Wednesday, February 9, 2011

Bertanding MPP

1. Kehidupan sebagai manusia yang mengambil bahagian dalam mooting adalah ibarat askar yang balik dari berperang dan menunggu arahan seterusnya untuk pergi ke medan perang. Menempuh hari2 sebagai manusia biasa yang tiada arah tujuan dan mengisi masa lapang bersama-sama keluarga, evi, aizat(roomate yang selalu tak dapat makan sama-sama bila ada mooting bulan lepas),kawan-kawan assignment dan juga keluarga moot( Walaupun dah tak ada pertandingan tetapi masih lagi meluangkan masa bersama-sama.) Barulah terasa menjalani kehidupan sebagai siswa yang normal dan cuti seminggu raya cina itulah cuti yang pertama semenjak semester pertama BLS yang aku tak perlu fikir bagaimana mahu menolong klien akibat kebodohannya sendiri. Memang selayaknya peguam diberi gelaran pemikul beban kebodohan orang lain.

2. Kesempatan yang ada ini aku gunakan untuk menyertai mana-mana mesyuarat dan program yang dianjurkan oleh mana-mana pihak lebih-lebih lagi dalam masa terdekat ini akan berlangsungnya pemilihan majlis perwakilan pelajar peringkat UiTM. Maka diterimalah perkhabaran dan soalan samada aku akan bertanding ataupun tidak. Dah habis moot takkan taknak bertanding. Masa masih ada. Minggu depan baru pencalonan.

3. Nak masuk ke taknak? Dilema tu tak pernah menghantui aku langsung walaupun mempunyai keyakinan boleh mendapatkan undi atas tiket sebagai ex-mooter yang telah berkhidmat demi agama,bangsa dan negara (ok statement ni sangat keterlaluan). Tapi of course dapat undi tak semestinya boleh menang sebab aku kat kedah dulu pun mana buat keja sebagai hi-com pre-law club. Dahlah tak buat keja pastu tamak nak pegang jawatan lagi tinggi sebab tu mintak buat pilihanraya untuk semester baru.Nasib baik tak ada siapa yang sokong permintaan aku tu sebab kestabilan akan terjamin dan orang yang sedia ada akan dapat membuat kerja berdasarkan pengalaman apabila tiada pilihan raya. Aku fikir ini adalah alasan yang sangat baik bagi mana-mana parti yang akan mahu mengekalkan kerusi masing-masing dalam pilihanraya umum kelak.

4. Berbalik kepada isu utama. Kenapa dilema tersebut tak pernah terlintas dalam fikiran aku? Sebab aku dah buat keputusan dan keputusan ini telah diterima sebulat suara oleh family moot dan juga jurulatih moot. Kontrak sebagai mooter UiTM akan disambung sehingga 2014 atau kata lainnya akan disambung sampai aku tamat LLB. So berkecewalah orang-orang yang tak suka aku dan sudah pun memasang impian untuk menggantikan tempat aku sebab kalau nak masuk moot dan taknak tengok muka aku dalam team maka silalah tunggu tahun 2015 untuk masuk moot.

5. Sehubungan dengan itu, adalah dimaklumkan bahawa tiadalah sebarang perancangan mahupun kejutan di saat-saat akhir yang bakal aku lakukan kerana sudah tetaplah pendirian dan terputuslah sebarang andaian yang mengatakan aku akan bertanding MPP. Tidak akan ada intuisi atau segala bentuk kata hati di saat-saat akhir untuk bertanding walaupun dengan niat untuk memecahkan undi mana-mana calon. Tidak, aku tidak akan bertanding dan walaupun diberi jaminan satu fakulti akan mengundi aku pun, tidak sama sekali terlintas untuk aku mengubah pendirian. Adalah menjadi kehidupan aku sebagai siswa undang-undang UiTM yang akan menghabiskan masa emas siswanya dengan mengabdikan diri dalam karier moot. Tidak tertakluk kepada sebarang pindaan dan akan tetaplah keputusan ini selagi wujudnya entri ini di dalam blog yang sedang kalian baca ini.

