada kekalahan cuma tak mencapai kemenangan lagi. saya harap sdr tak berputus asa dan mampu menyumbang idea2 sdr kpd situasi politik di malaysia. secara jujurnya, dasar dan polisi/ideologi parti politik mana yg sdr gemari ?

Kepada yang memberi komentar di atas sebulan yang lepas, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan anda. Maaf juga sebab mengambil masa sebulan untuk membalas komen anda. Sungguh ia bukanlah sesuatu yang boleh dijawab sesuka hati seperti orang yang boleh menuduh dan membuat spekulasi tanpa memikir timbal balik ayat yang dilemparkan.

Ini adalah jawapan saya

Saya percaya kepada pendekatan politik yang diajar oleh agama suci Islam. Tetapi tidaklah kepercayaan itu wujud kepada pihak yang mempolitikkan Islam. Menjustifikasi setiap perbuatan atas nama Tuhan bahkan sekarang ini bisa sahaja manusia bersumpah atas nama quran dan Yang Kuasa untuk melaknat tuduhan yang dilemparkan tetapi boleh sahaja dia masih melakukan apa yang dituduh itu. Bukan juga yang menarik perhatian saya menjual nama agama tetapi tidak menjaga adab susila yang digariskan oleh Islam sendiri dalam menegur dan menasihati. Tidak juga kepada individu yang dahulunya sanggup bertumpah darah dan berikrar akan melakukan itu ini tetapi apabila sudah disistemkan ke dalam pihak yang dikritik, maka senyaplah dia. Selepas keluar maka berteriaklah kembali menuding itu ini seolah-olah tidak pernah dia mempunyai kesempatan untuk mengubah satu ketika dahulu.

Kalau mahu disimpulkan: politik itu boleh seseorang. Hari ini dia adalah begini esok lusa dia adalah begitu.

Mencari kesempurnaan adalah pencarian sesuatu yang tidak wujud. Sebab itu aku mafhum bahawa kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang punya kelebihan dan keburukan sendiri. Hanya kita sahaja yang sanggup bertegang urat dan menyalak siang malam membuka kesalahan orang lain dan mempertahankan pihak kita yang maksum dan terpelihara. Begitu pun, aku melemparkan kekecewaan ke dalam lautan politik ini yang penuh dengan kepura-puraan. Semuanya berpura seolah-olah tiada apa yang berlaku. Di hujung sana berteriak tiada isu perkauman yang membelenggu padahal ada sahaja suara berbaur rasisme berkumandang dari arah sana. Sementara di hujung sini pula berteriak bahawa akan menerimalah semua pihak akan ideologi dan kemahuan melaksanakan hukum hudud akan tetapi kalau ditanya lagi soalan itu sekarang apakah teriakan itu benar dengan pendirian ‘over my dead body’?

Justeru, bukanlah berputus asa itu punca utama aku hilang kemahuan terhadap politik. Bukankah hati ini milik Tuhan; hari ini kita bisa mencintai sesuatu esok lusa benda yang dicintai itu boleh menjadi kebencian teramat sangat. Sekarang ini, kecintaan dan obses saya adalah tentang isu-isu perundangan yang lebih mencabar,menyentap jiwa dan intelektual serta hujah-hujahnya kedengaran lebih ‘bijak’ daripada hujah ahli politik yang kebanyakannya bercakap tetapi intinya kosong. Kalau adapun jarang dilaksanakan.

Pelajaran pertama: cintai berpada-pada

BERTUKAR TANGAN

Kesempatan ini juga diambil untuk mengucapkan tahniah kepada saudari Kodie Hassan selaku Presiden Moot Club 2011/2012 mengambil alih kepimpinan terdahulu saudari Elli Suraya. Kepada madam president, sokongan akan terus diberikan tetapi amalan ‘separation of power’ akan tidak berubah. Walaupun admin moot club dan moot squad tidak akan mencampuri urusan satu sama lain tetapi sokongan dan saling ‘mengisi’ akan tetap dilaksanakan seperti biasa.

Tahniah juga kepada Khairil Khalid yang menggalas tugas sebagai kapten skuad moot UiTM menggantikan mama Shai. Keberuntungan wujud di zaman kepimpinan mama Shai adalah sesuatu yang akan dihargai sampai mati. Tidak akan diubah ayat ‘’nasib baik aku masuk time mama shai’’.

Kepada Khairil, kita masih mempunyai misi untuk dilunaskan. Paling dekat lagi 4 bulan. Untuk misi alma meter terakhir ada lagi 11 bulan kurang lebih.