6. Lagipun, kekecewaan dan semacam rasa terkilan berbaur annoying mula menyelinap di segenap urat-urat pemikiran masa hadapanku terhadap politik. Sesungguhnya tidak ada tempat bagi mereka yang meluahkan pendapat secara terus-terang dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Adapun yang mengaku non-partisan akhirnya terserlah juga bahawa mereka adalah partisan juga. Begitu juga dengan kewujudan kuasa ketiga dan segala macam kuasa yang ada tidak lain adalah berpartisan juga. Bukanlah stigma lalang itu harus kusarungkan untuk politiking diriku sendiri akan tetapi bagi mereka yang benar-benar jujur dan mengkritik kedua-dua belah pihak sering sahaja tidak akan mendapat tempat dan peluang untuk berbuat sedemikian. Akan kubuktikan mengapa kukatakan sebegini dalam entri yang akan datang. Tak kurang juga terputusnya harapan dan minat terhadap dunia politik adalah takuk yang tidak pernah berubah dari dahulu sampai sekarang; mementingkan denyut nadi diri sendiri daripada kebajikan rakyat yang memilih. Menyertai politik bukan untuk membantu tetapi mengambil kesempatann. Keenganan aku untuk menjadi hamba ideologi-ideologi karat mana-mana parti politik juga penyebab utama aku hilang nafsu terhadap politik.

7. Roh mooting telah meresapi pertimbangan dan setiap nafas yang membutirkan kata-kata kerana aku sudah menemukan minat dan kehidupan aku yang sebenar yakni tidak ada yang lebih membahagiakan aku apabila aku dapat membuat pertimbangan, kenyataan dan keputusan mengikut timbang tara undang-undang dan kebijaksanaan perundangan. Setiap kata-kata yang mesti bersandarkan bukti bukan tuduhan semata-mata, bertiangkan autoriti dan bukan semborono. Bahkan perkataan perlu, harus, yang, ialah mesti mengikut pertimbangan dan autoriti yang tepat. Inilah keunikan dan kebahagiaan yang aku temui dalam mooting sebab itu aku akan menembusi masa tanpa sedar sekiranya aku berada dalam momentum meneliti autoriti, mencari kekurangan dan kelebihan fakta kes serta membuat kesimpulan ataupun kritikan terhadap sesebuah kes yang telah diputuskan mahupun artikel perundangan.

8. Dengan status penerima biasiswa bekas ketua hakim negara juga menguatkan lagi iktikad aku untuk mengubah haluan buat kali ketiga. Selepas impian untuk bergelar doktor terpaksa dikebumikan gara-gara kenakalan aku sendiri sewaktu sekolah menengah dan kerana terkilan atau bahasa muda-mudi sekarang ''sentap'' dengan kebejatan politik, maka aku putuskan untuk memilih jalan baru. Berkhidmat dalam Legal&Judicial Service merupakan sesuatu yang sangat menarik. Lagipun aku hanya terikat dengan undang-undang dan kalau tak puas hati aku boleh membuat penghakiman sekaligus undang-undang baru apabila aku berada di kerusi ketua hakim negara hehehe. Kalau kena pecat sebab tak sekufu dengan eksekutif maka aku akan berundur dengan penuh takzim dan hormat sebagaimana yang pernah menimpa Tun Salleh Abas.

9. Masa untuk meneruskan kehidupan. Akan mengikuti perkembangan hari demi hari suasana pilihanraya MPP di fakulti undang-undang UiTM dan juga menyertai mana-mana program yang akan dijalankan oleh sesiapa sahaja bergantung kepada tahap minat dan kerajinan aku.

* Adalah dijemput kepada semua yang membaca untuk menghadiri bengkel moot yang akan dilangsungkan di bilik seminar 1 Cempaka 1 Fakulti Undang-undang jam 8.30 pagi.

1 comment:

  1. z,welcome back. hahaha.
    (told u that there wont be a way to escape.)
    lol.

    bertanding la MPP. sure u can win it.
    :)

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)