Pelajaran kedua: show must go on

SAF BARU

Tidak mahu melepaskan peluang untuk mengucapkan tahniah kepada kabinet baru Sekretariat Mahasiswa Fakulti Undang-Undang.

Komen? Tak berminat untuk melabelkan diri sebagai tidak matang dan tidak professional, mengikut trend pengguna siber kini yang menggunakan medium sebegini untuk melemparkan rasa tidak puas hati dan kecaman. Kalau aku nak komen dan tegur, apa guna aku undi MPP yang menang kan. Mereka ada telinga untuk mendengar jadi cakap terus dekat mereka.

Mereka yang menjawat hi-com dalam SMF adalah rakan sekerja aku dahulu. Bezanya mereka bertahan sehingga sekarang sementara aku pula berhenti di pertengahan jalan. Berhentinya aku sebab tak dapat tunaikan janji masa interview dulu jadi lebih baik sedar diri sekarang sebelum disedarkan dengan kalimah Tuhan di akhirat kelak. Mereka itu, dipilih sebab dah berada dalam SMF sejak tahun lepas jadi kalau nak orang-orang tertentu yang ada kaitan dengan orang tertentu maka pastikan orang-orang tersebut sudah berpengalaman dalam SMF. Mana yang baru haruslah ikut prosedur macam biasa: isi borang dan temuduga. Lepas tu tetaplah berada dalam SMF tanpa meletak jawatan maka untuk saf yang baru pada tahun hadapan, akan dipermudahkan rezeki untuk menjawat hi-com dalam SMF. Dalam hal ini, kudos diberikan kepada Solihin( calon MPP) yang mengikut prosedur dan kemudiannya diterima dalam SMF.

Sudah menjadi kebiasaan isu dictator, nepotism dan kronisme akan dibangkitkan. Aku sendiri pun mengamalkan nepotism masa jadi hi-com dalam pre-law club. Kerja siap orang tak pandang yang penting kau berdosa besar kalau praktikkan amalan ini sebab itu kena letak jawatan. Aku tak mahu menuduh walaupun mungkin ada kebarangkalian perkara ini wujud dalam kabinet baru SMFUU sebab justifikasi sudah diberikan. Kalau nak tahu apa justifikasi tu pergilah tanya MPP kita sendiri untuk mengelakkan berlakunya penyelewangan fakta dan tokok tambah.

Lagipun orang-orang yang mempunyai pendapat sebegini pun kalau diberi peluang dan kuasa akan buat benda yang sama. Tak payah pergi jauh-jauh; kalau boleh buat event dan program yang membolehkan kita untuk pilih organisasi, siapa orang pertama yang kita akan pilih? Bila buat assignment yang boleh bentuk group sendiri, siapa orang yang akan menjadi keutamaan kita? Apa justifikasi kalian? Apa sebab kita pilih orang yang kita kenal, yang dekat dan boleh ditakrifkan sebagai kawan baik dan orang yang dekat dan dikenali?

Pilih orang yang tak dikenali,tak ada pengalaman tetapi berdepan dengan masalah kerja tak boleh buat atau pilih orang yang dikenali tetapi berpengalaman, boleh buat kerja. Pilihlah yang mana satu tetapi al-hasil tetap sama: kecaman dan kritikan itu tak pernah padam.

Tidaklah aku ini penyokong nepotism yang tegar tetapi adalah penting jika ada peluang dan dibenarkan dari segi hukum dan lunas undang-undang untuk memberi jawatan dan tugasan penting itu kepada orang yang berpengalaman dan tahu selok-belok kerja sementara tugasan yang sederhana sulitnya diberikan kepada yang baru agar yang baru ini akan menempa pengalaman dan kualitas untuk memikul tugasan yang penting itu. Tetapi kalau dah undang-undang menetapkan samada yang berpengalaman atau tidak kena juga ikut proses pemilihan maka tiada sesiapapun harus memijak undang-undang.

Pelajaran ketiga: been there, done that.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Entri ini ditulis tanpa sebarang paksaan dan permintaan mana-mana pihak. Pandangan diberikan sebagai kapasiti seorang individu yang menjadi penulis blog ini. Tidak ada larangan, jauh sekali membenci dan mengecilkan hati jika ingin membalas kembali samada diketahui ataupun tidak oleh penulis entri ini. Sebab sudah diterima dengan segenap hati akan pelajaran yang keempat:

Apa yang perlu dibanggakan dengan pujian orang lain dan apa yang perlu disedihkan dengan kejian orang lain? Bukankah itu datangnya daripada mereka bukan dirimu sendiri?

1 comment:

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)